Tuesday, March 9, 2010

Mahkamah Pesekutuan tolak rayuan terakhir Penasihat PKR


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini semalam, memutuskan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai kuasa dan mematuhi Perlembagaan ketika memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, 11 tahun lalu.

Berikutan itu, panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara menolak rayuan terakhir Anwar untuk mengetepikan keputusan pemecatan yang berkuat kuasa pada 2 September 1998 sebagai salah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dua lagi hakim yang turut sama bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusof dan Datuk Abdul Hamid Embong.

Dalam penghakimannya setebal 33 muka surat, Alauddin berkata Yang di-Pertuan Agung selaku Raja Berperlembagaan memiliki peranan terhad dalam pelantikan menteri kabinet.

Katanya, berdasarkan kepada fakta Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk memilih dan melantik menteri serta bertanggungjawab memilih anggota kabinet.

"Atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agung perlu bersetuju dengan calon anggota kabinet yang dikemukakan dan Baginda tidak mempunyai sebarang budi bicara menolak atau mempertikaikan pemilihan Perdana Menteri.

"Pembatalan pelantikan berkenaan turut terletak pada kuasa Perdana Menteri dengan mengambil kira kepada prinsip hanya Perdana Menteri mempunyai kuasa untuk melantik.

"Jika Perdana Menteri memutuskan seseorang menteri seharusnya dipecat daripada jawatannya, maka Baginda tidak boleh menolaknya. Mengikut Perkara 43 (5) Perlembagaan Persekutuan (fungsi dan kuasa Yang di-Pertuan Agung untuk melantik dan memecat seorang menteri kabinet) hanya satu formaliti berdasarkan kepada kedudukannya sebagai Raja Berperlembagaan, " katanya.

Anwar sebelum itu gagal dalam saman pemula di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Dr Mahathir mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan memecat menteri kabinet.

Di PETALING JAYA, Anwar ketika mengulas keputusan itu memberitahu sidang media di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mendakwa keputusan mahkamah itu tidak relevan kerana Perkara 43 (5) menyebut secara khusus pelantikan atau perlucutan jawatan menteri kabinet perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agung.

"Saya bukan mahu jawatan ini, tapi ingin tunjukkan bagaimana Perdana Menteri ketika itu mengetepikan peruntukan Perlembagaan dan bagaimana hakim tunduk kepada arahan politik serta tidak berani memperbetulkan kesalahan itu, " katanya.

Anwar mendakwa, beliau sendiri diberitahu oleh Yang di-Pertuan Agung pada ketika itu, Almarhum Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. Bginda tidak dimaklumkan mengenai pemecatan pada 2 September 1998 itu serta tidak menandatangani apa-apa perkenan pada tarikh terbabit, dan hanya menandatanganinya selepas itu.