Sunday, October 30, 2011

Tamrin Pimpinan Peguam



Pada 21 & 22 Oktober 2011, satu Tamrin Pimpinan Peguam telah diadakan oleh Lajnah Tarbiah PAS, Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan bertempat di Markaz Dewan Ulama (MADU) Labok, Machang.

Seramai 21 orang Peguam PAS yang juga ahli Lajnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) telah mengikuti tamrin selama dua hari tersebut.

Lima kertas kerja telah dibentang semasa tamrin tersebut oleh para pembentang yang berkaliber dan berpengalaman dalam soal tarbiyah dan perjuangan. Tamrin tersebut turut menjadi medan untuk merapatkan ukhwah dikalangan para peguam PAS Kelantan terutamanya golongan pelapis yang hadir sama. 

Semakan Undng-Undang Pilihan Raya


Pada 26/10/2011 yang lalu, satu Persidangan Meja Bulat Semakan Undang-Undang Pilihan Raya anjuran Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda PAS Pusat telah diadakan di Citrus Hotel, Kuala Lumpur.  

Persidangan tersebut diadakan bagi mendapatkan input berkaitan undang-undang pilihan raya di Malaysia yang patut dan perlu diubah suai atau dikemas kini bagi memastikan integriti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terjamin serta proses pilihan raya di masa hadapan lebih adil dan telus.

Input dan hasil persidangan meja bulat tersebut akan dibawa oleh YB Dr Mohd Hatta Ramli selaku salah seorang ahli jawatankuasa yang mewakili PAS kepada Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya. Persidangan itu dihadiri oleh wakil peguam setiap negeri termasuklah bekas Pengarah SPR Negeri Kelantan, Tuan Haji Abdul Rahim Salleh.

Peguam-peguam dari Kelantan yang terlibat dalam persidangan tersebut ialah Hisham Bin Fauzi, Hilmi Bin Abdullah, Hatman Bin Abdullah, Firdaus Bin Mohd Yusoff dan Mohd. Abd. Rashid Bin Yah.

Banyak resolusi yang diperolehi hasil daripada persidangan tersebut terutamanya mengenai akta-kata dan peraturan-peraturan pilihan raya yang memerlukan pindaan. 

Thursday, October 13, 2011

Selesainya Kes BERSIH 2.0 Di Kelantan


Sejak fenomena BERSIH 2.0, dua kes tangkapan telah dibuat oleh pihak polis di Kelantan. Zakaria Bin Che Wail dan Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin telah didakwa di bawah seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966.

Pada 26 September lalu, Zakaria Che Will, 40, yang  didakwa menjual sebanyak baju-T berwarna kuning bertulis Bersih di Jalan Datuk Pati di Kota Bharu pada juga dilepas tanpa dibebaskan.

Perbicaraan kes tersebut diadakan di Mahkamah Majistret Kota Bharu di hadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor. Zakaria diwakili peguam Hatman Abdullah, Mohd Ab Rashid dan Mohd Murtaza Mokhtar, manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Abdul Razak Wan Hussin.

Manakala Mohd Amizul Fazly Muhamed Sudin, 33 yang ditahan atas dakwaan memiliki t-shirt bertulis perkataan Bersih 2.0 pada Julai lalu hari ini dilepas tanpa dibebas Mahkamah Majistret Bachok pada 12/10/2011.

Perbicaraan di lakukan dihadapan Majistret Mohd Hafiz Mohd Nor.  Mohd Amizul Fazly diwakili peguam Firdaus Mohd Yusoff, Mohd Alami Lazim dan Mohd Abd Rashid Yah dan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wong.

Zakaria dan Amizul Fazly telah dilepas tanpa dibebaskan oleh Majistret berkenaan selepas pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah bahawa mereka telah mendapat arahan Jabatan Peguam Negara supaya tidak meneruskan kes itu. Ekoran arahan tersebut majistret kemudian melepas tanpa membebas kedua-dua tertuduh.

Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan (DPPNK) telah mendapat mandat khusus bagi mewakili kedua-dua tertuduh dalam kes ini. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peguam LUHAM yang terlibat dalam kes ini.

Tuesday, March 29, 2011

Remaja ditembak UPP jumpa menteri, tuntut keadilan

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Remaja yang menjadi mangsa tembakan anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) di Tumpat Februari lalu, hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.
Memorandum itu bagi mendesak tindakan segera diambil termasuk memastikan siasatan yang adil oleh pihak polis.

Ahmad Nizamuddin Mohamad, 19, yang hadir ke Parlimen bersama peguam dan keluarga turut menyatakan rasa tidak puas hati ekoran tindakan pihak polis hanya menyiasat berdasarkan laporan pihak UPP dan mengenepikan laporan yang dibuat keluarga mangsa.

"Kami melihat tindakan anggota UPP berkenaan menembak Ahmad Nizamuddin sebagai cubaan menghapuskan bukti bahawa kematian Allahyarham Said adalah akibat dipukul," kandungan memorandum itu dipetik.

"Kami sangat-sangat tidak berpuas hati kerana walaupun laporan polis telah dibuat, namun pihak polis masih gagal bertindak sehingga hari ini," kata mereka lagi.

Turut mengiringi mereka ialah Ahli Parlimen Tumpat dan Rantau Panjang, Datuk Kamaruddin Jaffar dan Siti zailah Mohd Yusof.

Nazri dalam pada itu berjanji akan memanjangkan perkara itu kepada Ketua Polis Negara untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian 16 Februari lalu, mangsa telah ditembak di perut dan dada manakala bapa saudaranya Said Mat Hassan, 56, meninggal dunia di Hospital Kelaboran, Tumpat selepas ditahan anggota UPP.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi sebelum ini mendakwa, Said ditemui empat anggota UPP dalam sebuah kereta Kancil di tepi jalan di Kampung Wakaf Tin, Tumpat pada jam 7.45 pagi dalam keadaan lemah, berwajah pucat serta mulutnya berbuih.
Katanya, anggota UPP itu turut menemui 20 guni beras siam dalam kereta berkenaan.

Menurutnya, melihat keadaan Said yang tenat, anggota UPP membawanya ke Hospital Tumpat untuk mendapat rawatan. Said disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital itu.

Sunday, February 13, 2011

Susah mahu jadi peguam?


Oleh Dr. Zaleha Kamaruddin

BELUM selesai kes sama ada bukan Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, dunia perundangan kembali dipanaskan dengan isu kualiti peguam sivil pula.

Kekhuatiran yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam (sama ada bertempat atau tidak) sejak era 80-an adalah berasaskan fakta terkini. Majlis Peguam memetik angka lebih kurang 1,000 peguam baru diterima masuk setiap tahun. Oleh kerana jumlah yang besar, maka kemasukan mereka dalam bidang profesional ini dicadangkan supaya ditapis ketat untuk memastikan kualiti dan kecekapan kepeguaman terjamin. Lantas tercetus cadangan satu sistem proses penilaian iaitu dalam bentuk kursus dan peperiksaan yang sama (Common Bar Course and Examination-CBE).

Walaupun pada dasarnya cadangan itu nampak murni dan baik, beberapa perkara perlu diteliti terutama dari aspek praktikal sebelum ia dilaksanakan. Cadangan ini walaupun dibantah universiti tempatan tetapi mendapat sokongan dari Lembaga Kelayakan. Ini ditunjukkan melalui penubuhan satu pasukan penilai pada 2008 yang diketuai Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan. Ia bertujuan menilai sama ada graduan dari Universiti Utara Malaysia dan Universiti Multimedia boleh dikecualikan dari Sijil Amalan Guaman (CLP). Pengecualian itu hanya bagi tempoh dua tahun dan akan tamat sekiranya tidak diperbaharui pada 15 April ini. Kekhuatiran tersebut boleh bertukar igauan ngeri. Implikasinya, sekiranya tidak diperbaharui, graduan undang-undang dari kedua-dua universiti perlu lulus CLP sebelum boleh memulakan Latihan dalam Kamar (chambering). Boleh dikatakan dua kali rugi kerana pertamanya jangkamasa yang lebih panjang (empat tahun) berbanding dengan graduan undang-undang lulusan luar negara (hanya tiga tahun) dan kedua, “kesilapan” membuat pengajian di kedua-dua universiti ini.

Cadangan Majlis Peguam ini perlu diteliti dari pelbagai sudut. Pertama, isu masa depan sekiranya memilih kerjaya dalam bidang perundangan. Sekiranya, cadangan ini diterima, ramai pelajar tempatan akan merungut tentang jangkamasa yang perlu diambil untuk tamat belajar sebelum boleh beramal sebagai peguam iaitu secara dasarnya empat tahun untuk memperolehi Sarjana Muda Undang-undang dengan Kepujian - LL.B (Hons), setahun lagi untuk CBE (sekiranya diwajibkan), dan sekiranya lulus, baharulah boleh menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan. Keseluruhannya, jangkamasa minimum adalah hampir enam tahun.

Profesion ini akan menjadi semakin elit sekiranya cadangan Majlis Peguam untuk meningkatkan mutu kepeguaman adalah keperluan kepada penguasaan bahasa Inggeris yang baik.

Penguasaan

Aspek bahasa perlu dilihat dengan sangat teliti kerana kemampuan berbahasa terutama penguasaan Bahasa Inggeris yang baik tidak datang dalam waktu yang singkat dan pembelajaran semasa CBE. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa Melayu terutama di mahkamah perlu ditekankan juga. Ramai peguam terutama yang lama lebih fasih berbahasa Inggeris dari bahasa Melayu. Mereka juga lebih selesa menggunakan bahasa tersebut di mahkamah walaupun lahir dan telah lama tinggal di Malaysia!

Antara aspek lain yang penting dan perlu diteliti adalah kelayakan akademik seseorang sebelum dikira sebagai orang yang “berkelayakan”. Pengajaran dan pembelajaran undang-undang di enam universiti tempatan dikawalselia oleh Lembaga Kelayakan Malaysia dan Lembaga Kelayakan Profesion Perundangan yang dipengerusikan Peguam Negara. Selain dari kelayakan dari Universiti Malaya, National University of Singapore dan Barristers dari England, sebarang perubahan status kelayakan yang telah ditetapkan oleh Lembaga hanya boleh dibuat melalui pindaan statut. Dengan adanya dua lembaga mengawal mutu pengajaran dan pembelajaran undang-undang, perlukah kita lagi kepada CBE atau cukup dengan beberapa latihan praktikal sahaja?

Dari segi jangkamasa pembelajaran, secara perbandingan dengan graduan undang-undang lulusan luar negara yang ingin beramal, mereka hanya perlu mempunyai kelulusan undang-undang tanpa kepujian (tiga tahun sahaja) dan lulus CLP sebelum menjalani latihan dalam kamar selama sembilan bulan. Mereka boleh menjimatkan setahun di situ. Graduan undang-undang luar negara mendesak supaya CLP dibatalkan kerana peratus yang gagal adalah tinggi. Sijil ini diperkenalkan pada tahun 1984 sebagai menampung keperluan sementara bagi membantu graduan undang-undang keluaran universiti British yang gagal mendapat markah baik (sekurang-kurangnya Kelas Kedua Rendah) dan tidak dibenarkan menduduki peperiksaan akhir untuk English Bar.

CLP juga memperkenalkan pembelajaran terutama aspek prosedur yang telah pun diikuti oleh graduan undang-undang tempatan semasa di tahun empat dan aspek penyesuaian undang-undang seperti yang terpakai di Malaysia. Sekiranya CLP dihapuskan, di manakah graduan undang-undang dari luar negara belajar tentang Sistem Perundangan Malaysia dan subjek-subjek prosedur? Sekiranya mereka ingin beramal sebagai peguam di Malaysia, mereka perlu memahami undang-undang Malaysia kalau tidak sistem perundangan kita akan menjadi porak peranda. Sekiranya CBE hendak diteruskan dan di situlah pengajian tentang prosedur diterapkan, maka pelajar tempatan sepatutnya hanya perlu mengikuti tiga tahun pengajian undang-undang sahaja.

Desakan memansuhkan CLP perlu diteliti kewajarannya kerana terdapat beberapa isu penting seperti kelayakan akademik yang baik sebagai pra-syarat untuk mengikuti program undang-undang bagi pelajar di universiti tempatan. Seperti kata pepatah Melayu, “benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau”.

Dalam kebanyakan kes, pelajar undang-undang di tempatan biasanya adalah crème-de-la creme. Bagaimanapun, peluang juga diberi kepada pelajar yang kurang baik prestasi akademik semasa peringkat kemasukan. Faktor ini sebenarnya memberi kesan kepada prestasi akademik. Perkara ini disokong oleh kenyataan para hakim dan peguam yang berpengalaman bahawa terdapat graduan undang-undang dalam kategori “from the good to the grotesque”.

Dalam konteks ini, penyelesaian kepada masalah kualiti peguam bukannya terletak di hujung pengajian tetapi di awal pembelajaran itu sendiri. Sekiranya pelajar tersebut tidak sesuai mengikuti pengajian undang-undang (not wired-up for law), pelajar tersebut bukanlah bodoh tetapi potensinya boleh disalurkan kepada bidang yang diminati pelajar tersebut. Kita tidak perlu melayan kehendak ibubapa yang mahukan anak mereka mempunyai kerjaya yang dikatakan glamor.

Jika kita serius tentang kualiti peguam yang bakal kita hasilkan, kita perlu menapis seperti tapisan di England. Kenapa mereka yang gagal di sana diterima di sini? Jawapannya adalah kerana kita ingin memberi peluang kedua kepada pelajar kita. Kalau itulah semangatnya, maka dalam melaksanakan niat itu, kita perlu berlaku adil. Adakah adil mengadakan syarat yang sama kepada orang yang dalam kategori yang berlainan atas alasan mengawal kualiti?

Tulisan ini saya akhiri dengan satu fakta paling menarik untuk direnung. Majlis Peguam dalam laporan yang dikemaskini pada 31 Disember 2010, menyatakan terdapat 13,350 peguam yang beramal di Malaysia di mana separuh daripada mereka berkelulusan dari luar negara. Dari segi pecahan kaum, peguam berbangsa Melayu adalah 5,190, Cina (5,025), India (2,517), Punjabi (485) dan 129 peguam dari bangsa-bangsa lain. Cabaran yang dihadapi oleh Majlis Peguam sebenarnya apa? Kuantiti atau kualiti? Cabaran yang dihadapi oleh universiti tempatan pula, kalau graduan tempatan bagus, kenapa perlu takut kepada CBE?

Persidangan Meja Bulat


Baru-baru ini satu Persidangan Meja Bulat Penambahbaikan Undang-Undang Syariah telah diadakan di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan. Persidangan tersebut telah dianjurkan oleh Urusetia Pembangunan Wanita Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan. Persidangan tersebut melibatkan pengamal undang-undang yang terdiri dari ahli Luham, pegawai Mahkamah Syariah serta pihak pendakwaan Syariah.

Persidangan tersebut diadakan bertujuan untuk mengkaji aspek-aspek yang perlu dipinda atau ditambah dalam enakmen undang-undang syariah Negeri Kelantan bagi memperkasakan lagi undang-undang tersebut.

Ia merupakan langkah pertama dan akan disusuli dengan persidangan seterusnya sehinggalah matlamat persidangan tersebut tercapai.

Thursday, February 10, 2011

Sultan Ismail Petra gagal cabar pemasyhuran

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak petisyen Sultan Ismail Petra untuk mencabar pelantikan putera sulung baginda, Sultan Muhammad V, menaiki takhta.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan Sultan Muhammad V (Tengku Muhammad Faris Petra), untuk membatalkan petisyen ketiga ayahanda baginda yang memohon diisytiharkan permasyhuran baginda (Sultan Muhammad V) sebagai Sultan, adalah melanggar perlembagaan.

Permohonan untuk membatalkan petisyen itu difailkan atas alasan bahawa Tuanku Ismail Petra tidak mempunyai locus standi untuk mengemukakan petisyen itu dan forum yang betul untuk membuat keputusan terhadap pertikaian itu ialah Mahkamah Khas.

Ini kerana Tengku Muhammad Faris ialah Sultan Kelantan dan permohonan tuntutan mempertikaikan pelantikan seorang Sultan perlu dibuat di Mahkamah Khas.

Panel hakim menyampaikan keputusan itu tanpa kehadiran peguam yang mewakili Tuanku Ismail Petra.

Peguam yang mewakili Tuanku Ismail Petra sebelum ini, Raja Aziz Addruse dan Abdul Rashid Ismail telah menarik diri daripada mewakili baginda pada 18 Jan selepas mahkamah menolak permohonan mereka supaya petisyen itu didengar pada pertengahan Mac kerana Raja Aziz perlu menyelesaikan rawatan perubatannya di sebuah hospital di Singapura pada awal Mac.

Panel itu yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Hakim Mahkamah Rayuan Hasan Lah menolak petisyen itu tanpa mengeluarkan perintah mengenai kos.
Petisyen ketiga itu difailkan pada 20 Sept tahun lalu, memohon pendapat Mahkamah Persekutuan mengenai persoalan perundangan berhubung pindaan ke atas perlembagaan negeri dan pelantikan tengku mahkota sebagai Sultan.

Pada 13 Sept tahun lalu, Majlis Perajaan melantik Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan, menggantikan ayahanda baginda, berikutan mengalami ketidakupayaan sejak Mei 2009.

Pada 26 Nov tahun lalu, dua petisyen yang mempersoalkan tahap kuasa dan kewibawaan Tengku Mahkota semasa Sultan mengalami ketidakupayaan yang difailkan oleh Tuanku Ismail Petra, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan, dalam dua petisyen itu telah memutuskan bekas Sultan tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk merujuk persoalan berkenaan kepada mahkamah tertinggi itu untuk diputuskan.

Dalam prosiding hari ini, peguam Sunil Abraham yang mewakili Sultan Muhammad V memaklumkan mahkamah yang beliau telah memaklumkan kepada Tuanku Ismail Petra mengenai tarikh perbicaraan hari ini melalui sepucuk surat pada 28 Jan tahun ini.

Beliau berkata salinan hujahan beliau bagi permohonan beliau untuk membatalkan petisyen itu turut dikepilkan dalam surat itu.

Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan Datuk Azlan Abdul Halim mewakili responden kedua, kerajaan negeri Kelantan.

- Bernama