Konsep 'tawaran pengakuan bersalah' - yang memberi pengurangan 50 peratus hukuman maksimum bagi mereka yang mengaku bersalah - akan dilaksanakan tidak lama lagi, kata Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi.
Zaki berkata ia akan dilaksanakan ke atas pesalah kali pertama dan bertujuan untuk mempercepatkan penyelesaian kes jenayah.
Pada masa ini, tambahnya, taklimat mengenainya sedang diberikan kepada para hakim, peguam dan juga (bahagian) pendakwaan Jabatan Peguam Negara.
Zaki memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di persidangan kedua hakim-hakim 2010 di ibunegara hari ini.
Menurutnya lagi, satu sesi diadakan dalam persidangan hakim-hakim, untuk memberi taklimat kepada hakim-hakim mengenai pindaan terhadap Kanun Prosedur Jenayah (CPC).
Persidangan tiga hari akan dihadiri oleh 128 hakim dan pesuruhjaya kehakiman dan hakim. Ia dijalankan secara tertutup.
Pindaan terhadap CPC telah diluluskan oleh Parlimen Jun lalu dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, ianya belum dilaksanakan, sementara menunggu pertimbangan lanjut Pejabat Peguam Negara serta Jabatan Perdana Menteri.
KOTA BHARU, 2 Ogos: Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Dewan Pemuda PAS Kelantan yang telah bermesyuarat semalam mengambil keputusan mendesak kerajaan Malaysia memberhentikan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan dan lesen kenderaan akibat menerima saman ekor.
Pengerusinya, Hisham Fauzi berkata, ini adalah sebagaimana yang telah diputuskan oleh mahkamah di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang –vs- Director Of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280 yang secara jelas menyatakan bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan tidak boleh menyenarai hitam kenderaan semata-mata dengan saman ekor.
Ini kerana, tindakan menyenaraihitamkan kenderaan atas sebab saman ekor adalah bertentangan dengan seksyen 17 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan merupakan satu perlanggaran kepada Artikel 13 Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, setelah sedemikian diputuskan oleh mahkamah, kenapakah pihak kerajaan dan JPJ masih melakukan perkara ini? Tidakkah keputusan mahkamah ini perlu dihormati dan diikuti?” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Tegasnya, tindakan sebegitu adalah merupakan suatu penganiyaan ke atas rakyat Malaysia dan perlu diberhentikan segera.
“Kami juga dengan ini mendesak agar Kerajaan Malaysia dan JPJ bersegera dalam menarik balik penyenaraian hitam ini kerana isu ini sudahpun diselesaikan oleh mahkamah,” katanya yang juga Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan.
Tambahnya, tinggal lagi sama ada Kerajaan Malaysia dan JPJ mahu mematuhi perintah mahkamah tersebut atau tidak.
“Pihak kami juga berkeputusan bahawa jika situasi ini tidak berubah, maka suatu tindakan perundangan lain akan dimulakan bagi membela rakyat yang secara nyata telah ditindas dalam isu ini,” ujarnya.
Empat pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang didakwa terlibat dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor April lepas berjaya mendapat perintah injunksi sementara bagi menghalang UKM daripada meneruskan prosiding tatatertib terhadap mereka.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas kedua-dua pihak bersetuju melanjutkan perintah injuksi sebelah pihak yang diperoleh pelajar itu pada 1 Jun lepas, sehingga pelupusan saman pemula mereka.
Keempat-empat pelajar itu dari jurusan Sains Politik, pada 1 Jun lepas memfailkan saman pemula terhadap kerajaan Malaysia, Menteri Pengajian Tinggi dan UKM, bagi mencabar tindakan tatatertib yang dibawa kepada mereka oleh universiti itu, atas kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti & Kolej Universiti 1971 (AUKU), adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.
Pelajar itu tiga lelaki, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon King Chai, 22, Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan seorang pelajar perempuan, Azlin Shafina Mohamad Adza, 22, pada ketika kejadian berada di tahun kedua pengajian dan akan memulakan pengajian tahun ketiga mereka pada Julai ini.
AUKU bertentangan Perlembagaan
Mereka juga memohon deklarasi bahawa Seksyen 15(5)(a) AUKU, adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sah, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Seksyen itu menyebut bahawa tiada seorang pun pelajar universiti boleh menyatakan atau melakukan apa jua yang boleh ditafsirkan sebagai sokongan atau simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik sama ada di dalam atau di luar negara.
Mahkamah menetapkan 9 Julai ini bagi mendengar saman pemula itu.
Dalam saman itu, mereka mendakwa universiti itu melalui satu surat bertarikh 13 Mei, telah meminta mereka hadir ke bilik mesyuarat universiti itu pada 2 Jun bagi menjawab dakwaan terhadap mereka, dan jika mereka tidak hadir atau tidak mengemukakan apa-apa representasi bertulis dalam tempoh 14 hari, mereka dengan serta-merta akan digantung daripada menjadi pelajar universiti itu.
Salah seorang pelajar itu, Muhammad Hilman, dalam afidavitnya bagi menyokong saman pemula itu mendakwa pada April lepas, mereka berada di Hulu Selangor antara lain untuk membuat pemerhatian secara langsung bagi membantu pemahaman mereka mengenai situasi sebenar semasa kempen sesebuah pilihan raya kecil.
"Kami juga berhasrat untuk memerhatikan cara bagaimana pihak-pihak politik dari kedua-dua parti utama yang bertanding menarik undi rakyat dalam keadaan politik negara kita yang dikatakan menuju ke arah politik baru," katanya.
Bagaimanapun, mereka telah ditahan oleh polis serta pasukan pemantauan pilihan raya kementerian pengajian tinggi dan pegawai pemantau UKM dan diarahkan keluar dari kawasan itu.
Keempat-empat pelajar itu diwakili peguam Haris Ibrahim dan Ashok Kandiah, manakala peguam kanan persekutuan Aida Adha Abu Bakar mewakili kerajaan Malaysia serta Menteri Pengajian Tinggi dan peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili UKM.
Pengamal undang-undang Islam perlu ilmu mendalam untuk rujukan sumber hukum
KENYATAAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa peguam syarie di Mahkamah Syariah mestilah terdiri daripada mereka yang beragama Islam hendaklah dilihat dari sudut positif. Syarat itu sudah pun termaktub di dalam Kaedah-Kaedah Peguam Syarie yang sudah diluluskan.
Umpamanya, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) mensyaratkan Islam sebagai kriteria yang perlu dipenuhi sebelum layak dilantik sebagai Peguam Syarie di Wilayah-Wilayah Persekutuan.
Di Selangor pula, Kaedah-Kaedah Peguam Syarie (Negeri Selangor) 2008 memasukkan syarat Islam ini. Oleh itu, sejak 2008, tiada Peguam Syarie bukan Islam diterima masuk sebagai Peguam Syarie di Selangor.
Mengikut hukum asal, seorang peguam bukan Islam tidak dihalang menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah. Selagi seseorang itu boleh bertindak bagi anak guamnya berdasarkan kepada nisbah atau gantian, maka seseorang bukan Islam itu harus menjadi peguam syarie di mahkamah syariah.
Namun undang-undang di kebanyakan negeri di Malaysia pula menetapkan bahawa seorang peguam syarie itu hendaklah menganut agama Islam di samping beberapa syarat lain seperti berkaitan dengan kelayakan, kebersihan daripada pertuduhan jenayah dan banyak lagi.
Pelantikan seseorang peguam syarie oleh anak guamnya di mahkamah sebenarnya adalah berdasarkan konsep al wakalah bil khusumah atau perwakilan di dalam sesuatu pertikaian. Oleh kerana orang yang memberi wakil itu tidak berkeupayaan daripada sudut undang-undang mengendalikan perbicaraan dengan baik, orang yang menerima wakil (iaitu peguam syarie) hendaklah mampu memberi nasihat dan perkhidmatan kepada anak guamnya di dalam sesuatu pertikaian di mahkamah.
Persoalan timbul pula sama ada keperluan menganut Islam di dalam Kaedah-Kaedah Peguam Syarie untuk menjadi peguam syarie itu bercanggah dengan hukum syarak atau tidak? Bagi menjawab persoalan ini, perlulah kita meneliti status dan kedudukan mahkamah syariah itu sendiri.
Seperti yang ramai sudah maklumkan, orang bukan Islam tidak tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah syariah. Segala tindakan yang diambil oleh mahkamah syariah tidak memberi kesan kepada orang bukan Islam termasuklah peguam syarie yang bukan Islam.
Dalam konteks ini, adakah seorang peguam syarie bukan Islam tertakluk kepada mahkamah syariah ketika beliau mengendalikan kes di mahkamah syariah? Sudah tentu jawapannya adalah dalam bentuk negatif. Oleh itu, sekiranya seorang bukan Islam itu diterima menjadi peguam syarie dan menjalankan tugas di mahkamah syariah, katakanlah peguam syarie bukan Islam ini melanggar etika, adakah boleh dikenakan atas penghinaan mahkamah syariah?.
Sudah tentu peguam bukan Islam ini akan mengatakan beliau tidak terikat dengan mahkamah syariah. Apabila perkara ini berlaku, sudah tentulah mahkamah syariah menjadi haru biru. Tidak ada kawalan terhadap beliau seperti peguam syarie beragama Islam yang tertakluk kepada etika, tindakan tatatertib dan sebagainya. Sudah pastilah berdasarkan hakikat ini, penggubal kaedah peguam syarie mensyaratkan keperluan menganut Islam itu.
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) melalui Timbalan Presidennya Musa Awang juga terkejut dengan kebenaran yang diberikan oleh mahkamah sivil bagi menyemak keputusan kerajaan yang mengehadkan peguam syarie kepada orang Islam saja.
Saya yakin tindakan PGSM ini bukanlah semata-mata ingin menjaga periuk nasi peguam syarie Islam saja, malah lebih kepada keprihatinan PGSM terhadap prosiding mahkamah syariah. Saya percaya ahli-ahli PGSM tidak pernah syak kepada rezeki yang ditentukan oleh Allah SWT.
Malah isu penerimaan peguam syarie ini pun sebenarnya termasuk di dalam bidang kuasa mahkamah syariah dan mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa mendengar atau memutuskannya apatah lagi mencampuri urusannya.
Hal ini amatlah jelas berdasarkan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menegaskan hal ehwal agama Islam termasuk prosiding dan hal ehwal di mahkamah syariah adalah dalam bidang kuasa mahkamah syariah.
Bagi saya, tidak timbul soal diskriminasi di dalam isu ini yang menyebabkan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan dicabuli. Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan hak sama rata di sisi undang-undang. Namun Perkara 8(5) memberi justifikasi untuk mengehadkan peguam syarie Islam saja beramal di mahkamah syariah. Perkara 8(5) itu berbunyi:
8(5) Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang a) apa-apa peruntukan yang mengawal selia undang-undang diri; b) apa-apa peruntukan atau amalan yang mengehadkan jawatan atau pekerjaan yang berkaitan hal ehwal mana-mana agama; atau sesuatu institusi yang diuruskan oleh sekumpulan orang yang menganuti mana-mana agama kepada orang yang menganuti agama itu.
Oleh hal yang demikian, mahkamah syariah termasuk di dalam kategori yang disebutkan di atas.
Seperkara lagi yang perlu kita teliti ialah sama ada perlu atau tidak profesion peguam syarie ini dibuka kepada orang bukan Islam? Bagi saya jawapannya tidak perlu kerana sudah ramai orang Islam yang menjadi peguam syarie.
Lebih-lebih lagi kualiti peguam syarie bukan Islam masih boleh dipertikaikan kerana mereka tidak mahir berbahasa Arab atau merujuk kepada kitab lama yang dipanggil kitab thurath. Undang-undang Islam bukanlah hanya cabang undang-undang semata-mata, ia bersendikan al-Quran dan hadis serta pandangan ulama-ulama silam dan kini.
Ia juga mencakupi elemen rohaniah yang akan mengawal peribadi dan perilaku seseorang peguam syarie. Kebetulan pula saya sendiri adalah seorang peguam sivil dan pada masa sama juga menjadi peguam syarie. Apabila saya mengendalikan kes syariah, saya lebih berhati-hati kerana sentimen beragama itu wujud. Kadangkala memahami kitab-kitab lama juga mengambil masa panjang.
Berbalik kepada hukum Syarak, sudah pasti hukum sesuatu itu boleh berubah berdasarkan kepada keperluan semasa dan tempat. Oleh hal yang demikian hukum bukan Muslim yang mahu menjadi peguam syarie itu boleh berubah.
Oleh kerana memang wujudnya keperluan tertentu bagi menjadi peguam syarie, syarat itu mestilah dipatuhi. Profesion peguam syarie memerlukan ilmu mendalam di dalam tatacara dan hukum syarak. Tidak sekali-kali kualiti peguam syarie boleh dikompromi atau diganggu gugat. Kegagalan merujuk kepada sumber hukum yang asal atau hanya bergantung kepada terjemahan saja akan menyebabkan hujah yang dikemukakan kadangkala tidak tepat serta tergelincir daripada landasan kebenaran.
Oleh yang demikian, bagi saya walaupun hukum asal mengharuskan orang bukan Islam menjadi peguam syarie, isu ini membabitkan hukum dan kemampuan menegakkan keadilan. Keadilan di sini adalah dalam erti kata bagaimana anak guam akan memberi kepercayaan kepada peguam bukan Muslim ini.
Hal ehwal mahkamah syariah adalah hal ehwal agama Islam. Sudah pasti tidak molek jika orang bukan Islam juga berkecimpung di dalam guaman syarie ini. Orang Islam juga tidak pernah mencampuri urusan agama orang lain.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia dan boleh dihubungi melalui e-mel di zainul.rijal@abubakar.my
Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menolak permohonan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang disingkirkan, V Sivakumar, untuk mengenepikan keputusan membenarkan tiga ADUN yang keluar parti menjadi wakil Bebas mengekalkan kerusi masing-masing.
Sivakumar dalam permohonannya berkata keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini dibuat tanpa kuasanya dan mahu keputusan itu dibatalkan.
Penghakiman pada 9 April itu menafikan bahawa kerusi tiga ADUN yang berpaling tadah itu yang diisytiharkan kosong oleh Sivakumar supaya pilihan raya kecil boleh diadakan.
Keputusan panel tiga hakim hari ini juga mengesahkan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai kuasa mutlak mengisytiharkan kerusi berkenaan kosong.
Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohammad, berkata satu kajian perlu dibuat berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur membenarkan seorang peguam bukan Islam mendapatkan semakan kehakiman bagi membolehkannya menjadi peguam syarie.
Katanya, ini kerana Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah Negeri Kelantan yang dikuatkuasakan sejak 1982 dan enakmen pentadbiran Mahkamah Syariah yang digunapakai oleh semua negeri sekarang tidak membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes yang membabitkan undang-undang syariah.
"Kajian atau penelitian perlu dibuat bagi mendapatkan penjelasan sebenar berhubung perkara itu berdasarkan perundangan dan Perlembagaan Negara.
"Isu membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes-kes yang membabitkan mahkamah syariah, adalah sesuatu yang agak luar biasa," katanya di Kota Bharu, hari ini.
Beliau mengulas mengenai seorang peguam wanita yang bukan beragama Islam memperoleh kebenaran dari Mahkamah Tinggi Sivil di Kuala Lumpur Jumaat lalu dalam usaha awalnya menjadi seorang peguam syarie di Wilayah Persekutuan.
Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh membenarkan Victoria Jayaseele Martin mendapatkan semakan kehakiman untuk satu perintah mandamus (untuk memaksa kerajaan mematuhi perintah mahkamah) bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerimanya sebagai peguam syarie tanpa mengambil kira beliau bukan orang Islam.
Sehubungan itu, Daud meminta pihak yang tidak memahami undang-undang supaya tidak mempersoalkan perkara ini sehingga menimbulkan isu kontroversi kerana ia membabitkan undang-undang.
Seorang peguam wanita yang bukan beragama Islam, Victoria Jayaseelee Martin, hari ini memperolehi kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk beliau berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran kepada permohonan untuk suatu perintah bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menerima masuk Victoria sebagai peguam syarie.
Ini adalah kes pertama di Kuala Lumpur apabila seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja boleh bekerja sebagai peguam di Mahkamah Syariah.
Hakim Zawawi yang membenarkan permohonan itu menolak bantahan yang dikemukakan oleh MAIWP.
Victoria (atas, kanan) mendapat kelulusannya pada tahun 2004 daripada Universiti Islam Antrabangsa dan berkata beliau ingin menjadi peguam syarie demi kepentingan keadilan.
Di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, syarat sebelum seseorang boleh menjadi peguam syarie adalah dia mesti merupakan seorang Islam.
Di negeri-negeri lain, bukan Islam dibenarkan menjadi peguam syarie.
Bagaimanapun, Selangor baru-baru menarik balik kekecualian itu dan hanya peguam Islam yang dibenarkan di mahkamah syariah di negeri itu.
Victoria diwakili oleh peguam Ranjit Singh, manakala pendakwa kanan persekutuan, Nadia Hanim Mohd Tajuddin mewakili MAIWP.
Victoria, yang mempe
roleh Diploma dalam Undang-undang dan Amalan Syariah (DSLP) pada 2004 dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, mengambil tindakan undang-undang di Mahkamah Sivil selepas permohonanya sebagai peguam syarie ditolak MAIWP Islam melalui jawatankuasa peguam syarie.
Beliau berkata melalui sepucuk surat bertarikh 6 April, 2006, beliau menghantar permohonan tetapi MAIWP memaklumkan beliau bahawa permohonannya sedang diproses.
Selepas lebih tiga tahun, tiada jawapan daripada MAIWP berhubung permohonannya.
Katanya melalui sepucuk surat bertarikh 4 Ogos, 2009 beliau memohon semula sebagai peguam syarie tetapi MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie melalui sepucuk surat bertarikh 9 Sept, 2009 menolak permohonannya atas alasan bahawa beliau bukan Islam.
Beliau kemudian memfailkan permohonan kebenaran pada 23 Oktober tahun lalu yang antara lain untuk satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP kerana menolak permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.
Victoria juga mahukan satu pengisytiharan bahawa Kaedah 10 daripada Rukun Peguam Syarie 1993, yang memberi mandat bahawa orang Islam sahaja boleh diterima sebagai peguam syarie adalah ultra vires kepada Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah Persekutuan) 1993.
Beliau juga menuntut satu pengisytiharan bahawa di bawah kaedah yang sama, yang memberi mandat bahawa hanya orang Islam diterima sebagai peguam syarie, adalah bertentangan dengan Artikel 8(1), 8(2), 5 dan 10(1) Perlembagaan Persekutuan.
Peguamnya, Ranjit Singh memberitahu pemberita bahawa hakim menolak hujahan MAIWP bahawa hanya Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa bagi mendengar permohonan anak guamnya berhubung permohonan menjadi peguam syarie.
Katanya beliau memaklumkan hakim bahawa mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk menangani perkara itu.
Ranjit berkata hakim juga menolak hujahan MAIWP bahawa jika Victoria tidak berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Majlis Agama, beliau boleh membuat rayuan dengan majlis itu.