Wednesday, January 5, 2011

Sistem perundangan syariah perlu dipertahan jamin kesucian Islam


Oleh Musa Awang

MENGIMBAS isu syariah dan Mahkamah Syariah sepanjang 2010, dunia Islam dan umatnya menerima tamparan hebat apabila Hakim Datuk Lau Bee Lan pada 31 Disember 2009 membenarkan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald-The Catholic Weekly.

Keputusan itu membangkitkan kemarahan umat Islam dan desakan supaya rayuan segera difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur serta memohon penggantungan pelaksanaan keputusan bagi memastikan kesucian Islam di Malaysia terpelihara.

Kesan daripada isu itu, beberapa negeri segera mewartakan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang kali ke-82 pada 5 hingga 7 Mei 2008 yang bersetuju lafaz Allah adalah kalimah suci khusus bagi agama dan umat Islam saja. Keputusan muzakarah dilengahkan pewartaan setelah dua tahun keputusan dibuat.

Tarikh 9 Februari 2010 melakar sejarah baru sistem perundangan syariah tanah air apabila tiga pesalah syariah wanita disabitkan kesalahan persetubuhan luar nikah mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 menjalani hukuman sebat.

Pelaksanaan sebatan kali pertama itu sekali gus menolak kritikan negatif golongan tertentu yang cuba mengukur undang-undang jenayah Islam daripada perspektif undang-undang sivil. Pelaksanaan hukuman sebat yang tidak mencederakan membuktikan Islam menyanjung tinggi maruah mereka walaupun terbabit dengan jenayah.

Isu sebatan menjadi polemik rentetan kes Kartika Sari Sukarno yang dijatuhi hukuman enam sebatan pada 2009, sehingga hukumannya ditangguhkan. Secara tidak langsung, mengajak kita meninjau kembali peruntukan Akta atau Enakmen Jenayah Syariah negeri yang masih berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Hanya Pahang dan Kelantan memperuntukkan hukuman sebat bagi kesalahan minum arak. Persoalan juga timbul, adakah hanya peminum arak saja dikenakan tindakan. Bagaimana orang Islam yang bekerja di kedai menjual arak, menghidang atau menuang arak?

Mahkamah Tinggi Sivil membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita bukan Islam, Victoria Jayaseele Martin yang permohonannya menjadi Peguam Syarie Mahkamah Syariah Kuala Lumpur ditolak Majlis Agama Islam.

Isu itu membangkitkan perbahasan kewajaran bukan Islam diterima sebagai Peguam Syarie kerana ia juga membenarkan mereka berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis yang boleh menyebabkan salah tafsiran terhadap hukum syarak serta mengelirukan masyarakat.

Tindakan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada Disember 2010, membuat keputusan menolak pelantikan individu bukan Islam sebagai peguam syarie seharusnya dipuji.

Keputusan muzakarah itu wajar dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa atau Jawatankuasa Perundingan Syarak Negeri untuk diwartakan sebagai fatwa negeri supaya memberi kesan positif dari sudut perundangan.

Isu ini juga diharap membuka mata pihak berkuasa beberapa negeri seperti Johor, Perlis, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak yang tidak mensyaratkan Islam secara khusus untuk permohonan sebagai peguam syarie selain menyegerakan draf Akta Profesion Guaman Syarie.

Angka dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), 81,000 anak luar nikah berdaftar, jika separuh adalah anak perempuan bermakna sebanyak 40,000 permohonan bernikah secara wali hakim akan diajukan ke Mahkamah Syariah. Suatu angka besar dan perkembangan membimbangkan.

Pelantikan hakim syarie wanita, Suraya Ramli, 31 dan Rafidah Abdul Razak, 39, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Kuala Lumpur, adalah khabar gembira dan bukti negara memberi layanan sama rata antara lelaki dengan wanita. Diharap tahun ini jumlahnya bertambah.

Isu lain menghangatkan 2010 ialah perselisihan pandangan mengenai program kepemimpinan anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ), pengumuman Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka memberi kelonggaran remaja bawah umur bernikah.

Begitu juga pertikaian agama anak bagi pasangan bukan Islam apabila salah seorang memeluk agama Islam masih mengharapkan satu penyelesaian berkesan.
Titik hitam terpalit di penghujung 2010, hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang ditahan penguatkuasa agama kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita di kuarters kerajaan di Georgetown.

Kemudian, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak, dihukum penjara 19 tahun dan denda RM210,000 atau penjara 42 bulan selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan rasuah.

Beliau menjadi hakim syarie pertama didakwa atas tuduhan rasuah, dihukum penjara 10 tahun kerana tiga daripada hukuman berjalan serentak.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan (Pindaan) 2005 yang diluluskan Parlimen, tetapi ditangguhkan pewartaan kerana dikatakan mengandungi diskriminasi terhadap wanita Islam genap lima tahun pada 22 Disember lalu.

Malangnya, sehingga kini rang undang-undang yang katanya akan dikaji semula itu masih tertangguh. Berapa lama lagi tempoh diperlukan untuk kajian semula undang-undang itu?

Sebahagian besar golongan wanita negara ini terutama pemastautin di tiga Wilayah Persekutuan masih menaruh harapan supaya Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005) dapat dilaksanakan.

Isu sumbang mahram, pengabaian nafkah oleh anak terhadap ibu bapa, isu musahaqah (lesbian), gay dan lain-lain turut mewarnai kanvas 2010.
Semoga tahun 2011 membawa sinar kebaikan dan rahmat untuk keseluruhan umat Islam di negara ini.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan boleh dihubungi di alamat sekretariatpgsm@yahoo.com

No comments: