Monday, November 23, 2009

Mahkamah tolak permohonan tangguh pilihan raya di Kota Siputeh

PUTRAJAYA, 23 Nov: Mahkamah Tinggi mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mengadakan pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh, Kedah segera dan menolak permohonan SPR untuk ditangguhkan.

Ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari berkuat kuasa 16 November lalu, kata hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dalam keputusannya hari ini.

Bagaimanapun Jabatan Peguam Negara yang mewakili SPR mahu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Seminggu sebelum itu, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa SPR wajar mengadakan pilihan raya kecil di kerusi berkenaan selepas didapati wujud kekosongan.

Namun Jumaat, 20 November lalu, SPR memohon hakim itu agar menangguhkan keputusan tersebut.

SPR memfailkan permohonan itu pada Rabu, 18 November selepas Alizatul mengisytiharkan kerusi DUN itu kosong dan memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sharif bukan lagi wakil rakyat kawasan berkenaan selepas gagal menghadiri persidangan DUN dua kali berturut-turut tanpa kebenaran.

Pada Sept 1, Speaker DUN Kedah memfailkan semakan kehakiman selepas SPR menerima sijil cuti sakit Abu Hassan berikutan ketidakhadirannya dalam persidangan DUN serta mengisytiharkan bahawa tidak berlaku kekosongan bagi kerusi itu dan wakil rakyat BN itu masih merupakan ADUN kawasan berkenaan.
< Prev Next >

Sunday, November 8, 2009

MUTA’AH


1. DEFINISI MUTA’AH
Muta’ah berasal dari kalimah Bahasa Arab iaitu al-Mataa’ yang membawa maksud perkara yang menyukakan hati dan boleh dimanfaatkan. Dari segi syarak ialah pemberian harta yang diwajibkan ke atas suami untuk diserahkan kepada isteri setelah berpisah ( bercerai ) dengan syarat-syarat tertentu.

Mengikut Tafsiran Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984, “ muta’ah “ bererti bayaran saguhati yang diberi dari segi Hukum Syara’ kepada isteri yang dicerai “.

Kamus Dewan, edisi ketiga, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Cetakan Tahun 2002, halaman 913 pula menyatakan erti muta’ah ialah pemberian suami ( tidak diwajibkan kepada isteri setelah diceraikan, manakala “kahwin mutaah” adalah kahwin kontrak atau sementara ( yang dibenarkan pada peringkat awal perkembangan Islam, tetapi kemudiannya diharamkan).

Apa yang hendak kita perbincangkan di sini, bukan kahwin kontrak tetapi, adalah muta’ah dari sudut pemberian @ sagu hati suami kepada bekas isteri selepas diceraikan untuk mengurangkan tekanan perasaan isteri dan sebagai bayaran gantian kesepian isteri oleh sebab perceraian yang berlaku antara mereka berdua.

Dalil wajib memberi muta’ah kepada mereka seperti firman Allah Ta’ala dalam surah al-Baqarah ( surah 1: ayat 236 )
Mafhumnya :
“ Dan tidaklah kamu bersalah ( dan tidaklah kamu menanggung bayaran mas kahwin / mahar) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh ( bercampur ) dengan mereka atau ( sebelum ) kamu menetapkan mas kahwin untuk mereka, walaupun demikian, hendaklah kamu memberi muta’ah ( pemberian sagu hati ) kepada mereka ( yang diceraikan itu ) Iaitu : Suami yang senang ( hendaklah memberi sagu hati itu ) mengikut ukuran kemampuannya: dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian sagu hati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang ( yang mahu ) berbuat kebaikan”.

Dalil kedua dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 241:
Mafhumnya:
“Dan isteri-isteri yang diceraikan, berhak mendapat muta’ah ( pemberian sagu hati ) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas orang-orang yang bertaqwa”.

2. GOLONGAN YANG BERHAK
Pemberian muta’ah wajib diberi oleh suami kepada bekas isteri dalam keadaan berikut :-
a) Apabila diceraikan selepas berlaku persetubuhan.
b) Isteri diceraikan sebelum disetubuhi dan mas kahwin pula tidak disebutkan semasa akad nikah.
c) Jika isteri dihukumkan supaya berpisah dengan suaminya ( perpisahan disebabkan oleh suami seperti dia murtad atau meli’an / menuduh isteri berzina. Perpisahan itu berlaku selepas persetubuhan atau sebelum persetubuhan dengan syarat mas kahwin tidak disebut dalam akad ).

Sekiranya isteri diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya disebut dalam akad nikah, isteri tidak berhak mendapat muta’ah. Ini kerana dia belum mendapat separuh daripada mas kahwin, sedangkan dia masih belum memberikan apa-apa khidmat kepada suaminya. Jika perceraiannya berlaku disebabkan oleh isteri seperti isteri murtad, perceraian secara khuluk ( tebus talak ) dan nusuz, isteri tidak berhak mendapat apa-apa. Walau bagaimanpun bagi kes isteri yang pernah disetubuhi, sekalipun perceraian itu berpunca daripada isteri sendiri tidaklah gugur haknya untuk mendapat mahar sepenuhnya.

3. PEMBERIAN MUTA’AH MENURUT ENAKMEN KELARGA ISLAM

Mengikut peruntukan dalam Akta Undang-Undang Keluarga Islam ( Wilayah Persekutuan ) 1984 ( Akta 303 ), di bawah seksyen 56 dalam tajuk muta’ah atau pemberian sagu hati kepada perempuan yang diceraikan tanpa sebab yang patut berbunyi seperti berikut : “ selain dari haknya memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon muta’ah atau pemberian sagu hati kepada mahkamah dan mahkamah boleh selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. “

Permohonan untuk menuntut muta’ah perlu dibuat oleh isteri kepada mahkamah sekali dengan proses perceraian, tuntutan nafkah edah dan nafkah anak-anak. Pemberian muta’ah boleh dibuat dengan membuat bayaran sekali sahaja, berbeza dengan bayaran nafkah edah yang dibayar selama tempoh edah, begitu juga nafkah anak-anak yang berterusan sehingga anak-anak mencapai umur baligh.

4. KADAR MUTA’AH:
Penentuan kadar muta’ah, boleh dibuat atas persetujuan kedua-dua suami dan isteri dengan kadar tertentu atau sebaliknya, sekiranya mereka bersetuju dengan kadar harta yang tertentu, sama ada sedikit atau banyak kadar itulah yang diterima oleh isteri. Muta’ah itu sah berdasarkan kepada apa yang dipersetujui.

Jika mereka berselisih pendapat dalam menentukan kadarnya, kadhi ( hakim ) berhak menetapkannya berdasarkan keadaan mereka berdua, kedudukan kewangan suami, keturunan isteri dan sifat-sifatnya. Ini disandarkan kepada ayat al-Quran, surah al-Baqarah : 236 yang bermaksud :
“ Hendaklah kamu memberikan muta’ah ( pemberian sagu hati ) kepada mereka ( yang diceraikan itu ). Iaitu suami yang senang (hendakalah memberi sagu hati itu) menurut ukuran kemampunnya, dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya”.

Kadar muta’ah yang digalakkan ialah tidak kurang daripada 30 dirham atau yang senilai dengannya, dan tidak melebihi separuh daripada kadar mahar misil ( mahar yang munasabah ) Mahar misil biasanya diqiaskan kepada mahar perempuan yang setanding dengannya daripada kerabatnya sendiri seperti saudara perempuannya yang seibu sebapa atau sebapa atau ibu saudaranya. Perkara-perkara lain juga perlu diambil kira dalam menentukan kadar mahar misil itu termasuklah segi kecantikan, kekayaan dan tempat: kerana mahar tidak sama antara negeri-negeri. Masing-masing mempunyai adat dan tradisi yang tersendiri. Begitu juga status perempuan kerana menurut kebiasan, gadis lebih digemari atau diingini daripada janda. Demikian juga kematangan akal fikiran, keagamaan, keluhuran budi, pengetahuan, adab kesopan dan sebagainya.

Tidak semestinya disamakan betul-betul antara dua orang perempuan yang dikira setanding dalam segenap segi: cukup dengan persamaan yang hampir ternyata tiada jurang perbezaan yang jauh. Ini terserah kepada budi bicara pihak-pihak yang berkenaan di dalam keluarga dan masyarakat.

Menurut Mahzab Syafie, tidak ada penetapan kadar muta’ah, sekurang-kurangnya ialah apa jua yang ada nilai dan tiada pementuan kadar maksimumnya. Jika kedua-dua suami isteri bersetuju pada sesuatu kadar maka itulah yang sebaik-baiknya. Jika tidak, hendaklah di tentukan oleh kadhi ( mahkamah ) menurut kedudukan kedua-duanya. Kadar muta’ah itu disunatkan jangan terkurang daripada tiga puluh dirham dan jangan pula sampai kepada had separuh mahar ( mas kahwin ).

6. KESIMPULAN:
Sebagai kesimpulan daripada perbincangan ini dapatlah kita fahami bahawa muta’ah ialah pemberian sagu hati kepada isteri setelah berlaku perceraian, bagi tujuan meringankan bebanan dan kesusahan disebabkan perpisahan dan mengubati perasaan sakit hati serta rasa benci yang memuncak hasil daripada perceraian tersebut.
Pemberian muta’ah sebaik-baiknya dibuat atas kemampuan dan kesanggupan kedua-dua pihak dan persetujuan mahkamah. Perlu difahami mahkamah bukan medan membuka keburukan suami atau isteri,
tetapi merupakan tempat mendapat keadilan bersama .

Rujukan :
1. al-Quran al-Karim ( surah Al-Baqarah, ayat 236 ).
2. Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quran (Edisi Rumi), Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, cetakan kelima Tahun 1992.
3. Kamus Dewan, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Edisi Ketiga Tahun 2002.
4. Kitab Fikah Mahzab Syafie- Bab Undang-Undang Kekelurgaan oleh Dr. Musfafa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali asy-Syarbaji, Pustaka salam Sendirian Berhad - Cetakan 1, Tahun 2002.
5. Asas Kefahaman Islam ( Bahasan empat mahzab: Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali ) oleh Hassan Salleh, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Tahun 1992.
6. Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 ( Akta 303 ) International Law Book Services, Tahun 1995.

Mahayudin bin Abu bakar
Penolong Pengarah
Unit Pengurusan NCR
Bahagian KESUMA
JAKIM



Saturday, October 10, 2009

Juham Kelantan Ke Bagan Pinang

Semalam (Jumaat 09/10/2009) Pasukan Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM), Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan telah bertolak ke Bagan Pinang untuk memantau Pilihan Raya Kecil (PRK) Bagan Pinang. Rombongan seramai 13 orang peguam ini diketuai oleh Pengerusi Juham Kelantan sendiri iaitu saudara Hisham Fauzi.


Kami telah diarahkan oleh Juham Pusat supaya turun ke Bagan Pinang bagi membantu jentera Pas di sana terutamanya berkaitan dengan undang-undang untuk memastikan ketelusan pilihan raya Bagan Pinang yang kelihatan agak panas sedikit dengan beberapa isu pergaduhan.

Tuesday, September 15, 2009

Pilihan Raya Kecil N.31 Bagan Pinang


Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat pengumuman bahawa hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.31 Bagan Pinang pada 03/10/2009 (Sabtu) dan hari membuang undi ialah 11/10/2009 (Ahad). Kedua-dua hari penting tersebut jatuh pada hari cuti hujung minggu. Ini berlainan dengan apa yang telah berlaku pada PRK Manek Urai dan PRK Permatang Pasir yang mana kedua-dua hari sama ada hari penamaan calon atau hari membuang undi masing-masing jatuh pada hari bekerja.

Saya tidak pasti sama ada ianya satu kebetulan ataupun telah dirancang sebegitu. Namun kalau kita perhatikan dengan teliti, nampaknya seolah-olah ketidakadilan berlaku kerana pihak SPR mempunyai budi bicara untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Tapi kini SPR nampaknya sudah hilang budi bicara sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Pilihan Raya. Malah tindakan SPR yang menetapkan hari mengundi khususnya pada hari bekerja menyebabkan ramai yang tidak dapat keluar mengundi dan tindakan SPR tersebut seolah-olah menafikan hak warganegara Malaysia untuk mengundi.

Saya tidak pasti apa alasan yang direka SPR untuk menjustifikasikan tindakan mereka menetapkan hari mengundi PRK Bagang Pinang pada hari cuti hujung minggu sedangkan PRK Manek Urai dan Permatang Pasir dibuat pada hari kerja? Pada mulanya saya ingin berbaik sangka terhadap SPR yang ianya adalah sebuah badan bebas dan tidak dibayangi oleh pihak pemerintah ataupun tangan-tangan ghaib untuk membuat sebarang keputusan. Namun dengan pengumuman yang dibuat SPR hari ini membuatkan saya rasa was-was dengan SPR.

Selama ini SPR selalu menyatakan bahawa mereka adalah badan bebas dan telus. Pihak kerajaan juga turut menafikan campur tangan mereka keatas SPR. Namun tindakan SPR hari ini menunjukkan cakap mereka tidak serupa bikin. Pepatah Karam Singh Walia ada menyebut: 'Baling batu sorok tangan'. Tetapi pepatah yang saya reka berbunyi: 'Kentut berbunyi, busuk tercium tapi tiada siapa hendak mengaku!'.


Dipetik dari al-Kubrawiyyah.

Thursday, August 27, 2009

Mahkamah: Dr. Hatta Tidak Bersalah, Polis Diarah Bayar Gantirugi


KUANTAN, 26 Ogos: Mahkamah Tinggi Kuantan hari ini mengesahkan tangkapan terhadap Bendahari PAS, Dr. Hatta Ramli bersama dua lagi ahli PAS sewaktu berceramah di premis persendirian pada tahun 2000 adalah tidak sah dan melanggar perlembagaan.

Pesuruhjaya kehakiman Datuk Mariana Haji Yahya dalam keputusannya pagi tadi meminta gantirugi ditaksirkan kepada ketiga tiga mereka dihadapan pendaftar mahkamah dalam masa terdekat.

Hakim pada penghakimannya juga memberitahu, perhimpunan pada ceramah terbabit adalah aman dan tindakan polis menyerbu dan membuat tangkapan adalah satu pencerobohan dan telah mengakibatkan kekecohan.

Pada sidang media siang tadi, Hatta memberitahu keputusan mahkamah dalam kesnya itu memberikan implikasi besar kepada semua pertubuhan khasnya parti politik bahawa sebarang bentuk himpunan di premis persendirian adalah dibolehkan dan tidak memerlukan permit.

Ianya juga memberi peringatan kepada pihak polis supaya tidak lagi bertindak sesuka hati menangkap mereka yang berhimpun dalam kawasan premis persendirian.

"Kes ini menjadi land mark (mercu tanda) dalam kes sivil dan memberi dorongan kepada petugas petugas PAS dan parti bahawa di mana mana premis kita, kita boleh buat ceramah dan tidak perlu sebarang permit dengan syarat ianya tidak mengancam keselamatan Negara," ujarnya pada sidang media di pejabat agung PAS siang tadi.

Pada 10 Jun 2004, Sepasukan anggota polis diketuai Ketua Polis Daerah Rompin, Hanafi B. Haji Daud telah bertindak menangakap Hatta dan dua lagi rakannya semasa mengadakan ceramah di Markas Pas Bandar Muadzam Shah kerana mendakwa ceramah berkenaan tiada permit.

Ekoran penangkapan itu, ketiga tiga mereka telah dibawa ke lokap Bandar Muadzam Shah sebelum dipindahkan ke lokap Rompin dan ditahan selama 12 jam. Biarpun ditahan namun tiada sebarang pendakwaan dikenakan terhadap mereka.

Mereka yang diwakili peguam Hanipa Maidin dan peguam Fadhli Ramli kemudiannya telah mengemukakan saman terhadap Ketua Polis Daerah Rompin berkenaan. Jumlah gantirugi bagaimanapun belum dipastikan, Namun ianya akan dibuat dengan mengambil kira penahanan mereka selama 12 hari dan gantirugi- gantirugi lain.

"Polis ni kadang kadang kita bagi penjelasan pun dia tak mahu dengar. Heret kasar, tarik tanpa kasut, gari tak benar pakai baju dalam lokap aibkan orang. Kita tak boleh biarkan semua ni berlaku atas benda yang belum tentu melanggar undang undang. Jadi polis perlu ambil pengajaran," ujar Hatta lagi.

Hanipa yang hadir sama pada sidang media tersebut memberitahu, beberapa kes pendakwaan seumpanya yang melibatkan petugas dan pemimpin PAS tidak pernah kalah.

Antaranya kes Pendakwaraya melawan Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor, Dr. Dzulkifli Ahmad dan kes membabitkan ajk PAS, Mohamad Sabu pada ceramahnya di Kuala Kelawang beberpa tahun lalu..

Hakim bagi kedua dua kes tersebut juga memutuskan perkara sama iaitu tidak salah mengadakan himpunan atau ceramah di premis persendirian.

"Setakat ni kes melibatkan petugas dan pemimpin PAS yang didakwa melanggar perkara 27 akta polis semua kita menang. Saya harap polis tak kacau lagi lepas ni, tapi kalu dia kacau lagi pun bagusla, kita boleh kaya sikit," ujar Hanipa berseloroh.


Dipetik dari Harakahdaily

Perlekeh keputusan mahkamah syariah langgar etika kehakiman



Berita Harian 26 Ogos 2009
Oleh Mohamad Isa Abd Ralip

Rakyat tidak wajar persoal hukuman sebat terhadap Kartika
POLEMIK berkaitan sebatan terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno, masih berlarutan. Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Sebelum ini media serta pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membantah tindakan berani Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah meminum arak di Hotel Legend, Cherating, Kuantan, tahun lalu. Mereka mengkritik bagaimana seorang yang wanita boleh dikenakan sebatan sedangkan di dalam peruntukan undang-undang sivil tidak memperuntukkan hukuman sebatan terhadap wanita kerana ia didakwa sebagai suatu tindakan zalim kerana menganiaya wanita.

Malah, lebih drastik lagi mereka tanpa segan silu mendesak kerajaan menyemak semula hukuman sebat sebagai satu bentuk hukuman dikeluarkan mahkamah syariah. Mereka menyatakan hukuman sebat ke atas wanita bukan saja satu bentuk diskriminasi terhadap wanita Malaysia, malah mencabuli jaminan perlembagaan berhubung hak kesamaan. Mereka mendakwa lagi menyebat wanita mengikut peraturan Kesalahan Jenayah Syariah bercanggah dengan undang-undang sivil yang tidak menghukum sedemikian ke atas wanita dan lelaki yang berumur seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 289 Kanun Acara Jenayah.

Walau apapun pandangan orang ramai, Hakim Abdul Rahman dalam penghakimannya berkata, hukuman itu selaras dengan undang-undang yang harus dijatuhkan bagi menginsafkan tertuduh supaya orang ramai turut sama menjauhi arak.

“Hukuman diberikan untuk menghindar orang lain daripada meminum arak yang jelas (menjadi) ibu kepada segala kesalahan. Apabila minum arak, ia akan menyebabkan seseorang itu hilang akal dan melakukan pelbagai kesalahan,” katanya dalam penghakiman kes itu.

Ironinya, reaksi negatif itu tidak selari dengan langkah diambil Kartika yang insaf dan mahu hukuman sebat enam kali kerana minum arak disegerakan kerana berpendapat tindakannya itu mampu memberikan pengajaran berkesan kepada umat Islam serta kepada dirinya.

Saya tertarik dengan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Prof Datuk Dr Zaleha Kamaruddin yang menyatakan kes Kartika ini mempunyai pengajaran dan patut dijadikan teladan. Beliau menyatakan masyarakat tidak sepatutnya bercakap mengenai apa hukuman dan siapa dihukum sebaliknya mengapa hukuman itu dilaksanakan pihak berkuasa. Ramai yang masih tidak menyedari minum arak itu suatu dosa besar, malah menjadi ibu bagi segala maksiat yang sepatutnya dijauhi.

Kecoh berkaitan dengan kes Kartika ini tidak terhenti begitu saja, mahkamah syariah sekali lagi dikritik kerana mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap Kartika untuk hukuman dilaksanakan terhadap beliau seperti dilaporkan sesetengah akhbar. Hakikatnya bukan waran tangkap dikeluarkan, sebaliknya pihak pendakwa Syarie memohon mahkamah untuk mengeluarkan waran tahanan terhadap Kartika bagi dilaksanakan hukuman sebatan selepas tempoh rayuan hukuman yang diberikan kepada Kartika tamat.

Tindakan sesetengah pihak mencampuri urusan mahkamah syariah yang dalam bidang kuasa negeri, amat dikesali. Tidak sewajarnya mahkamah syariah dikritik apatah lagi keputusan itu dikeluarkan Hakim Syarie, seolah-oleh apa saja perintah mahkamah syariah boleh dikritik oleh sesiapa saja tanpa menghiraukan prinsip kebebasan kehakiman. Pihak terbabit dan yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh membuat rayuan atau semakan kepada Mahkamah yang lebih tinggi dan bukannya membuat kenyataan mengelirukan serta mengundang reaksi negatif orang ramai terhadap mahkamah syariah.

Semua pihak sewajarnya berlapang dada dengan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan tanpa perlu mempersoalkan serta disensasikan kerana keputusan dibuat bersandarkan kepada bidang kuasa ditetapkan. Undang-undang memberikan ruang sekiranya sesuatu penghakiman seseorang hakim itu tidak tepat atau berlawanan dengan peruntukan diselesaikan melalui perundangan, bukannya membuat sebarang kritikan pedas di dalam media ataupun membuat sebarang tindakan di luar batasan undang-undang.

Ia menjadi tidak adil bagi hakim yang membuat keputusan serta mahkamah sendiri kerana hakim terikat dengan etikanya sendiri dengan tidak boleh menjelaskan keadaan sebenar undang-undang di dalam media. Kita kena ingat sebarang komen atau kritikan terhadap keputusan hakim boleh diambil tindakan menghina mahkamah tanpa mengira ia mahkamah sivil atau syariah. Mahkamah syariah wajar dimartabatkan kerana ia adalah syiar serta nadi keadilan bagi umat Islam dan tidak wajar diperlekehkan oleh orang Islam atau bukan Islam.


Saturday, August 22, 2009

Khabar Dari Permatang Pasir



Pada 21/08/2009 (Jumaat), rombongan kedua Juham Kelantan yang diketuai oleh Pengerusinya saudara Hisham Fauzi turut disertai Ahmad Najib Deris, Wan. Mohd Nasri Kamarudin dan Mohd. Abd. Rashid Yah. Rombongan ini bertolak dari Kelantan pukul 8.00 pagi dan sampai di UPU Kubang Semang dalam Dun Permatang Pasir pukul 1.15 tengahari. Kami sempat bersolat Jumaat di Masjid yang di imamkan oleh Dato' Harun Taib, Ketua Dewan Ulama Pas Pusat.

Pihak kami telah mengadakan perjumpaan dengan jentera PRK Permatang Pasir untuk memberikan taklimat berkaitan undang-undang berkaitan pilihan raya khususnya. Kami juga mengadakan perkongsian maklumat dengan Juham Pulau Pinang. Mengatur strategi sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian.

Alhamdulillah, banyak Juham negeri lain yang turut menghantar wakil atau tenaga masing-masing untuk memberikan bantuan