Wednesday, December 31, 2008

14 Pesuruhjaya Kehakiman Angkat Sumpah Jawatan


PUTRAJAYA: Seramai 14 Pesuruhjaya Kehakiman mengangkat sumpah jawatan di Istana Kehakiman di sini semalam, yang berkuat kuasa Isnin depan. Mereka ialah Pesuruhjaya Kehakiman Peguamcara Negara, Datuk Zaleha Yusof; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Halijah Abbas; Penggubal Undang-undang Parlimen, Datuk Nor Bee Ariffin. Pesuruhjaya Penyemak dan Pembaharuan Undang-undang Jabatan Peguam Negara, Datuk Mary Lim Thiam Sua; Yang Dipertua Mahkamah Perusahaan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid; Ketua Pengarah Biro Bantuan Guaman, Dr Hassan Ab Rahman.

Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Kamardin Hashim dan Yaacob Md Sam; Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Datin Yeoh Wee Siam; Pendaftar Mahkamah Rayuan, Datin Zabariah Mohd Yusof; Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya, Tarmizi Abd Rahman. Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Akhtar Tahir; Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Rhodzariah Bujang serta Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, P Ravinthran. Mereka mengangkat sumpah di depan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi; Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff; dan Hakim Besar Sabah serta Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.
Pelantikan dibuat mengikut Perkara 122AB Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara. Zaki dalam ucapannya berkata, semua Pesuruhjaya Kehakiman yang baru dilantik perlu jujur serta bijak menangani persekitaran serta berupaya mengelak pengaruh masyarakat luar. "Mereka boleh meneruskan persahabatan dengan rakan, tetapi jika mendapat maklumat ada antaranya yang bersikap tidak jujur dan ingin mengambil kesempatan maka perlu berterus terang," katanya.



No comments: