KUALA LUMPUR, 29 Mac: Remaja yang menjadi mangsa tembakan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Tumpat Februari lalu, hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.
Memorandum itu bagi mendesak tindakan segera diambil termasuk memastikan siasatan yang adil oleh pihak polis.
Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, yang hadir ke Parlimen bersama peguam dan keluarga turut menyatakan rasa tidak puas hati ekoran tindakan pihak polis hanya menyiasat berdasarkan laporan pihak UPP dan mengenepikan laporan yang dibuat keluarga mangsa.
"Kami melihat tindakan anggota UPP berkenaan menembak Ahmad Nizamuddin sebagai cubaan menghapuskan bukti bahawa kematian Allahyarham Said adalah akibat dipukul," kandungan memorandum itu dipetik.
"Kami sangat-sangat tidak berpuas hati kerana walaupun laporan polis telah dibuat, namun pihak polis masih gagal bertindak sehingga hari ini," kata mereka lagi.
Turut mengiringi mereka ialah Ahli Parlimen Tumpat dan Rantau Panjang, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Siti zailah Mohd Yusof.
Nazri dalam pada itu berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara untuk tindakan lanjut.
Dalam kejadian 16 Februari lalu, mangsa telah ditembak di perut dan dada manakala bapa saudaranya Said Mat Hassan, 56, meninggal dunia di Hospital Kelaboran, Tumpat selepas ditahan anggota UPP.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi sebelum ini mendakwa, Said ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin, Tumpat pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.
Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.
Menurutnya, melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu.
BELUM selesai kes sama ada bukan Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, dunia perundangan kembali dipanaskan dengan isu kualiti peguam sivil pula.
Kekhuatiran yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam (sama ada bertempat atau tidak) sejak era 80-an adalah berasaskan fakta terkini. Majlis Peguam memetik angka lebih kurang 1,000 peguam baru diterima masuk setiap tahun. Oleh kerana jumlah yang besar, maka kemasukan mereka dalam bidang profesional ini dicadangkan supaya ditapis ketat untuk memastikan kualiti dan kecekapan kepeguaman terjamin. Lantas tercetus cadangan satu sistem proses penilaian iaitu dalam bentuk kursus dan peperiksaan yang sama (Common Bar Course and Examination-CBE).
Walaupun pada dasarnya cadangan itu nampak murni dan baik, beberapa perkara perlu diteliti terutama dari aspek praktikal sebelum ia dilaksanakan. Cadangan ini walaupun dibantah universiti tempatan tetapi mendapat sokongan dari Lembaga Kelayakan. Ini ditunjukkan melalui penubuhan satu pasukan penilai pada 2008 yang diketuai Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan. Ia bertujuan menilai sama ada graduan dari Universiti Utara Malaysia dan Universiti Multimedia boleh dikecualikan dari Sijil Amalan Guaman (CLP). Pengecualian itu hanya bagi tempoh dua tahun dan akan tamat sekiranya tidak diperbaharui pada 15 April ini. Kekhuatiran tersebut boleh bertukar igauan ngeri. Implikasinya, sekiranya tidak diperbaharui, graduan undang-undang dari kedua-dua universiti perlu lulus CLP sebelum boleh memulakan Latihan dalam Kamar (chambering). Boleh dikatakan dua kali rugi kerana pertamanya jangkamasa yang lebih panjang (empat tahun) berbanding dengan graduan undang-undang lulusan luar negara (hanya tiga tahun) dan kedua, “kesilapan” membuat pengajian di kedua-dua universiti ini.
Cadangan Majlis Peguam ini perlu diteliti dari pelbagai sudut. Pertama, isu masa depan sekiranya memilih kerjaya dalam bidang perundangan. Sekiranya, cadangan ini diterima, ramai pelajar tempatan akan merungut tentang jangkamasa yang perlu diambil untuk tamat belajar sebelum boleh beramal sebagai peguam iaitu secara dasarnya empat tahun untuk memperolehi Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian - LL.B (Hons), setahun lagi untuk CBE (sekiranya diwajibkan), dan sekiranya lulus, baharulah boleh menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan. Keseluruhannya, jangkamasa minimum adalah hampir enam tahun.
Profesion ini akan menjadi semakin elit sekiranya cadangan Majlis Peguam untuk meningkatkan mutu kepeguaman adalah keperluan kepada penguasaan bahasa Inggeris yang baik.
Penguasaan
Aspek bahasa perlu dilihat dengan sangat teliti kerana kemampuan berbahasa terutama penguasaan Bahasa Inggeris yang baik tidak datang dalam waktu yang singkat dan pembelajaran semasa CBE. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa Melayu terutama di mahkamah perlu ditekankan juga. Ramai peguam terutama yang lama lebih fasih berbahasa Inggeris dari bahasa Melayu. Mereka juga lebih selesa menggunakan bahasa tersebut di mahkamah walaupun lahir dan telah lama tinggal di Malaysia!
Antara aspek lain yang penting dan perlu diteliti adalah kelayakan akademik seseorang sebelum dikira sebagai orang yang “berkelayakan”. Pengajaran dan pembelajaran undang-undang di enam universiti tempatan dikawalselia oleh Lembaga Kelayakan Malaysia dan Lembaga Kelayakan Profesion Perundangan yang dipengerusikan Peguam Negara. Selain dari kelayakan dari Universiti Malaya, National University of Singapore dan Barristers dari England, sebarang perubahan status kelayakan yang telah ditetapkan oleh Lembaga hanya boleh dibuat melalui pindaan statut. Dengan adanya dua lembaga mengawal mutu pengajaran dan pembelajaran undang-undang, perlukah kita lagi kepada CBE atau cukup dengan beberapa latihan praktikal sahaja?
Dari segi jangkamasa pembelajaran, secara perbandingan dengan graduan undang-undang lulusan luar negara yang ingin beramal, mereka hanya perlu mempunyai kelulusan undang-undang tanpa kepujian (tiga tahun sahaja) dan lulus CLP sebelum menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan. Mereka boleh menjimatkan setahun di situ. Graduan undang-undang luar negara mendesak supaya CLP dibatalkan kerana peratus yang gagal adalah tinggi. Sijil ini diperkenalkan pada tahun 1984 sebagai menampung keperluan sementara bagi membantu graduan undang-undang keluaran universiti British yang gagal mendapat markah baik (sekurang-kurangnya Kelas Kedua Rendah) dan tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir untuk English Bar.
CLP juga memperkenalkan pembelajaran terutama aspek prosedur yang telah pun diikuti oleh graduan undang-undang tempatan semasa di tahun empat dan aspek penyesuaian undang-undang seperti yang terpakai di Malaysia. Sekiranya CLP dihapuskan, di manakah graduan undang-undang dari luar negara belajar tentang Sistem Perundangan Malaysia dan subjek-subjek prosedur? Sekiranya mereka ingin beramal sebagai peguam di Malaysia, mereka perlu memahami undang-undang Malaysia kalau tidak sistem perundangan kita akan menjadi porak peranda. Sekiranya CBE hendak diteruskan dan di situlah pengajian tentang prosedur diterapkan, maka pelajar tempatan sepatutnya hanya perlu mengikuti tiga tahun pengajian undang-undang sahaja.
Desakan memansuhkan CLP perlu diteliti kewajarannya kerana terdapat beberapa isu penting seperti kelayakan akademik yang baik sebagai pra-syarat untuk mengikuti program undang-undang bagi pelajar di universiti tempatan. Seperti kata pepatah Melayu, “benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau”.
Dalam kebanyakan kes, pelajar undang-undang di tempatan biasanya adalah crème-de-la creme. Bagaimanapun, peluang juga diberi kepada pelajar yang kurang baik prestasi akademik semasa peringkat kemasukan. Faktor ini sebenarnya memberi kesan kepada prestasi akademik. Perkara ini disokong oleh kenyataan para hakim dan peguam yang berpengalaman bahawa terdapat graduan undang-undang dalam kategori “from the good to the grotesque”.
Dalam konteks ini, penyelesaian kepada masalah kualiti peguam bukannya terletak di hujung pengajian tetapi di awal pembelajaran itu sendiri. Sekiranya pelajar tersebut tidak sesuai mengikuti pengajian undang-undang (not wired-up for law), pelajar tersebut bukanlah bodoh tetapi potensinya boleh disalurkan kepada bidang yang diminati pelajar tersebut. Kita tidak perlu melayan kehendak ibubapa yang mahukan anak mereka mempunyai kerjaya yang dikatakan glamor.
Jika kita serius tentang kualiti peguam yang bakal kita hasilkan, kita perlu menapis seperti tapisan di England. Kenapa mereka yang gagal di sana diterima di sini? Jawapannya adalah kerana kita ingin memberi peluang kedua kepada pelajar kita. Kalau itulah semangatnya, maka dalam melaksanakan niat itu, kita perlu berlaku adil. Adakah adil mengadakan syarat yang sama kepada orang yang dalam kategori yang berlainan atas alasan mengawal kualiti?
Tulisan ini saya akhiri dengan satu fakta paling menarik untuk direnung. Majlis Peguam dalam laporan yang dikemaskini pada 31 Disember 2010, menyatakan terdapat 13,350 peguam yang beramal di Malaysia di mana separuh daripada mereka berkelulusan dari luar negara. Dari segi pecahan kaum, peguam berbangsa Melayu adalah 5,190, Cina (5,025), India (2,517), Punjabi (485) dan 129 peguam dari bangsa-bangsa lain. Cabaran yang dihadapi oleh Majlis Peguam sebenarnya apa? Kuantiti atau kualiti? Cabaran yang dihadapi oleh universiti tempatan pula, kalau graduan tempatan bagus, kenapa perlu takut kepada CBE?
Baru-baru ini satu Persidangan Meja Bulat Penambahbaikan Undang-Undang Syariah telah diadakan di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan. Persidangan tersebut telah dianjurkan oleh Urusetia Pembangunan Wanita Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan. Persidangan tersebut melibatkan pengamal undang-undang yang terdiri dari ahli Luham, pegawai Mahkamah Syariah serta pihak pendakwaan Syariah.
Persidangan tersebut diadakan bertujuan untuk mengkaji aspek-aspek yang perlu dipinda atau ditambah dalam enakmen undang-undang syariah Negeri Kelantan bagi memperkasakan lagi undang-undang tersebut.
Ia merupakan langkah pertama dan akan disusuli dengan persidangan seterusnya sehinggalah matlamat persidangan tersebut tercapai.
KOTA BHARU, 2 Ogos: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Kelantan yang telah bermesyuarat semalam mengambil keputusan mendesak kerajaan Malaysia memberhentikan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.
Pengerusinya, Hisham Fauzi berkata, ini adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang –vs- Director Of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.
Ini kerana, tindakan menyenaraihitamkan kenderaan atas sebab saman ekor adalah bertentangan dengan seksyen 17 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan merupakan satu perlanggaran kepada Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, setelah sedemikian diputuskan oleh mahkamah, kenapakah pihak kerajaan dan JPJ masih melakukan perkara ini? Tidakkah keputusan mahkamah ini perlu dihormati dan diikuti?” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Tegasnya, tindakan sebegitu adalah merupakan suatu penganiyaan ke atas rakyat Malaysia dan perlu diberhentikan segera.
“Kami juga dengan ini mendesak agar Kerajaan Malaysia dan JPJ bersegera dalam menarik balik penyenaraian hitam ini kerana isu ini sudahpun diselesaikan oleh mahkamah,” katanya yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan.
Tambahnya, tinggal lagi sama ada Kerajaan Malaysia dan JPJ mahu mematuhi perintah mahkamah tersebut atau tidak.
“Pihak kami juga berkeputusan bahawa jika situasi ini tidak berubah, maka suatu tindakan perundangan lain akan dimulakan bagi membela rakyat yang secara nyata telah ditindas dalam isu ini,” ujarnya.
Keadilan perlu ditegak demi meletakkan hak kepada yang mempunyai hak
UMUM mengetahui bahawa dalam setiap tindakan di mahkamah sama ada Mahkamah Sivil atau Mahkamah Syariah, peguam adalah pihak penting membantu perjalanan kes. Tanpa peguam, perjalanan prosiding di mahkamah kadangkala pincang dan tidak teratur. Secara umumnya, profesion kepeguaman berpaksikan kepada minat, kesungguhan dan kecintaan kepada bidang guaman itu sendiri.
Seseorang yang tidak mempunyai minat dalam profesion guaman sudah tentu tidak akan mencurahkan kudrat mereka sepenuhnya di dalam profesion ini. Seseorang peguam Muslim wajar berusaha memiliki kualiti seperti berintegriti, sabar, suka mencari ilmu, meluangkan masa, tenaga dan kepakaran untuk membantu pihak yang memerlukan tanpa menjadikan wang sebagai ganjaran dan matlamat utama.
Sebaliknya, perlu menjadikan peluang berkhidmat dan membantu pihak teraniaya sebagai keutamaan. Peguam Muslim bukanlah berada di bawah tanda aras peguam yang cemerlang malah ada kalanya peguam Muslim lebih mantap dan tinggi kualiti perkhidmatannya berbanding dengan peguam lain. Memang tidak dapat dinafikan seorang peguam menggalas harapan yang tinggi daripada anak guamnya dan dibeban dengan pelbagai tanggungjawab. Seorang peguam Muslim sudah tentu mempunyai tanggungjawab yang lebih kerana menjunjung nama Islam.
Antara ciri asas yang perlu ada pada peguam Muslim ialah mesti mempunyai sikap positif dalam menjalankan tugasan. Peguam wajib menjalankan tugasan dengan penuh integriti di mana tugasan itu memerlukan mereka bersikap profesional, jujur, amanah terhadap pelanggan, menjalankan profesion dengan penuh kesungguhan tanpa menolak nilai profesionalisme tinggi peguam.
Peguam mesti bertindak dengan penuh keyakinan, menghormati orang lain sama ada pelanggan, peguam lain dan mahkamah dalam menegakkan keadilan. Di samping itu, sikap mengambil berat dan sabar dalam berurusan juga adalah suatu kemestian. Sikap ini menghendaki peguam untuk sentiasa menghormati dan melayan semua pihak sama ada pihak lawan dan peguam mereka dengan adil, baik dan sewajarnya serta menjauhi daripada bertindak tidak adil dan prejudis terhadap mana-mana pihak sepanjang proses undang-undang dilaksanakan.
Ini bermakna, walaupun peguam mewakili pelanggannya, pada masa sama, peguam di pihak lawan tetap dianggap kawan dan boleh berbincang dengan sebaiknya demi kesejahteraan kes dan pihak yang diwakili.
Cintakan ilmu dan sentiasa berusaha menambah ilmu pula adalah tuntutan di dalam Islam. Peguam perlu sentiasa berusaha menambah ilmu dengan menggunakan pelbagai kaedah sama ada menghadiri seminar undang-undang, membaca buku atau bertanya kepada peguam lebih berpengalaman perkara yang belum difahami. Dengan bekerjasama, kita akan lebih cepat memahami dan menyelesaikan sesuatu kekusutan yang belum diketahui.
Peguam berpengalaman juga perlu terbuka untuk mencurah pengalaman kepada peguam baru sebagai pelapis profesion ini. Bersikap baik dan mengambil berat pula adalah sikap yang amat positif. Peguam yang mengambil berat profesion ini akan mengambil pendekatan baik dan mengambil berat serta menghormati bukan saja kepada mahkamah dan rakan sekerja, malah juga seluruh manusia yang digaulinya.
Menghormati mereka memerlukan kita menepati setiap mesyuarat yang diputuskan, temu janji dibuat, mengambil berat kepada jadual tugasan dan memberi komitmen tinggi kepada apa yang perlu dilaksanakan. Peguam mesti mewakili pelanggan dengan penuh kesetiaan dan kesungguhan, komited dalam tugasannya serta menghormati kepercayaan diberikan terhadapnya.
Kesungguhan dan kesetiaan kepada pelanggan tidak pula menyebabkan dia melakukan tindakan tidak benar, kasar dan biadab apatah lagi menzalimi lawannya. Setiap peguam perlu menjadi contoh kepada kebaikan, kepatuhan undang-undang dan menjaga sistem keadilan yang diperjuangkan.
Peguam tidak wajar terbabit dalam urusan undang-undang saja, tetapi perlu turut sama dalam urusan memberi kebajikan kepada masyarakat, membantu dalam soal membabitkan perundangan, pendidikan, khidmat sosial, kebajikan dan sebagainya. Ketika berurusan dengan pihak lawan serta peguam mereka atau mana-mana pihak yang terbabit dalam sistem perundangan negara, peguam mesti berusaha menjadikan sistem keadilan itu dapat berfungsi dengan baik dan cemerlang.
Peguam Muslim perlu mengelak daripada melakukan perkara yang boleh memberi kesan buruk, menjatuhkan nama baik mahkamah, sistem perundangan atau menyebabkan keyakinan masyarakat terhadap perundangan terhakis.
Sebelum memilih untuk membawa sesuatu kes ke muka pengadilan dan meneruskan perbicaraan, peguam wajar mencari jalan dan mencadangkan kepada pelanggan alternatif untuk menyelesaikan pertelingkahan dan masalah seperti menggunakan kaedah sulh, mediasi dan sebagainya.
Hadis diriwayatkan Abu Dawud yang bermaksud: 'Hakim itu ada tiga jenis. Satu di dalam syurga dan dua lagi akan ke neraka�' memberi penekanan mengenai konsep integriti. Hadis itu bukan saja ditujukan kepada hakim, malah untuk peguam kerana hakim yang akan ke neraka itu sudah pasti akan mengheret peguam yang berhujah secara palsu di hadapannya bersama mereka.
Oleh itu, peguam hendaklah menjadi pembantu kepada kebenaran bukan kepada kebatilan. Peranan peguam Muslim sangat besar sebagai pembantu mahkamah menegakkan keadilan demi meletakkan hak kepada mereka yang mempunyai hak.
Jika sesuatu kes itu membabitkan kepercayaan yang bertentangan dengan keimanan mereka, agak sukar bagi peguam Muslim ini untuk mengendalikannya. Peguam Muslim yang mempunyai prinsip tidak akan goyah dengan ujian di dunia ini.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Syarie Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi di zainul.rijal@abubakar.my
Penulis blog yang memaparkan foto yang diubahsuai yang menunjukkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam keadaan yang mengaibkan, telah ditahan semalam.
Sumber polis Kelantan mengesahkan kepada dia ditahan selepas menyerah diri di ibu pejabat polis kontinjen Johor Bahru.
Menurutnya, penulis blog lelaki berumur sekitar 40-an itu ditahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Pihak polis akan menjalankan siasatan di sana terlebih dahulu," kata sumber sambil menambah bahawa penulis blog itu masih ditahan di Johor Bahru.
Ahad lalu, Setiausaha Keselamatan PAS Kelantan Mejar (B) Mohamad Ibrahim membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu terhadap tindakan blogger tersebut.
Mohamad dilaporkan berpendapat tindakan penulis blog itu adalah bersifat provokatif dan bertentangan dengan undang-undang.
Sementara itu, Star online hari ini melaporkan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff mengesahkan penahanan penulis blog itu dan menurutnya, siasatan lanjut akan diuruskan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan.
Penahanan penulis blog itu adalah penulis yang kedua ditahan tahun ini selepas Khairul Nizam Abdul Ghani atau dikenali sebagai Aduka Taruna ditahan pada 29 Januari lalu.
Khairul Nizam yang berasal daripada Rumah Rakyat Pancor Paroi, Negeri Sembilan, kemudiannya dihadapkan di Mahkamah Seksyen Seremban kerana didakwa memaparkan dalam blognya tulisan yang mengaibkan Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.
Dia dituduh didakwa di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
KUALA LUMPUR, 7 Feb: Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid terpaksa hadir di kandang siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini kerana menahan lokap lima peguam muda yang sedang melaksanakan tanggungjawab masing-masing pada 7 Mei tahun lepas.
Mereka terbabit ditangkap ekoran bersikap tegas mahu bertemu kesemua 14 peserta demonstrasi yang ditangkap polis sebelum itu kerana berhimpun secara aman di pekarangan Balai Polis Brickfields sebagai membantah penangkapan seorang penulis blog, Wong Chin Huat.
Di hadapan ketiga-tiga Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Dr. Michael Yeoh dan Datuk Dr. Denison Jayasooria, Abdul Bari dalam suara yang tidak bermaya mengaku tidak tahu bahawa wujudnya Seksyen 28A Kanun Prosedur Jenazah yang membenarkan setiap mereka yang ditangkap untuk mendapat khidmat peguam.
Abdul Bari juga mengaku tidak bertanggungjawab atas penangkapan Puspawati Rosman, Fadiah Nadwa Fakri, Murnie Hidayah Anuar, Syuhaini Safwan dan Ravinda Singh Dalliwal.
Puspawati yang ditemui di luar kamar siasatan awam berkata, mereka ditangkap walaupun masing-masing mengaku sebagai peguam dan berniat untuk bertemu anak guaman masing-masing.
"Mereka (polis) menyuruh kami beredar, memang kami beritahu kami peguam, tetapi mereka tetap tangkap kami," jelasnya.
Beliau yang juga angota Biro Bantuan Guaman, Majlis Peguam Malaysia turut menjelaskan bahawa ketua kepada Abdul Bari, DSP Judy Blacious Pereira bertanggungjawab menyampaikan kenyataan palsu bahawa 14 pesrta demonstrasi yang ditangkap enggan bertemu peguam-peguam terbabit.
"Judy Blacious Pereira yang beritahu mereka (anak guam) tolak khidmat guaman kami," jelasnya.
"Tapi, dia tidak menunjukkan borang 28A yang ditandatangani oleh mereka, apabila kami minta."
Menurut Murni pula, Majlis Peguam pasca mesyuarat agung luar biasa (EGM) lalu bersedia membawa kes tersebut ke mahkamah, selepas selesai siasatan awam Suhakam itu.
Tambahnya, Majlis Peguam turut memandang serius insiden tersebut kerana kes sedemikian merupakan rekod hitam pertama dalam sejarah guaman tanah air.
Ekoran itu, Majlis Peguam menyediakan tiga peguam kanan untuk mewakili kelima-lima mereka di mahkamah kelak sebagai mengambil tanggungjawab bersama.
Beliau turut menjelaskan, siasatan awam Suhakam akan diteruskan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta pada jam 8 malam esok.