Monday, November 23, 2009

Mahkamah tolak permohonan tangguh pilihan raya di Kota Siputeh

PUTRAJAYA, 23 Nov: Mahkamah Tinggi mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengadakan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Kedah segera dan menolak permohonan SPR untuk ditangguhkan.

Ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari berkuat kuasa 16 November lalu, kata hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam keputusannya hari ini.

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara yang mewakili SPR mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Seminggu sebelum itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa SPR wajar mengadakan pilihan raya kecil di kerusi berkenaan selepas didapati wujud kekosongan.

Namun Jumaat, 20 November lalu, SPR memohon hakim itu agar menangguhkan keputusan tersebut.

SPR memfailkan permohonan itu pada Rabu, 18 November selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sharif bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

Pada Sept 1, Speaker DUN Kedah memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam persidangan DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih merupakan ADUN kawasan berkenaan.
< Prev Next >

Sunday, November 8, 2009

MUTA’AH


1. DEFINISI MUTA’AH
Muta’ah berasal dari kalimah Bahasa Arab iaitu al-Mataa’ yang membawa maksud perkara yang menyukakan hati dan boleh dimanfaatkan. Dari segi syarak ialah pemberian harta yang diwajibkan ke atas suami untuk diserahkan kepada isteri setelah berpisah ( bercerai ) dengan syarat-syarat tertentu.

Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984, “ muta’ah “ bererti bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara’ kepada isteri yang dicerai “.

Kamus Dewan, edisi ketiga, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Tahun 2002, halaman 913 pula menyatakan erti muta’ah ialah pemberian suami ( tidak diwajibkan kepada isteri setelah diceraikan, manakala “kahwin mutaah” adalah kahwin kontrak atau sementara ( yang dibenarkan pada peringkat awal perkembangan Islam, tetapi kemudiannya diharamkan).

Apa yang hendak kita perbincangkan di sini, bukan kahwin kontrak tetapi, adalah muta’ah dari sudut pemberian @ sagu hati suami kepada bekas isteri selepas diceraikan untuk mengurangkan tekanan perasaan isteri dan sebagai bayaran gantian kesepian isteri oleh sebab perceraian yang berlaku antara mereka berdua.

Dalil wajib memberi muta’ah kepada mereka seperti firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ( surah 1: ayat 236 )
Mafhumnya :
“ Dan tidaklah kamu bersalah ( dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin / mahar) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh ( bercampur ) dengan mereka atau ( sebelum ) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka, walaupun demikian, hendaklah kamu memberi muta’ah ( pemberian sagu hati ) kepada mereka ( yang diceraikan itu ) Iaitu : Suami yang senang ( hendaklah memberi sagu hati itu ) mengikut ukuran kemampuannya: dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang ( yang mahu ) berbuat kebaikan”.

Dalil kedua dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 241:
Mafhumnya:
“Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat muta’ah ( pemberian sagu hati ) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang bertaqwa”.

2. GOLONGAN YANG BERHAK
Pemberian muta’ah wajib diberi oleh suami kepada bekas isteri dalam keadaan berikut :-
a) Apabila diceraikan selepas berlaku persetubuhan.
b) Isteri diceraikan sebelum disetubuhi dan mas kahwin pula tidak disebutkan semasa akad nikah.
c) Jika isteri dihukumkan supaya berpisah dengan suaminya ( perpisahan disebabkan oleh suami seperti dia murtad atau meli’an / menuduh isteri berzina. Perpisahan itu berlaku selepas persetubuhan atau sebelum persetubuhan dengan syarat mas kahwin tidak disebut dalam akad ).

Sekiranya isteri diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya disebut dalam akad nikah, isteri tidak berhak mendapat muta’ah. Ini kerana dia belum mendapat separuh daripada mas kahwin, sedangkan dia masih belum memberikan apa-apa khidmat kepada suaminya. Jika perceraiannya berlaku disebabkan oleh isteri seperti isteri murtad, perceraian secara khuluk ( tebus talak ) dan nusuz, isteri tidak berhak mendapat apa-apa. Walau bagaimanpun bagi kes isteri yang pernah disetubuhi, sekalipun perceraian itu berpunca daripada isteri sendiri tidaklah gugur haknya untuk mendapat mahar sepenuhnya.

3. PEMBERIAN MUTA’AH MENURUT ENAKMEN KELARGA ISLAM

Mengikut peruntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 ( Akta 303 ), di bawah seksyen 56 dalam tajuk muta’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut berbunyi seperti berikut : “ selain dari haknya memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon muta’ah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah dan mahkamah boleh selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. “

Permohonan untuk menuntut muta’ah perlu dibuat oleh isteri kepada mahkamah sekali dengan proses perceraian, tuntutan nafkah edah dan nafkah anak-anak. Pemberian muta’ah boleh dibuat dengan membuat bayaran sekali sahaja, berbeza dengan bayaran nafkah edah yang dibayar selama tempoh edah, begitu juga nafkah anak-anak yang berterusan sehingga anak-anak mencapai umur baligh.

4. KADAR MUTA’AH:
Penentuan kadar muta’ah, boleh dibuat atas persetujuan kedua-dua suami dan isteri dengan kadar tertentu atau sebaliknya, sekiranya mereka bersetuju dengan kadar harta yang tertentu, sama ada sedikit atau banyak kadar itulah yang diterima oleh isteri. Muta’ah itu sah berdasarkan kepada apa yang dipersetujui.

Jika mereka berselisih pendapat dalam menentukan kadarnya, kadhi ( hakim ) berhak menetapkannya berdasarkan keadaan mereka berdua, kedudukan kewangan suami, keturunan isteri dan sifat-sifatnya. Ini disandarkan kepada ayat al-Quran, surah al-Baqarah : 236 yang bermaksud :
“ Hendaklah kamu memberikan muta’ah ( pemberian sagu hati ) kepada mereka ( yang diceraikan itu ). Iaitu suami yang senang (hendakalah memberi sagu hati itu) menurut ukuran kemampunnya, dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya”.

Kadar muta’ah yang digalakkan ialah tidak kurang daripada 30 dirham atau yang senilai dengannya, dan tidak melebihi separuh daripada kadar mahar misil ( mahar yang munasabah ) Mahar misil biasanya diqiaskan kepada mahar perempuan yang setanding dengannya daripada kerabatnya sendiri seperti saudara perempuannya yang seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Perkara-perkara lain juga perlu diambil kira dalam menentukan kadar mahar misil itu termasuklah segi kecantikan, kekayaan dan tempat: kerana mahar tidak sama antara negeri-negeri. Masing-masing mempunyai adat dan tradisi yang tersendiri. Begitu juga status perempuan kerana menurut kebiasan, gadis lebih digemari atau diingini daripada janda. Demikian juga kematangan akal fikiran, keagamaan, keluhuran budi, pengetahuan, adab kesopan dan sebagainya.

Tidak semestinya disamakan betul-betul antara dua orang perempuan yang dikira setanding dalam segenap segi: cukup dengan persamaan yang hampir ternyata tiada jurang perbezaan yang jauh. Ini terserah kepada budi bicara pihak-pihak yang berkenaan di dalam keluarga dan masyarakat.

Menurut Mahzab Syafie, tidak ada penetapan kadar muta’ah, sekurang-kurangnya ialah apa jua yang ada nilai dan tiada pementuan kadar maksimumnya. Jika kedua-dua suami isteri bersetuju pada sesuatu kadar maka itulah yang sebaik-baiknya. Jika tidak, hendaklah di tentukan oleh kadhi ( mahkamah ) menurut kedudukan kedua-duanya. Kadar muta’ah itu disunatkan jangan terkurang daripada tiga puluh dirham dan jangan pula sampai kepada had separuh mahar ( mas kahwin ).

6. KESIMPULAN:
Sebagai kesimpulan daripada perbincangan ini dapatlah kita fahami bahawa muta’ah ialah pemberian sagu hati kepada isteri setelah berlaku perceraian, bagi tujuan meringankan bebanan dan kesusahan disebabkan perpisahan dan mengubati perasaan sakit hati serta rasa benci yang memuncak hasil daripada perceraian tersebut.
Pemberian muta’ah sebaik-baiknya dibuat atas kemampuan dan kesanggupan kedua-dua pihak dan persetujuan mahkamah. Perlu difahami mahkamah bukan medan membuka keburukan suami atau isteri,
tetapi merupakan tempat mendapat keadilan bersama .

Rujukan :
1. al-Quran al-Karim ( surah Al-Baqarah, ayat 236 ).
2. Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran (Edisi Rumi), Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, cetakan kelima Tahun 1992.
3. Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Edisi Ketiga Tahun 2002.
4. Kitab Fikah Mahzab Syafie- Bab Undang-Undang Kekelurgaan oleh Dr. Musfafa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali asy-Syarbaji, Pustaka salam Sendirian Berhad - Cetakan 1, Tahun 2002.
5. Asas Kefahaman Islam ( Bahasan empat mahzab: Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali ) oleh Hassan Salleh, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Tahun 1992.
6. Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 ( Akta 303 ) International Law Book Services, Tahun 1995.

Mahayudin bin Abu bakar
Penolong Pengarah
Unit Pengurusan NCR
Bahagian KESUMA
JAKIM