Showing posts with label Petisyen. Show all posts
Showing posts with label Petisyen. Show all posts

Thursday, May 28, 2009

Mahkamah isytihar kerusi Ladang kekal milik Pas


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Terengganu kekal milik Pas selepas mengenepikan rayuan Barisan Nasional (BN) Terengganu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak petisyennya mencabar keputusan pilihan raya umum ke-12.

Dalam penghakimannya, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, yang bersidang bersama Hakim Datuk S Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin, mendapati tidak ada perbezaan besar daripada segi undi pos yang dikira memandangkan hanya tiga undi pos yang mungkin disalah kira dan ditolak disebabkan nombor siri yang tidak sama. "Tiga undi ini tidak mengatasi majoriti 31 undi yang diperoleh responden (Datuk Tengku Hassan Tengku Omar daripada Pas). Oleh itu, keputusan Hakim, Pilihan Raya itu dikekalkan," katanya dalam penghakiman yang dibacakan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Surita Budin.

Dalam pilihan raya umum 8 Mac tahun lalu, Tengku Hassan menewaskan Datuk Wan Hisham Wan Salleh daripada BN dengan kelebihan 31 undi, tetapi BN menerusi ketua cawangan Umno Lorong Kemunting, Mahari Endut, memfailkan satu petisyen supaya 127 undi pos yang ditolak pada hari pengundian itu, dikira semula.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak petisyen itu pada 22 September lalu kerana pempetisyen gagal membuktikan dakwaannya bahawa kerani Suruhanjaya Pilihan Raya tidak menjalankan tugasnya dengan betul dalam mengendalikan undi pos itu. - Bernama


Tuesday, September 16, 2008

Manir: Mahkamah tolak petisyen BN


Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan kemenangan Datuk Harun Taib dari PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu kawasan Manir, setelah menolak dengan kos, petisyen pilihanraya calon Barisan Nasional, Wan Sagar Wan Embong.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Malaya Tan Sri Alaudin Mohamed Sheriff dan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Arifin Zakaria dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihanraya kawasan Manir, adalah cacat.

Mahkamah Persekutuan mendapati dakwaan Wan Sagar dalam petisyennya kononnya ejen-ejen Harun telah melakukan rasuah seharusnya lebih spesifik, demikian menurut laporan Bernama. Hakim Zulkefli, yang membacakan penghakiman itu, berkata hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang betul dalam mendapati petisyen Wan Sagar itu cacat kerana ia tidak mengandungi butir-butir mengenai amalan rasuah yang didakwa dilakukan oleh Harun.

Wan Sagar membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Mei yang menerima bantahan awal oleh Harun dan mendapati petisyen Wan Sagar untuk membatalkan keputusan pilihanraya bagi kerusi Manir adalah cacat kerana ia tidak mengandungi butiran mengenai amalan rasuah, dan menolak petisyen itu.

Dalam pilihanraya 8 Mac lalu, Harun menang dengan majoriti 406 undi. Harun diwakili peguam Mohd Ariff Yusof manakala Wan Sagar diwakili peguam Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.


Calon PAS diisytihar menang di Sanglang


Ust. Hashim Jasin diisytiharkan pemenang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang buat kali ketiga berturut-turut selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuannya hari ini.Panel tiga orang hakim sebulat suara memutuskan kerusi itu dimenangi wakil rakyat itu, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, dan kemenangan calon BN Abdullah Hassan pada 8 Mac lalu dibatalkan.

Hakim-hakim memutuskan satu pilihanraya kecil tidak perlu diadakan. Ust. Hashim memperolehi kerusi tunggal PAS itu sejak pilihanraya umum 1999 tetapi akibat kesilapan teknikal dalam penjumlahan undi dalam pilihanraya umum lalu, beliau diisytiharkan tewas di tangan Abdullah.

Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kangar mengisytiharkan kerusi itu kosong selepas menerima permohonan petisyen yang dikemukakan oleh Hashim. Bagaimanapun, mahkamah pilihanraya itu menolak permohonannya untuk mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi DUN tersebut. Mahkamah itu bagaimanapun menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) untuk menentukan sama ada pilihanraya kecil perlu diadakan serta bila akan diadakan.

Ust. Hashim kemudian mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan supaya beliau diisytiharkan pemenang di Sanglang. Ust. Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN Datuk Mastika Junaidah Husin. Dalam pilihanraya umum Mac lalu, PAS melalui calonnya Rus'selle Ezlan menguasai satu lagi kerusi, Simpang Empat, dengan majoriti 53 undi.


Tuesday, September 9, 2008

Kemenangan Kurup Dibatalkan Mahkamah


KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Joseph Kurup (gambar) di kerusi Parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu batal dan tidak sah. Hakim David Wong Dak Wah membuat keputusan itu dalam penghakimannya terhadap petisyen yang dikemukakan bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Danny Anthony Andipai. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memutuskan sama ada pilihan raya kecil kawasan itu akan diadakan atau tidak, selepas 22 September ini.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata mahkamah mempunyai tempoh 14 hari untuk memaklumkan secara rasmi kepada SPR mengenai keputusan itu dan Kurup juga boleh membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam tempoh yang sama. "Sekiranya Kurup memutuskan tidak mahu membuat rayuan, SPR akan menetapkan tarikh pilihan raya kecil dalam tempoh 30 hari selepas 22 September ini," katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), menang kerusi Pensiangan tanpa bertanding selepas Pegawai Pilihan Raya (RO), Bubudan OT Majalu, menolak kertas pencalonan Danny pada hari penamaan calon 26 Februari lalu.

Wong dalam penghakiman 36 muka surat, berkata Bubudan tidak boleh mengubah keputusan Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Sabah, Rafidah Datu Derin, yang mengarahkan kertas pencalonan Danny diterima. Arahan Timbalan Pengarah SPR mengikut Seksyen 4 Akta Pilihan Raya 1954 harus dipatuhi Bubudan walaupun peraturan menyebut RO mempunyai kuasa membuat keputusan. Wong berkata, bantahan yang dibuat wakil Kurup terhadap kertas pencalonan yang dikemukakan Danny juga tidak mengikut undang-undang. "RO membuat keputusan salah apabila menolak pencalonan pempetisyen," katanya ketika membaca kertas penghakiman selama kira-kira setengah jam bermula jam 10.15 pagi.

Danny diwakili peguam Ansari Abdullah, manakala Kurup sebagai responden pertama diwakili peguam Alexander Decena. Bubudan sebagai responden kedua pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan, L Chandra Devi dan Suzana Atan. Dalam petisyen yang dikemukakan pada 9 April lalu, Danny meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan bagi Parlimen Pensiangan tidak sah dan batal mengikut Seksyen 32 (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pada penamaan calon 26 Februari lalu, Bubudan mengisytiharkan Kurup menang tanpa bertanding dengan alasan Danny lewat mengemukakan borang pencalonan. Danny dalam petisyennya menjelaskan beliau tiba di dewan berkenaan pada jam 9.35 pagi dan membayar RM10,000 sebagai deposit calon serta RM5,000 deposit bahan pilihan raya. Beliau menyatakan hanya satu kaunter disediakan SPR di dewan berkenaan. Sementara itu, Decena berkata beliau akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin. Ansari pula bersyukur kerana hak Danny untuk bertanding dalam pilihan raya sudah dikembalikan.

Sunday, August 10, 2008

Mahkamah tolak petisyen BN


IPOH: Mahkamah Tinggi semalam menolak petisyen calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau, Kuala Sepetang dan Kuala Kurau. Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Wan Arfah Wan Ibrahim menolak dengan kos petisyen bagi ketiga-tiga kerusi DUN berkenaan.

Dalam penghakimannya bagi DUN Lubuk Merbau, Wan Arfah berkata, kegagalan responden pertama, Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Pas) mengemukakan surat pengesahan atau membuat sumpah rahsia tidak menjejaskan keputusan pilihan raya. "Tindakan itu ‘hanyalah kesalahan' yang boleh dikenakan hukuman menurut undang-undang tetapi tidak berkaitan dengan perjalanan pilihan raya," katanya. Hakim berkata, Datuk Jamal Nasir Rasdi (BN) juga gagal menyenaraikan secara khusus kesalahan yang beliau dakwa. "Adakah poster atau iklan satu perbuatan rasuah? Walaupun kain rentang dikatakan sebagai iklan, bagi saya kain rentang itu mesti mengandungi maklumat dan bukan kosong. "Pempetisyen juga tidak mengenal pasti secara jelas orang yang dituduh melakukan perbuatan rasuah itu.
Akhir sekali, pempetisyen juga gagal membuktikan wujud unsur rasuah dalam pilihan raya berkenaan," katanya. Petisyen itu dikemukakan oleh calon BN, Jamal Nasir yang kalah dengan Mohd Zainuddin dengan majoriti 72 undi pada pilihan raya umum lalu. Bagi kerusi DUN Kuala Kurau, Wan Arfah berkata, tiada bukti yang menunjukkan tiga individu memakai baju-T kuning menjejaskan keputusan pilihan raya itu.

Dalam petisyennya, Mohd Salleh Mat Disa (BN) mendakwa sekurang-kurangnya tiga ejen yang bekerja untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Yunus Jamahri memujuk pemilih supaya tidak mengundi calon BN dalam jarak 50 meter dari Pusat Pengundian di Sekolah Agama Al-Hidayah, Kuala Kurau.
Berhubung petisyen kerusi DUN Kuala Sepetang, Wan Arfah berkata, ada kecacatan ketara yang tidak dapat diperbaiki dalam petisyen See Tean Seng (BN) walaupun See mengemukakan afidavit untuk mengukuhkan petisyen itu. "Dalam kes ini, pempetisyen gagal mengemukakan fakta relevan dan perincian untuk membuktikan satu tuduhan khusus atau butiran yang mengaitkan perbuatan rasuah oleh responden pertama (Tai Sing Ng)," katanya. Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Mohd Zainuddin (Pas), Abdul Yunus (PKR) dan Tai (PKR) memenangi kerusi DUN Lubuk Merbau, Kuala Kurau dan Kuala Sepetang dengan majoriti 72, 467 dan 564 undi. Semua pempetisyen juga menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya di kawasan DUN masing-masing dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sebagai responden kedua dan ketiga.

Thursday, July 24, 2008

Petisyen Dun Simpang Empat


KANGAR: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak dengan kos, petisyen pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Empat, yang dikemukakan bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri Perlis, Zahari Bakar, berkaitan penggunaan poster dan lambang negeri Perlis semasa kempen pilihan raya.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membacakan keputusan petisyen itu di sini hari ini berkata, pempetisyen yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Simpang Empat gagal membuktikan dengan memuaskan mengenai kesalahan pilihan raya yang berkaitan poster itu.

Pada 28 April lalu, Zahari, 53, memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya 8 Mac itu dengan alasan responden mempamerkan poster yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak serta penerbit, selain penggunaan lambang negeri pada poster itu semasa tempoh kempen.

Pada pilihan raya umum ke-12 itu, Zahari tewas kepada Rus’sele Eizan dengan majoriti 53 undi, apabila beliau memperoleh 2,825 undi dan Rus’sele mendapat 2,878 undi. Zainal Adzam berkata alasan penolakan petisyen itu ialah pempetisyen gagal membuktikan dengan memuaskan, pihak mana yang terbabit dengan pengeluaran poster itu, dan mereka yang terbabit memasangnya. “Tiada bukti jelas siapa yang memasang poster dan tiada rakaman gambar atau video yang menunjukkan pihak yang melakukannnya. Ada keraguan di sini,” katanya. Katanya, sekeping poster yang dijadikan bukti ditandakan dengan ID, sedangkan ia sepatutnya ditandakan sebagai P kerana ia bukti dan keterangan utama bagi kes itu.

Mengenai penggunaan lambang negeri Perlis, Zainal Adzam berkata ia bukan satu kesalahan kerana larangan itu hanya tercatat dalam buku panduan pilihan raya dan tidak termaktub dalam undang-undang. Katanya pempetisyen yang diwakili peguam, Abu Bakar Sidek juga gagal membuktikan dengan memuaskan terhadap penggunaan lambang negeri Perlis. Rus’seli diwakili Aqbal Shiffuddin Adnan Salehuddin, Zulmi Sabri dan Mohamed Hanipa Maidin.

Friday, July 4, 2008

Keputusan Petisyen Pilihan Raya Dun Kubu Gajah

Hari ini Mahkamah Tinggi Ipoh telah memutuskan untuk menerima bantahan awal yang dibuat oleh peguam BN bagi pihak Dato' Seri Raja Ahmad Zainuddin. Dengan keputusan tersebut, ini bermakna petisyen pilihan raya yang telah difailkan oleh calon Pas, telah ditolak oleh Mahkamah di peringkat bantahan awal.

Keputusan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kuala Kangsar


Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak petisyen pilihanraya yang mencabar kemenangan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.Hakim Datuk Zakaria Sam memutuskan bahawa kegagalan Rafidah untuk menandatangani dua daripada tiga set kertas pencalonannya sewaktu pilihanraya umum 8 Mac lalu, tidak menjejaskan keputusan pilihanraya tersebut.

Menurutnya lagi, pengundian bagi kerusi tersebut berjalan secara bebas, adil dan tanpa sebarang amalan rasuah.Katanya, kesilapan Rafidah itu bukan satu halangan kepada pilihanraya tersebut.Bagaimanapun, Zakaria menolak permohonan Rafidah supaya dibayar kos, kerana menurutnya kesilapan bekas menteri berkenaan, telah menyebabkan petisyen tersebut difail dan didengar di mahkamah.


Petisyen itu difailkan oleh pengundi Ahmad Jamaluddin Abd Majid yang menamakan Rafidah, pengawai pengurus pilihanraya Mohd Ghazali Jalal dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai responden.Dalam pilihanraya tersebut, Rafidah ditentang oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr Khairuddin Abd Malik.Rafidah berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan memperolehi 10,735 undi. Khairuddin mendapat 9,277 undi.

Tuesday, July 1, 2008

Kain Rentang, Poster & Kain Kapan

Saya tiba-tiba teringat hujah Syed Faisal (peguam BN) semasa kes Petisyen Pilihan Raya Lubok Merbau baru-baru ini. Dia menghujahkan bahawa kain rentang dan poster itu adalah membawa maksud yang sama. Kain rentang bermaksud poster dan poster juga bermaksud kain rentang. Saya sendiri rasa pelik, dimana dia belajar bahasa Melayu ketika sekolah dulu. Dia menghujahkan demikian bagi menjawab hujah Hanipa Maidin mengenai terdapat kecacatan dalam pliding petisyen mereka. Mahkamah menjadi riuh dengan ketawa apabila Hanipa membangkitkan tiada bezanya kain rentang yang kosong dengan kain kapan kerana BN tidak pernah menyebut kandungan kata-kata atau ayat-ayat yang terdapat dalam kain rentang yang menjadi isu petikaian tersebut.
Nampaknya mereka sedaya upaya cuba untuk memenangi kes tersebut walaupun hujah mereka cukup dangkal. Kita tunggu saja kepeutusan Mahkamah nanti.

Sunday, June 29, 2008

Petisyen 26-3-2008 N.45 Dun Teja

Hari ini Hakim Dato' Siti Mariah Binti Haji Ahmad yang bersidang di Mahkamah Tinggi Ipoh telah membenarkan bantahan awal yang dibuat oleh calon PKR. Oleh itu YA Arif Hakim telah membatalkan petisyen pilihan raya yang difailkan oleh calon BN, Yew Sau Kham. Dengan yang demikian, kerusi Dun Teja kekal dibawah penguasaan PKR, Chang Lih Kang.

Petisyen 24-4-2008 N.20 Lubok Merbau


Petisyen ini telah difailkan oleh calon BN, Dato' Haji Jamal Nasir Bin Rasdi terhadap calon Pas yang kini merupakan seorang Exco Kerajaan Negeri Perak iaitu Mohd Zainuddin Bin Mohd Yusof. Hari ini kes telah ditetap untuk penghujahan lisan oleh semua pihak bagi bantahan awal pihak Responden Pertama (calon Pas). Kes ini didengar dihadapan YA Hakim Dato' Wan Afrah binti Dato' Paduka Wan Ibrahim di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak. Barisan peguam Pas (Legal Team) diketuai oleh Mohd Hanipa Maidin dan dibantu oleh Aminuddin Zulkipli, Zulqarnain Lukman, Yusnita Yusoff, Fathi Mat Zain, Hisham Fauzi, Ahmad Najib Deris, Nik Hamrizal Nik Yaakub dan Mohd. Abd. Rashid Yah.

Pihak BN telah menarik balik petisyen keatas Pengawai Pengurus Pilihan Raya (Responden Kedua) dan SPR (Responden Ketiga) sebagaimana yang telah dipersetujui dengan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Responden Kedua dan Ketiga dengan kos.

Bantahan awal ini dibuat oleh calon Pas sebagaimana yang dihujahkan oleh Ketua barisan peguam Pas, Mohd Hanipa Maidin iaitu merujuk kepada Petisyen Pilihan Raya sendiri terlalu umum kerana dalam tuduhan rasuah mestilah dinyatakan secara khusus sebagaimana dinyatakan Seksyen 11(1)(c). Tugas pempetisyen ialah menyatakan secara khusus mengenai kesalahan yang dilakukan oleh Responden Pertama. Beliau juga menyatakan perkataan 'memasang' dan 'kain rentang' tidak pernah dinyatakan dalam seksyen tersebut. Walaupun sekiranya 'kain rentang' termasuk dalam iklan namun tidak dinyatakan kain rentang bertulis apa. Sekiranya kain rentang tersebut putih dan kosong, maka ianya tiada beza dengan kain kapan. Pihak pempetisyen tidak pernah menyatakan kain rentang tersebut bertulis apa?

Semua kesalahan yang dinyatakan dalam seksyen 11(1)(C) mestilah berkaitan pilihan raya. Seksyen 11(1) menyatakan bahawa kesalahan tersebut mestilah ditentukan siapakah pelakunya. Beliau kemudian merujuk kes DR. Shafie Abu Bakar dan kes Pengkalan Pasir sebagai sokongan serta perbandingan. Seksyen tersebut sebenarnya mengandungi 32 kesalahan yang boleh dikategorikan sebagai rasuah. Sekali lagi beliau merujuk kepada kes Dr. Shafie Abu Bakar sebagai autoriti.

Beliau seterusnya menghujahkan bahawa Petisyen tersebut tidak mematuhi Kaedah 4(2) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya. Tuduhan atau dakwaan pihak BN mengenai perlanggaran Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 oleh calon Pas sama sekali tidak menepati kehendak seksyen tersebut. Seksyen 9 tersebut sekiranya dikaji dengan teliti ia mengandungi 4,536 kesalahan yang berlainan. Tiada pun sebarang perkataan yang disebut dalam seksyen tersebut dinyatakan dalam petisyen. Bagi maksud kesalahan 'undue influence' mestilah menyatakan secara jelas kelakuan kesalahan tersebut. Manakala kesalahan yang didakwa tersebut dengan jelas dinyatakan dalam petisyen telah dilakukan oleh petugas PKR. Sedangkan Responden Pertama dalam kes ini adalah calon Pas.

Beliau juga menghujahkan bahawa dalam petisyen tidak menyatakan fakta dan alasan bagi setiap tuduhan sebagaimana yang dikehendaki oleh Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya.

Seterusnya merujuk Seksyen 4(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya & Seksyen 32(b), Pihak pempetisyen mestilah mematuhi 2 perkara serta ianya hendaklah menyentuh atau memberikan kesan kepada keputusan pilihan raya. Kesalahan yang didakwa tersebut sebenarnya telah dilakukan oleh SPR dan bukannya oleh Responden Pertama. Dengan seorang pengundi yang dihalang mengundi oleh SPR tidak menyentuh keputusan pilihan raya. Oleh itu petisyen ini sepatutnya ditolak dengan kos.

Dalam menjawab hujah tersebut ketua peguam BN, Hafarizam menghujahkan bahawa peguam Hanipa telah melampaui garisan sempadan yang dinyatakan dalam Notis Bantahan Awal. Mereka sepatutnya memfailkan Notis Motion untuk membatalkan petisyen ini kerana tidak mematuhi Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya.

Perenggan 3(ii) Petisyen tersebut telah menyebut fakta penting. Seksyen 11(1)(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya sebenarnya hanya satu kesalahan sahaja dan bukannya mengandungi 32 kesalahan. Beliau merujuk kes Haris Salleh sebagai hujah. Ianya juga mempunyai kaitan dengan Seksyen 32(c) akta tersebut. Tiada mana-mana kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah berkaitan seksyen 32(c). Cuma kes-kes yang berkaitan dengan seksyen 32(a) & (b) yang telah diputuskan oleh Mahkamah. Seksyen tersebut tersebut tidak rigid sebagaimana seksyen 32(a) & (b).

Seterusnya kesalahan tersebut telah dilakukan oleh ejen atau pengkhidmat calon. Merujuk kepada seksyen 9(1), beliau hujahkan bahawa tidak kira berapa banyak kesalahan yang terkandung dalamnya kerana ia perlu juga dirujuk kepada seksyen 32 dengan mengemukakan kes Rohimin Ajim mengatakan bahawa seksyen 32 adalah memberikuasa dan bukannya seksyen prosedural.

Dalam menjawab kegagalan mematuhi Seksyen 4(d) & 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya, pempetisyen tidak seharusnya dijangka mengatahui bagaimana ketidakpatuhan undang-undang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya. Beliau akhirnya menghujahkan bahawa bantahan awal melalui surat dan bukan melalui Motion adalah tidak seharusnya dibenarkan.

Syed Faisal juga peguam pihak BN menambah,petisyen tersebut secara kediri 30/04/2008. Mereka (Pas) tidak menafikan ada menerima petisyen tersebut tetapi mendakwa bahawa notis pengemukaan petisyen yang 'defective'. Oleh itu frasa tersebut mempunyai kesan apabila mereka menerima salinan petisyen dan notis pengemukaan petisyen. Dengan itu pempetisyen telah menyempurnakan servis keatas Responden sebagaimana mode yang dipilih.

Seterusnya beliau menambah Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 pempetisyen telah mematuhi peraturan tersebut. Cuma pihak Responden terkeliru dengan surat lampiran kepada notis pengemukakan petisyen dan petisyen pilihan raya yang menggunakan alamat pempetisyen sendiri dan bukannya alamat peguam beliau.

Merujuk kepada Perenggan 3(i) & (ii) Petisyen mestilah dibaca secara harmoni dan bersama serta tidak patut dibaca secara berasingan iaitu kain rentang dan poster adalah perkara yang sama. Dalam kes Haris Salleh, walaupun billboard tidak disebut dalam akta namun ia tetap diambil kira dan termasuk dibawah seksyen tersebut.

Dalam menjawab semula penghujahan barisan peguam BN, Hanipa Maidin menghujahkan kes Haris Salleh telah diplid dalam petisyen mengenai 'advertisement' yang turut menyebut ayat-ayat atau perkataan pada billboard tersebut. Sedangkan dalam pliding petisyen tidak pernah menyebut kandungan kain rentang tersebut.

Semua butir-butir kesalahan yang didakwa oleh pihak BN dalam petisyen mereka tidak sama sekali menunjukkan adanya kausa tindakan. Maka petisyen tersebut tidak boleh berdiri dengan sendiri. Beliau mengemukakan kes Dato Ismail Kamus sebagai hujah.

Zulqarnain kemudian menambah, Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Petisyen pempetisyen telah melantik peguam bagi mewakili beliau sedangkan beliau kemudiannya telah menyerahkan notis dan petisyen sendiri.

Mahkamah telah menetapkan 8/07/2008 untuk menetapkan tarikh bagi keputusan.

Thursday, June 26, 2008

Petisyen Pilihan Raya Lubok Merbau

JUHAM Perak telah menghubungi pengerusi LUHAM Kelantan, saudara Hisham Fauzi supaya turun berkampung di Ipoh sekali lagi bersama dengan pasukan Legal Team untuk menghadapi Petisyen Pilihan Raya Lubok Merbau pada hari Jumaat 27/06/2008 di Mahkamah Tinggi Ipoh. Oleh itu, LUHAM telah mengarahkan 5 orang ahlinya iaitu Hisham Fauzi, Nasrul Mohamed, Ahmad Najib Deris, Mohd Abd Rashid Yah dan Nik Hamrizal untuk turun kesana bagi menyertai Legal Team. Kesemua pasukan sokongan akan bertolak dengan kereta ke Ipoh pada pukul 2.00 petang ini. Doakan perjalanan pergi dan balik kami selamat seterusnya mendoakan kemenangan Islam.

Wednesday, June 18, 2008

Sanglang: Ujian Keikhlasan SPR

Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan peguam serta pempetisyen Dun Sanglang di atas kejayaan mereka dalam petisyen pilihanraya Dun Sanglang sebagaimana yang diisytiharkan pagi tadi.

Dengan keputusan tersebut bermakna Dun Sanglang sekarang ini tidak bertuan kerana kemenangan calon BN Abdullah Hassan dibatalkan oleh mahkamah atas alasan berlaku kesilapan semasa pengisian borang 14 ketika proses pengiraan undi terdahulu.

Walaupun secara teknikalnya, atas alasan tersebut Ustaz Hashim Jasin sepatutnya diisytiharkan menang, undang-undang berkaitan iaitu Akta Pilihanraya 1954 tidak membolehkan hakim berbuat demikian.

Sekarang ini, kerusi tersebut dipulangkan semula kepada SPR untuk memilih antara dua iaitu samada mengisytiharkan kemenangan kepada calon Pas ataupun mengadakan pilihanraya semula. Kedua-duanya mempunyai pro kontra masing-masing.


Cumanya saya berpendapat, sekarang ini adalah ujian tentang keikhlasan masing-masing di mana kedua-dua pihak - SPR dan BN - melalui peguam masing-masing telah mengakui keadaan tersebut. Yang tinggal sekarang adalah untuk menjelmakannya dalam bentuk perbuatan.

Tepuk dada tanya selera/orang atas/iman?

Pemahaman lanjut sila baca di sini : Hanipa.

DUN Sanglang Diisytihar Kosong


Mahkamah Tinggi Kangar hari ini mengisytiharkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) adalah pilihanraya umum lalu dikosongkan. Ini berikutan keputusan mahkamah menerima pemohonan petisyen yang dikemukakan bekas calon pilihanraya Pas bagi kerusi itu. Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan bekas calon PAS, Ust. Hashim Jasin supaya mengisytiharkan beliau sebagai pemenang kerusi DUN tersebut.


Kes tersebut didengar oleh Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani. Keputusan itu bakal menyaksikan pilihanraya kecil untuk kawasan tersebut. Ust. Hashim Jasin, yang juga pesuruhjaya PAS Perlis, menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sanglang, Abdullah Hassan, pegawai pengurus pilihanraya, Muhamad Daud Abdul Hamid dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai defenden, demikian menurut laporan Bernama. Abdullah, calon Barisan Nasional (BN), diisytiharkan pemenang DUN Sanglang dengan majoriti 149 undi selepas memperolehi 3,384 undi berbanding 3,235 undi yang diperolehi Ust. Hashim, yang merupakan penyandang kerusi tersebut sejak dua penggal lalu. Ust. Hashim memfailkan saman asal pada 17 Mac untuk mendapat pengisytiharan bahawa beliau adalah pemenang kerusi DUN tersebut. Ust. Hashim mendakwa, beliau sepatutnya diisytiharkan pemenang berasaskan kepada perjumlahan undi dalam manakala Abdullah pula memperolehi 3,286 undi, dan dengan itu, menang dengan majoriti 47 undi.
Ust. Hashim memenangi kerusi tersebut dalam pilihanraya umum 2004 dengan majoriti 45 undi, mengalahkan calon BN, Datuk Mastika Junaidah Husin. Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, BN memenangi 14 daripada 15 kerusi DUN di Perlis. Kerusi tunggal pembangkang dimenangi oleh calon PAS, Rus'selle Ezlan di DUN Simpang Empat, dengan majoriti 53 undi.
Tahniah untuk barisan peguam Pas (Legal Team) yang bertungkus lumus dalam kes Petisyen Pilihan Raya Dun Sanglang. Allahu Akbar!!!

Thursday, June 12, 2008

Terima Kasih

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengerusi Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Juham), Dewan Pemuda Pas Negeri Perak saudara Aminuddin Zulkipli dan Tim. Pesuruhjaya Pas Negeri Perak, Hj Asmawi Ani diatas layanan yang diberikan kepada semua wakil Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (Luham), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan sepanjang berkampung di Ipoh, Perak sewaktu mengendalikan Petisyen Pilihan Raya N.06 Kubu Gajah dan P.67 Kuala Kangsar. Pada hari pertama kami sampai di Bandar Ipoh, kami telah diletakkan di Regal Lodge yang bertaraf 3 bintang. Kemudian pada hari kedua dan ketiganya kami telah dipindahkan ke Impiana Casuarina Hotel yang bertaraf 4 bintang. Walaupun kami tidak demand untuk menginap di hotel terkemuka, namun sudah memadai bagi kami jika mendapat tempat yang membolehkan kami membuat persediaan dengan selesa dan tanpa tekanan. Layanan yang diberikan oleh Juham Perak serta Badan Perhubungan Pas Negeri Perak terutamanya Tuan Haji Asmuni Awi merupakan satu layanan yang cukup istimewa buat kami. Tiada apa yang boleh kami berikan sebagai tanda ucapan terima kasih diatas layanan tersebut kecuali hanya berdoa semoga Allah Taala membalas jasa kalian sewajarnya. Semoga usaha kita untuk mempertahankan Kerajaan Negeri Perak juga diberkati Allah. Takbir!!!!!

Wednesday, June 11, 2008

PETISYEN PILIHAN RAYA P.67 KUALA KANGSAR

11/06/2008 bermula episod baru bagi petisyen pilihan raya terhadap Dato Seri Rafidah Aziz di Mahkamah Tinggi Ipoh dihadapan Hakim Yang Arif Dato Zakaria Sam. Petisyen ini dibuat oleh PAS ekoran bantahan yang dibuat semasa hari penamaan calon terhadap Dato Seri Rafidah Aziz yang tidak menandatangani dua borang pencalonan telah ditolak oleh Pengurus Pilihan Raya N. 67 Kuala Kangsar. Barisan peguam PAS diketuai oleh peguam terkenal Haji Mohd Arif Yusoff dan bantu oleh 12 orang peguam yang lain termasuk Hanipa Maidin. Hari ini Mahkamah menetapkan untuk pendengaran Notis Bantahan Awal pihak SPR terhadap petisyen yang dibuat oleh PAS.

Responden Kedua (Pegawai Pengurus Pilihan Raya) dan SPR diketuai oleh Peguam Pesekutuan En. Amarjeet Singh menghujahkan bahawa petisyen gagal mematuhi Kaedah 4(1)(b) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954. Beliau juga menghujahkan bahawa petisyen ini tidak mendedahkan apa-apa kausa tindakan serta remeh dan menyusahkan seterusnya menyalahgunakan proses Mahkamah. Keputusan pegawai pengurus pilihan raya menolak bantaha adalah muktamad dan konklusif serta tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana Mahkamah sebagaimana yang dinyatakan dalam Peraturan 7(5) tersebut. Keputusan pegawai pengurus untuk menolak bantahan tersebut adalah bertepatan dengan undang-undang.

Peguamcara Responden Pertama (Dato Seri Rafidah Aziz), En. Firoz Hussein menghujahkan bahawa beliau juga bersetuju dengan penghujahan Peguam Persekutuan dan kemudian turut menambah seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 telah menyatakan sebab-sebab yang membolehkan sesuatu pilihan raya itu diisytiharkan sebagai tidak sah. Kehadiran respoden pertama bersama dengan pencadang dan penyokong beliau pada hari penamaan calon untuk menyerahkan borang pencalonan dengan sendirinya menunjukkan kesediaan beliau untuk bertanding dalam pilihan raya tersebut. Beliau mengemukakan kes Kua Kia Song v. Mohd Nor Bador sebagai sokongan. Baliau juga turut menghujahkan bahawa pempetisyen telah gagal untuk membuktikan tindakan responden pertama yang tidak menandatangani 2 daripada 3 borang pencalonan telah menjejaskan keputusan pilihan raya. Beliau mengemukakan kes Dato Ismail Kamus sebagai sokongan.

Ketua barisan peguam PAS, Haji Mohd Arif bin Yusoff membalas penghujahan tersebut dengan mengatakan bahawa kegagalan responden pertama mengisi ketiga-tiga borang dan responden kedua untuk menolak borang pencalonan tersebut telah menjejaskan keputusan pilihan raya. Perlanggaran tersebut adalah kesalahan dari awal lagi dan dengan sendirinya proses penamaan calon tersebut telah tercemar. Dalam Akta Keterangan menyebut dengan jelas mengenai primary documents. Beliau turut menjawab hujahan responden yang mengatakan bahawa pliding dalam petisyen tidak mendedahkan kausa tindakan dengan menyatakan bahawa. Peguam Hanipa Maidin kemudian menambah mengenai kesalahan tersebut menjejaskan keputusan, sedangkan waktu penamaan calon masih belum ada undi atau majoriti sekiranya itu yang dimaksudkan pihak responden.

Peguam respoden pertama, Syed Faizal menambah petisyen tidak diserahkan mengikut Peratuan 15 Peraturan Petisyen, oleh itu Mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengarnya. Peguam Hanipa Maidin menjawab 'petioner' tidak boleh ditafsirkan dengan ketat sebagai pempetisyen sendiri. Petisyen boleh diserahkan mengikut mana-mana yang peruntukkan undang-undang.

Mahkamah menetapkan 30/06/2008 untuk tarikh keputusan bantahan awal petisyen Kubu Gajah dan Kuala Kangsar. Semua peguam yang terlibat sudah kepenatan kerana telah bertungkus lumus selama 3 hari bermula dari pagi hingga petang.

PETISYEN PILIHAN RAYA N.06 KUBU GAJAH




Hari ini 10/06/2008 kes telah ditetapkan untuk sambung penghujahan bantahan awal dihadapan Hakim Dato Zakaria Sam di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak.
Pihak peguamcara responden pertama menarik balik bantahan ketiga iaitu pihak pempetisyen gagal untuk menunjukkan ketidakpatuhan terhadap mana-mana undang-undang atau peraturan pilihan raya. Pihak peguamcara responden pertama menyambung penghujahan mereka terhadap bantahan kedua mereka iaitu pempetisyen gagal mematuhi peraturan 4(1) dan 4(4) Election Petitions Rules untuk memplidkan fakta-fakta penting dalam petisyen. Mereka merujuk kes Dr Shafie sebagai sokongan dan seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya. Material fact ditafsirkan sebagai maklumat yang lengkap untuk menunjukkan kausa tindakan. Mereka juga merujuk kes Ustaz Harun Taib di Terengganu. Oleh itu mereka menghujahkan bahawa Mahkamah seharus dan sepatutnya menolak petisyen ini dengan kos.

Ketua peguam pempestisyen, Hanipa Maidin menjawab penghujahan tersebut kepada Mahkamah bahawa penghujahan responden pertama mengenai kaedah 4(1) Election Petion Rules tidak dinyatakan dalam Notis Bantahan Awal. Dalam kaedah tidak pernah dinyatakan bahawa petisyen mesti mengandungi 'material facts' tetapi hanya 'facts' sahaja. Dalam petisyen telah disebut segala fakta yang boleh membuktikan segala tuduhan. Pihak responden sebenarnya secara implidly mahukan pihak kami memplidkan bukti dalam petisyen sedangkan kaedah 5 tidak membenarkan untuk berbuat demikian. Petisyen adalah bukan tempat untuk membuktikan tetapi tempat untuk memplid. Beliau juga menghujahkan bahawa penyogokan adalah terdiri daripada perbuatan rasuah. Oleh itu, semua syarat sesuatu petisyen telah dipatuhi oleh pihak pempetisyen dan telah menunjukkan ada berlakunya kausa tindakan. Beliau merujuk kepada keputusan kes Petisyen Pengkalan Pasir. Sekiranya ada mana-mana fakta yang defektif dalam petisyen tersebut, namun ia tidaklah membolehkan Mahkamah menolak keseluruhan petisyen tersebut.

Mahkamah akan menetapkan tarikh untuk keputusan bantahan awal pada keeesokan hari. Setakat hari ini selesai satu episod singkat bantahan awal pihak BN. Keputusan Mahkamah mengenai bantahan awal tersebut akan menentukan gerak kerja barisan peguam Pas nanti.
Esok akan bermula ke bantahan awal petisyen P.67 Kuala Kangsar di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak. Malam ini barisan peguam Pas akan bermesyuarat persediaan untuk kes esok.

Monday, June 9, 2008

BARISAN PEGUAM PAS


Antara barisan peguam Pas yang terlibat dalam petisyen pilihan raya N.06 Kubu Gajah, dari kiri Hanipa Maidin, Mohd. Abd. Rashid, Hatman Abdullah, Pempetisyen, Hisham Fauzi, Aminuddin Zulkipli & Yusnita Yusoff.

PETISYEN PILIHAN RAYA N.06 KUBU GAJAH



Hari ini Mahkamah menetapkan untuk pendengaran penghujahan semua pihak terhadap Notis Bantahan Awal (Primilinary Objection) yang telah difailkan oleh pihak BN (Raja Ahmad Zainuddin) dan SPR. Kes ini telah ditetapkan untuk dibicarakan dihadapan Hakim Dato Zakaria Sam di Mahkamah Tinggi Ipoh. Barisan peguam Pas diketuai oleh peguam Hanipa Maidin dibantu oleh Aminuddin Zulkipli, Fathi Mat Zin, Zulmi Sabri, Yusnita Yusoff, Hisham Fauzi, Hatman Abdullah dan Mohd. Abd. Rashid Yah.

Dalam penghujahan kepada Mahkamah, pihak peguam persekutuan yang mewakili responden kedua (Pengurus Pilihan Raya) dan SPR telah menyatakan bahawa pihak pempetisyen (PAS) tidak memplidkan dalam petisyen mengenai salah laku yang dilakukan oleh responden kedua dan ketiga yang bertentangan dan bersalahan dengan mana-mana akta atau kaedah-kaedah pilihan raya. Oleh itu, Mahkamah telah membenarkan bantahan awal pihak responden kedua dan ketiga dengan kos.

Manakala peguamcara responden pertama (Raja Ahmad Zainuddin) menghujahkan bahawa pihak pempetisyen sendiri perlu menyerahkan petisyen kepada pihak responden kerana pada pendapat mereka kaedah pilihan raya perlu ditafsirkan secara harfi. Mereka juga menghujahkan bahawa pihak pempetisnyen telah silap menggunakan cara serahan yang tidak dinyatakan dalam kaedah-kaedah pilihan raya.

Peguam Hanipa Maidin dalam menjawab penghujahan tersebut menyatakan bahawa tidak pernah menyatakan dalam mana-mana kaedah atau peraturan yang menyebut pempetisyen sendiri yang perlu menyerahkan petisyen pilihan raya kepada pihak responden. Beliau juga menambah tujuan kaedah pilihan raya menyatakan cara penyampaian adalah untuk memberikan notis pengetahuan kepada pihak responden sahaja bahawa satu petisyen pilihan raya telah difailkan terhadap mereka.

Mahkamah ditangguhkan sehingga esok hari untuk mendengar point bantahan awal yang ketiga.