Monday, September 29, 2008

Tuesday, September 16, 2008

Manir: Mahkamah tolak petisyen BN


Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan kemenangan Datuk Harun Taib dari PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Manir, setelah menolak dengan kos, petisyen pilihanraya calon Barisan Nasional, Wan Sagar Wan Embong.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohamed Sheriff dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihanraya kawasan Manir, adalah cacat.

Mahkamah Persekutuan mendapati dakwaan Wan Sagar dalam petisyennya kononnya ejen-ejen Harun telah melakukan rasuah seharusnya lebih spesifik, demikian menurut laporan Bernama. Hakim Zulkefli, yang membacakan penghakiman itu, berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dalam mendapati petisyen Wan Sagar itu cacat kerana ia tidak mengandungi butir-butir mengenai amalan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Harun.

Wan Sagar membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Mei yang menerima bantahan awal oleh Harun dan mendapati petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihanraya bagi kerusi Manir adalah cacat kerana ia tidak mengandungi butiran mengenai amalan rasuah, dan menolak petisyen itu.

Dalam pilihanraya 8 Mac lalu, Harun menang dengan majoriti 406 undi. Harun diwakili peguam Mohd Ariff Yusof manakala Wan Sagar diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.


Calon PAS diisytihar menang di Sanglang


Ust. Hashim Jasin diisytiharkan pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya hari ini.Panel tiga orang hakim sebulat suara memutuskan kerusi itu dimenangi wakil rakyat itu, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu dibatalkan.

Hakim-hakim memutuskan satu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan. Ust. Hashim memperolehi kerusi tunggal PAS itu sejak pilihanraya umum 1999 tetapi akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dalam pilihanraya umum lalu, beliau diisytiharkan tewas di tangan Abdullah.

Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima permohonan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim. Bagaimanapun, mahkamah pilihanraya itu menolak permohonannya untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi DUN tersebut. Mahkamah itu bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihanraya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.

Ust. Hashim kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya beliau diisytiharkan pemenang di Sanglang. Ust. Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Datuk Mastika Junaidah Husin. Dalam pilihanraya umum Mac lalu, PAS melalui calonnya Rus'selle Ezlan menguasai satu lagi kerusi, Simpang Empat, dengan majoriti 53 undi.


Monday, September 15, 2008

Kes Serban


Hari ini Majistret YAM Tengku Amalin A’ishah Putri telah membuat keputusan diakhir kes pendakwaan bahawa pihak pendakwa telah berjaya membuktikan prima facie kes. Oleh itu Mahkamah mengarahkan supaya orang kena saman (OKS), Ahmad Nasir Darus untuk membela diri.

Ahmad Nasir telah disaman oleh pihak polis kerana menunggang motosikal dengan memakai serban dan tidak memakai topi keledar sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang Kaedah 4 dan 5(2), Kaedah Motosikal (Topi Keledar) [PU(A) 43/1973]. Beliau yang mengaku tidak bersalah dan telah memohon kepada Mahkamah untuk dibicarakan. OKS telah diwakili oleh peguam beliau, Ahmad Rizal Effande bin Zainol memohon kepada Mahkamah satu tarikh bicara lain untuk pihak OKS membela diri.

Isu utama dalam kes ini adalah mengenai penafsiran 'Lebai'. Sama ada OKS sebagai seorang pelajar pondok menepati ciri-ciri seorang 'Lebai' disisi undang-undang yang diberikan pengecualian daripada memakai topi keledar semasa menunggang motosikal.

Saya percaya, kes ini akan menjadi landmark dalam perundangan negara kerana keputusan diakhir perbicaraan kes nanti akan memberikan impak yang besar kepada perlaksanaan undang-undang. Sekiranya Mahkamah memberikan keputusan yang memihak kepada pihak pendakwa, maka ini bermakna kebanyakan penunggang motosikal yang memakai serban akan disaman polis walaupun dalam perjalanan pulang dari masjid atau surau.


Sunday, September 14, 2008

Pendirian LUHAM


Hari ini Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan telah mengadakan satu menyuarat tergempar berkaitan dengan penahan 3 individu dibawah ISA iaitu penulis blog Malaysia Kini, Raja Petra Kamaruddin, wartawan akhbar cina Sin Chew, Tan Hoon Cheng dan Ahli Parlimen YB Teresa Kok.

Menurut pengerusi LUHAM, saudara Hisham Fauzi berkata bahawa sepatutnya pihak kerajaan tidak menahan ketiga-tiga individu terbabit di bawah ISA. Sekiranya benar mereka menggugat keselamatan negara maka pihak kerajaan seharus dan sepatutnya mendakwa mereka di Mahkamah dengan mengemukakan bukti yang benar-benar kukuh menunjukkan mereka itu bersalah.

Tambah beliau lagi, penahanan tersebut adalah tidak sah di sisi undang-undang negara kita dan juga telah melanggar hak asasi manusia untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di Mahkamah. Pihak kerajaan juga tidak boleh sewenang-wenangnya mengguna ISA sebagai satu cara untuk menahan mana-mana orang tanpa sesuatu alasan yang sah.

Oleh itu, pihak kerajaan harus membebaskan tahanan tersebut atau mendakwa mereka di Mahkamah sama ada di bawah Akta Hasutan, Akta Bahan Cetak dan sebagainya demi sebuah keadilan.


Tuesday, September 9, 2008

Kemenangan Kurup Dibatalkan Mahkamah


KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup (gambar) di kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu batal dan tidak sah. Hakim David Wong Dak Wah membuat keputusan itu dalam penghakimannya terhadap petisyen yang dikemukakan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danny Anthony Andipai. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan sama ada pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan atau tidak, selepas 22 September ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata mahkamah mempunyai tempoh 14 hari untuk memaklumkan secara rasmi kepada SPR mengenai keputusan itu dan Kurup juga boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh yang sama. "Sekiranya Kurup memutuskan tidak mahu membuat rayuan, SPR akan menetapkan tarikh pilihan raya kecil dalam tempoh 30 hari selepas 22 September ini," katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), menang kerusi Pensiangan tanpa bertanding selepas Pegawai Pilihan Raya (RO), Bubudan OT Majalu, menolak kertas pencalonan Danny pada hari penamaan calon 26 Februari lalu.

Wong dalam penghakiman 36 muka surat, berkata Bubudan tidak boleh mengubah keputusan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Rafidah Datu Derin, yang mengarahkan kertas pencalonan Danny diterima. Arahan Timbalan Pengarah SPR mengikut Seksyen 4 Akta Pilihan Raya 1954 harus dipatuhi Bubudan walaupun peraturan menyebut RO mempunyai kuasa membuat keputusan. Wong berkata, bantahan yang dibuat wakil Kurup terhadap kertas pencalonan yang dikemukakan Danny juga tidak mengikut undang-undang. "RO membuat keputusan salah apabila menolak pencalonan pempetisyen," katanya ketika membaca kertas penghakiman selama kira-kira setengah jam bermula jam 10.15 pagi.

Danny diwakili peguam Ansari Abdullah, manakala Kurup sebagai responden pertama diwakili peguam Alexander Decena. Bubudan sebagai responden kedua pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, L Chandra Devi dan Suzana Atan. Dalam petisyen yang dikemukakan pada 9 April lalu, Danny meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan bagi Parlimen Pensiangan tidak sah dan batal mengikut Seksyen 32 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pada penamaan calon 26 Februari lalu, Bubudan mengisytiharkan Kurup menang tanpa bertanding dengan alasan Danny lewat mengemukakan borang pencalonan. Danny dalam petisyennya menjelaskan beliau tiba di dewan berkenaan pada jam 9.35 pagi dan membayar RM10,000 sebagai deposit calon serta RM5,000 deposit bahan pilihan raya. Beliau menyatakan hanya satu kaunter disediakan SPR di dewan berkenaan. Sementara itu, Decena berkata beliau akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin. Ansari pula bersyukur kerana hak Danny untuk bertanding dalam pilihan raya sudah dikembalikan.

Makan Dan Minum Di Bulan Ramadhan

1. Seksyen 26 Qanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan memperuntukkan "Sesiapa yang tidak harus berbuka puasa pada hukum syara' didapati makan atau minum atau menghisap sebarang tembakau atau seumpamanya pada siang hari dalam bulan Ramadhan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya denda tidak melebihi RM1000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya."


2. Seksyen tersebut mempunyai beberapa intipati iaitu:
Seseorang yang tidak harus berbuka puasa pada hukum syara' didapati makan/minum/ menghisap rokok dan seumpamanya pada siang hari dalam bulan Ramadhan


3. Jelas di sini pada intipati pertama, hukum syara' memainkan peranan yang utama yang memerlukan pendakwa membuktikan individu tersebut tidak diharuskan oleh syara' untuk tidak berpuasa. Antara sebab syara' untuk tidak berpuasa adalah Musafir, sakit yang memudaratkan, wanita yang berhaid, nifas dan sebagainya sebagaimana peruntukan syara' dan juga bukan Islam.


4. Jika boleh membuktikan perkara-perkara tersebut, individu itu tidak akan disabitkan dengan seksyen 26 tersebut dan dia akan dibebaskan oleh mahkamah.


5. Satu perkara yang dahsyat berlaku, apabila ada individu Islam tapi berperwatakan seperti bangsa Cina, India atau pan-asia menggunakan peluang tersebut untuk makan dan minum. Bagi saya ia boleh membawa kepada satu fenomena lain iaitu murtad.


6. Akhirnya, seksyen tersebut tidak menyatakan samada makan dan minum itu di tempat awam ataupun tidak. Bagi saya dalam keadaan ini sekalipun ditangkap di dalam rumah sendiri, dia boleh dihukum di bawah seksyen ini.

Artikel ini diambil dari blog Al-Khazaain