Thursday, May 28, 2009

Mahkamah isytihar kerusi Ladang kekal milik Pas


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Terengganu kekal milik Pas selepas mengenepikan rayuan Barisan Nasional (BN) Terengganu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak petisyennya mencabar keputusan pilihan raya umum ke-12.

Dalam penghakimannya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, yang bersidang bersama Hakim Datuk S Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, mendapati tidak ada perbezaan besar daripada segi undi pos yang dikira memandangkan hanya tiga undi pos yang mungkin disalah kira dan ditolak disebabkan nombor siri yang tidak sama. "Tiga undi ini tidak mengatasi majoriti 31 undi yang diperoleh responden (Datuk Tengku Hassan Tengku Omar daripada Pas). Oleh itu, keputusan Hakim, Pilihan Raya itu dikekalkan," katanya dalam penghakiman yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Surita Budin.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Tengku Hassan menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh daripada BN dengan kelebihan 31 undi, tetapi BN menerusi ketua cawangan Umno Lorong Kemunting, Mahari Endut, memfailkan satu petisyen supaya 127 undi pos yang ditolak pada hari pengundian itu, dikira semula.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak petisyen itu pada 22 September lalu kerana pempetisyen gagal membuktikan dakwaannya bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya tidak menjalankan tugasnya dengan betul dalam mengendalikan undi pos itu. - Bernama


Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai, Kelantan ditetapkan pada 14 Julai ini, sementara penamaan calonnya jatuh pada 6 Julai - memberikan lapan hari tempoh berkempen. Dalam pengumumannya di Putrajaya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyatakan 12,293 pemilih termasuk 25 pemilih pos dijangka membuang undi di kerusi tersebut, bawah parlimen Kuala Krai.
Pilihanraya itu dipanggil akibat kekosongan susulan kematian penyandangnya Ismail Yaakub pada 22 Mei lalu. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata daftar pemilih yang akan digunakan termasuk daftar pemilih tambahan yang dikemaskini sehingga Jumaat lepas.
Beliau menambah, penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai. Sembilan sekolah akan dijadikan pusat mengundi dengan seramai 350 petugas mengendalikan pilihanraya kecil itu.
Daftar pemilih terbabit mula dijual pada 15 Jun dan pengundi juga boleh membuat semakan menerusi laman web rasmi SPR www.spr.gov.my, selain di lima kaunter yang akan dikenal pasti. Semakan juga boleh dibuat melalui SMS dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888 mulai 15 Jun ini.

Sunday, May 17, 2009

Peguam desak IGP, Hisham letak jawatan





Majlis Peguam menuntut peletakan jawatan ketua polis negara dan menteri dalam negeri, ekoran penahanan lima rakan peguam mereka pada 7 Mei lalu.

Kelima mereka ditahan kerana didakwa menyertai perhimpunan haram sewaktu mahu memberi khidmat guaman kepada sekumpulan individu yang ditahan kerana menyertai acara nyalaan lilin bagi menyokong aktivis Bersih, Woang Chin Huat, yang ditahan di bawah Akta Hasutan.

bar council meeting 150509Kesemua mereka dibebaskan selepas ditahan semalaman dalam lokap polis - satu tindakan yang telah mencetus kemarahan masyarakat peguam.

Kira-kira 200 peguam mengadakan bantahan di kompleks mahkamah Kuala Lumpur pada hari berikutnya terhadap "penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis".

Dan untuk menyatakan kemarahan mereka, para peguam mengadakan mesyuarat agung luar biasa (AGM) hari ini berhubung perkara tersebut.

Ia dihadiri lebih 1,400 peguam. Selain mendesak Tan Sri Musa Hassan dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein meletak jawatan, para peguam tersebut juga bersetuju untuk memfailkan saman berhubung penahanan lima peguam berkenaan.

Saman tersebut akan difailkan terhadap Musa di balai polis Brickfields, pegawai penyiasat dan pihak kerajaan.

Mereka juga akan menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis.

bar council lawyers protest at jalan duta court detained 5 lawyer at brickfields police station 080509 03Lima peguam yang ditahan itu ialah Fadiah Nadwa Fikri, Syuhaini Safwan, Puspawati Rosman, Ravinder Singh dan Murnie Hidayah Anuar (foto).

Mereka bagaimanapun dibebaskan pada 8 Mei bersama dengan Wong dan yang lainnya di balai polis Brickfields.

Tuesday, May 12, 2009

Nizar diisytihar MB


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) di sini semalam mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dalam keputusannya berkata, jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong mengikut peruntukan Perkara 16(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak (UTKP) kerana Mohammad Nizar tidak pernah kehilangan kepercayaan majoriti DewaDalam penghakiman yang dibaca secara lisan selama lebih sejam bermula jam 2.30 petang, hakim itu berkata, undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar hanya boleh dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pada sidang DUN.

"Dalam kes ini, tidak dapat dipertikaikan fakta bahawa tiada undi tidak percaya dibuat Adun terhadap pemohon (Mohammad Nizar) di persidangan DUN. "Malah, beliau menghadap Sultan untuk memohon pembubaran DUN bukannya kerana sudah kehilangan kepercayaan majoriti DUN tetapi sebaliknya memohon pembubaran itu bagi menyelesaikan kebuntuan dalam DUN dan hal pentadbiran Perak," katanya.

Mengulas keputusan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Barisan Nasional (BN) akan mengemukakan rayuan hari ini kerana yakin mempunyai kes dan asas yang kukuh. Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, yang menerima keputusan itu dengan hati dan fikiran terbuka, menegaskan beliau serta enam Ahli Exconya akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang.

Mohammad Nizar pula mengumumkan akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bagi mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya negeri dapat diadakan secepat mungkin untuk menyelesaikan krisis politik di negeri itu.

Kemelut kepemimpinan di Perak berlarutan sejak lebih 100 hari selepas Zambry dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Mohammad Nizar pada 6 Februari lalu apabila kerajaan Pakatan Rakyat kehilangan kepercayaan majoriti di DUN berikutan tiga wakil rakyatnya keluar parti dan menyokong BN.

Abdul Aziz berkata, walaupun BN sudah memenangi 31 kerusi DUN, ia tidak memohon supaya sidang DUN diadakan bagi melakukan undi tidak percaya terhadap Mohammad Nizar.

"Berdasarkan prinsip demokrasi dan undang-undang, undi tidak percaya perlu dilakukan di sidang DUN dan hanya dengan cara itu seseorang Menteri Besar boleh digugurkan atau diminta meletakkan jawatannya," katanya.

Abdul Aziz berkata, Menteri Besar tidak memegang jawatan itu berdasarkan kepada kehendak Sultan. "Bagaimanapun mahkamah berpendapat, kuasa Sultan untuk meminta Menteri Besar meletakkan jawatan adalah tidak mengikut peruntukan dalam Perkara 16(6) UTKP kerana artikel itu adalah sangat jelas dan bukannya tidak nyata.

"Sungguhpun Sultan mempunyai kuasa prerogatif dalam melantik Menteri besar, tetapi sebaik dilantik Menteri Besar hanya perlu menjawab kepada DUN dan bukannya orang lain," katanya.

Abdul Aziz juga tidak bersetuju dengan hujahan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah dalam kes itu dan Zambry, bahawa hanya ada dua keadaan yang membolehkan Menteri Besar memohon pembubaran DUN.

"Abdul Gani menghujahkan bahawa Menteri Besar hanya boleh memohon pembubaran DUN apabila tempoh perkhidmatan DUN berakhir mengikut Perkara 36(2) UTKP atau jika kehilangan kepercayaan majoriti.

"Mahkamah tidak bersetuju dengan hujahan itu kerana mengikut Perkara 36 UTKP, terdapat banyak keadaan yang membolehkan Menteri besar memohon pembubaran DUN daripada Sultan dan ia adalah bergantung kepadanya untuk menentukan bilakah waktu sesuai untuk membuat permohonan itu," katanya.

Abdul Aziz turut tidak bersetuju hujahan Abdul Gani dan Zambry sebelum ini yang menyatakan Mohammad Nizar perlu meletak jawatan walaupun beliau enggan berbuat demikian. Katanya, Abdul Gani dan Zambry berhujah menyatakan perkataan 'perlu meletak jawatan' dalam Perkara 16 (6) UTKP bermaksud 'mandatori' serta Mohammad Nizar perlu meletak jawatan atau jawatannya itu akan dianggap kosong.

"Bagaimana jika Menteri Besar enggan meletakkan jawatan? Walaupun bermaksud 'mandatori', peruntukan itu tidak boleh ditafsirkan sebagai Menteri Besar perlu meletakkan jawatannya," katanya sambil mencadangkan supaya artikel itu dipinda bagi memenuhi lacuna (kekosongan) dalam Perkara 16(6) UTKP.

Mengenai afidavit yang diikrarkan Penasihat Undang-Undang Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Abdul Aziz berkata, penasihat undang-undang itu adalah saksi yang tidak neutral dan berat sebelah. Abdul Aziz berkata, Ahmad Kamal sendiri mengakui beliau diarahkan peguam Zambry untuk mengikrarkan afidavit itu dan perkataan 'diarahkan' mempunyai erti yang mendalam.

"Disebabkan itu mahkamah berpendapat beliau (Ahmad Kamal) adalah saksi yang tidak neutral dan berat sebelah serta keterangannya adalah demi memenuhi yang arahan diterimanya," katanya. Abdul Aziz berkata, mahkamah tidak mempersoalkan keputusan Sultan untuk tidak membenarkan pembubaran DUN kerana perkara itu tidak boleh diadili.

"Sultan mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak memperkenankan permintaan untuk membubarkan DUN," katanya. Sementara itu, peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry membuat permohonan secara lisan bagi memohon penangguhan terhadap pelaksanaan keputusan Abdul Aziz itu, sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan. Abdul Aziz bagaimanapun menolak permohonan itu dan meminta Cecil membuat permohonan secara bertulis berserta ikatan autoriti. n Undangan Negeri (DUN).


dipetik dari Berita Harian

Snippet : Keputusan Mahkamah Tinggi Kes Nizar

Alhamdulillah!!! Kiranya dalam ramai-ramai manusia yang bergembira dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan DS Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah adalah saya. Saya kira walaupun perjalanan pengiystiharan tersebut masih panjang - mahkamah rayuan dan mahkamah persekutuan - tapi sebagai permulaannya keputusan tersebut adalah penyejuk hati.

Masakan tidak! Apabila tercetusnya krisis perlembagaan Perak 3 bulan yang lampau, saya telah dijemput untuk berceramah atas kapasiti sebagai peguam berkenaan dengan isu tersebut. Lalu berceramahlah saya, berdasarkan kes Stephen Kalong Ningkan, dengan semangat perlembagaan Persekutuan dan Negeri Perak. Saya memberitahu khalayak bahawa MB DS Nizar masih lagi menteri besarnya. Beliau tidak meletak jawatan, DUN belum dibubarkan dan beliau juga tidak pernah di undi percaya di dalam DUN.

Hiduplah saya dengan kenyataan tersebut. Sehingga kemudiannya beberapa saman difailkan dengan kenyataan yang berbagai-bagai. Ada yang pro dan ada yang anti. Malah kemuncaknya adalah kenyataan dan hujah yang diberikan oleh peguam negara sendiri sebagai pencelah yang memihak kepada UBN.

Khalayak mula bertanya dan ada yang memandang bahawa penerangan yang saya berikan terdahulu tidak tepat. Salah. Kerana yang berhujah adalah peguam negara yang katanya lebih 'cerdik' dari saya.

Apa yang boleh saya katakan. Melainkan gomelan sendiri. Sejak itu apabila ada yang cuba mendapat penjelasan dari saya berkenaan dengan isu tersebut, sambil menundukkan kepada saya berkata "Tak reti nak jawab, tunggu keputusan mahkamah"!

Lalu keputusan mahkamahlah yang saya tunggu semalam. Dan Alhamdulillah, keputusan tersebut sama dengan apa yang telah saya dan peguam-peguam lain belajar dan beramal. Keputusan tersebut membolehkan saya mengangkat kembali muka ini tanpa rasa bersalah.

Nanti kalau ada soalan lagi berkenaan dengan peguam negara? Saya akan jawab "Dok ambil kira orang bodoh....mencelah kerana nak belah".

Monday, May 11, 2009

TAHNIAH

Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Luham, saudara Hisham Fauzi yang telah terpilih sebagai Naib Ketua Pemuda, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan bagi sesi 2009/2011 dalam mesyuarat agung Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan yang diadakan pada 09/05/2005 di Dewan Duyong, Perdana Resort.
Saudara Ahmad Najib Deris selaku Timb. Pengerusi Luham juga turut terpilih untuk menganggotai barisan kepimpinan baru tersebut.

Wednesday, May 6, 2009

Hukuman jenayah syariah perlu dipertingkat


Oleh Mohamad Isa Abd Ralip


BARU-BARU ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom ketika merasmikan Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), menyatakan hukuman bagi kesalahan jenayah syariah mungkin dirombak dan ditingkatkan termasuk hukuman sebat dalam usaha kerajaan membendung peningkatan kesalahan itu.

Masyarakat Islam beranggapan hukuman dikenakan Mahkamah Syariah adalah rendah. Kebanyakan hukumannya ialah denda dan dianggap menjadi penyumbang kepada peningkatan statistik jenayah syariah saban tahun kerana masyarakat beranggapan undang-undang syariah sesuatu yang remeh. Malaysia ialah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, tetapi dari sudut kehakiman dan perundangan kita masih tidak dapat melihat keputusan menepati semangat uqubah dalam syariat Islam. Perkembangan yang boleh dibanggakan hanya penubuhan Mahkamah Syariah dan hukuman yang dikenakan masih boleh dipertikaikan.

Dalam konteks bidang kuasa jenayah, apa yang disebut sebagai dichotomy atau pertindihan dalam membicarakan kesalahan tertentu yang diperuntukkan mengikut enakmen kesalahan jenayah syariah dan seumpama dengannya di bawah akta Persekutuan lain.

Hukuman dikenakan dalam kes yang boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah juga ringan sehingga boleh dipandang sebelah mata dan dianggap remeh bagi mereka yang berada. Secara praktiknya hukuman dalam kes jenayah, dilihat tidak dilaksanakan sepenuhnya dengan tiada pelaksanaan hukuman sebatan dan akhirnya hukuman itu hanya di atas kertas dan sebagai syarat untuk memenuhi lacuna yang ada tanpa memikirkan kesannya kepada masyarakat.

Hakikatnya dalam Islam, hukuman takzir boleh dikenakan dalam pelbagai bentuk sama ada ringan atau berat seperti amaran, celaan atau hukuman mengenai tubuh seperti penjara, buang daerah, sebat sehingga kepada bunuh.

Bahkan ada pendapat ulama mengatakan hukuman takzir boleh melebihi hukuman had. Denda dengan wang antara hukuman takzir di negara ini. Ada perbezaan pendapat ulama mengenainya.

Pendapat pertama mengatakan tindakan harus dikenakan hukuman dengan wang, sementara pendapat kedua mengatakan harus denda dengan wang. Pendapat ketiga mengatakan hanya diharuskan jika pesalah tidak bertaubat. Mengikut Imam Malik, Imam Ahmad bin Hanbal, Abu Yussof dan satu golongan pengikut mazhab Syafie mengharuskan denda dengan wang sebagai hukuman takzir. Ibnu Qayyim menyokong pendapat itu.

Kebanyakan kesalahan yang diperuntukkan dalam Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak Negeri-Negeri dan Enakmen Kanun Kesalahan Syariah Negeri-Negeri adalah mencakupi secara umum jenis kesalahan takzir ke atas perbuatan maksiat dan kesalahan lain.

Sementara hukumannya pula dengan denda atau penjara atau sebatan. Jenis hukuman tidak terkeluar daripada hukuman takzir yang dianjurkan Islam termasuk denda. Bagaimanapun, Mahkamah Syariah tidak sepatutnya memusatkan hukuman kesalahan takzir kepada hukuman denda saja.

Umum mengetahui peruntukan Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan) 1984 memberikan bidang kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau enam kali sebatan. Walaupun hukuman ditingkatkan, belum ada kajian atau penulisan mengenai keberkesanan hukuman dalam membendung jenayah syariah. Cadangan hukuman sebat dialu-alukan sebagai cara mengawal meningkatkan jenayah syariah di kalangan masyarakat Islam. Namun, tidak ramai yang tahu hakim Mahkamah Syariah juga mengambil pendekatan mengenakan pesalah jenayah syariah dengan hukuman sebatan. Namun, setakat pengetahuan penulis, hukuman sebat tidak pernah dijatuhkan terhadap pesalah kecuali di Kelantan dan Pahang.

Kes terbaru penjenayah syariah atas kesalahan minum minuman memabukkan didenda maksimum lima tahun dan enam kali sebatan di Pahang. Walaupun kes itu dalam proses rayuan oleh tertuduh, ia menunjukkan Mahkamah Syariah juga berani mengenakan hukuman selain denda dan penjara sebagai langkah pencegahan setakat had dibenarkan undang-undang.

Apabila Kelantan meluluskan kaedah hukuman sebat pada 1987, pesalah pertama dikenakan hukuman sebat disabitkan kesalahan meminum minuman memabukkan. Apabila hukuman dijatuhkan serta diberikan publisiti meluas di media cetak tempatan, tinjauan rambang dilakukan di kelab malam dan restoran yang menjual minuman keras. Didapati pemilik restoran dan premis hiburan membuat kesimpulan umat Islam di Kelantan mula bimbang untuk minum arak.

Harus diingat bidang kuasa Mahkamah Syariah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan sebatan tidak melebihi enam kali atau kombinasi mana-mana hukuman itu.

Ini menunjukkan bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad dengan peruntukan akta itu. Apabila Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1984 tidak dipinda, sudah pasti ia membataskan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam perkara jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.

Umumnya, hukuman yang ditetapkan ke atas kesalahan diperuntukkan dalam Enakmen Jenayah Syariah atau Enakmen Pentadbiran Hukum Syariah negeri adalah didahulukan dengan denda atau hukuman maliyah dan bukan bidaniyah.

Keadaan itu mendorong hakim Mahkamah Syariah lebih cenderung menghukum pesalah dengan denda sebagai hukuman pilihan. Keadaan itu membimbangkan kerana antara tujuan hukuman ialah memberi pengajaran dan pencegahan. Dikhuatiri jika keadaan ini terus berlaku di Mahkamah Syariah akan mengurangkan keberkesanan tujuan hukuman dikenakan.

Namun, mengharungi dunia yang semakin kompleks ini sewajarnya hukuman ditetapkan Mahkamah Syariah dikaji semula kerana kali terakhir ia dikaji adalah pada 1984. Selepas 25 tahun, suatu reformasi terhadap hukuman bagi kesalahan jenayah syariah perlu dirombak seberapa segera supaya orang ramai tidak memandang mudah terhadap kes jenayah syariah.



Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

Sunday, May 3, 2009

Keputusan Jemaah Menteri Meminggir Perlembagaan Persekutuan dan Hukum Syarak


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Setiausaha Agong, Peguam Pembela Islam


Masyarakat Islam arus perdana amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju memutuskan kanak-kanak mesti kekal menganut agama asal ketika ibu bapanya berkahwin walaupun salah seorang pasangan itu menukar agama. Keputusan yang dibuat oleh jemaah menteri dikatakan sebagai langkah penyelesaian jangka panjang berhubung isu pertikaian status agama kanak-kanak berkenaan apabila ibu atau bapa mereka menukar agama.

Keputusan Jemaah Menteri ini sangatlah dikesali. Manifestasi kekesalan ini dizahirkan apabila lebih seratus NGO Islam berkumpul menyatakan bantahan mereka semalam (Jumaat). Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) juga melalui Timbalan Presidennya Musa Awang telah mengeluarkan kenyataan membantah keputusan tersebut. PGSM adalah NGO pertama yang menyuarakan kekesalan mereka.

Bagi memahami implikasi keputusan jemaah menteri ini beberapa perkara perlu diperincikan terlebih dahulu terutamanya kedudukan perlembagaan, undang-undang dan hukum syarak. Sebenarnya terdapat tiga perkara utama yang terkesan daripada keputusan ini iaitu berkaitan dengan pembubaran perkahwinan, agama anak dan pemeliharaan anak.

*Pembubaran Perkahwinan*

Di dalam perkahwinan sivil yang didaftarkan melalui Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 pembubaran perkahwinan hanya boleh berlaku jika perkahwinan itu telah pecah belah dan tidak dapat diselamatkan lagi. Perkara ini termaktub di dalam seksyen 52 Akta tersebut. Seksyen 51 Akta yang sama pula menjelaskan jika salah seorang pasangan itu memeluk Islam pasangan yang tidak memeluk Islam itu boleh memfailkan petisyen pembubaran perkahwinan menurut seksyen berkenaan selepas tiga bulan pasangannya memeluk Islam. Ini bermakna petisyen perceraian atas alasan pemelukan agama Islam hanya boleh difailkan oleh pasangan yang tidak memeluk agama Islam sahaja. Selagi dia tidak memfailkan petisyen perceraian tersebut perkahwinan sivilnya bersama pasangan yang telah memeluk Islam tetap dianggap sah di bawah akta tersebut.

Jelaslah di sini ketidakadilan yang amat sangat berlaku kepada pasangan yang memeluk Islam itu memandangkan beliau langsung tidak mempunyai *locus standi* untuk memfailkan petisyen perceraian berdasarkan seksyen tersebut.

Namun mahkamah syariah menurut Jadual Kesembilan Senarai 2 Butiran IPerlembagaan Persekutuan, boleh membuat penentuan sesuatu perkara mengenai hukum dan doktrin syarak. Seksyen 46(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menepati semangat Perlembagaan Persekutuan ini dengan memberi kuasa kepada mahkamah syariah membuat penentuan mengikut hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut.

Seksyen 46(2) tersebut memperuntukkan jika salah satu pihak kepada sesuatu perkahwinan bukan Islam memeluk Islam, maka perbuatan yang demikian tidak boleh dengan sendirinya berkuatkuasa membubarkan perkahwinan itu melainkan dan sehingga disahkan oleh Mahkamah. (Mahkamah di sini bermaksud mahkamah syariah).

Seolah-olah terdapat polemik di sini di mana kedua-dua mahkamah mempunyai bidang kuasa. Oleh yang demikian terdapatlah cadangan seksyen di atas ditiadakan bagi menyeleasikan kemelut ini. Tetapi sebenarnya bukan hanya seksyen tersebut sahaja perlu dipinda malah seksyen yang sama dinegeri-negeri lain juga perlu dipinda dan mendapat pekenan Raja-Raja Melayu. Ia mungkin jalan yang tidak mudah digapai.

Sebenarnya tatkala seseorang itu telah memeluk Islam sudah pasti Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan kepada mualaf itu mengamalkan agamanya termasuklah undang-undang diri seperti munakahat. Mengheret mualaf ini ke mahkamah sivil merupakan pelanggaran hak kebebasan beragama bagi mualaf ini. Seorang yang sudah mendapat hidayah daripada Allah sudah tentu tidak mahu balik ke zaman jahiliyahnya kembali. Inilah hak yang perlu dipertahan oleh kerajaan dan bukan merobek hak ini atas alasan yang picisan yang tidak selaras dengan Perlembagaan.

Membawa orang bukan Islam ke mahkamah syariah pula bukanlah suatu perkara yang mudah kerana kebiasaannya orang bukan Islam enggan hadir ke mahkamah syariah atas alasan tidak mahu tertakluk kepada undang-undang Islam. Namun sebenarnya apa yang diputuskan oleh mahkamah syariah hanyalah membuat perisytiharan di sisi hukum syarak apakah kedudukan perkahwinan tersebut sahaja. Amatlah tidak wajar mualaf ini dinafikan hak ini. Hakikatnya ialah sebahagian orang bukan Islam tidak mengiktiraf langsung kewujudan mahkamah syariah ini. Mereka tidak mahu membantu mahkamah syariah memberi keputusan yang adil. Mereka sanggup memberi keterangan di medan media tetapi tidak dimahkamah syariah. Mahkamah Syariah adalah sebahagian dari sistem perundangan negara yang sah. Tidak ada seorang pun boleh memperlekehkan mahkamah syariah.


*Agama Anak*

Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan tiada seorang pun boleh dikehendaki menerima ajaran sesuatu agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau upacara sembahyang sesuatu agama, selain agamanya sendiri. Perkara 12(4) pula menegaskan bagi maksud Perkara 12(3) di atas, agama bagi seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapanya atau penjaganya.

Perkara 12(4) ini telah ditafsirkan oleh penghakiman mahkamah tertinggi negara iaitu Mahkamah Persekutuan di dalam kes *Subahsini mlwn Saravanan* dimana mahkamah tersebut telah memutuskan bahawa salah seorang (bukan kedua) ibu bapa boleh menentukan keIslaman anak tersebut.

Peruntukan Perkara 12(4) dan juga tafsiran yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan tersebut sebenarnya selaras dengan Hukum Syarak. Sebenarnya telah disepakati di kalangan ulama’ bahawa apabila salah seorang ibu bapa bukan Islam memeluk Islam, anak di bawah umur mereka itu disifatkan sebagai Islam. Ini adalah kerana anak yang dilahirkan itu adalah fitrah, dan fitrah di sini bermaksud Islam.

Undang-Undang Syariah ditegakkan berasaskan kepada *al maqasid al syariah*. Terdapat lima al maqasid al syariah (objektif syariah) iaitu menjaga agama (*hifz al din*), nyawa (*hifz al nafs),* keturunan (*hifz an nasab*),akal (*hifzal aql*) dan harta (*hifz al mal*).

Bagi mencapai maqasid ini umat Islam dipertanggungjawabkan memelihara kelima-lima perkara ini termasuklah menjaga agama dan keturunan. Oleh yang demikian agama anak itu hendaklah mengikut mana-mana ibu bapa yang Islam. Umat Islam tidak dapat menerima sekiranya *al maqasid al syariah* ini tidak dapat dicapai.

Alasan Nazri agar mengikut ‘*common sense’* adalah telalu dangkal. Dalam undang-undang kita tidak boleh menggunakan *‘common sense’*. Ada asas dan falsafah yang perlu ditafsirkan dan dihayati. Sebagai perbandingannya jika kita menggunakan common sense tersebut, adalah kita boleh dianggap tidak melakukan kesalahan trafik apabila melanggar lampu isyarat merah tatkala tiada kenderaan yang melintasi di hadapan kita? Secara common sense nya sudah tentu kita tak bersalah tetapi undang-undang mempunyai falsafahnya tersendiri bagi mengawal kemaslahatan sejagat. Apatah lagi ‘*common sense’*beliau itu melanggar hukum syarak pula.

Keputusan jemaah menteri tidak boleh mengatasi peruntukan Perkara 12(4) dan tafsiran yang dibuat dalam kes *Subahsini.* Jemaah menteri juga sebagai badan eksekutif tidak boleh mencampuri urusan kehakiman (samada sivil ataupun syariah) apatah lagi menganggu keputusan mahkamah dengan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan keputusan mahkamah. Seharusnya segala ruang yang dibenarkan oleh undang-undang diambil bagi menangani permasalahan ini dan bukan melalui campur tangan eksekutif yang secara langsung merujuk kepada kes Muhammad Ridzuan tersebut.


*Pemeliharaan Anak*

Mengenai pemeliharaan anak pula. Sudah menjadi amalan di mahkamah syariah dan mahkamah sivil bahawa kebajikan anak mengatasi hak ibu atau bapa. Didalam memutuskan hak jagaan anak sudah tentulah faktor mengenai kebajikan anak ini di titik beratkan. Kebajikan anak ini termasuklah permasalahan aqidah, tumbesaran dan pembelajaran anak tersebut. Perkara sebegini boleh diputuskan oleh Mahkamah. Hak memelihara anak ini biasanya diputuskan setelah mengambil kira keperluan dan kebajikan anak.

Namun apa yang berlaku ialah masyarakat bukan Islam atas sebab-sebab tertentu terlalu takutkan mahkamah syariah dan menganggap mahkamah syariah hanya mempertahankan hak orang Islam sahaja. Sudah dibuktikan di dalam beberapa kes di mahkamah syariah, keputusan yang dikeluarkan oleh Hakim Syarie tidak memihak kepada orang Islam tetapi memihak kepada keadilan.

Berbalik kepada keputusan jemaah menteri di atas, amat jelas keputusan tersebut gagal mempertahankan kelebihan agama Islam sebagai agama Persekutuan. Keputusan tersebut menyama tarafkan Islam dengan agama-agama lain dan perkara ini tidak dapat diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.

NGO-NGO Islam juga mempersoalkan keputusan Jemaah Menteri yang dibuat itu langsung tidak mengambil kira pandangan NGO-NGO Islam. Dalam masa yang sama pula pihak kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri telah berjumpa dengan NGO bukan Islam mengenai kes yang tersebut di atas. Tiada usaha untuk mendapatkan pandangan NGO Islam dilakukan bagi mendapat pandangan mereka sebelum keputusan dibuat.

Malah ada beberapa NGO Islam cuba untuk bertemu dengan pimpinan kerajaan tetapi tidak dapat direalisasikan. Seharusnya pihak kerajaan lebih peka dengan sensitiviti umat Islam khususnya masyarakat saudara baru. Suara mereka harus didengar terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan yang membabitkan mereka dibuat. Hak mereka untuk didengar (*audi alteram partem)*oleh pimpinan kerajaan sudah tiada lagi. Di manakah*audi alteram partem* itu?

Pihak Kerajaan perlu lebih berhati-hati di masa akan datang dalam membuat keputusan berkaitan Islam. Jangan mendahului para ilmuan Islam dan ulama. Pandangan NGO Islam juga mestilah diambi lkira. NGO-NGO Islam telah menzahirkan kegusaran mereka berhubung dengan keputusan jemaah menteri tersebut, sudah sewajarnyalah keputusan tersebut ditarik balik.



Dipetik dari web PGSM