Thursday, August 27, 2009

Perlekeh keputusan mahkamah syariah langgar etika kehakiman



Berita Harian 26 Ogos 2009
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Rakyat tidak wajar persoal hukuman sebat terhadap Kartika
POLEMIK berkaitan sebatan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno, masih berlarutan. Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Sebelum ini media serta pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah tindakan berani Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah meminum arak di Hotel Legend, Cherating, Kuantan, tahun lalu. Mereka mengkritik bagaimana seorang yang wanita boleh dikenakan sebatan sedangkan di dalam peruntukan undang-undang sivil tidak memperuntukkan hukuman sebatan terhadap wanita kerana ia didakwa sebagai suatu tindakan zalim kerana menganiaya wanita.

Malah, lebih drastik lagi mereka tanpa segan silu mendesak kerajaan menyemak semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman dikeluarkan mahkamah syariah. Mereka menyatakan hukuman sebat ke atas wanita bukan saja satu bentuk diskriminasi terhadap wanita Malaysia, malah mencabuli jaminan perlembagaan berhubung hak kesamaan. Mereka mendakwa lagi menyebat wanita mengikut peraturan Kesalahan Jenayah Syariah bercanggah dengan undang-undang sivil yang tidak menghukum sedemikian ke atas wanita dan lelaki yang berumur seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 289 Kanun Acara Jenayah.

Walau apapun pandangan orang ramai, Hakim Abdul Rahman dalam penghakimannya berkata, hukuman itu selaras dengan undang-undang yang harus dijatuhkan bagi menginsafkan tertuduh supaya orang ramai turut sama menjauhi arak.

“Hukuman diberikan untuk menghindar orang lain daripada meminum arak yang jelas (menjadi) ibu kepada segala kesalahan. Apabila minum arak, ia akan menyebabkan seseorang itu hilang akal dan melakukan pelbagai kesalahan,” katanya dalam penghakiman kes itu.

Ironinya, reaksi negatif itu tidak selari dengan langkah diambil Kartika yang insaf dan mahu hukuman sebat enam kali kerana minum arak disegerakan kerana berpendapat tindakannya itu mampu memberikan pengajaran berkesan kepada umat Islam serta kepada dirinya.

Saya tertarik dengan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin yang menyatakan kes Kartika ini mempunyai pengajaran dan patut dijadikan teladan. Beliau menyatakan masyarakat tidak sepatutnya bercakap mengenai apa hukuman dan siapa dihukum sebaliknya mengapa hukuman itu dilaksanakan pihak berkuasa. Ramai yang masih tidak menyedari minum arak itu suatu dosa besar, malah menjadi ibu bagi segala maksiat yang sepatutnya dijauhi.

Kecoh berkaitan dengan kes Kartika ini tidak terhenti begitu saja, mahkamah syariah sekali lagi dikritik kerana mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap Kartika untuk hukuman dilaksanakan terhadap beliau seperti dilaporkan sesetengah akhbar. Hakikatnya bukan waran tangkap dikeluarkan, sebaliknya pihak pendakwa Syarie memohon mahkamah untuk mengeluarkan waran tahanan terhadap Kartika bagi dilaksanakan hukuman sebatan selepas tempoh rayuan hukuman yang diberikan kepada Kartika tamat.

Tindakan sesetengah pihak mencampuri urusan mahkamah syariah yang dalam bidang kuasa negeri, amat dikesali. Tidak sewajarnya mahkamah syariah dikritik apatah lagi keputusan itu dikeluarkan Hakim Syarie, seolah-oleh apa saja perintah mahkamah syariah boleh dikritik oleh sesiapa saja tanpa menghiraukan prinsip kebebasan kehakiman. Pihak terbabit dan yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh membuat rayuan atau semakan kepada Mahkamah yang lebih tinggi dan bukannya membuat kenyataan mengelirukan serta mengundang reaksi negatif orang ramai terhadap mahkamah syariah.

Semua pihak sewajarnya berlapang dada dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan tanpa perlu mempersoalkan serta disensasikan kerana keputusan dibuat bersandarkan kepada bidang kuasa ditetapkan. Undang-undang memberikan ruang sekiranya sesuatu penghakiman seseorang hakim itu tidak tepat atau berlawanan dengan peruntukan diselesaikan melalui perundangan, bukannya membuat sebarang kritikan pedas di dalam media ataupun membuat sebarang tindakan di luar batasan undang-undang.

Ia menjadi tidak adil bagi hakim yang membuat keputusan serta mahkamah sendiri kerana hakim terikat dengan etikanya sendiri dengan tidak boleh menjelaskan keadaan sebenar undang-undang di dalam media. Kita kena ingat sebarang komen atau kritikan terhadap keputusan hakim boleh diambil tindakan menghina mahkamah tanpa mengira ia mahkamah sivil atau syariah. Mahkamah syariah wajar dimartabatkan kerana ia adalah syiar serta nadi keadilan bagi umat Islam dan tidak wajar diperlekehkan oleh orang Islam atau bukan Islam.


No comments: