Sunday, June 14, 2009

Mesyuarat PRK Manek Urai


Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah diberikan tanggungjawab oleh pihak pentadbiran parti untuk memantau berkaitan undang-undang sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Manek Urai.


Justeru itu, Juham telah mengadakan mesyuarat kali pertama untuk menubuhkan jentera para peguam bagi memantau PRK Manek Urai. Mesyuarat itu telah diadakan di The Ship Restaurant, Kota Bharu. Pengarah jentera JUHAM diterajui oleh Tuan Haji Zubir Abu Bakar.


Pelbagai perkara telah dibincangkan terutama bidang tugas khusus bagi Juham sepanjang tempoh berkempen sehingglah kepada hari pengundian.

Wednesday, June 3, 2009

YB Nozula mohon maaf kepada YB Husam


notis perintah page 3 of 3 003

Kenyataan Akhbar

Tetuan Saiful Kasri & Associates

Hari ini Selasa 2 Jun 2009 di akhbar Berita Harian di muka C12 suatu notis permohonan maaf telah dikeluarkan oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri Paloh. YB Dato Nozula Mat Diah kepada anakguam kami, YB Dato Paduka Husam b Musa.



Notis tersebut berbunyi:

Saya, YB Dato Nozula Mat Diah dengan ini dan dengan sepenuh hati memohon maaf tanpa sebarang syarat kepada YB Dato’ Husam Musa kerana telah membuat laporan tidak benar dan tidak berasas terhadap beliau kepada BPR pada 2007. Saya dengan ini menarik balik segala tuduhan tersebut dan seterusnya menyatakan rasa kesal yang mendalam kerana pertuduhan tersebut telah menyebabkan tekanan kepada beliau dan keluarga beliau serta memburukkan keperibadian beliau.

Pada akhir November 2007, 2 orang Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan daripada Barisan Nasional iaitu YB Dato’ Nozula Mat Diah dan ADUN Bukit Bunga Muhd. Adhan Kechik telah membuat laporan kepada pihak BPR membuat tuduhan yang tidak benar dan tidak berasas terhadap anakguam kami.

Antara laporan tersebut adalah:

  • Laporan mengenai buku dan salah guna kuasa oleh ahli Exco kerajaan negeri Datuk Hussam Musa.

  • Laporan mengenai penyelewengan Pengarah Urusan Air Kelantan Sdn. Bhd.

  • Isu kegagalan pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd.

  • Isu Kedai Majlis Daerah Machang.

  • Isu Jamnapari membabitkan dana KPK.

  • Penyelewengan kawasan balak untuk ladang getah serta penyelewengan Pasmengutip dana.

  • Penyelewengan pembelian lot tanah mukim Gual Periuk, Pasir Mas oleh Syarikat Galeri Tanah.

  • Laporan ke atas Perbadanan Menteri Besar Kelantan Berhad dan Pengarah Urusan Kompleks Perkayuan Kelantan.

  • Isu Perbadanan Baru Tanjung cuba menjual rezab Melayu kepada Syarikat Kind Network Sdn. Bhd.

Pernyataan fitnah tersebut yang diucapkan dan diedarkan pada sidang akhbar tersebut telah mendapat liputan meluas di akhbar-akhbar utama tempatan dan telah disiarkan di televisyen serta boleh dimuatturun daripada laman sesawang yang pada masa yang relevan mempunyai jutaan pengguna, kesemuanya mempunyai akses percuma dan terbuka kepada fitnah-fitnah yang diadukan.

Tindakan kedua ADUN ini juga telah meletakkan anakguam kami dalam satu kancah pertikaian umum dan mengheret beliau dalam suatu skandal, fitnah konspirasi, jenayah, kebencian dan buruk sangka umum (odium), kehinaan (contempt) awam dan tekanan serta kemudaratan mental yang amat sangat akibat kegelisahan, kerisauan dan ketakutan akan ditangkap oleh pihak berkuasa, seterusnya beroleh keaiban umum.

Oleh itu beliau telah mengarahkan pihak kami mengambil tindakan undang-undang terhadap kedua Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan dan New Straits Times (M) Berhad. Akhirnya pihak ADUN berkenaan telah bersetuju untuk memohon maaf secara terbuka kepada anakguam kami serta menarik balik segala tuduhan yang dilemparkan.

Dengan Notis Permohonan Maaf ini maka terbukti bahawa segala tuduhan liar yang dibuat terhadap anakguam kami adalah fitnah semata-mata, tidak benar dan tidak berasas. Ini juga bermakna kerajaan negeri juga bersih dari segala salahlaku yang didakwa. Pihak kami akan membuat tindakan seterusnya bagi membersihkan nama baik anakguam kami. Kami juga dalam proses rundingan penyelesaian dengan para defendan lain.

Sekian, terima kasih.

Yang benar

Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek

Peguambela dan Peguamcara

Tetuan Saiful Kasri & Associates

HARTA SEPENCARIAN : KONSEP DAN AMALAN


Pada dasarnya, konsep harta sepencarian tidak dibincangkan secara khusus oleh para ulama’. Malah tidak ada sebarang dalil nas yang jelas berkaitannya. Namun para ulama’ telah memberi pelbagai pandangan dalam membicarakan tentang harta sepencarian. Ada yang menyebut ia sebagai “Mata’ al-Bayt” iaitu perkakasan rumah dan ada yang menyebut sebagai “Mal al-Zawjayn” yang bermaksud harta suami isteri.

Apa yang jelas, harta sepencarian tidak boleh dianggap sebagai satu aqad perkongsian (al-Syarikah). Ini kerana harta sepencarian dikuatkuasakan melalui perkongsian hasil suami dan isteri. Walaupun ketika aqad nikah wujud satu bentuk aqad, namun ia tidak boleh dianggap aqad bagi kontrak secara langsung menimbulkan harta sepencarian. Ini kerana, ijab dan qabul tersebut hanyalah bertujuan menghalalkan satu pergaulan antara suami dan isteri sahaja.

Adat Melayu
Jika dilihat sejarah lampau, harta sepencarian telahpun dianggap sebagai satu bentuk adat dalam masyarakat Melayu. Menurut Adat Pepatih, ia disebut sebagai ”carian laki bini”. Misalnya dalam kes Hasmah lwn Jalil, telah diputuskan bahawa harta carian laki bini hendaklah dibahagikan dua antara suami dan isteri apabila berlaku perceraian.

Malah jika diamati, sebelum pindaan Perkara 121(1A), kebanyakan keputusan para hakim Inggeris berkaitan harta sepencarian lebih cenderung merujuk kepada pemakaian adat setempat orang Melayu. Dalam kes Robert lwn Boto’, diputuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian dianggap sebagai harta sepencarian dan mahkamah akan membahagikan setiap setengah bahagian jika pihak-pihak bersetuju. Ini adalah berdasarkan kepada anggapan bahawa ia adalah satu adat dan bukannya hukum syarak.


Hukum Syarak
Persoalannya kini, adakah harta sepencarian itu diktiraf oleh hukum syarak? Sepertimana disebut sebelum ini, meskipun harta sepencarian tidak dijelaskan oleh apa-apa dalil nas, namun ulama’ masih lagi memperakuinya berdasarkan konsep uruf (adat) dan maslahah setempat. Ini mengambilkira soal keadilan kedua-dua pihak selaras firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur Ayat 32 menyatakan “orang –orang lelaki beroleh bahagian daripada usahanya dan orang-orang perempuan beroleh bahagian daripada usahanya juga”. Maka apabila sesuatu uruf itu diperakui baik dan sesuai oleh undang-undang kedudukannya, maka ia akan menjadi peraturan yang perlu dipatuhi. Malah ia selaras dengan kaedah fiqh antaranya ialah ”adat yang diakui sebagai hukum” dan juga ”uruf itu diiktibarkan oleh syarak”.

Oleh itu, kini harta sepencarian telahpun dianggap sebahagian daripada undang-undang Islam. Malah Mahkamah Syariah telahpun diberi bidangkuasa khusus dan eksklusif bagi membicarakannya. Ia juga telah diperuntukan dalam semua Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam di setiap negeri dan juga dalam Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM).

Misalnya dibawah Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 “harta sepencarian” ditafsirkan sebagai harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Berdasarkan takrif yang diperuntukan, bolehlah difahami bahawa harta sepencarian termasuklah harta samada harta alih atau tidak alih yang diperoleh suami dan isteri melalui usaha mereka bersama dan bukannya daripada satu pihak sahaja semasa perkahwinan. Harta yang dikumpul selepas perceraian atau kematian tidaklah boleh dianggap sebagai harta sepencarian.


Sumbangan tidak langsung
Namun kini, konsep harta sepencarian telah mula diluaskan termasuk juga harta yang diperoleh suami melalui usahanya sendiri semasa perkahwinan dengan sumbangan secara tidak langsung daripada isteri. Sumbangan tidak langsung bermaksud suatu usaha yang disumbangkan oleh mana-mana pasangan dalam mendapatkan harta itu di mana usaha yang disumbangkan adalah kecil berbanding dengan hasil atau manfaat sumbangan itu yang menghasilkan sesuatu harta yang besar.

Ini bermaksud, salah satu pasangan memberi sumbangan secara tidak langsung samaada melalui idea, dorongan, nasihat, keselesaan, ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha dan berjaya dalam mendapatkan harta itu. Dalam kes Tengku Anum Zaharah, mahkamah memutuskan bahawa harta yang menjadi pertikaian ialah harta sepencarian hasil daripada sumbangan tidak langsung isteri yang berketurunan berpengaruh. Kesan pengaruh isteri membolehkan suaminya mendapat gelaran Dato’ dan berjaya memajukan perniagaannya.


Tuntutan
Bagi tuntutan harta sepencarian di Mahkamah Syariah, ia boleh dilaksanakan dalam tiga keadaan iaitu tuntutan selepas perceraian, tuntutan semasa perkahwinan dan juga tuntutan selepas kematian. Bagi tuntutan selepas perceraian, Seksyen 122 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003 misalnya memperuntukkan bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memerintahkan pembahagian harta sepencarian apabila mahkamah itu membenarkan lafaz cerai atau perintah perceraian. Oleh itu, mahkamah hanya berbidangkuasa membicarakan kes harta sepencarian di mahkamah di negeri di mana perceraian berlaku dan didaftarkan.

Tuntutan harta sepencarian juga boleh dibuat semasa tempoh perkahwinan. Seksyen 23(10)(b) memperuntukan bahawa isteri boleh memohon perintah daripada mahkamah supaya diadakan terlebih dahulu pembahagian harta sepencarian sebelum permohonan poligami disahkan. Malah Seksyen 119(11) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 menyebut bahawa sebelum Mahkamah mengesahkan keluar agama, satu perintah untuk membahagikan harta sepencarian hendaklah dilaksanakan. Kedua-dua peruntukan tersebut berkaitan dengan permohonan poligami dan juga keluar agama Islam.

Bagi tuntutan selepas kematian, meskipun tiada peruntukan khusus yang membolehkan mahkamah membahagikan harta sepencarian sekiranya akibat kematian, namun fatwa negeri Selangor menjelaskan bahawa jika berlaku kematian, maka pihak yang hidup boleh memohon pengisytiharan harta sepencarian sebelum harta itu menjadi harta pusaka. Jadi pihak itu perlu membuktikan bahawa sebahagian harta itu adalah harta sepencarian.


Penyelesaian
Kaedah penyelesaian apabila melibatkan harta sepencarian ialah melalui kaedah sulh iaitu dengan cara berdamai samada melalui pengakuan dan penyerahan hak pemilikan kepada satu pihak lagi atau nilai harta yang dipersetujui dibahagi mengikut persetujuan. Persetujuan ini boleh dibuat samaada di luar mahkamah atau di hadapan pegawai sulh dan kemudian ianya akan diendors sebagai satu perintah oleh mahkamah.

Kaedah lain adalah melalui persetujuan semasa perbicaraan sedang berlangsung. Hakim kebiasaannya akan memberi peluang kepada kdua-dua pihak untuk mencapai persetujuan bersama. Maka persetujuan ini akan diendors sebagai satu perintah Mahkamah.

Sekiranya kedua-dua kaedah tersebut tidak dapat menyelesaikan pertikaian, maka mahkamah akan meneliti setiap keterangan dan penghujahan pihak-pihak. Seterusnya mahkamah akan memutuskan pembahagian harta sepencarian tersebut melalui perintah mahkamah.
dipetik dari: syafiqe.wordpress.com/2008/03/04/harta-sepencarian-konsep-dan-amalan