Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
Ramai yang tidak menyedari
sejarah merupakan elemen penting bagi membina tamadun sesuatu bangsa. Para
pemikir juga sering mengatakan bahawa sejarah pasti akan berulang. Oleh yang demikian pengkajian
sesuatu pengkisahan sejarah perlu diberi penekanan bagi membolehkan sesuatu
bangsa maju ke hadapan.
Menoleh ke belakang menelaah
sejarah akan membawa seseorang itu maju ke hadapan. Begitulah juga keadaannya
dalam bidang perundangan. Kedudukan undang-undang
sebenarnya tidak boleh lari dari aspek sejarah. Sejarah itu sendiri yang
melakar perundangan masa kini.
Bagi memahami perundangan masa
kini kita perlu menelusuri sejarah negara. Ini disebabkan undang-undang itu
sendiri bukan tiba-tiba muncul dari dalam lompang atau vakum. Tetapi mempunyai
sebabnya yang tersendiri kenapa ia digubal.
Umpamanya, Perlembagaan
Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara yang mendasari setiap
tindakan dalam negara juga mempunyai sejarahnya sendiri. Perlembagaan Persekutuan bukan
tiba-tiba muncul pada saat negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perlembagaan Persekutuan hanya
meneruskan kemahuan anak watan dan merupakan kesinambungan susun atur
masyarakat telah berlaku sebelum Perlembagaan digubal.
Bukanlah sifat Perlembagaan itu
mengenepikan apa yang telah diaturkan dan membuat aturan yang baru selepas
kemerdekaan negara. Oleh itu dalam memahami setiap
peruntukan perlembagaan, seseorang mesti juga mengkaji sejarah Perlembagaan dan
perundangan negara. Paduan akan diperolehi dengan betul jika kita mengkaji
sejarah Perlembagaan itu sendiri.
Contohnya, ramai yang ketika
ini mula mempertikaikan keistimewaan agama Islam dalam Perlembagaan. Golongan
ini mengatakan bahawa semua agama adalah sama dan perlu dilayan sama rata oleh
pihak kerajaan. Golongan ini juga sering
mempertikaikan kemudahan dan kelebihan yang diberikan kepada agama Islam dan
menuntut agama-agama lain juga diberikan hak yang sama.
Sebagai penjelasannya, Perkara
3 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Islam adalah agama bagi Persekutuan
tetapi agama lain boleh dianuti dan diamalkan dengan aman dan harmoni. Tidak ada nama agama lain
selain Islam yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Fakta ini sahaja
sudah memadai menyatakan terdapat kelebihan yang diberikan kepada agama Islam.
Namun, jika kita menelusuri
sejarah, kita akan dapati bahawa memang sebenarnya Islam telah diberikan tempat
yang tinggi dalam perundangan negara sejak sebelum penjajahan lagi.
Raja-Raja Melayu sebagai ketua
agama bertindak sebagai pelindung kepada agama Islam. Hak asal pentadbiran
sebenarnya dimiliki oleh negeri-negeri yang diketuai oleh Raja-Raja Melayu. Apabila negara mencapai
kemerdekaan baginda Raja-Raja Melayu menyerahkan sebahagian kuasanya kepada
Persekutuan.
Islam mengikut sejarah tidak
hanya diamalkan dalam ritual-ritual tertentu sahaja, tetapi lebih sebagai suatu
cara hidup yang lengkap dan sempurna. Orang bukan Melayu sebelum
kemerdekaan pula diberi kerakyatan Tanah Melayu dengan persetujuan kedudukan
istimewa Islam, Raja-Raja Melayu dan orang Melayu terpelihara.
Kita akan dapati secara tuntas
sekiranya kita mengkaji sejarah bahawa kedudukan agama Islam tersebut diberi
sebegitu istimewa dengan sebab yang tertentu. Oleh hal yang demikian adalah
amat tidak wajar kini ada golongan sama ada orang Melayu atau bukan Melayu
mempertikaikan kedudukan istimewa Islam.
Begitu juga pegangan-pegangan
yang bertentangan dengan agama Islam serta berpotensi menghakis kedudukan
istimewa Islam sebagai agama bagi Persekutuan juga perlulah dielakkan daripada
terus diamalkan di dalam negara. Sebabnya, ia bertentangan dengan agama
Persekutuan iaitu Islam.
Tamsilan yang terkini yang
boleh saya berikan adalah terhadap usaha sesetengah golongan mahu mengiktiraf
Deklarasi Yogjakarta yang mempromosi LGBT (lesbian, gay, biseksual dan
transeksual). Saya berpandangan memberi
pengiktirafan kepada golongan ini mengamalkan perbuatan yang amat ditegah oleh
Islam adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Ini
kerana ia bertentangan terhadap agama negara iaitu Islam.
Pada masa yang sama terdapat
undang-undang dalam Kanun Keseksaan dan Undang-undang Jenayah Syariah
negeri-negeri yang menjadikan kesalahan mengamalkan aktiviti terkutuk tersebut. Islam yang dimaksudkan dalam
Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan itu pula bukan sahaja merupakan himpunan
dogma-dogma atau ritual sahaja tetapi suatu cara hidup tersendiri.
Ia sebagaimana yang diputuskan
oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz dalam penghakimannya dalam kes Lina
Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Malah golongan yang menyokong
LGBT ini pula merupakan golongan yang mengenepikan Perlembagaan Persekutuan
yang memperuntukkan kedudukan istimewa agama Islam.
Walau pun sesetengah golongan
ini mahu berselindung di bawah nama hak asasi manusia. Hak asasi tersebut
sebenarnya tidak boleh bercanggah dengan prinsip utama dalam Perlembagaan. Hak asasi ini dilihat
seolah-olah menghalalkan apa jua amalan mengikut naluri nafsu golongan
tertentu. Mungkin hari ini mereka mahukan hak bagi golongan yang mengamalkan
seks sejenis. Kemudian hari kelak berkemungkinan ada yang memperjuangkan atas
nama hak asasi seseorang itu bebas melakukan seks dengan anak kandung sendiri
ataupun dengan haiwan.
Ini disebabkan hak tersebut
perlu dihormati dan tidak ada orang yang boleh menghalangnya.
Pendekatan sebegini adalah amat
terpesong dengan prinsip utama Perlembagaan Persekutuan itu sendiri selain
bertentangan dengan ajaran agama Islam. Namun golongan ini tidak harus
dizalimi tetapi didekati supaya mereka diberi peluang untuk balik ke pangkal
jalan. Mendekati golongan ini bukanlah
dengan memperjuangkan agar mereka dapat terus mengamalkan amalan hina tersebut
tetapi supaya mereka meninggalkannya.
Berbalik kepada kepentingan
sejarah, memang tidak dapat dinafikan masyarakat awam dewasa ini sudah mula
tidak menoleh kepada sejarah bagi membuat justifikasi mereka. Malah ramai yang tidak
mengenali tokoh-tokoh penting negara berbanding dengan populariti golongan
hiburan.
Sejarah pula hanya dipelajari
di sekolah-sekolah sahaja. Itupun dibawakan secara mendatar tanpa pengkajian
secara kritikal. Ia juga kadang-kadang dianggap
sebagai matapelajaran yang tidak penting dalam arus sains dan teknologi
sekarang. Paksi sesebuah negara
sebenarnya tertegak melalui sejarahnya. Sejarah perundangan pula amat penting
bagi mengetahui falsafah perundangan itu sendiri.
Sebagai seorang pengamal
undang-undang saya sentiasa mengkaji sejarah bagi memahami lebih mendalam
kedudukan sesuatu undang-undang. Seorang peguam yang baik dapat
membezakan falsafah undang-undang dan realiti tuntutan masyarakat terkini bagi
mengukuhkan tamadun dan jati diri negara.
Apalah gunanya suatu
undang-undang diimport dari luar yang sangat tidak bertepatan dengan nilai dan
budaya tempatan seperti golongan LGBT yang dibuat di atas. Mengapa perlu menolak jati diri
dan mengamalkan budaya asing yang tidak sesuai di negara kita?
No comments:
Post a Comment