KUALA LUMPUR, 29 Mac: Remaja yang menjadi mangsa tembakan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Tumpat Februari lalu, hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.
Memorandum itu bagi mendesak tindakan segera diambil termasuk memastikan siasatan yang adil oleh pihak polis.
Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, yang hadir ke Parlimen bersama peguam dan keluarga turut menyatakan rasa tidak puas hati ekoran tindakan pihak polis hanya menyiasat berdasarkan laporan pihak UPP dan mengenepikan laporan yang dibuat keluarga mangsa.
"Kami melihat tindakan anggota UPP berkenaan menembak Ahmad Nizamuddin sebagai cubaan menghapuskan bukti bahawa kematian Allahyarham Said adalah akibat dipukul," kandungan memorandum itu dipetik.
"Kami sangat-sangat tidak berpuas hati kerana walaupun laporan polis telah dibuat, namun pihak polis masih gagal bertindak sehingga hari ini," kata mereka lagi.
Turut mengiringi mereka ialah Ahli Parlimen Tumpat dan Rantau Panjang, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Siti zailah Mohd Yusof.
Nazri dalam pada itu berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian 16 Februari lalu, mangsa telah ditembak di perut dan dada manakala bapa saudaranya Said Mat Hassan, 56, meninggal dunia di Hospital Kelaboran, Tumpat selepas ditahan anggota UPP.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi sebelum ini mendakwa, Said ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin, Tumpat pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.
Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.
Menurutnya, melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu.