Wednesday, July 30, 2008

PTPTN Dikaji


Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan caj perkhidmatan yang dikenakan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) hendaklah berkonsepkan upah sejajar matlamat penubuhannya untuk membantu pelajar membiayai pengajian.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata kadar upah yang dikenakan itu juga mesti bersesuaian dengan perkhidmatan yang diberi dan tidak membebankan peminjam.

Mesyuarat khas bagi membincangkan isu PTPTN itu berlangsung kira-kira satu setengah jam dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohammad Sheikh Abdul Aziz.

Difahamkan, konsep upah itu membabitkan formula kos sebenar pengurusan PTPTN sepanjang tempoh pinjaman yang dicampur bersama pinjaman peminjam bagi menggantikan caj perkhidmatan tiga peratus yang digunakan sebelum ini.

Abdul Shukor berkata, mesyuarat itu tidak menetapkan satu kadar yang tepat, tetapi beliau menjangka kadar baru itu akan memuaskan hati semua pihak kerana ia bersesuaian dengan kehendak syarak.

Sebelum ini, caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN telah membebankan para peminjam yang rata-ratanya masih lagi menganggur walaupun telah menamatkan pengajian. Caj yang dikenakan tersebut juga jauh lebih tinggi daripada caj yang dikenakan bank. Seolah-olah PTPTN ini merupakan 'along kerajaan' yang bertindak sebagai lintah darat untuk menghisap darah para pelajar.



Thursday, July 24, 2008

Petisyen Dun Simpang Empat


KANGAR: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak dengan kos, petisyen pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Empat, yang dikemukakan bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri Perlis, Zahari Bakar, berkaitan penggunaan poster dan lambang negeri Perlis semasa kempen pilihan raya.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membacakan keputusan petisyen itu di sini hari ini berkata, pempetisyen yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Simpang Empat gagal membuktikan dengan memuaskan mengenai kesalahan pilihan raya yang berkaitan poster itu.

Pada 28 April lalu, Zahari, 53, memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya 8 Mac itu dengan alasan responden mempamerkan poster yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak serta penerbit, selain penggunaan lambang negeri pada poster itu semasa tempoh kempen.

Pada pilihan raya umum ke-12 itu, Zahari tewas kepada Rus’sele Eizan dengan majoriti 53 undi, apabila beliau memperoleh 2,825 undi dan Rus’sele mendapat 2,878 undi. Zainal Adzam berkata alasan penolakan petisyen itu ialah pempetisyen gagal membuktikan dengan memuaskan, pihak mana yang terbabit dengan pengeluaran poster itu, dan mereka yang terbabit memasangnya. “Tiada bukti jelas siapa yang memasang poster dan tiada rakaman gambar atau video yang menunjukkan pihak yang melakukannnya. Ada keraguan di sini,” katanya. Katanya, sekeping poster yang dijadikan bukti ditandakan dengan ID, sedangkan ia sepatutnya ditandakan sebagai P kerana ia bukti dan keterangan utama bagi kes itu.

Mengenai penggunaan lambang negeri Perlis, Zainal Adzam berkata ia bukan satu kesalahan kerana larangan itu hanya tercatat dalam buku panduan pilihan raya dan tidak termaktub dalam undang-undang. Katanya pempetisyen yang diwakili peguam, Abu Bakar Sidek juga gagal membuktikan dengan memuaskan terhadap penggunaan lambang negeri Perlis. Rus’seli diwakili Aqbal Shiffuddin Adnan Salehuddin, Zulmi Sabri dan Mohamed Hanipa Maidin.

Tuesday, July 15, 2008

Nafkah Untuk Ibu Bapa

Boleh atau tidak dituntut terhadap anak yang mengabaikannya?

Saya berpendapat ibu bapa boleh menuntut nafkah mereka dari anak-anak di mahkamah syariah berdasarkan perintah Allah agar anak-anak berbuat ehsan kepada ibu bapa dan kerana ada peruntukan sedemikian di dalam enakmen keluarga Islam negeri-negeri.

Cuma setakat ini saya tidak berjumpa lagi dengan kes sedemikian di bawa ke mahkamah kecuali satu kes di Negeri Sembilan yang mana mahkamah membenarkannya.

Apakata jika peguam-peguam syarie seluruh Malaysia cuba membawa kes-kes seperti ini? Kalau selama ini tuntutan hanya dibuat oleh isteri terhadap suami bagi tuntutan nafkah, nafkah edah, nafkah kebelakangan, mut'ah, harta sepencarian dan nafkah anak-anak, kita meriahkan pula mahkamah syariah dengan tuntutan nafkah ibu bapa pula.

Saya percaya yang arif hakim-hakim akan banyak menolong.

Nota: Cadangan ini lahir dari lontaran pertanyaan seorang pakcik semasa Forum Pelaksanaan Undang-Undang Syariah di Mahkamah Syariah sempena Majlis Mahabbah JKSM Bersama Masyarakat Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2008 di Balai Islam pada 10/7/2008 semalam. Idea boleh lahir dari sumber yang tidak tersangka.

Wednesday, July 9, 2008

Murtad Bukan Hak Asasi


Oleh: Mohd Aizam Mas’od
Caw. Aqidah
Bah. Penyelidikan JAKIM


Malaysia adalah sebuah Negara Islam. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perkara 11 Perlembagaan pula memperuntukan “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan ugamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkan ugamanya”. Daripada peruntukan ini jelas orang Islam berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, iaitu Islam sebagai cara hidup mereka.
Fasal (4) menyebut undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa i’tiqad atau kepercayaan agama lain terhadap umat Islam. Ini bermakna Islam di Malaysia bukan seperti Pancasila di Indonesia. Menurut prinsip Pancasila tiada satu agama pun berhak memonopoli kehidupan rakyat. Ia berbeza dengan Islam di Malaysia yang telah diberikan hak dan kedudukan istimewa oleh perlembagaan. Dalam pada itu Islam tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut lain. Bagaimanapun itu tidak bermakna kebebasan tersebut adalah mutlak kerana ia masih tertakluk kepada Perkara 11 (4) iaitu supaya tidak menyebarkannya di kalangan umat Islam. Dalam bab lain, kebebasan hak asasi manusia juga dijamin oleh Perlembagaan di bawah Bahagian Dua. Namun ia tertakluk pula kepada syarat-syarat tertentu seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan moral yang merupakan hak ramai.

Di peringkat antarabangsa, perjuangan menuntut hak asasi menjadi suatu agenda suci. Malah sudah menjadi lebih suci daripada kesucian agama anutan pendokongnya sendiri. Hak asasi manusia mulai mendapat tempat rasmi di arena antarabangsa melalui Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (PHAMS 1948). Perisytiharan tersebut dipelopori oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang keahliannya terdiri daripada kebanyakan negara-negara merdeka di dunia. Antara komuniti dunia terkuat yang mendokong perjuangan hak asasi ialah masyarakat Eropah sehingga mereka telah memaktubkan Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi dan Kebebasan Asasi 1950 yang mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara anggota Komuniti Eropah. Keghairahan dunia Barat dalam memperjuangkan hak asasi menyebabkan mereka lupa bahawa di sana ada hak yang dicabuli. Umat Islam adalah antaranya.

Beberapa perkara di dalam PHAMS 1948 ditolak oleh umat Islam kerana hak asasi mereka untuk mengamalkan agama digugat. Antaranya Perkara 16 (1) yang berbunyi, “Men and women of full age, without any limitation due to race, nationality or religion, have the right to marry and to found a family. They are entitled to equal rights as to marriage, during marriage and at its dissolution”. Bagi penganut Islam perkara ini sudah tentu bertentangan dengan syariat Islam yang telah menentukan hukum-hakam berkaitan perkahwinan. Begitu juga Perkara 18 berbunyi, “Everyone has the right to freedom of thought, conscience and religion; this right includes freedom to change his religion or belief, and freedom, either alone or in community with others and in public or private, to manifest his religion or belief in teaching, practice, worship and observance”.

Bagi Islam, Perkara 18 tidak boleh diterima kerana telah mencabuli hak asasi umat Islam dalam beragama. Islam menetapkan tujuan (maqsad) syariah yang pertama iaitu memelihara agama. Sekiranya umat Islam dibenarkan keluar dan masuk agama sesuka hati, ini bermakna hak umat Islam untuk memelihara agamanya telah dicabuli. Hukum Islam juga menetapkan bahawa keluar agama atau murtad merupakan suatu jenayah berat yang perlu diadili dan dihukum. Ini kerana,perbuatan keluar agama melibatkan kepentingan umum iaitu maruah agama dan umat Islam sendiri. Ia bukan sekadar hak individu.
Jangan pula ada pihak yang mendakwa Islam telah menyanggah hak kebebasan individu untuk memilih agama. Bukankah PHAMS 1948 itu juga diasaskan atas dasar menjaga kepentingan umum melebihi hak individu? Jika hak individu dibiarkan bermaharajalela, apa gunanya lagi kerajaan-kerajaan di dunia menggubal undangundang. Bukankah undang-undang itu dibentuk untuk menyekat kebebasan individu yang ditafsirkan oleh undang-undang sebagai salah? Malah terdapat satu klausa khas di dalam PHAMS 1948 iaitu Perkara 29 yang menyebut bahawa, “setiap orang tertakluk hanya kepada batasan seperti yang ditentukan oleh undang-undang semata-mata bagi tujuan menjamin pengiktirafan dan penghormatan yang sepatutnya terhadap hak-hak dan kebebasan orang lain dan untuk mendekati keperluan-keperluan sepatutnya bagi akhlak, ketenteraman awam dan kebajikan umum dalam suatu masyarakat yang demokratik”.

Begitu juga Islam. Perundangan Islam telah menetapkan bahawa murtad adalah suatu kesalahan dan ia tidak boleh disenaraikan di bawah hak asasi individu! Ia adalah soal doktrin agama yang suci. Tidakkah penganut agama lain juga akan tersinggung apabila terdapat di kalangan mereka yang melanggar kepercayaan agama sendiri?

Fenomena ini tidak sukar sekiranya semua pihak sama ada umat Islam atau bukan Islam saling memahami antara satu sama lain. Jika tidak, mereka akan saling menyalahkan agama lain atas dasar melanggar prinsip hak asasi manusia. Dalam konteks Malaysia, Seksyen 4(4), Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), memperuntukkan bahawa rujukan harus dibuat kepada PHAMS 1948 setakat yang tidak berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menentukan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan, disokong pula dengan Perkara 121(1A) yang menyebut, “Mahkamah-mahkamah yang disebutkan dalam Fasal (1) –mahkamah Sivil- tidaklah boleh mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa mahkamah Syariah”, haruslah dihormati dan difahami oleh semua pihak.

Justeru itu amat menghairankan apabila masih kelihatan individu atau pertubuhan yang mendesak supaya diberi kebebasan untuk keluar daripada Islam kononnya ia diberi kebebasan oleh Perlembagaan Negara. Sedangkan mereka telah memahami bahawa ‘murtad’ adalah satu kesalahan jenayah menurut syariat Islam. Sememangnya menurut Perkara 18, PHAMS 1948 menetapkan bahawa manusia bebas memilih dan menukar agamanya pada bila-bila masa. Bagaimanapun ini bercanggah dengan syariat Islam yang telah diberi kedudukan istimewa oleh
perlembagaan. Bagi Islam soal pemeliharaan agama amat penting bagi menjamin keharmonian negara dan masyarakat. Orang yang meninggalkan Islam dianggap meruntuhkan negara dan masyarakat Islam secara kolektif.

Seperkara lagi yang perlu difahami, tidak timbul isu pelanggaran hak asasi sekiranya hukuman Islam dikenakan terhadap orang Islam yang murtad. Ini kerana perilaku murtad yang dikenakan hukuman hanyalah murtad yang diisytiharkan dan diketahui oleh khalayak. Menurut al-Buti andaikata kemurtadannya didiamkan atau tidak didedahkan kepada orang lain, maka hukuman di dunia tidak boleh dikenakan kerana kaedah umum yang diamalkan oleh pemerintah Islam ialah bertindak berdasarkan pandangan zahir, manakala urusan batin diserahkan kepada Allah SWT yang akan membalasnya di akhirat kelak. (al-Buti, Sa`id Ramadhan, Dr. (2004),
Hurriyah al-Insan fi Zill `Ubudiyyah Li-Allah. Damsyik: Dar al-Fikr, hal. 85)
Hal seperti ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana fenomena-fenomena murtad boleh berlaku bukan sahaja dalam bentuk lazim difahami orang seperti seseorang menganggap Islam yang dianutinya sudah tidak diyakininya lagi. Malah ia juga berlaku dalam pelbagai bentuk lain seperti yang disebut oleh pemikir-pemikir Islam. Antaranya muslim yang memberikan hak penentuan hukum (alhakimiyyah) dan perundangan kepada selain Allah. Membenci sesuatu sistem yang ada dalam Islam. Melihat hukum-hukum ciptaan manusia sebagai yang terbaik dan hukum-hukum syariat sebagai ketinggalan zaman. Melebihkan sistem yang lain keatasnya atau menyamakannya. Mempersendakan sesuatu yang datang daripada al-Qur‘an dan al-Sunnah, atau syiar Islam. Mencela keperibadian Rasulullah SAW. Menghalalkan apa yang diharamkan Allah SWT atau sebaliknya dan lain-lain lagi (`Ulwan, `Abdullah Nasih, Dr.(1988), Hurriyah al-I`tiqad fi al-Syari`ah al-Islamiyyah. Kaherah: Dar al-Salam, hal. 78-95; Ahmad Rasyad, Dr. (1998), Hurriyah al-`Aqidah fi al-Syari`ah al-Islamiyyah. Kaherah: Itrak li al-Nasyr al-Tawzi`, hal. 334-339)

Bila mana kemurtadannya diwar-warkan kepada orang ramai dan diiklankan kepercayaan barunya kepada khalayak, ia sekaligus telah mengisytiharkan serangan berbentuk pemikiran (al-harb al-fikriyyah) ke atas Islam dan aqidahnya. Tindakan tersebut boleh menimbulkan atau menanam bibit keraguan dalam hati orang ramai yang masih menganut Islam. Ketika ini, tindakan murtad perlu dilihat bukan dari segi hak peribadinya untuk menukar agama, tetapi dari aspek adanya unsur “hirabah’’, iaitu serangan terhadap dasar-dasar agama yang menjadi tonggak utama kerajaan Islam. Lantaran itu, langkah-langkah perlu diambil bermula dari proses memberi penjelasan bagi merungkai keraguannya, meminta supaya bertaubat dan berakhir dengan pelaksanaan hukuman bunuh atas dasar “hirabah’’ (al-qatlu hirabatan) sekiranya ia tetap berdegil mempertahankan pendiriannya untuk murtad. Ertinya murtad dibunuh bukan atas kekufuranya, tetapi atas dasar hirabah. (al-Buti, 2004:85-87).

Ini jelas berdasarkan ayat 33 surah al-Ma‘idah bermaksud: “Sesungguhnya balasan bagi orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan melakukan fasad (kerosakan) di muka bumi ialah sama ada dibunuh atau disalib atau dipotong tangan dan kakinya secara bersilang atau dibuang negeri...”. Walaupun ayat ini difahami oleh kebanyakan ulama sebagai ayat untuk menghukum penjenayah rompak dan samun, tetapi tidak dinafikan bahawa perbuatan murtad secara terang-terangan adalah salah satu daripada perbuatan memerangi Allah dan Rasul-Nya. Maka terdapat ulama Salaf yang berpendapat hukum bunuh si murtad itu juga diambil daripada ayat ini, selain hadith-hadith sahih lain yang bertindak sebagai penghurai. Antara yang berkata demikian ialah Abu Qilabah dan lain-lain. (Lihat Ibn Rajab al-Hanbali, Jami`al-`Ulum wa al-Hikam, hal. 32; juga Dr. Yusuf al-Qaradawi (1993), Malamih al-Mujtama` al-Muslim Allazi Nansyuduhu, Kaherah: Maktabah Wahbah, hal. 41)

Bagaimanapun, mutakhir ini terdapat pula kes-kes murtad yang berpunca daripada perceraian, kejahilan dan lain-lain yang dikatakan bersifat peribadi. Antara yang menggemparkan negara iaitu apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang pada 8 Mei 2008 yang membenarkan seorang mualaf iaitu Siti Fatimah Tan Abdullah keluar daripada Islam. Siti Fatimah mendakwa dia memeluk Islam hanya untuk berkahwin dengan seorang rakyat Iran bernama Ferdoun Ashanian. Namun dia tidak pernah sekali-kali mengamalkan ajaran Islam malah masih mengekalkan amalan agama asalnya, Buddha. Peguam bela Siti Fatimah, Ustaz Ahmad Jailani menyifatkan permohonan yang dibuat oleh Siti Fatimah itu, bukan permohonan keluar Islam, tetapi permohonan dalam menentukan status agamanya, adakah Islam atau tidak. Walau apapun hujah yang diputuskan oleh mahkamah, kita tetap menghormati keputusan tersebut atas dasar menjunjung prinsip keadilan.
Namun persoalan tetap timbul di kalangan bukan Islam, adakah Islam pada hari ini telah mengiktiraf murtad sebagai satu kebebasan hak asasi manusia? Dalam hal ini, ada baiknya kita merujukkan kes ini, dengan apa yang berlaku di Mesir baru-baru ini. Senarionya tidak jauh berbeza. Ia berlaku apabila badan kehakiman Mesir telah meminta fatwa daripada Universiti al-Azhar berkenaan permohonan bekas penganut Kristian Koptik yang masuk Islam hanya untuk kepentingan peribadi, seperti ingin berkahwin buat kali kedua atau menceraikan isteri (yang mana ditegah menurut agama mereka), dan setelah tujuannya tercapai ia murtad dan kembali ke agama asal.

Justeru itu, Universiti al-Azhar melalui Ketua Lajnah Fatwa al-Azhar, Syeikh Abdul Hamid al-Athrash telah mengeluarkan fatwa rasmi bahawa orang bukan Islam yang memeluk Islam untuk kepentingan peribadi, lalu ia murtad setelah kepentingannya tercapai, telah melakukan suatu jenayah besar, yang tidak boleh dibiarkan. Sesiapa yang murtad, maka wajib baginya menerima hukuman syar’i, sesuai dengan batas-batas yang ditetapkan jumhur ulama, setelah yang berkenaan diminta bertaubat. Jika ada yang mengatakan bahawa hal ini bertentangan dengan ‘prinsip kebebasan beragama’, maka pandangan itu tertolak, kerana Islam tidak memaksa sesiapa jua untuk memeluk agama ini.

Syeikh al-Athrash juga memperingatkan bagi sesiapa yang berkeinginan untuk memeluk Islam, dia perlu mempelajari Islam dengan baik dan memiliki tekad yang kuat, kerana setelah menjadi muslim, dia tidak lagi dibenarkan murtad. Fatwa ini juga secara tidak langsung menunjukkan Syeikh al-Azhar telah menarik kembali kenyataannya yang mengatakan tiada hukuman bagi bukan Islam yang masuk Islam lalu murtad kembali. Fatwa Syeikh al-Azhar itu dikaitkan dengan tekanan-tekanan yang diterima beliau ekoran desakan daripada pertubuhan-pertubuhan sivil serta para aktivis hak asasi manusia. Ini sekaligus menunjukkan bahawa al-Azhar tidak pernah sekali-kali mengorbankan hukum syarak atas apa jua alasan yang diberikan.
(http://www.alarabiya.net/articles/2008/01/19/44427.html)

Fatwa al-Azhar ini jelas menunjukkan bahawa para ulama Islam sentiasa konsisten mengatakan bahawa murtad adalah satu jenayah dan si murtad wajib dihukum. Walaupun fatwa tersebut tidak menyebut bentuk hukumannya, apa yang pasti hukuman perlu dikenakan ke atas orang murtad yang memeluk Islam dengan rela hati tanpa sebarang paksaan. Tidak timbul soal mencabuli kebebasan beragama kerana Islam tidak pernah memaksa seseorang memeluk agama ini. Oleh itu, kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang tidak boleh dijadikan asas kononnya Islam membenarkan murtad. Atau Islam telah mengiktiraf murtad sebagai hak asasi bagi penganutnya. Ini sebagaimana yang didakwa oleh beberapa pemimpin politik bukan Islam di negara ini sejurus keputusan dibuat oleh mahkamah. Sedangkan alasan mahkamah membenarkan pemohon keluar Islam ialah kerana pemohon didapati tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak memeluknya pada tahun 1999. Bermakna, bukan atas alasan hak asasi pemohon.

Kesimpulannya, Islam ialah suatu agama yang amat realistik. Islam mengiktiraf kebebasan hak asasi manusia tetapi Islam melihatnya dalam ruang lingkup manusia sebagai hamba kepada Yang Maha Pencipta, Allah SWT. Islam mengenali apakah batas-batas kemanusiaan itu. Apa jua yang menepati sifat-sifat kemanusiaan, Islam tidak pernah menafikannya bahkan diperintahkan oleh Islam walaupun tidak diperundangkan sebagai hak asasi. Manakala apa jua yang diluar batas-batas kemanusiaan maka ianya ditegah bahkan diharamkan oleh Islam walaupun pejuang hak asasi mendakwa ia suatu pencabulan terhadap kebebasan manusia. Sebaliknya perjuangan hak asasi rekaan Barat merupakan sesuatu yang relatif. Malah ia hanya menjadi kuda tunggangan golongan sekular dan liberalisme agama di sana.
Oleh kerana itu, Islam tidak sekali-kali dapat menerima kefahaman hak asasi berasaskan world-view Barat. Sesungguhnya hak asasi tidak pernah suci, tetapi manusia yang mendakwa ianya suci. Adapun agama, ia adalah wahyu yang diturunkan oleh Yang Maha Berkuasa bagi membimbing hidup manusia. Hampir kesemua agama mengakui hakikat itu. Walaupun agama tidak diagung dan disucikan oleh manusia, agama tetap suci pada esensinya sendiri. Lantaran itu,
menjadi hak buat umat Islam untuk mempertahankan kesucian agamanya. Kesucian Islam bakal tercemar dengan perbuatan jenayah penganutnya. Murtad adalah antara jenayah terbesar menurut Islam. Dengan itu murtad bukan hak asasi, ia diharamkan oleh Islam malah si murtad yang tidak bertaubat tetap wajib dihukum.

Tuesday, July 8, 2008

Mahasiswa dan AUKU

Oleh: Sdr. Zainulfaqar Hj. Yaacob



PENDAHULUAN

Mahasiswa dan AUKU adalah tajuk biasa yang selalu kita wacanakan sebelum ini. Tajuk ini juga telah banyak kita baca dan tulis dalam bentuk akademia sehinggalah catatan eksklusif secara blogging.Maka, apabila kita berbincang tajuk kemahasiswa, tentu terbayang dalam pemikiran kita tentang aksi-aksi mahasiswa lampau. Mahasiswa era 1960an dan 1970an sering kali menjadi sejarah agong dalam generasi mahasiswa kini.Pidato lantang di speakers’ corner, membuat kenyataan akhbar, memorandum terbuka hatta demontrasi aman di kampung dan desa sering kali menjadi tanda aras (KPi) dalam kamus perjuangan mahasiswa hari ini.

Akhirnya, kita secara semulajadi terbuai oleh rasa romastisme. Kita melihat aksi-aksi seperti di atas ini kononnya sebagai tradisi kita – Tradisi Mencabar!Buku ‘Mahasiswa menggugat’ (1972), Di Sebalik Tabir Politik Kampus (1995), Mahasiswa Abad Ke-21 (2005) dan sebagainya membentuk dogma-dogma stereotaip dalam kerangka gerakan kita pada hari ini.

Begitu juga dengan subjek AUKU. Kita acapkali terperangkap dalam beberapa situasi apabila kita berwacana subjek AUKU ini. Pertama, kita terlalu gemar membincangkan AUKU ini sama ada perlu dimansuhkan atau dipinda; khususnya selepas Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, YB Dato’ Khalid Nordin mulai menyatakan hasrat menilai semula AUKU ini.Kedua, kita acapkali membicarakan tentang seksyen-seksyen yang dilihat mencabuli hak asasi manusia secara berperundangan dan terlalu teknikal; padahal rata-rata kita (aktivis mahasiswa) tegas berpendirian bahawa AUKU ini mesti dimansuhkan.

Akhirnya, kita secara semulajadi telah hilang jatidiri kita sebagai kaum mahasiswa. Kita mulai meletakkan hasrat memansuhkan AUKU ini sebagai teras perjuangan kita di kampus dan pentas nasional. Lebih dari itu, kita ghairah membina suatu akta alternatif bagi menggantikan AUKU tanpa melihat sisi politik KPT/Kerajaan dan keperluan politik semasa di Malaysia sekarang ini.AUKU ini sebenarnya adalah suatu halangan (barrier) yang sengaja dicipta oleh kerajaan untuk melumpuhkan pergerakan kita. AUKU ini sebenarnya sengaja diperundangkan demi mengekang dan mengalihtumpuan kita dari nilai-nilai asasi perjuangan kita sebagai kaum mahasiswa.

Justeru, kertas kerja ini akan membicarakan persoalan nilai mahasiswa; dan bagaimana kita patut melihat AUKU dewasa ini? Kita tidak akan berbincang soal sejarah gerakan mahasiswa dan kita tidak akan berbincang persoalan AUKU dalam laras perundangan.Mahasiswa dan politik nilai

Mahasiswa terdiri oleh dua suku kata iaitu maha yang melambangkan besar atau berkuasa; dan siswa iaitu merujuk kepada kelompok penuntut atau pelajar di instiusi pengajian tinggi (IPT). Hasil sistesis kedua-dua suku kata ini memberi makna tersendiri – iaitu suatu ‘bangsa’ yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan menuntut ilmu di peringkat tinggi (Universiti), tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka. (Zainulfaqar b. Yaacob, 2006:20)

Mahasiswa merujuk pada satu kelompok pelajar yang berada di peringkat yang tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara. Pengemblengan tenaga kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di puncak menara ilmu. Natijahnya, lahir satu arus gerakan yang sentiasa bersama dengan kebenaran (al-haq) dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai independen Group. (Zuhdi b. Marzuki, 2002:th).

Profesor Feaur (Universiti Toronto) dalam bukunya The Conflict of Generation – The Charactor and Significance of Student Movement bahawa aktivisme mahasiswa lebih suatu pemberontakan dan kecenderungan ini lebih dilihat sebagai persoalan konflik antara generasi (generational conflict). Kondisi ini berlaku berpunca oleh kebencian kepada generasi lama yang sudah establish. Maka, mahasiswa dilihat sebagai pressure group yang anti-establisment. (Mohammad Abu Bakar, 1972:13).

Tuntasnya, mahasiswa mempunyai nilai-nilai tersendiri. Pertama, mahasiswa adalah ‘bangsa’ terpelajar. Kedua, mahasiswa ini mempunyai gagasan pemikiran dan tindakan yang tersendiri – disebut sebagai idealisme. Dan ketiga, pergerakan mereka adalah bersifat tersendiri.Dari nilai-nilai di atas ini, lahirlah rupa dan gaya aktivitisme mahasiswa Malaysia seperti berwacana, berdiskusi, berdebat, berpidato, mengeluarkan kenyataan akhbar, menghantar memorandum hatta berdemontrasi di universiti dan dalam lapangan ummat.Dari rupa dan gaya aktivitisme mahasiswa sebagaimana di atas ini, secara implisit dan semulajadinya turut membentuk nilai-nilai asasi kaum mahasiswa.

Rakyat melihat bentuk dan wajah aktivitisme mahasiswa. Begitu juga dengan parti-parti politik, kesatuan buruh/pekerja, badan bukan kerajaan (NGO) hatta pihak Kerajaan sendiri. Masing-masing mempunyai persepsi tersendiri berhubung satu-satu atau majmuk aksi mahasiswa Malaysia.

Bagi kaum rakyat, mahasiswa dahulu dianggap sebagai independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya.Ini kerana mereka telah pun melihat partisipasi mahasiswa dalam isu kemiskinan rakyat di Teluk Gong (1967), Baling (1974) dan sebagainya.Rakyat juga telah melihat betapa lantangnya mahasiswa dalam isu anti-kolonialisme oleh Kerajan (1946-1950an; isu anti Tunku (1966); isu pencerobohan AS ke atas Hanoi-Haiphong (1966); isu bahasa dan kependidikan nasional (1967); isu sosio-ekonomi negara (1969); isu tuntutan Sabah oleh Filipina (1969); isu pencerobohan Rusia ke atas Szekoslovakia (1969); dan banyak lagi.

Aksi-aksi di atas ini turut dicermati oleh kerajaan dan parti-parti komponan kerajaan. Mereka menganggap bahawa mahasiswa cuba bersikap anti-establishment hatta berhasrat untuk mengambil alih kerajaan Malaysia. Bertitik tolak pada sangkaan ini, AUKU mula diperkenalkan pada 27 April 1971 dan kemudiannya dipinda pada tahun 1974, 1995 dan 1999 (peringkat Universiti Malaya sahaja).Adakah patut mahasiswa ditohmah sebagai anti-establishment disebabkan sikap lantang mereka itu kebetulan sama dengan sikap lantang pihak-pihak tertentu (Contoh: Labour Party of Malaya, 1954)?

Menurut Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (2005), kelantangan mahasiswa era 1940an berpunca oleh tempuhan pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia II yang turut ditempuhi oleh Malaya. Kelantangan mahasiswa era 1950an pula berpunca oleh tempuhan pengalaman mereka dalam era kemerdekaan Malaya. Maka, sikap anti-kolonialisme mereka sudah tentu masih menebal dan mereka ini tentu peka dengan tindak-tanduk kerajaan baru pada waktu tersebut (Abdul Razaq Ahmad, 2005:9-11)

Kelantangan mahasiswa era 1960an/1970an pula disebabkan oleh tempuhan pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar/desa oleh kebanyakkan calon mahasiswa sebelum mereka melanjutkan pengajian di Universiti. Mereka melihat tahap pendidikan anak bangsa mereka. Mereka melihat generasi muda mereka. Natijahnya, lahir/timbul kesedaran nasional dalam diri mahasiswa-mahasiswa pada waktu tersebut. (Muhammad Abu Bakar, 1972:23-24)Apa yang cuba dirumuskan di sini adalah aksi-aksi mahasiswa dalam satu-satu zaman tersebut berpunca oleh kesedaran dan tempuhan pengalaman. Dan partisipasi mereka dalam lapangan ummat adalah suatu perjuangan nilai atau lebih tepat disebut ‘politik nilai’.

Bertitik tolak pada asas ini, kerajaan telah melakukan suatu kesalahan besar ke atas mahasiswa dengan memperkenalkan AUKU. Pengenalan AUKU oleh kerajaan ini kerana kerajaan menjunjung ‘politik kekuasaan’ dan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan status quo mereka.

Politik nilai dan Politik Kuasa
Apakah makna politik kuasa? Apakah makna politik nilai? Dan apa pula hubung kaitnya antara kedua-dua ufuk politik tersebut dengan pengenalan AUKU?Politik kuasa adalah perjuangan untuk mendapatkan kuasa. Politik kuasa ini telah dianuti oleh parti-parti politik baik parti-parti komponan kerajaan mahupun parti-parti oposisi. Masing-masing mempunyai agenda perjuangan kekuasaan tersendiri dan tentu bersikap partisan serta mahu mendominasi kuasa dalam sesebuah negara bangsa. Jika parti-parti oposisi mendominasi kerajaan, bermakna parti-parti komponan akan mengambil posisi di pihak oposisi pula; begitulah sebaliknya.

Berbeza dengan politik nilai. Politik ini tidak mementingkan kemuncak kekuasaan, sebaliknya mereka lebih mementingkan perjuangan nilai – keadilan hak, kebebasan, hak bersuara, hak berkumpul, hak berpersatuan, hak untuk hidup, hak untuk menikmati pembangunan dll.Inilah yang diperjuangkan oleh mahasiswa selama ini dan politik nilai inilah yang seharusnya terus menjadi nilai-nilai perjuangan mahasiswa sehingga kini.Kita boleh lihat di Malaysia umpamanya. Gerakan anti Tunku cukup kuat pada era pertengahan 1960an dan mahasiswa telah berjaya menurunkan Tunku dari kerusi kekuasaan (Perdana Menteri) pada waktu tersebut. Namun, adakah mahasiswa menjadi perdana menteri selepas waktu tersebut?

Kita lihat pula politik kuasa oleh Kerajaan dan parti-parti komponan kerajaan. Demi memelihara status quo mereka, mereka mengikat hak-hak asasi mahasiswa seperti bersuara, berkumpul, berfikir, berpersatuan, berpolitik, bebas menikmati hidup dan sebagainya melalui pengenalan AUKU 1971 (Pindaan 1974).

Pencabulan hak-hak asasi mahasiswa ini boleh dilihat dalam Syeksen 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, 16C AUKU itu sendiri. Sejak pengenalan AUKU inilah, kita telah lihat fungsi mahasiswa dalam memperjuangkan ‘politik nilai’ ini mulai luntur.Bagi mereka yang mahu terus meninggikan nilai-nilai perjuangan mahasiswa, mereka ini sanggup mengambil risiko politik dan perundangan. Lama-kelamaan, mendorong mereka terjun dalam politik kekuasaan juga dengan menubuhkan parti dan mencabar politik kekuasaan yang zalim (parti-parti tententu) dalam satu-satu PRU.

Mahasiswa tidak mempunyai banyak pilihan pada waktu tersebut. Mereka bukan sahaja dihalang hak berkumpul, berpersatuan, bersuara hatta hak berpartisipasi dalam politik nasional; malah ada dalam kalangan mereka ini telah diancam oleh pentadbiran Universiti, disoal siasat dalam kondisi yang menakutkan oleh Special Brance (SB)/Polis, didenda/dihukum, disingkir keluar Universiti dan sebagainya melalui politik kekuasaan oleh UMNO/BN serta proksi-proksi mereka di kampus/universiti.

Inilah yang fenomena yang digagaskan oleh Parti Mahasiswa Negara (PMN) baru-baru ini. Mahasiswa secara politik kekuasaan telah mencabar bekas Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi atau Pah Lah.Demi memperjuangkan hak dan politik nilai tersebut, mahasiswa telah pun melanggar semua seksyen AUKU ini. KPT juga telahpun menyatakan hasrat untuk mengkaji semula akta draconion AUKU tersebut. Banyak kelompok mahasiswa juga telah pun mencadangkan satu-satu akta alternatif atas pelbagai pertimbangan masing-masing.

Bagi saya, akta zalim seperti AUKU ini akan terus dipertahankan kerana AUKU ini merupakan suatu kelangsungan politik kuasa. AUKU ini hanya akan mansuh apabila satu-satu rejim terlebih dahulu tumbang menyembah bumi. Sebagai contoh, pemansuhan Normalisasi Kehidupan Kampus (NKK) di Indonesia dilakukan selepas rejim Suharto ditumbangkan oleh mahasiswa. Untuk menangani politik kuasa dalam konteks Malaysia, kita juga seharusnya bertindak secara politik (nilai) juga dengan mobilisasi mahasiswa dan rakyat demi menumbangkan rejim zalim UMNO/BN sendiri.

Dari sudut lain, pasca pengenalan AUKU juga telah mengakibatkan rata-rata mahasiswa dikuasai oleh culture of fear dan complacent zone. Akhirnya, graduan Universiti mungkin berjaya dari segi pencapaian CGPA (akademia), namun kurang daya servival, jatidiri, budaya berfikir dan tidak mampu tampil sebagai Universal Man sebagaimana yang dicita-citakan oleh Kerajaan ketika mahu menubuhkan Universiti.

Tuntasnya, pengenalan AUKU ini adalah suatu keputusan salah pihak Kerajaan. AUKU membunuh bakat dan potensi mahasiswa. AUKU mengakibatkan mahasiswa tandus idealisme. AUKU juga menyebabkan mahasiswa hari ini beraktivisme bukan dalam kerangka ‘politik nilai’ mereka.

PENUTUP: SARANAN DAN KESIMPULAN
Berdasarkan pada pandangan di atas, kita boleh membuat beberapa kesimpulan dan saranan.

PERTAMA, mahasiswa wajib beraktivitisme dalam kerangkanya tersendiri berteraskan ‘politik nilai’. Jangan kerana sikap optimisme kita terhadap perubahan yang akan dilakukan oleh Pakatan rakyat tidak lama lagi menyebabkan kita bacul untuk menjadi independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya.Dalam kamus perjuangan kita, tidak ada sikap partisan atau ‘politik kuasa’ sama ada pada Kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Nilai yang betul patut dihargai, nilai yang salah patut disanggah.

KEDUA, AUKU wajib dimansuhkan. Tidak perlu tunggu AUKU ini menzalimi seseorang/sekelompok mahasiswa, baru kita tampil mengatakan AUKU ini sah zalim. Kezaliman AUKU sebenarnya perlu dilihat dalam tiga keadaan – (1)falsafah; (2)praktikal/perlaksanaan: dan (3)implikasi/natijah. GMMA tidak perlulah cuba memansuhkan AUKU secara berperundangan kerana KPT sedang berpolitik (kekuasaan / politik kuasa) dengan kita. Elok, kita juga mengambil kira sisi politik KPT dan YB Dato’ Khalid Nordin ini sebelum merencana satu-satu aktivitisme kita selepas ini.

Jika mahasiswa dituduh jenayah, sila bawa mereka ke pengadilan mahkamah secara bebas. Dakwa mereka dengan undang-undang yang (munasabah) sedia ada. Kita tidak perlu AUKU kerana AUKU sah zalim.

KETIGA, Kerajaan dan parti-parti politik baik BN atau PR perlu melihat Gerakan Mahasiswa di Malaysia ini secara positif. Sekiranya tumbang satu-satu rejim, mahasiswa tetap mahasiswa dan dalam kerangka mahasiswa. Mahasiswa tidak akan mengambil tampuk kuasa, terus kekal dengan ‘politik nilai’ seperti yang sedia ada.

Jika PR memimpin Malaysia, PR juga perlu ingat bahawa kita tetap akan menjadi independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya kepada Kerajaan pada waktu itu. BN yang ada pada hari ini juga perlu sedar, jika berlaku perlanggaran hak-hak asasi mahasiswa, kami tetap tampil sebagai independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya kepada pihak BN juga.

Pokok pangkalnya AUKU perlu dimansuhkan kerana jika akta draconion ini tidak mansuh sekalipun, mahasiswa tetap dengan idealismenya - independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya. AUKU telah lama kita langgarkan sebelum ini, mengapa hari ini kita mula menilai semula tindak-tanduk kita?

AUKU sepatutnya tidak patut ada dalam kamus perjuangan kita kerana banyak lagi peninggian nilai lain patut dicetuskan/diperjuangkan oleh kita hari ini demi memastikan generasi baru Malaysia kelak lebih menikmati kesejahteraan hidup di Malaysia.
WE UNITE FOR STUDENT’s AGENDA!
————————-
Rujukan:-
1. Abdul Razaq Ahmad (pngr.). 2005. Mahasiswa Abad 21. Selangor: UKM.
2. Mohd Suhaimi al-Maniri (1995), Di sebalik Tabir Politik Kampus, Selangor: Pustaka Generasi Baru.
3. Muhammad Abu Bakar (1972), Mahasiswa Menggugat. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
4. Zainulfaqar Yaacob. 2006. Gerakan Mahasiswa Islam Universiti Malaya: Sejarah dan Sumbangan Di Awal Abad Ke-21. Latihan Ilmiah (Nov. 2006). Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
5. Zuhdi Marzuki. 2002. Menyelusuri Kebangkitan Mahasiswa Islam. Kertas kerja Kolokium Halatuju Mahasiswa Islam 2002. Ekspo Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (e-PMIUM). Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 20 Julai.

> Kertas kerja ini dibentangkan dalam Forum Mahasiswa Sempena Hari Hak Asasi Mahasiswa 2008; anjuran Gabungan Mahasiswa Mansuh AUKU (GMMA); pada Jumaat 13 Jun 2008 (jam 8.30 malam – 11.00 malam) di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assambly Hall (KLSCAH), Kuala Lumpur.
> Penulis adalah graduan Universiti Malaya (Jul. 2003- Nov. 2006) dalam Sarjana Muda Usuluddin (Sejarah dan Tamadun Islam). Penulis boleh dihubungi melalui mobile [+60194241583/+60193146692]; atau email [zainulfaqar_yaacob@yahoo .com] atau blog [http://zainulfaqar.wordpress.com/profile/]. 11 Jun 2008, 4.40 pagi.

Friday, July 4, 2008

Keputusan Petisyen Pilihan Raya Dun Kubu Gajah

Hari ini Mahkamah Tinggi Ipoh telah memutuskan untuk menerima bantahan awal yang dibuat oleh peguam BN bagi pihak Dato' Seri Raja Ahmad Zainuddin. Dengan keputusan tersebut, ini bermakna petisyen pilihan raya yang telah difailkan oleh calon Pas, telah ditolak oleh Mahkamah di peringkat bantahan awal.

Keputusan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kuala Kangsar


Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak petisyen pilihanraya yang mencabar kemenangan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Rafidah Aziz bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.Hakim Datuk Zakaria Sam memutuskan bahawa kegagalan Rafidah untuk menandatangani dua daripada tiga set kertas pencalonannya sewaktu pilihanraya umum 8 Mac lalu, tidak menjejaskan keputusan pilihanraya tersebut.

Menurutnya lagi, pengundian bagi kerusi tersebut berjalan secara bebas, adil dan tanpa sebarang amalan rasuah.Katanya, kesilapan Rafidah itu bukan satu halangan kepada pilihanraya tersebut.Bagaimanapun, Zakaria menolak permohonan Rafidah supaya dibayar kos, kerana menurutnya kesilapan bekas menteri berkenaan, telah menyebabkan petisyen tersebut difail dan didengar di mahkamah.


Petisyen itu difailkan oleh pengundi Ahmad Jamaluddin Abd Majid yang menamakan Rafidah, pengawai pengurus pilihanraya Mohd Ghazali Jalal dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebagai responden.Dalam pilihanraya tersebut, Rafidah ditentang oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Dr Khairuddin Abd Malik.Rafidah berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar dengan memperolehi 10,735 undi. Khairuddin mendapat 9,277 undi.