Thursday, May 28, 2009

Mahkamah isytihar kerusi Ladang kekal milik Pas


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Terengganu kekal milik Pas selepas mengenepikan rayuan Barisan Nasional (BN) Terengganu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak petisyennya mencabar keputusan pilihan raya umum ke-12.

Dalam penghakimannya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, yang bersidang bersama Hakim Datuk S Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, mendapati tidak ada perbezaan besar daripada segi undi pos yang dikira memandangkan hanya tiga undi pos yang mungkin disalah kira dan ditolak disebabkan nombor siri yang tidak sama. "Tiga undi ini tidak mengatasi majoriti 31 undi yang diperoleh responden (Datuk Tengku Hassan Tengku Omar daripada Pas). Oleh itu, keputusan Hakim, Pilihan Raya itu dikekalkan," katanya dalam penghakiman yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Surita Budin.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Tengku Hassan menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh daripada BN dengan kelebihan 31 undi, tetapi BN menerusi ketua cawangan Umno Lorong Kemunting, Mahari Endut, memfailkan satu petisyen supaya 127 undi pos yang ditolak pada hari pengundian itu, dikira semula.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak petisyen itu pada 22 September lalu kerana pempetisyen gagal membuktikan dakwaannya bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya tidak menjalankan tugasnya dengan betul dalam mengendalikan undi pos itu. - Bernama


No comments: