Sunday, October 19, 2008

Kerajaan Tidak Cadang Semak ISA


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kerajaan pada masa ini tidak bercadang menyemak semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia masih boleh diguna pakai.

Perdana Menteri berkata, pada masa ini juga tidak ada apa-apa perbincangan sama ada untuk mengetepikan atau melakukan pindaan terhadap akta berkenaan. Beliau berkata, tidak ada unsur salah guna kuasa dalam pelaksanaannya.

“Saya pernah menjadi Menteri Dalam Negeri (yang bertanggungjawab mengenai ISA), yang penting dalam hal ini kita mesti berhati-hati dan tidak ada unsur-unsur salah guna kuasa. “ISA bukan satu undang-undang yang tidak boleh dipakai, undang-undang seperti ini juga digunakan negara lain. (Negara) yang tak ada ISA berasakan wajar pula adakan undang-undang seperti ISA, di Amerika Syarikat dan England juga begitu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-55, di Wisma MCA di sini, semalam.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, sebelum melepaskan jawatan Mac tahun depan, beliau mahu memastikan pembaharuan yang hendak dilaksanakan berkaitan badan kehakiman, pencegahan rasuah dan kepolisan dapat dijalankan.

Beliau berkata, pembaharuan yang hendak dilaksanakan itu tidak bererti bahawa apa yang ada dalam undang-undang atau kesalahan yang dilakukan mesti dianggap sebagai tidak lagi salah. “Pembaharuan adalah pembaharuan, undang-undang adalah undang-undang. Pembaharuan tak bermakna semua apa yang ada dalam undang-undang, kesalahan yang ada mesti semua dianggap tidak salah lagi, tak boleh begitu,” katanya.

Ditanya mengapa tahanan ISA tidak dibebaskan meskipun beberapa pihak membantah penahanan mengikut ISA, beliau berkata, Menteri Dalam Negeri lebih mengetahui situasi yang ada yang mewajarkan sama ada seseorang tahanan itu dibebaskan atau terus ditahan mengikut akta berkenaan. “Ini adalah perkara di bawah bidang kuasa menteri yang berkenaan, Saya tiada komen lain. Dia (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar) lebih tahu lagi situasi yang ada, yang mewajarkan dia lepas atau teruskan dengan tahanan,” katanya.


Wednesday, October 15, 2008

Isteri Boleh Tuntut Fasakh Jika Suami Abai Nafkah


Islam sedia penyelesaian adil bagi jamin hak wanita dalam sesebuah perkahwinan


ANTARA tanggungjawab suami kepada isteri ialah menyediakan nafkah zahir dan batin. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan suami menurut kemampuannya. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid, (Juzuk 11, terjemahan, halaman 424) fuqaha' sependapat nafkah wajib ke atas suami merdeka dan nafkah kepada isteri perlu selaras dengan ketaatannya.

Nafkah batin diakui fitrah semula jadi manusia yang memerlukan kasih sayang dan belaian. Firman Allah an-Nisa ayat 19 bermaksud, "dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu) menurut cara yang ma'ruf (secara layak)."

Firman ini jelas menunjukkan hak nafkah batin isteri amat penting dalam perkahwinan. Isteri yang tidak mendapat hubungan seksual atau perhatian dan kasih sayang mudah hilang arah sekali gus membuka ruang untuknya melakukan maksiat. Suami patut menjadi pelindung kepada isteri dalam memberikan jaminan daripada segala keburukan dan kemaksiatan.

Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 222, "Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangi mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu...." Hadis Riwayat Muslim dalam kitab haji, bab haji Nabi 1218, daripada Jabir r.a. (hadis haji wada'), "Bertakwa kepada Allah dalam mengendalikan urusan perempuan (isteri). Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan isteri ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). Jika mereka melakukannya, pukul mereka dengan pukulan tidak terlalu menyakitkan (tidak mendera). Kewajipan kamu pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu perkara yang kamu tidak sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepadanya iaitu kitab Allah.

Seterusnya Ibn Hazm dalam Kitabnya, al-Muhalla menyatakan wajib suami memberi nafkah batin (layanan) kepada isterinya sekurang-kurangnya satu kali suci daripada haid (sebulan sekali). Ayat al-Quran dan hadis serta pandangan ulama menunjukkan pentingnya tanggungjawab suami dari segi memberi nafkah zahir dan batin bagi menjaga kerukunan rumah tangga. Jika tidak perkahwinan akan hancur.

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan suami atau isteri yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah batin kepada pasangannya boleh memohon cerai fasakh. Namun peruntukan ini mensyaratkan pengabaian itu adalah tanpa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak lebih setahun.

Seksyen 53(1)(d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, 2003 memperuntukkan, "Seorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu (d) suami atau isteri tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;"

Berdasarkan peruntukan itu, sesuatu perkahwinan boleh difasakhkan atas satu atau lebih alasan yang dinyatakan mengikut Seksyen 53. Jika memohon fasakh atas alasan dinyatakan di atas dan dibuktikan maka mahkamah ada bidang kuasa membubarkan pernikahan. Namun apa yang biasa timbul di Mahkamah Syariah hari ini terlalu jarang suami memohon fasakh atas alasan itu. Kebiasaannya wanita yang menggunakan peruntukan ini jika suami mengabaikan nafkah batin.

Tidak dinafikan, nafkah batin adalah soal peribadi dan rahsia mutlak wanita. Hanya isteri selain Allah mengetahui dia tidak bersama suami. Isteri harus bersumpah untuk membuktikan dakwaannya.

Fasakh atas alasan tidak menunaikan nafkah batin bersandarkan hukum syarak. Wahbah al-Zuhaily dalam kitabnya Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, juzuk. 7, halaman 535, menyatakan peruntukan fasakh atas alasan suami tidak menunaikan nafkah batin dibuat berdasarkan pandangan Mazhab Maliki. Menurut pendapat ini, tidak menunaikan nafkah batin diterima sebagai alasan memohon fasakh kerana dianggap penderaan terhadap isterinya. Penderaan merangkumi segala apa yang lahir daripada suami sama ada perbuatan, perkataan dan perbuatannya yang memudaratkan isteri dalam setiap keadaan walaupun suami tidak bermaksud menyakitinya.

Islam menegah perbuatan menzalimi kaum wanita. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 231 bermaksud, "Dan janganlah kalian pegang mereka (isteri )dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka."

Daripada zahir ayat Allah memberikan panduan yang wajib diikuti suami supaya dapat bergaul dengan isteri secara baik. Kesimpulannya, jika perkahwinan tidak lagi mendatangkan kebaikan, malah menimbulkan kemudaratan terutama berkaitan nafkah batin, ia wajar dibubarkan. Jika isteri reda ia tidak menjadi suatu masalah, jika sebaliknya wajar dielak supaya isteri tidak terdedah melakukan maksiat. Islam menyediakan penyelesaian ini bagi memastikan kemaslahatan umatnya terjaga dan terjamin. Undang-undang yang digubal turut mengambil kira faktor ini untuk menegakkan keadilan tanpa 'bias' kepada lelaki atau perempuan.


Mahkamah Khas Perintah Tuanku Ja'afar bayar AS$1j


PUTRAJAYA: Mahkamah Khas yang ditubuhkan untuk mendengar kes membabitkan kerabat diraja hari ini mengarahkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar Tuanku Abdul Rahman, membayar US$1 juta. (RM3.4juta) kepada Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (SCBMB) selepas memutuskan Tuanku Ja’afar perlu mematuhi terma-terma dalam surat kredit.

Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohd Sheriff, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan dua hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara membenarkan saman yang dikemukakan bank berkenaan terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong itu.

Mahkamah juga mengetepikan saman balas Tuanku Ja’afar terhadap bank berkenaan untuk mengisytiharkan bank itu tidak berhak mengikut undang-undang untuk melepaskan simpanan tetapnya bagi menyelesaikan bayaran US$1 juta itu.

Saman itu dikemukakan selepas kerabat diraja itu telah, pada atau sekitar 12 Februari 1999, memperoleh menerusi SCBMB, surat kredit (SBLC) tunggu sedia bernilai US$1 juta untuk Connecticut Bank of Commerce (CBC) di Amerika Syarikat bagi kemudahan kredit yang akan diberikan oleh CBC kepada sebuah syarikat AS yang dikenali sebagai Texas Encore LLC (TEC).

Menurut peguam bank itu, Robert Lazar, bank berkenaan berhak mengeluarkan jumlah terbabit daripada akaun simpanan tetap Tuanku Ja’afar. - Bernama

Wednesday, October 8, 2008

Pindah kes liwat Anwar ditolak

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam memutuskan ia mempunyai budi bicara untuk mendengar hujah bantahan pembelaan yang mempersoalkan kesahihan sijil dikemukakan pendakwaan dan ditandatangani Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk memindahkan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mahkamah Tinggi.

Berikutan itu, Hakim S M Komathy Suppiah menolak bantahan awal pihak pendakwa yang berhujah adalah mandatori bagi Mahkamah Sesyen mengikut Seksyen 418A (3) Kanun Acara Jenayah untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi sebaik sijil pindah dikeluarkan pendakwaan.

Pihak pembelaan dalam hujahan mereka mendakwa sijil pemindahan itu tidak sah kerana ditandatangani Abdul Gani yang kini sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berikutan satu laporan polis dibuat Anwar berhubung dakwaan memalsukan keterangan dalam kejadian 'mata lebam' pada 1998.

Komathy membuat keputusan itu berdasarkan empat kes undang-undang terdahulu, termasuk kes rasuah bekas Pengarah Urusan Sawit Kinabalu Group Datuk Wasli Mohamad Said yang memutuskan Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahihan sijil pindah yang dipersoalkan.



Beliau juga menolak permohonan Ketua Unit Pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan yang dibuatnya sementara menunggu pihak pendakwaan memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, Komathy membenarkan permohonan pendakwaan bagi Abdul Gani dan Peguam Cara Negara Datuk Idrus Harun untuk memfailkan afidavit menyokong hujahan berhubung bantahan pihak pembelaan.
Anwar, 61, menghadapi pertuduhan dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan, 23, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara jam 3.01 dan 4.30 petang, 26 Jun lalu.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Sementara itu, Bernama melaporkan pihak pendakwaan sudah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen berkenaan.

Mohamed Yusof ketika ditanya media berkata pendakwaan mengemukakan surat kepada hakim Mahkamah Tinggi jam 2 petang semalam. Bagaimanapun, beliau berkata, mahkamah belum menetapkan tarikh untuk mendengar permohonan semakan itu. Selain Mohamed Yusof, pasukan pendakwaan turut terdiri daripada Datuk Nordin Hassan, Mohamad Hanafiah Zakaria, Wong Chiang Kiat dan Shamsul Sulaiman Pembelaan diwakili Sulaiman Abdullah, Sankara N Nair, Leela Jesuthasan, Edmund Bon, Saiful Idham Ramli, Amer Hamzah Arshad, Latheefa Koya dan Mohd Radzlan Jalaludin. Perbicaraan bersambung hari ini untuk mendengar hujahan pendakwaan berhubung isu kesahihan sijil perpindahan berkenaan.



Sumber: Berita Harian