Thursday, December 1, 2011

Sejarah paksi perundangan negara


Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

Ramai yang tidak menyedari sejarah merupakan elemen penting bagi membina tamadun sesuatu bangsa. Para pemikir juga sering mengatakan bahawa sejarah pasti akan berulang. Oleh yang demikian pengkajian sesuatu pengkisahan sejarah perlu diberi penekanan bagi membolehkan sesuatu bangsa maju ke hadapan.

Menoleh ke belakang menelaah sejarah akan membawa seseorang itu maju ke hadapan. Begitulah juga keadaannya dalam bidang perundangan. Kedudukan undang-undang sebenarnya tidak boleh lari dari aspek sejarah. Sejarah itu sendiri yang melakar perundangan masa kini.

Bagi memahami perundangan masa kini kita perlu menelusuri sejarah negara. Ini disebabkan undang-undang itu sendiri bukan tiba-tiba muncul dari dalam lompang atau vakum. Tetapi mempunyai sebabnya yang tersendiri kenapa ia digubal.

Umpamanya, Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang mendasari setiap tindakan dalam negara juga mempunyai sejarahnya sendiri. Perlembagaan Persekutuan bukan tiba-tiba muncul pada saat negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan Persekutuan hanya meneruskan kemahuan anak watan dan merupakan kesinambungan susun atur masyarakat telah berlaku sebelum Perlembagaan digubal.

Bukanlah sifat Perlembagaan itu mengenepikan apa yang telah diaturkan dan membuat aturan yang baru selepas kemerdekaan negara. Oleh itu dalam memahami setiap peruntukan perlembagaan, seseorang mesti juga mengkaji sejarah Perlembagaan dan perundangan negara. Paduan akan diperolehi dengan betul jika kita mengkaji sejarah Perlembagaan itu sendiri.

Contohnya, ramai yang ketika ini mula mempertikaikan keistimewaan agama Islam dalam Perlembagaan. Golongan ini mengatakan bahawa semua agama adalah sama dan perlu dilayan sama rata oleh pihak kerajaan. Golongan ini juga sering mempertikaikan kemudahan dan kelebihan yang diberikan kepada agama Islam dan menuntut agama-agama lain juga diberikan hak yang sama.

Sebagai penjelasannya, Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama lain boleh dianuti dan diamalkan dengan aman dan harmoni. Tidak ada nama agama lain selain Islam yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Fakta ini sahaja sudah memadai menyatakan terdapat kelebihan yang diberikan kepada agama Islam.

Namun, jika kita menelusuri sejarah, kita akan dapati bahawa memang sebenarnya Islam telah diberikan tempat yang tinggi dalam perundangan negara sejak sebelum penjajahan lagi.
Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama bertindak sebagai pelindung kepada agama Islam. Hak asal pentadbiran sebenarnya dimiliki oleh negeri-negeri yang diketuai oleh Raja-Raja Melayu. Apabila negara mencapai kemerdekaan baginda Raja-Raja Melayu menyerahkan sebahagian kuasanya kepada Persekutuan.

Islam mengikut sejarah tidak hanya diamalkan dalam ritual-ritual tertentu sahaja, tetapi lebih sebagai suatu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Orang bukan Melayu sebelum kemerdekaan pula diberi kerakyatan Tanah Melayu dengan persetujuan kedudukan istimewa Islam, Raja-Raja Melayu dan orang Melayu terpelihara.

Kita akan dapati secara tuntas sekiranya kita mengkaji sejarah bahawa kedudukan agama Islam tersebut diberi sebegitu istimewa dengan sebab yang tertentu. Oleh hal yang demikian adalah amat tidak wajar kini ada golongan sama ada orang Melayu atau bukan Melayu mempertikaikan kedudukan istimewa Islam.

Begitu juga pegangan-pegangan yang bertentangan dengan agama Islam serta berpotensi menghakis kedudukan istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan juga perlulah dielakkan daripada terus diamalkan di dalam negara. Sebabnya, ia bertentangan dengan agama Persekutuan iaitu Islam.

Tamsilan yang terkini yang boleh saya berikan adalah terhadap usaha sesetengah golongan mahu mengiktiraf Deklarasi Yogjakarta yang mempromosi LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transeksual). Saya berpandangan memberi pengiktirafan kepada golongan ini mengamalkan perbuatan yang amat ditegah oleh Islam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Ini kerana ia bertentangan terhadap agama negara iaitu Islam.

Pada masa yang sama terdapat undang-undang dalam Kanun Keseksaan dan Undang-undang Jenayah Syariah negeri-negeri yang menjadikan kesalahan mengamalkan aktiviti terkutuk tersebut. Islam yang dimaksudkan dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan itu pula bukan sahaja merupakan himpunan dogma-dogma atau ritual sahaja tetapi suatu cara hidup tersendiri.

Ia sebagaimana yang diputuskan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz dalam penghakimannya dalam kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Malah golongan yang menyokong LGBT ini pula merupakan golongan yang mengenepikan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan istimewa agama Islam.

Walau pun sesetengah golongan ini mahu berselindung di bawah nama hak asasi manusia. Hak asasi tersebut sebenarnya tidak boleh bercanggah dengan prinsip utama dalam Perlembagaan. Hak asasi ini dilihat seolah-olah menghalalkan apa jua amalan mengikut naluri nafsu golongan tertentu. Mungkin hari ini mereka mahukan hak bagi golongan yang mengamalkan seks sejenis. Kemudian hari kelak berkemungkinan ada yang memperjuangkan atas nama hak asasi seseorang itu bebas melakukan seks dengan anak kandung sendiri ataupun dengan haiwan.

Ini disebabkan hak tersebut perlu dihormati dan tidak ada orang yang boleh menghalangnya.
Pendekatan sebegini adalah amat terpesong dengan prinsip utama Perlembagaan Persekutuan itu sendiri selain bertentangan dengan ajaran agama Islam. Namun golongan ini tidak harus dizalimi tetapi didekati supaya mereka diberi peluang untuk balik ke pangkal jalan. Mendekati golongan ini bukanlah dengan memperjuangkan agar mereka dapat terus mengamalkan amalan hina tersebut tetapi supaya mereka meninggalkannya.

Berbalik kepada kepentingan sejarah, memang tidak dapat dinafikan masyarakat awam dewasa ini sudah mula tidak menoleh kepada sejarah bagi membuat justifikasi mereka. Malah ramai yang tidak mengenali tokoh-tokoh penting negara berbanding dengan populariti golongan hiburan.

Sejarah pula hanya dipelajari di sekolah-sekolah sahaja. Itupun dibawakan secara mendatar tanpa pengkajian secara kritikal. Ia juga kadang-kadang dianggap sebagai matapelajaran yang tidak penting dalam arus sains dan teknologi sekarang. Paksi sesebuah negara sebenarnya tertegak melalui sejarahnya. Sejarah perundangan pula amat penting bagi mengetahui falsafah perundangan itu sendiri.

Sebagai seorang pengamal undang-undang saya sentiasa mengkaji sejarah bagi memahami lebih mendalam kedudukan sesuatu undang-undang. Seorang peguam yang baik dapat membezakan falsafah undang-undang dan realiti tuntutan masyarakat terkini bagi mengukuhkan tamadun dan jati diri negara.

Apalah gunanya suatu undang-undang diimport dari luar yang sangat tidak bertepatan dengan nilai dan budaya tempatan seperti golongan LGBT yang dibuat di atas. Mengapa perlu menolak jati diri dan mengamalkan budaya asing yang tidak sesuai di negara kita?