Tuesday, September 15, 2009

Pilihan Raya Kecil N.31 Bagan Pinang


Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat pengumuman bahawa hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.31 Bagan Pinang pada 03/10/2009 (Sabtu) dan hari membuang undi ialah 11/10/2009 (Ahad). Kedua-dua hari penting tersebut jatuh pada hari cuti hujung minggu. Ini berlainan dengan apa yang telah berlaku pada PRK Manek Urai dan PRK Permatang Pasir yang mana kedua-dua hari sama ada hari penamaan calon atau hari membuang undi masing-masing jatuh pada hari bekerja.

Saya tidak pasti sama ada ianya satu kebetulan ataupun telah dirancang sebegitu. Namun kalau kita perhatikan dengan teliti, nampaknya seolah-olah ketidakadilan berlaku kerana pihak SPR mempunyai budi bicara untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Tapi kini SPR nampaknya sudah hilang budi bicara sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Pilihan Raya. Malah tindakan SPR yang menetapkan hari mengundi khususnya pada hari bekerja menyebabkan ramai yang tidak dapat keluar mengundi dan tindakan SPR tersebut seolah-olah menafikan hak warganegara Malaysia untuk mengundi.

Saya tidak pasti apa alasan yang direka SPR untuk menjustifikasikan tindakan mereka menetapkan hari mengundi PRK Bagang Pinang pada hari cuti hujung minggu sedangkan PRK Manek Urai dan Permatang Pasir dibuat pada hari kerja? Pada mulanya saya ingin berbaik sangka terhadap SPR yang ianya adalah sebuah badan bebas dan tidak dibayangi oleh pihak pemerintah ataupun tangan-tangan ghaib untuk membuat sebarang keputusan. Namun dengan pengumuman yang dibuat SPR hari ini membuatkan saya rasa was-was dengan SPR.

Selama ini SPR selalu menyatakan bahawa mereka adalah badan bebas dan telus. Pihak kerajaan juga turut menafikan campur tangan mereka keatas SPR. Namun tindakan SPR hari ini menunjukkan cakap mereka tidak serupa bikin. Pepatah Karam Singh Walia ada menyebut: 'Baling batu sorok tangan'. Tetapi pepatah yang saya reka berbunyi: 'Kentut berbunyi, busuk tercium tapi tiada siapa hendak mengaku!'.


Dipetik dari al-Kubrawiyyah.