Tuesday, February 2, 2010

Kelantan fail rayuan ketepi bayar RM800j


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sudah memfailkan rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 30 Disember tahun lalu, yang memerintahkannya membayar pampasan lebih RM800 juta kepada sebuah syarikat pembalakan kerana ingkar perjanjian yang dimeterai sejak 1964.

Rayuan itu difailkan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Kerajaan Kelantan di Mahkamah Rayuan Putrajaya, sejurus memperoleh penghakiman kes terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan, ketika mengesahkan rayuan yang difailkan itu, berkata ketika ini, kerajaan negeri hanya menunggu prosiding rayuan didengar di Mahkamah Rayuan pada tarikh yang belum ditetapkan.

“Kita hanya tunggu mahkamah tetapkan tarikh dan panggil prosiding," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada prosiding 30 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Mohd Azman Hussin, memerintahkan Kerajaan Kelantan membayar lebih RM800 juta kepada syarikat pembalakan, Timbermine Sdn Bhd.

Perintah membayar pampasan itu dikeluarkan selepas Mahkamah Tinggi mendapati Kerajaan Kelantan melanggar perjanjian dimeterai kedua-dua pihak sejak 1964.

Pampasan itu dipercayai antara terbesar pernah diputuskan bagi kes saman sivil di negara ini. Ia merangkumi ganti rugi khas RM13.5 juta; pembayaran gaji pekerja RM1.7 juta; ganti rugi am RM2,000 bagi 0.4 hektar membabitkan kawasan seluas 112,000 hektar yang keseluruhannya berjumlah RM560 juta, faedah lapan peratus daripada tarikh saman difailkan dan kos RM200,000.

No comments: