Wednesday, January 6, 2010

Fakta tuntutan RM800 juta


Latar belakang isu

Suatu hakikat, Kerajaan PAS di zaman Almarhum Datuk Mohd Asri sentiasa menghadapi diskriminasi daripada Kerajaan Pusat sehingga program pembangunan negeri terhalang.

Namun tanggungjawab membangun Negeri demi kepentingan rakyat mesti diteruskan.

PAS yang mula memerintah Kelantan mulai 1959, iaitu pada pilihan raya pertama selepas negara mencapai kemerdekaan. Bagaimanapun banyak halangan diterima kerajaan daripada kerajaan pusat.

Namun, komitmen Kerajaan PAS Kelantan tetap untuk meneruskan aktiviti pembangunan Negeri. Mengambil kira faktor tersebut Kerajaan Negeri berusaha mencari sumber alternatif iaitu kekayaan sumber hutan bagi mendapatkan wang untuk membangunkan Kelantan.

Alternatif itu berlaku melalui Timbermine Sdn Bhd yang bersedia menguruskan indutsri berasaskan balak. Maka, syarikat tersebut dirundingi dan diberi konsesi kawasan pembalakan di Hulu Kelantan. Hasil daripada perjanjian tersebut Kerajaan Negeri mendapat sumber kewangan yang kemudiannya dipulangkan kepada rakyat dalam bentuk pembangunan prasarana untuk faedah rakyat, antaranya;

. Jambatan Sultan Yahya

. Stadium Sultan Mohammad Ke IV

. Projek saliran

. Pembukaan tanah dan pembangunan tanah pertanian di kawasan Hulu Kelantan

. Pembesaran Pusat Yayasan Pengajian Islam Kelantan

. Pembiyaan pelajar Kelantan ke luar negara dan universiti tempatan

. Mengemaskini gaji guru-guru agama  

Bagaimanapun semasa Kerajaan Campuran-BN mulai 1974, banyak dasar-dasar dan keputusan Kerajaan Negeri dipengaruhi dan dibayangi oleh pemimpin Umno. Atas fakta inilah bermulanya episod pertikaian Timbermine Sdn. Bhd. dengan Kerajaan Negeri.  

Antaranya, pihak Kerajaan Pusat pernah membawa kes Timbermine ke Mahkamah Persekutuan dengan mendakwa Kerajaan Kelantan menggadai sejumlah kawasan hutan yang luas kepada sebuah syarikat asing.

Mahkamah membuat keputusan ada bukti perjanjian dibuat dengan Timbermine dan mengesahkan gadaian tersebut. Di samping itu, Mahkamah turut memberi pandangan sekiranya syarikat melanggar perjanjian, Kerajaan Negeri boleh membatal perjanjian tersebut.

Kerajaan Negeri kemudian menubuh satu jawatankuasa khas bagi mengkaji perjanjian tersebut. Tindakan membatal dicadangkan sekiranya ada perlanggaran terma perjanjian. Akhirnya, Kerajaan Negeri mengambil keputusan mahu membatalkan perjanjian, namun terhalang kerana Menteri Besar bertukar selepas pilihan raya umum 1974.

Selepas itu kawasan seluas 30,000 ekar telah diserah kepada Felda untuk dibangunkan. Kerajaan Negeri juga membayar saguhati kepada Timbermine sebanyak RM3.5 juta yang dipinjamkan Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan tuntutan Timbermine. 

Kes tersebut dianggap selesai oleh Kerajaan Negeri setelah membayar RM3.5 juta kepada Timbermine. Tetapi pihak Timbermine kemudian telah mengemukakan kepada Menteri Besar ketika itu (14.11.1989) beberapa maklumat berkenaan kepentingan mereka berkaitan penyelesaian yang dimaksudkan.

Namun kepentingan itu gagal diselesaikan oleh Kerajaan BN pada masa itu. Justeru itu, syarikat tersebut kemudian memanjangkan pendekatan penyelesaian dan fakta-fakta yang gagal diselesaikan oleh Kerajaan BN sebelum itu kepada Kerajaan Negeri pimpinan PAS. Seterusnya Timbermine telah memfailkan semula tuntutan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 2004 untuk menuntut ganti rugi.

Kesan daripada tuntutan tersebutlah berlakunya penghakiman yang mengarahkan Kerajaan Negeri membayar RM800 juta kepada Timbermine. Walau apapun, Kerajaan Negeri telah mengumumkan akan merayu keputusan mahkamah tersebut. Ruang merayu dijangka dapat merungkaikan beberapa fakta yang mungkin pihak mahkamah boleh meneliti semula beberapa eksibit. Mudah-mudahan ia bakal memberi keadilan sewajarnya kepada Kerajaan Negeri Kelantan.

Laporan Kes Mahkamah Tinggi Kota Bharu Guaman Sivil No. 22-5-2004 Syarikat Kemajuan Timbermine Sdn.  Bhd melawan Kerajaan Negeri Kelantan.

Fakta latar belakang kes berdasarkan keterangan dan eksibit yang dikemukakan di mahkamah.

1. Plaintif dan Defenden telah memasuki satu perjanjian konsesi pembalakan (perjanjian utama) di Kawasan Ulu Kelantan pada 20.7.1964 bagi kawasan seluas  510 239 ekar bagi tempoh 33 tahun mulai tarikh perjanjian. Bayaran sebanyak RM 1 Juta telah dibayar sebagai sebahagian bayaran premium yang berjumlah RM 2 Juta telah dibuat selepas perjanjian ditandatangani. Perjanjian utama dieksibitkan sebagai aksibit P1.

2. Melalui satu perjanjian tambahan yang ditandatangani di antara kedua-dua pihak pada 6.11.1965 kawasan konsesi telah dikurangkan kepada 280 000 ekar. Perjanjian tambahan ini telah dieksibitkan sebagai eksibit P2.

3. Walau bagaimana pun perjanjian konsesi tersebut telah ditamatkan oleh pihak Defenden atas alasan pihak plaintif telah gagal memenuhi obligasinya sebagaimana di bawah Klausa 5(b) perjanjian konsesi (eksibit P1) dan pihak defenden telah menjalankan hak untuk menamatkan perjanjian sebagaimana di bawah Klausa 5(b) perjanjian yang sama. Surat pihak Defenden kepada pihak plaintif berkenaan pekara ini adalah satu surat bertarikh 18.3.1975 yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri  pada ketika itu. Surat ini dieksibitkan sebagai eksibit P6

4. Plaintif telah menerima surat di atas dan telah dijawab oleh Plaintif melalui surat peguam mereka bertarikh 21.4.1975. Surat ini menyatakan bahawa pihak Plaintif mencabar keputusan Defenden. Surat dieksibitkan sebagai eksibit P7.

5. Pihak-pihak telah kemudiannya berunding untuk menyelesaikan kes. Pada 17.6.1975 suatu mesyuarat telah diadakan. Mesyuarat dipengerusikan YBM Tengku Ahmad Rithaudeen Menteri Penerangan dan Tugas-Tugas Khas pada masa itu. Pihak kerajaan negeri dan pihak Plaintif turut hadir mewakili kepentingan mereka. Perbincangan di dalam mesyuarat diangap dibuat “without prejudice” terhadap apa-apa tindakan undang-undang antara Kerajaan Negeri  (Defenden) dengan pihak Timbermine (Plaintif).

6. Di dalam mesyuarat tersebut pihak Kerajaan Negeri telah mencadangkan penubuhan suatu syarikat usahasama untuk mengusahakan perusahan perkayuan di kawasan “concession” yang dahulunya dipegang oleh Syarikat Timbermine. Kerajaan Negeri telah pun bersetuju untuk mengadakan usahasama dengan Syarikat Timbermine berdasarkan pemilikan saham 70% oleh Kerajaan Negeri Kelantan dan 30% Syarikat Timbermine.

7. Datuk Kang Kock Seng wakil Syarikat Timbermine menyatakan:

a. Bersetuju dengan penubuhan syarikat usahasama dengan pegangan saham tersebut.

b. Bahawa hak “concession” yang dipegang oleh Timbermine hendaklah terus dianggap sebagai hak Timbermine dan

c. Nilai “concession” dan  harta-harta syarikat Timbermine hendaklah diberi nilai yang berpatutan bila diambil alih oleh syarikat usahasama.

8. Kerajaan Negeri sukar untuk bersetuju untuk anggap “concession”  yang telah diberikan sebagai  harta Timbermine kerana ianya diberikan dengan percuma dan hasil hutan adalah harta negeri. Walau bagaimanapun pertimbangan sewajarnya akan diberikan atas nilai harta syarikat Timbermine. Minit mesyuarat yang diadakan ini telah diesksibitkan sebagai eksibit P12.

9. Rundingan lanjut juga telah diadakan diantara Timbermine dengan YBM Tengku Razaleigh Hamzah selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas mengenai Syarikat Kemajuan Timbermine dengan wakil-wakil syarikat Timbermine pada 22.9.1976 dan hasil rundingan telah dimaklumkan kepada YAB Menteri Besar Kelantan melalui satu surat rahsia bertarikh 28.9.1976.

10. Surat tersebut menyebut bahawa pihak Timbermine bersetuju dengan bayaran “goodwill” sejumlah RM3.5 juta (wang ini sudah diterima oleh pihak Plaintif). Bayaran adalah kerana ingin memupuk pertalian yang baik dengan syarikat Timbermine dan tidak bersangkut paut dengan tindakan pembatalan perjanjian dan dibuat “without prejudice” kepada tindakan yang telah pun dibuat oleh Kerajaan Negeri. Surat itu juga menyatakan bahawa pihak Kerajaan Negeri boleh mengadakan rundingan atas cadangan untuk wujudkan syarikat usahasama bagi menjalankan rancangan perkayuan. Timbermine tidak akan membuat sebarang tuntutan atas kerajaan negeri hasil dari pembatalan perjanjian konsesi. Kilang papan kepunyaan syarikat di Gua Musang dan semua harta syarikat di luar kawasan “concession” akan terus menjadi milik syarikat. Surat ini telah dieksibitkan sebagai aksibit P19.

11. Lanjutan daripada surat di atas, Menteri Besar Kelantan pada ketika itu telah menulis surat kepada Syarikat Timbermine bertarikh 28.11.1976. Surat tersebut telah merujuk kepada surat eksibit P19 dan menyatakan persetujuan Kerajaan Negeri atas terma yang terkandung di perenggan 3, 4 dan 5 eksibit P19. Surat dari Menteri Besar Kelantan itu telah dieksibitkan sebagai aksibit P20.

12. Seterusnya pihak Saksi Plaintif yang pertama SP1 telah memberikan keterangan bahawa selepas daripada kedua-dua pihak bersetuju atas terma, maka bayaran sebanyak RM3 juta telah dibayar oleh Kerajaan Negeri sebagaimana terma penyelesaian di perenggan 3 eksibit P19 kepada Plaintif.

13. Walau bagaimana pun penyelesaian ini tidak kesampaian (frustrated) dan hanya terma bayaran “goodwill”  RM3.5 juta sahaja yang telah dipenuhi oleh Defenden. Syarikat usahasama yang telah dipersetujui penubuhannya telah tidak menjadi kenyataan.

Kes Plaintif

1. Kes plaintif adalah bersumber dari dua pekara utama iaitu, yang pertama, pecah kontrak perjanjian konsesi (di eksibitkan sebagai P1 dan P2) sebagaiman dan yang kedua, pecah kontrak perjanjian penyelesaian yang dibuat.

2. Plaintif mencabar penamatan perjanjian konsesi dan menegaskan bahawa penamatan tersebut adalah tidak sah berdasarkan kepada 3 pekara utama iaitu:

i. Defenden telah menamatkan perjanjian berdasarkan klausa 5(b) (i) Perjanjian Konsesi atas alasan kegagalan Plaintif untuk membalak kawasan konsesi bagi fasa pertama tanpa mengambil kira bahawa klausa 5(b) (iii) memberikan kelonggaran jika kegagalan mengusahakan kawasan konsesi tersebut adalah akibat langsung dari “civil commotion, war, enforcement agency regulation, floods and other Acts of or that  great economic hardship would be suffered by the company by such compliance to perform theaforesaid obligation.” Saksi Plaintif pertama memberi  keterangan bahawa kelewatan mereka dalam mengusahakan mereka adalah akibat “political dispute”, konfrontasi dengan Indonesia, perpisahan S’pore dengan Malaysia (plaintif pada masa itu adalah syarikat Singapura). Dalam masa yang sama Plaintif telah “on many occasion” telah gagal mendapatkan kebenaran Kerajaan Negeri untuk menjalankan kerja di kawasan konsesi. Saksi Plaintif yang pertama telah memberikan keterangan kawasan konsesi termasuk dalam kawasan komunis oleh yang demikian selain dari permit/lessen membalak pihak Plaintif juga memerlukan “security passes” untuk memasuki kawasan konsesi. Surat bertarikh13.2.1968 iaitu syarat permohonan perlanjutan masa dieksibitkan sebagai eksibit P3, manakala satu surat yang bertarikh 12.4.1975 yang menunjukan bahawa permohonan Plaintif untuk bekerja dalam kawasan lesen telah ditolak oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri dieksibitkan sebagai eksibit P4.

ii. Penamatan Perjanjian konsesi ini tidak boleh dibuat apabila Syarikat Plaintif telah pun membangunkan satu “intergrated timber industry”. S.6 Perjanjian Tambahan yang dieksibitkan sebagai eksibit P2 dirujuk. Satu surat dari Plaintif kepada Defenden bertarikh 30.6.1973 yang memaklumkan bahawa Defenden telah membina kilang papan, kilang “veneer, plywood and moulding” dikawasan konsesi telah dikemukakan sebagai eksibit P8. Gambar-gambar kilang sewaktu dalam fasa pembinaan dan setelah ianya siap dieksibitkan sebagai eksibit P27 A hingga R dan P28 A hingga H. Gambar-gambar mesin-mesin juga dieksibitkan sebagai eksibit P29 A hingga S. Senarai pembelian mesin-mesin dieksibitkan sebagai eksibit P9 manakala “sample” surat-surat daripada bank minta menjelaskan bayaran mesin-mesin dieksibitkan sebagai eksibit P30(a) dan (b).

iii. Tiada sebarang notis diberikan tentang penamatan tersebut sebagaimana klausa 11(A)  Perjanjian eksibit P1.

3. Sebagaimana yang telah dinyatakan di atas pihak Plaintif juga bahawa Defenden telah pecah kontrak penyelasaian. Saksi Pertama Plaintif dalam keterangannya menyatakan bahawa setelah persetujuan penyelasaian  dicapai sebagaimana minit mesyuarat pada 17.6.1975 yang telah dieksibitkan sebagai P12, Plaintif telah menerima satu surat daripada Jabatan Perdana Menteri yang meminta Plaintif mengemukakan kertas cadangan tentang syarikat usahasama. Plaintif telah mengemukakan cadangan berkenaan penubuhan syarikat usahasama itu yang telah dieksibitkan sebagai eksibit P16.

4. Saksi pertama Plaintif selanjutnya memberi keterangan bahawa beberapa sesi perbincangan telah di adakan di antara pihak-pihak yang  membuatkan Plaintif percaya bahawa penubuhan syarikat usahasama itu akan menjadi kenyataan. Satu mesyuarat telah diadakan di antara pihak Plaintif dengan YBM Tengku Razaleigh Hamzah pada 22.9.1976.  Dalam mesyuarat tersebut syarat  penyelesaian dan penubuhan syarikat usahasama sebagaimana yang dicadangkan dalam mesyuarat seperti minit dieksibit P12 telah dipersetujui. Pekara yang dibincangkan dan dipersetujui dalam mesyuarat tersebut telah dimasukkan dalam satu surat peguam Plaintif pada ketika itu kepada YBM Tengku Razaleigh Hamzah bertarikh 22.9.1976. Surat ini dieksibitkan sebagaimana eksibit P18. Susulan daripada itu YBM Tengku Razaleigh Hamzah telah menulis satu surat kepada YAB Menteri Besar Kelantan pada ketika itu sebagaimana eksibit P19 memaklumkan terma dan syarat penyelesaian. Surat rahsia ini telah dijawab oleh YAB Menteri Besar Kelantan yang menyatakan persetujuan terma dan syarat penyelesaian sebagaimana dalam surat beliau kepada Plaintif bertarikh 28.11.1976 yang telah dieksibitkan sebagai P20.

5. Saksi pertama Plaintif selanjutnya menyatakan bahawa Plaintif telah menerima satu surat bertarikh 28.7.1977 daripada Setiausaha Kerajaan Negeri pada masa itu yang mengesahkan penyelesaian yang dibuat di antara kedua-dua pihak.

6. Selanjutnya Saksi Pertama Plaintif memberikan keterangan bahawa terdapat beberapa sesi perbincangan telah diadakan sejak 1984 hingga 1988 berkenaan penyelesaian dan pada 1989 satu mesyuarat telah diadakan dengan YAB Menteri Besar Kelantan pada ketika itu yang telah meminta pihak Plaintif memberikan maklumat berkenaan kepentingan Plaintif berkait penyelesaian. Plaintif telah mengemukakan satu surat bertarikh 14.11.1989 kepada YAB Menteri Besar yang mana telah dieksibitkan sebagai eksibit P22.

7. Saksi Pertama Plaintif seterusnya memberikan keterangan bahawa Plaintif telah menulis pula kepada Defenden berkenaan penyelesaian melalui surat peguam Plaintif kepada YAB Menteri Besar bertarikh 24.1.1995 dieksibitkan sebagai P24.

8. Saksi Pertama Plaintif juga telah merujuk kepada surat mereka bertarikh 16.2.2002 (eksibit P39) yang mana surat tersebut merujuk kepada syarat peguam mereka di P23 dan surat Setiausaha Sulit Menteri Besar dieksibit P24. Ini adalah surat “reminder” berkenaan dengan persetujuan penyelesaian sebagaimana surat  YBM Tengku Razaleigh Hamzah di P19 dan juga persetujuan Kerajaan Negeri atas penyelesaian tersebut. Tiada perkembangan susulan atas berkenaan surat ini.

9. Surat-surat (correspondence) di antara kedua-dua pihak berkenaan pekara yang sama dieksibitkan secara kolektif sebagai P25 (a) hingga (h) juga telah dirujuk oleh Saksi Pertama Plaintif. Keterangan beliau tertumpu kepada Eksibit 25(g) iaitu satu surat yang ditulis oleh YB Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar bertarikh 13.8.2002 mencadangkan suatu mesyuarat diadakan berkaitan surat peguam Plaintif bertarikh 1.8.2002 tersebut yang telah dieksibitkan sebagai aksibit P25(e). Walau bagaimanapun mesyuarat yang dicadangkan itu tidak dibuat.

10. Plaintif kamudiannya telah membuat satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Gua Musang sebagaimana GM Rpt No. 834/2004 kerana beranggapan bahawa pihak Defenden telah memperdayakan mereka (melakukan frod) kerana kawasan  yang sepatutnya menjadi kawasan syarikat usahasama yang dipersetujui itu telah diusahakan oleh pihak lain. Keterangan berkenaan kedudukan kawasan konsesi dan pihak semasa yang mengusahakan tanah di kawasan konsesi tersebut adalah melalui Saksi Kedua Plaintif.

Kes Defenden

1. Pembelaan pihak Defenden pula juga bersumber kepada 2 pekara iaitu yang pertama, menamatkan perjanjian konsesi adalah selaras dengan (s. 5(b)(i) syarat perjanjian konsesi (eksibit P1) dan kedua bahawa perjanjian penyelesaian adalah tidak mengikat (not binding) ke atas Defenden kerana tiadanya perjanjian bertulis bagi perjanjian penyelesaian ini.

2. Berdasar pembelaan di atas Defenden telah memfailkan satu Saman Dalam Kamar di bawah Aturan 18 Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 untuk mengenepikan Wirit Saman dan Penyata Tuntutan Plaintif. Walau bagaimanapun permohonan ini telah ditolak oleh mahkamah. Tiada rayuan dibuat terhadap keputusan ini.

3. Fakta berkenaan perjanjian konsesi dan penamatan perjanjian itu tidak dipertikaikan. Apa yang dipertikaikan adalah isu kandungan undang-undang sama ada penamatan itu sah atau tidak. Pihak Defenden tidak memanggil saksi berkenaan pekara ini. Cabaran dibuat di mahkamah sewaktu perbicaraan selaras dengan pembelaan yang difailkan.

4. Cabaran atas interpretasi dokumen yang dikemukakan khasnya interpetasi mini mesyuarat dieksibit P12 adalah sebagaimana pembelaan yang difailkan. Pembelaan Defenden tidak menafikan bahawa suatu mesyuarat telah diadakan pada 17.6.1975 yang dipengerusikan oleh YBM Tengku Ahmad Rithauddeen.  Cabaran dibuat sewaktu pemeriksaan balas Saksi Pertama Plaintif atas minit mesyuarat yang dikemukakan. Walau bagaimanapun Saksi Pertama Plaintif menyatakan bahawa beliau sendiri menghadiri mesyuarat itu bersama-sama mendiang abang beliau Dato’ Kang Kock Seng dan En. Nik Hussein bin Ali mewakili Syarikat Plaintif.

5. Minit mesyuarat ini tidak sebenarnya mengikat mana-mana pihak. Pihak Defenden telah menghujahkan bahawa jika dirujuk pula kepada surat YBM Tengku Razaleigh Hamzah kepada YAB Menteri Besar Kelantan (P19) di perenggan 3, 4 dan 5 langsung tidak menyebut tentang kawasan “concession” merupakan sebahagian dari “subject matter” penyelesaian. Persetujuan kerajaan negeri berkenaan cadangan penyelesaian adalah khusus merujuk kepada surat YBM Tengku Razaleigh Hamzah ini (P20) dan bukan minit kepada mesyuarat yang dipengerusikan oleh YBM Tengku Ahmad Ritahuddeen yang diadakan pada 17.6.1975. Persetujuan penyelesaian ini tidak dijadikan satu perjanjian bertulis. Selanjutnya jika diteliti surat P19 dan P20 dapat dilihat bahawa penyelesaian yang dipersetujui itu (mengadakan syarikat usahasama) tidaklah melibatkan apa-apa balasan berharga (valuable consideration). RM3.5 juta yang dibayar bukanlah balasan berharga bagi maksud penyelesaian tersebut (rujuk perenggan 3, 4, dan 5 P19). Oleh yang demikian persoalan yang timbul adalah sama ada penyelesaian ini boleh diterimapakai (enforceable) di bawah undang-undang kontrak. Seksyen 26 Akta Kontrak 1950 memperuntukan seperti berikut:

Section 26. Agreement without consideration, void, unless –

An agreement made without consideration is void, unless –

It is in writing and registered

(a) it is expressed in writing and registered under the law (if any) for the time being in force for the registration for the promisor, and is made on account of natural love and affection between parties standing in a near relation to each other ;

Or is a promise to compensate for something done

(b) it is a promise to compensate, wholly or in part, a person who has already voluntarily done something for the promisor or something which the promisor was legally compellable to do; or

Or is a promise to pay a debt barred by limitation law.

(c) it is a promise, made in writing and signed by the person to be charged there with, or by his agent generally or specially outhorized in that behalf, to pay wholly or in part a debt of which the creditor might have enforced payment but for the limitation of suits.

Berdasarkan peruntukan seksyen 26 Akta Kontrak 1956 di atas dan juga memandangkan bahawa persetujuan penyelesaian ini tidak dijadikan perjanjian bertulis, pihak Defenden telah menghujahkan  bahawa persetujuan penyelesaian di antara Plaintif dan Defender ini adalah “void”.

6. Seterusnya hujah juga telah dibuat terhadap keterangan mengenai penubuhan syarikat usahasama di mana keterangan diberikan bahawa pegangan ekuiti syarikat itu adalah 70% bagi Kerajaan Negeri dan 30% bagi Syarikat Timbermine. Keterangan yang menyatakan bahawa jumlah RM3.5 juta itu merupakan konsiderasi pegangan ekuiti dalam syarikat usahasama adalah daripada keterangan SP1 di mana keterangan ini sama sekali bercanggah (sebagaimana dalam eksibit P39) dengan kandungan P19 dan P20. Mohon merujuk kepada seksyen 91 Akta Keterangan 1950.

Section 91. Evidence of terms of contracts, grants and other dispositions of property reduced to form of document.

When in terms of a contract or of a grant or of any other disposition of property have been reduced by or by consent of the parties to the form of a document, and in all cases in which any matter is required by law to be reduced to the form of a document, no evidence shall be given in proof of the terms of the contract, grant or other disposition of property or of the matter except the document itself, or secondary evidence of its contents in cases in which secondary evidence is admissible under the provisions here in before contained.

Exception 1 -  When a public officer is required by law to be appointed in writing, and when it is shown that any particular person has acted as such officer, the writing by which he is appointed need not be proved.

Exception 2 - Wills admitted to probate in Malaysia may be by the probate.

Explanation 1  -  This section applies equally to cases in which the contracts, grants or disposition of property referred to are contained in one document and to cases in which they are contained in more documents than one.

Explanation 2 -  Where there are more originals than one, one eriginal only need be proved.

Explanation 3 -  The statement in any document whatever of a fact, other than the facts referred to in this section, shall not preclude the admission of oral evidence as to the same fact.

ILLUSTRATIONS

(a)  If a contract is contained in several letters in which it is contained must be proved.

(b)  If a contract is contained in a bill of axchange, the bill of exchange must be proved.

(c)  If a bill of exchange is drawn in a set of three, one only need to proved.

(d)  A contracts in writing with B for the delivery of pepper upon certain terms. The contract         mentions the fact that B had paid A the price of other pepper contracted for verbally on another occasion.

Oral evidence is offered that no payment was made for the other  pepper. The evidence is admissible.

(e)  A give B a receipt for money paid by B

Oral evidence is offered of the payment.

The avidence is admissible.

Oleh yang demikian keterangan Saksi Pertama Plaintif1 (bahawa bayaran “goodwill” adalah sebenarnya nilai ekuiti 70% Kerajaan Negeri dalam Syarikat Usahasama yang dicadang ditubuhkan) yang merujuk kepada P39 tidaklah boleh digunakan untuk mengubah atau menambah maksud yang terkandung dalam P19 dan P20. Sebagai menyokong hujah mohon untuk merujuk kes Citi Bank NA v Mohd Abdullah Ang Swee Kang & Ors (1992) 1 CLJ 296 di mana dipetik pernyataan Y.A Hakim di dalam kes tersebut;

“For the 3rd defendend it was contended that it was the intention of the parties that the guarantee had reference to only the RM1 million overdraff facility. This contention contradicts what is stated in the guarantee. It was attempted to bolster this contention by reference to certain letters. Section 91 and 92 of the Evidence Act does not permit this unless one of the provisos to s. 92 can be called to aid which was not the case here”.

7. Selain dari itu Defenden juga telah menghujahkan tentang keterangan Saksi Pertama Plaintif yang menyatakan bahawa lanjutan daripada itu pembayaran RM3.5 juta oleh pihak Defenden kepada Plaintif dibuat. Selain daripada bayaran itu sebahagian daripada premium yang telah dibayar oleh plaintif untuk kawasan “concession” telah dikembalikan (refunded).  SP1 di dalam keterangannya pada 8.3.2009 jelas menyatakan pekara ini. Beliau selanjutnya menyatakan jika sekiranya kontrak ditamatkan maka tidak sepatutnya premium dibayar balik (refunded) dan oleh kerana itu penamatan kontrak sebenarnya tidak berlaku. Adalah dihujahkan bahawa apabila bayaran premium dibayar balik, maka kedua-dua pihak kembali ke status quo asal sebelum kontrak dimeterai.  Oleh yang demikian, secara lojiknya plaintif tidak lagi mempunyai apa-apa hak atas baki “concession” yang belum diusahakan. Apa yang tinggal di antara plaintif dan defenden hanyalah persetujuan untuk mengadakan syarikat usahasama.

8. Selain dari mencabar keterangan berkenaan perjanjian asal dan juga persetujuan penyelesaian cabaran juga telah dibuat terhadap keterangan berkenaan jumlah gantirugi yang dituntut. Adalah tidak dinafikan bahawa kilang plaintif mengunakan pekerja-pekerja dalam menjalankan operasinya dan plaintif menuntut gantirugi atas kos yang ditanggung olehnya menggaji pekerja-pekerja tersebut sementara menunggu syarikat usahasama diwujudkan.

9. Walau bagaimanapun, keterangan plaintif berkenaan perkara ini adalah tidak memadai kerana hanya jumlah besar yang diberikan mengenai kos tersebut tanpa perinci (jumlah pekerja, tangga gaji, elaun, bonus dsb) yang perlu bagi mahkamah menilai sama ada jumlah besar itu adalah jumlah sebenar kos yang ditanggung. Tiada keterangan tentang berapa ramaikah pekerja yang berkaitan, apakan jumlah gaji yang dibayar bagi setiap pekerja, dan berapa lamakah mereka diambil bekerja. Tiada sebarang keterangan sokongan seperti slip gaji, caruman KWSP atau PERKESO dikemukakan.

10. Defenden juga telah mencabar pekara mengenai cara Saksi Pertama Plaintif membuat perkiraan kerugian “loss of earnings” sebagaimana dalam Jadual di eksibit P41. Setelah disoal balas Saksi Pertama Plaintif bersetuju bahawa Jadual yang beliau sediakan itu bukanlah berdasarkan harga kayu, tetapi berdasarkan “profit margin” yang dianggar semata-mata.

11. Cabaran juga dibuat terhadap Saksi Ketiga Plaintif yang memberikan keterangan sebagai seorang saksi pakar. Keterangan beliau disokong oleh satu laporan yang beliau sediakan sendiri. Keterangan yang diberikan adalah berkaitan nilai kayu kayan yang lazim bagi kawasan sebagaimana di kawasan  konsesi.

12. Keterangan beliau sewaktu soal balas menunjukkan bahawa beliau telah memberikan harga purata bagi nilai kayu mulai dari tarikh konsesi hingga masa sekarang (1965 hingga 2009). Beliau tidak dapat berikan nilaian sebenar harga kayu sebelum dari tahun 1985 kerana kekurangan maklumat berkenaan dengannya yang boleh diperolehi. Harga purata yang diberikan pula hanyalah berdasarkan nilaian tahun 2008 sahaja. Defenden mempersoal kewajaran mengambil nilaian tahun 2008 ini bagi mewakili harga kayu dari tahun 60an sehingga tahun 2008 hanya berdasarkan nilaian harga kayu tahun 2008? Telah dihujahkan bahawa nilai purata yangdiberikan ini tidaklah mengambarkan nilai sebenar kayu di kawasan konsesi pada tahun sebelum tahun 2008 lebih-lebih lagi bagi tahun tahun 60an, 70an, 80an dan 90an.

13. Saksi Ketiga Plaintif juga memberi keterangan bahawa nilai keuntungan yang akan diperolehi dari satu kawasan konsesi berkait rapat dengan jenis kayu yang ada di kawasan konsesi. Walau bagaimanapun, keterangan beliau jelas menunjukan beliau tidak pernah pergi ke kawasan konsesi tersebut dan apa-apa keterangan beliau berkenaan jenis kayu dan peratusannya hanyalah merupakan anggapan atau anggaran beliau semata-mata berdasarkan kawasan konsesi yang lain yang mempunyai ciri-ciri yang sama. Keterangan ini boleh dikatakan Cuma satu “educated guesswork” dan Defenden mempersoalkan kewajaran keterangan ini dijadikan panduan oleh mahkamah dalam menilai harga kayu di kawasan konsesi yang menjadi pertikaian. Telah dihujahkan bahawa keterangan ini juga adalah tidak memadai untuk mahkamah membuat nilaian harga kayu pada setiap hektar kawasan konsesi.

Jumlah Tuntutan Gantirugi

1. Plaintif menuntut gantirugi kehilangan pendapatan RM840 juta (atas dasar RM3 000 seekar x 280 000 ekar x 30% ikuiti atas dasar perjanjian penyelesaian dianggap sebagai sah) atau RM11,485 seekar x 280 000 ekar = RM3,215,800,00.00 (atas dasar 100% akibat pecah kontrak).

2. Gantirugi Khas RM13.6 juta.

3. Gaji yang dibayar kepada pekerja RM1.74 juta.

4. Faedah dan

5. Kos


Disediakan oleh
Penolong Penasihat Undang-Undang,
Negeri Kelantan.




Saturday, January 2, 2010

Isu kalimah: KDN mahu rayu keputusan mahkamah





Perkasa mohon Majlis Raja-Raja Melayu masuk campur

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), kelmarin yang membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam, berkata pihaknya akan bertemu dengan Pejabat Peguam Negara, minggu depan untuk menghalusi dan meneliti keputusan mahkamah itu.

"Menteri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) sendiri sudah menyatakan KDN akan membuat rayuan terhadap keputusan (mahkamah) itu.

"Jadi, kita akan bertemu dengan Pejabat Peguam Negara secepat mungkin bagi mengkaji dan meneliti keputusan itu, terutama sama ada ia turut merangkumi permit masa depan atau tidak," katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Hakim Lau Bee Lan dalam penghakiman lisannya memutuskan Herald-The Catholic Weekly boleh menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 yang melarang penggunaan perkataan itu.

Keputusan itu menyebabkan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said, kelmarin dilaporkan sebagai berkata akan merujuk kepada KDN sebelum membuat keputusan sama ada memohon penangguhan perintah itu atau mengemukakan rayuan.

Kamaluddin membangkitkan persoalan sama ada keputusan larangan penggunaan perkataan Allah itu terhad kepada penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly bagi permit 2009 atau turut terpakai untuk permit baru yang dikeluarkan pada masa depan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan KDN dalam mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.

"Ia sudah menjadi kes mahkamah dan kita perlu mengikut prosedur yang ditetapkan. Jadi, kita akan bekerjasama dan membantu KDN dalam membuat rayuan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihubungi menyokong keputusan KDN untuk mengemukakan rayuan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata pihaknya akan bersama-sama dengan KDN dalam memfailkan rayuan berhubung keputusan yang diputuskan itu.

"PKPIM ingin menegaskan bahawa dalam konteks masyarakat Malaysia dan alam Melayu, kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang hanya merujuk kepada konsep Tuhan yang difahami oleh umat Islam saja," katanya.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, berkata pihaknya akan memohon perkenan Majlis Raja-Raja Melayu membincangkan keputusan mahkamah itu.

"Urusan yang berkaitan dengan Islam adalah di bawah Raja-Raja Melayu dan Islam adalah agama rasmi Persekutuan yang kedudukan istimewanya terjamin dalam Perlembagaan 153.

"Ini adalah masanya Raja-Raja Melayu bertindak melindungi Islam dan umat Melayu Islam menanti tindakan ini dengan penuh harapan," katanya.


Mahkamah: Larangan guna perkataan 'Allah' tidak sah

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut.

Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal”.

Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'.

Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini.


Thursday, December 17, 2009

Tengku Fakhry Cabar Pemangku Sultan

Mohon kembali kedudukan ahli Majlis Perajaan Kelantan

KUALA LUMPUR: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, mencabar keputusan kekanda sulungnya yang juga Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, membatalkan pelantikannya sebagai ahli Majlis Perajaan Negeri.

Dalam permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan & Kuasa-Kuasa Khas) di sini, Tengku Muhammad Fakhry memohon keputusan itu dibatalkan dan mengembalikan kedudukan beliau serta semua hak, keistimewaan dan anugerah bersangkutan dengannya.

Pada prosiding semalam, Hakim Mohamad Ariff Md Yusof, menetapkan 31 Disember ini bagi memutuskan sama ada membenarkan semakan itu.

Tengku Muhammad Fakhry yang dilantik ke majlis itu oleh ayahandanya, Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra pada 2001, menamakan Pemangku Raja Kelantan itu, Setiausaha majlis berkenaan dan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden pertama hingga ketiga.

Plaintif yang juga Putera ketiga Sultan Kelantan, turut menamakan lima ahli Majlis Perajaan Negeri yang baru dilantik Tengku Muhammad Faris sebagai responden keempat hingga kelapan.

Mereka ialah Datuk Hashim Datuk Yusoff, Datuk Tengku Salwah Almarhum Sultan Yahya Petra, Datuk Sukri Mohamed, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dan Kolonel Dr Mohammad Razin Kamarulzaman,

Majlis itu bertanggungjawab mengesahkan pewarisan kepada Takhta dan Kedaulatan Negeri Kelantan dan untuk menentukan jika terdapatnya 'ketiadaan' (kekosongan) di Takhta disebabkan ketiadaan yang berpanjangan dari Negeri oleh Pemerintah yang berdaulat.

Tengku Muhammad Fakhry dalam permohonannya yang difailkan pada 1 Disember lalu, menjelaskan majlis itu melantik Tengku Muhammad Faris sebagai Tengku Mahkota Kelantan ketika Sultan Kelantan tidak boleh menjalankan hal ehwal negeri daripada 24 Mei lalu sehingga baginda sembuh daripada kegeringan.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, Sultan dalam keadaan gering sejak Mei lalu, namun baginda yang menerima rawatan di sebuah hospital di Singapura nampaknya pulih daripada kegeringan.

Katanya, beliau menerima surat daripada Setiausaha majlis itu pada 16 September lalu yang menyatakan pelantikannya dibatalkan dan diberhentikan daripada tanggungjawabnya sebagai ahli majlis berkenaan.

Tengku Muhammad Fakhry berkata, beliau meminta penjelasan berhubung perkara itu, tetapi Setiausaha majlis berkenaan dalam suratnya pada 26 Oktober lalu tidak memberi sebarang alasan, sebaliknya menjelaskan keputusan itu dibuat di bawah perintah Tengku Muhammad Faris.

Plaintif kemudian mendapat tahu, Tengku Muhammad Faris melantik responden keempat hingga kelapan sebagai ahli majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry mendakwa pembatalannya dan pelantikan itu bertentangan dengan Perkara 7 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Kedua) kerana ia tidak boleh dilaksanakan Tengku Muhammad Faris sebagai seorang Pemangku Raja Kelantan tetapi hanya boleh dilaksanakan secara peribadi oleh Sultan.

"Pernaikkan takhta Responden Pertama ke Takhta Negeri Kelantan bukannya secara automatik. Beliau (Tengku Muhammad Faris) sebagai waris harus disahkan sebagai pemerintah yang berdaulat oleh Majlis Perajaan Negeri sebelum boleh dimahkotakan dan mula menjadi 'kedaulatan' Negeri Kelantan.

"Jika Responden Pertama tidak disahkan, putera kedua, iaitu Tengku Muhammad Faiz Petra sebagai waris kedua berhak untuk disahkan sebagai pemerintah berdaulat oleh Majlis Perajaan dan mengikut urutan pewarisan itu, plaintif sebagai waris yang lain berhak untuk disahkan sebagai pemerintah," katanya.

Katanya, pembatalan itu juga bertentangan dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan kerana ia diputuskan tanpa sebarang alasan dan notis terlebih dulu.

Beliau turut memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan responden keempat hingga kelima serta perintah quo warranto bagi mereka mengemukakan tunjuk sebab dan atas kuasa apa mereka berhak dilantik ke majlis itu.

Tengku Muhammad Fakhry diwakili peguam K Shanmuga dan Nizam Bashir, manakala semua responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi.

Tuesday, December 1, 2009

DPPNK Buat Laporan Polis



Malam ini, Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Kota Bharu berkaitan khabar angin bahawa satu perhimpunan haram bakal diadakan pada esok hari 01/12/2009 di hadapan pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kelantan, Kompleks Kota Darul Naim.

Laporan polis tersebut telah dibuat oleh Bendahari Pemuda Pas, Saudara Wan Azimin  Wan Adnan yang diiringi oleh 3 orang peguam (Hisham Fauzi, Ahmad Najib Deris dan Mohd. Abd Rashid Yah) dan hampir 30 orang anggota Pemuda Pas. Tujuan laporan polis itu dibuat supaya pihak polis mengambil tindakan segera bagi mencegah perhimpunan haram tersebut dari berlaku kerana ianya akan menggugat ketenteraman awam. Ianya juga dipercayai ingin menggugat pentadbiran kerajaan negeri.




Monday, November 23, 2009

Mahkamah tolak permohonan tangguh pilihan raya di Kota Siputeh

PUTRAJAYA, 23 Nov: Mahkamah Tinggi mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengadakan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Kedah segera dan menolak permohonan SPR untuk ditangguhkan.

Ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari berkuat kuasa 16 November lalu, kata hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam keputusannya hari ini.

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara yang mewakili SPR mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Seminggu sebelum itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa SPR wajar mengadakan pilihan raya kecil di kerusi berkenaan selepas didapati wujud kekosongan.

Namun Jumaat, 20 November lalu, SPR memohon hakim itu agar menangguhkan keputusan tersebut.

SPR memfailkan permohonan itu pada Rabu, 18 November selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sharif bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

Pada Sept 1, Speaker DUN Kedah memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam persidangan DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih merupakan ADUN kawasan berkenaan.
< Prev Next >

Sunday, November 8, 2009

MUTA’AH


1. DEFINISI MUTA’AH
Muta’ah berasal dari kalimah Bahasa Arab iaitu al-Mataa’ yang membawa maksud perkara yang menyukakan hati dan boleh dimanfaatkan. Dari segi syarak ialah pemberian harta yang diwajibkan ke atas suami untuk diserahkan kepada isteri setelah berpisah ( bercerai ) dengan syarat-syarat tertentu.

Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984, “ muta’ah “ bererti bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara’ kepada isteri yang dicerai “.

Kamus Dewan, edisi ketiga, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Tahun 2002, halaman 913 pula menyatakan erti muta’ah ialah pemberian suami ( tidak diwajibkan kepada isteri setelah diceraikan, manakala “kahwin mutaah” adalah kahwin kontrak atau sementara ( yang dibenarkan pada peringkat awal perkembangan Islam, tetapi kemudiannya diharamkan).

Apa yang hendak kita perbincangkan di sini, bukan kahwin kontrak tetapi, adalah muta’ah dari sudut pemberian @ sagu hati suami kepada bekas isteri selepas diceraikan untuk mengurangkan tekanan perasaan isteri dan sebagai bayaran gantian kesepian isteri oleh sebab perceraian yang berlaku antara mereka berdua.

Dalil wajib memberi muta’ah kepada mereka seperti firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ( surah 1: ayat 236 )
Mafhumnya :
“ Dan tidaklah kamu bersalah ( dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin / mahar) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh ( bercampur ) dengan mereka atau ( sebelum ) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka, walaupun demikian, hendaklah kamu memberi muta’ah ( pemberian sagu hati ) kepada mereka ( yang diceraikan itu ) Iaitu : Suami yang senang ( hendaklah memberi sagu hati itu ) mengikut ukuran kemampuannya: dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang ( yang mahu ) berbuat kebaikan”.

Dalil kedua dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 241:
Mafhumnya:
“Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat muta’ah ( pemberian sagu hati ) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang bertaqwa”.

2. GOLONGAN YANG BERHAK
Pemberian muta’ah wajib diberi oleh suami kepada bekas isteri dalam keadaan berikut :-
a) Apabila diceraikan selepas berlaku persetubuhan.
b) Isteri diceraikan sebelum disetubuhi dan mas kahwin pula tidak disebutkan semasa akad nikah.
c) Jika isteri dihukumkan supaya berpisah dengan suaminya ( perpisahan disebabkan oleh suami seperti dia murtad atau meli’an / menuduh isteri berzina. Perpisahan itu berlaku selepas persetubuhan atau sebelum persetubuhan dengan syarat mas kahwin tidak disebut dalam akad ).

Sekiranya isteri diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya disebut dalam akad nikah, isteri tidak berhak mendapat muta’ah. Ini kerana dia belum mendapat separuh daripada mas kahwin, sedangkan dia masih belum memberikan apa-apa khidmat kepada suaminya. Jika perceraiannya berlaku disebabkan oleh isteri seperti isteri murtad, perceraian secara khuluk ( tebus talak ) dan nusuz, isteri tidak berhak mendapat apa-apa. Walau bagaimanpun bagi kes isteri yang pernah disetubuhi, sekalipun perceraian itu berpunca daripada isteri sendiri tidaklah gugur haknya untuk mendapat mahar sepenuhnya.

3. PEMBERIAN MUTA’AH MENURUT ENAKMEN KELARGA ISLAM

Mengikut peruntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 ( Akta 303 ), di bawah seksyen 56 dalam tajuk muta’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut berbunyi seperti berikut : “ selain dari haknya memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon muta’ah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah dan mahkamah boleh selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. “

Permohonan untuk menuntut muta’ah perlu dibuat oleh isteri kepada mahkamah sekali dengan proses perceraian, tuntutan nafkah edah dan nafkah anak-anak. Pemberian muta’ah boleh dibuat dengan membuat bayaran sekali sahaja, berbeza dengan bayaran nafkah edah yang dibayar selama tempoh edah, begitu juga nafkah anak-anak yang berterusan sehingga anak-anak mencapai umur baligh.

4. KADAR MUTA’AH:
Penentuan kadar muta’ah, boleh dibuat atas persetujuan kedua-dua suami dan isteri dengan kadar tertentu atau sebaliknya, sekiranya mereka bersetuju dengan kadar harta yang tertentu, sama ada sedikit atau banyak kadar itulah yang diterima oleh isteri. Muta’ah itu sah berdasarkan kepada apa yang dipersetujui.

Jika mereka berselisih pendapat dalam menentukan kadarnya, kadhi ( hakim ) berhak menetapkannya berdasarkan keadaan mereka berdua, kedudukan kewangan suami, keturunan isteri dan sifat-sifatnya. Ini disandarkan kepada ayat al-Quran, surah al-Baqarah : 236 yang bermaksud :
“ Hendaklah kamu memberikan muta’ah ( pemberian sagu hati ) kepada mereka ( yang diceraikan itu ). Iaitu suami yang senang (hendakalah memberi sagu hati itu) menurut ukuran kemampunnya, dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya”.

Kadar muta’ah yang digalakkan ialah tidak kurang daripada 30 dirham atau yang senilai dengannya, dan tidak melebihi separuh daripada kadar mahar misil ( mahar yang munasabah ) Mahar misil biasanya diqiaskan kepada mahar perempuan yang setanding dengannya daripada kerabatnya sendiri seperti saudara perempuannya yang seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Perkara-perkara lain juga perlu diambil kira dalam menentukan kadar mahar misil itu termasuklah segi kecantikan, kekayaan dan tempat: kerana mahar tidak sama antara negeri-negeri. Masing-masing mempunyai adat dan tradisi yang tersendiri. Begitu juga status perempuan kerana menurut kebiasan, gadis lebih digemari atau diingini daripada janda. Demikian juga kematangan akal fikiran, keagamaan, keluhuran budi, pengetahuan, adab kesopan dan sebagainya.

Tidak semestinya disamakan betul-betul antara dua orang perempuan yang dikira setanding dalam segenap segi: cukup dengan persamaan yang hampir ternyata tiada jurang perbezaan yang jauh. Ini terserah kepada budi bicara pihak-pihak yang berkenaan di dalam keluarga dan masyarakat.

Menurut Mahzab Syafie, tidak ada penetapan kadar muta’ah, sekurang-kurangnya ialah apa jua yang ada nilai dan tiada pementuan kadar maksimumnya. Jika kedua-dua suami isteri bersetuju pada sesuatu kadar maka itulah yang sebaik-baiknya. Jika tidak, hendaklah di tentukan oleh kadhi ( mahkamah ) menurut kedudukan kedua-duanya. Kadar muta’ah itu disunatkan jangan terkurang daripada tiga puluh dirham dan jangan pula sampai kepada had separuh mahar ( mas kahwin ).

6. KESIMPULAN:
Sebagai kesimpulan daripada perbincangan ini dapatlah kita fahami bahawa muta’ah ialah pemberian sagu hati kepada isteri setelah berlaku perceraian, bagi tujuan meringankan bebanan dan kesusahan disebabkan perpisahan dan mengubati perasaan sakit hati serta rasa benci yang memuncak hasil daripada perceraian tersebut.
Pemberian muta’ah sebaik-baiknya dibuat atas kemampuan dan kesanggupan kedua-dua pihak dan persetujuan mahkamah. Perlu difahami mahkamah bukan medan membuka keburukan suami atau isteri,
tetapi merupakan tempat mendapat keadilan bersama .

Rujukan :
1. al-Quran al-Karim ( surah Al-Baqarah, ayat 236 ).
2. Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran (Edisi Rumi), Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, cetakan kelima Tahun 1992.
3. Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Edisi Ketiga Tahun 2002.
4. Kitab Fikah Mahzab Syafie- Bab Undang-Undang Kekelurgaan oleh Dr. Musfafa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali asy-Syarbaji, Pustaka salam Sendirian Berhad - Cetakan 1, Tahun 2002.
5. Asas Kefahaman Islam ( Bahasan empat mahzab: Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali ) oleh Hassan Salleh, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Tahun 1992.
6. Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 ( Akta 303 ) International Law Book Services, Tahun 1995.

Mahayudin bin Abu bakar
Penolong Pengarah
Unit Pengurusan NCR
Bahagian KESUMA
JAKIM