Oleh Mohamad Isa Abd Ralip 2010/04/14
Seks bebas punca penyakit HIV/Aids menular dalam masyarakat
SEKS bebas dan jenayah seksual di kalangan pelajar kini semakin menular dan membimbangkan kita terutama pelajar di kawasan bandar. Gejala ini terus menular dan ada remaja yang begitu berani mempraktikkannya di sekolah. Apa yang menyedihkan kita ialah pembabitan mereka mula dikesan seawal usia 13 tahun ketika berada di Tingkatan Satu dan Dua.
Kepelbagaian masalah sosial mula berlaku dan tidak mustahil gejala ini berlanjutan sehingga ada yang sanggup menjadi pelacur apabila dewasa. Dalam kita membincangkan berkaitan dengan pelacuran ini, secara tidak langsung kita tidak dapat lari daripada membincangkan persoalan zina yang makin berleluasa di kalangan umat Islam kebelakangan ini.
Justeru, untuk membendung permasalahan seperti ini daripada terus berleluasa, maka jalan yang membuang ruang ke arah perlakuan zina ini harus ditutup serapat-rapatnya.
Hal ini dijelaskan oleh Allah di dalam firmannya di dalam surah Al-Isra (17) ayat 32 yang bermaksud “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk”.
Ayat di atas secara jelas menyentuh mengenai zina dan umat Islam dilarang melakukan zina kerana kesannya dalam masyarakat amat buruk, bukan saja kepada individu terbabit malah masyarakat kerana memberi impak kepada keturunan selain boleh mengundang kepada jenayah lain seperti membunuh serta pembuangan bayi.
Di negara kita, perlakuan kesalahan zina ini adalah terbatas. Oleh kerana keterbatasan pelaksanaan hukum syarak dalam ruang lingkup negara Malaysia, maka kesalahan zina lebih dikenali dengan persetubuhan luar nikah dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 di dalam Seksyen 23 manakala di Selangor pula di dalam Seksyen 25 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Sebaliknya, aktiviti pelacuran membabitkan pelacur yang menjalankan kegiatan mereka atas dasar kehendak mereka sendiri dengan alasan untuk mencari duit lebih atau sekadar berseronok. Ada juga pelacuran ini disebabkan oleh paksaan pihak ketiga sama ada pihak suami atau di pihak bapa.
Pelacuran adalah satu kesalahan dan ini merujuk kepada Seksyen 23 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan:
Mana-mana orang perempuan yang melacurkan dirinya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu; dan
Mana-mana orang yang melacurkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya; atau menyebabkan atau membenarkan isterinya atau anaknya atau kanak-kanak dalam peliharaannya melacurkan diri.
Perbuatan itu melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Pelacuran juga kebiasaannya dipelopori oleh bapa ayam atau ibu ayam yang menjalankan aktiviti memperdagangkan tubuh manusia secara paksaan. Wanita asing dan bawah umur selalu menjadi mangsa kepada bapa dan ibu ayam ini kerana sikap naif dan mudah terpedaya dengan janji manis mereka. Kesalahan ini diperuntukkan dalam undang-undang merujuk kepada Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu:
“Mana-mana orang yang bertindak sebagai muncikari adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Pelacuran dalam Islam adalah haram hukumnya dan berdosa besar. Islam juga melarang berkahwin dengan pelacur: Dalam hal ini ada suatu riwayat yang diceritakan oleh Murtsid dari Abu Murtsid, bahawa dia minta izin kepada Nabi untuk kahwin dengan pelacur yang dimulainya perhubungan ini sejak zaman jahiliah.
Namanya Anaq. Nabi tidak menjawabnya sehingga turunlah ayat yang berbunyi: “Lelaki tukang zina tidak (boleh) kahwin, melainkan dengan perempuan penzina dan musyrik, dan perempuan penzina tidak (boleh) kahwin melainkan dengan lelaki penzina atau musyrik. Yang demikian diharamkan atas orang-orang mukmin. (al-Quran Surah An-Nur:3). Dan Baginda bacakan ayat itu dan berkata: “Jangan kamu kahwin dengan dia" (hadis riwayat Abu Daud,An-Nasa'i dan Tarmizi).
Jelaslah bahawa aktiviti pelacuran adalah satu aktiviti dilarang oleh agama dan undang-udang syariah itu sendiri. Aktiviti ini juga terkeluar daripada norma masyarakat sesebuah negara dan ia mendatangkan kesan buruk.
Kesan daripada aktiviti pelacuran jugalah menyebabkan penyakit berbahaya seperti HIV/Aids menular di dalam masyarakat. Selain itu juga peningkatan kes pembuangan anak juga secara tidak langsung kesan daripada aktiviti pelacuran ini. Golongan masyarakat terutama remaja harus sedar buruknya aktiviti pelacuran ini.
Undang-undang adalah suatu bentuk sekatan untuk tujuan mendidik tetapi nilai agama adalah penting dalam diri untuk menjauhi segala perlakuan buruk terutama perzinaan. Tanpa perzinaan tiada pelacuran.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia