Thursday, December 17, 2009

Tengku Fakhry Cabar Pemangku Sultan

Mohon kembali kedudukan ahli Majlis Perajaan Kelantan

KUALA LUMPUR: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, mencabar keputusan kekanda sulungnya yang juga Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, membatalkan pelantikannya sebagai ahli Majlis Perajaan Negeri.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan & Kuasa-Kuasa Khas) di sini, Tengku Muhammad Fakhry memohon keputusan itu dibatalkan dan mengembalikan kedudukan beliau serta semua hak, keistimewaan dan anugerah bersangkutan dengannya.

Pada prosiding semalam, Hakim Mohamad Ariff Md Yusof, menetapkan 31 Disember ini bagi memutuskan sama ada membenarkan semakan itu.

Tengku Muhammad Fakhry yang dilantik ke majlis itu oleh ayahandanya, Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 2001, menamakan Pemangku Raja Kelantan itu, Setiausaha majlis berkenaan dan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden pertama hingga ketiga.

Plaintif yang juga Putera ketiga Sultan Kelantan, turut menamakan lima ahli Majlis Perajaan Negeri yang baru dilantik Tengku Muhammad Faris sebagai responden keempat hingga kelapan.

Mereka ialah Datuk Hashim Datuk Yusoff, Datuk Tengku Salwah Almarhum Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kolonel Dr Mohammad Razin Kamarulzaman,

Majlis itu bertanggungjawab mengesahkan pewarisan kepada Takhta dan Kedaulatan Negeri Kelantan dan untuk menentukan jika terdapatnya 'ketiadaan' (kekosongan) di Takhta disebabkan ketiadaan yang berpanjangan dari Negeri oleh Pemerintah yang berdaulat.

Tengku Muhammad Fakhry dalam permohonannya yang difailkan pada 1 Disember lalu, menjelaskan majlis itu melantik Tengku Muhammad Faris sebagai Tengku Mahkota Kelantan ketika Sultan Kelantan tidak boleh menjalankan hal ehwal negeri daripada 24 Mei lalu sehingga baginda sembuh daripada kegeringan.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, Sultan dalam keadaan gering sejak Mei lalu, namun baginda yang menerima rawatan di sebuah hospital di Singapura nampaknya pulih daripada kegeringan.

Katanya, beliau menerima surat daripada Setiausaha majlis itu pada 16 September lalu yang menyatakan pelantikannya dibatalkan dan diberhentikan daripada tanggungjawabnya sebagai ahli majlis berkenaan.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, beliau meminta penjelasan berhubung perkara itu, tetapi Setiausaha majlis berkenaan dalam suratnya pada 26 Oktober lalu tidak memberi sebarang alasan, sebaliknya menjelaskan keputusan itu dibuat di bawah perintah Tengku Muhammad Faris.

Plaintif kemudian mendapat tahu, Tengku Muhammad Faris melantik responden keempat hingga kelapan sebagai ahli majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa pembatalannya dan pelantikan itu bertentangan dengan Perkara 7 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Kedua) kerana ia tidak boleh dilaksanakan Tengku Muhammad Faris sebagai seorang Pemangku Raja Kelantan tetapi hanya boleh dilaksanakan secara peribadi oleh Sultan.

"Pernaikkan takhta Responden Pertama ke Takhta Negeri Kelantan bukannya secara automatik. Beliau (Tengku Muhammad Faris) sebagai waris harus disahkan sebagai pemerintah yang berdaulat oleh Majlis Perajaan Negeri sebelum boleh dimahkotakan dan mula menjadi 'kedaulatan' Negeri Kelantan.

"Jika Responden Pertama tidak disahkan, putera kedua, iaitu Tengku Muhammad Faiz Petra sebagai waris kedua berhak untuk disahkan sebagai pemerintah berdaulat oleh Majlis Perajaan dan mengikut urutan pewarisan itu, plaintif sebagai waris yang lain berhak untuk disahkan sebagai pemerintah," katanya.

Katanya, pembatalan itu juga bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana ia diputuskan tanpa sebarang alasan dan notis terlebih dulu.

Beliau turut memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan responden keempat hingga kelima serta perintah quo warranto bagi mereka mengemukakan tunjuk sebab dan atas kuasa apa mereka berhak dilantik ke majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry diwakili peguam K Shanmuga dan Nizam Bashir, manakala semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi.

No comments: