Islam sedia penyelesaian adil bagi jamin hak wanita dalam sesebuah perkahwinan
ANTARA tanggungjawab suami kepada isteri ialah menyediakan nafkah zahir dan batin. Nafkah adalah hak isteri yang wajib ditunaikan suami menurut kemampuannya. Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid, (Juzuk 11, terjemahan, halaman 424) fuqaha' sependapat nafkah wajib ke atas suami merdeka dan nafkah kepada isteri perlu selaras dengan ketaatannya.
Nafkah batin diakui fitrah semula jadi manusia yang memerlukan kasih sayang dan belaian. Firman Allah an-Nisa ayat 19 bermaksud, "dan bergaullah dengan mereka (isteri kamu) menurut cara yang ma'ruf (secara layak)."
Firman ini jelas menunjukkan hak nafkah batin isteri amat penting dalam perkahwinan. Isteri yang tidak mendapat hubungan seksual atau perhatian dan kasih sayang mudah hilang arah sekali gus membuka ruang untuknya melakukan maksiat. Suami patut menjadi pelindung kepada isteri dalam memberikan jaminan daripada segala keburukan dan kemaksiatan.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 222, "Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangi mereka menurut jalan yang diperintahkan Allah kepada kamu...." Hadis Riwayat Muslim dalam kitab haji, bab haji Nabi 1218, daripada Jabir r.a. (hadis haji wada'), "Bertakwa kepada Allah dalam mengendalikan urusan perempuan (isteri). Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan menghalalkan kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan isteri ialah tidak membenarkan sesiapa yang kamu benci memijak kakinya ke tempat tidurmu (memasuki rumahmu). Jika mereka melakukannya, pukul mereka dengan pukulan tidak terlalu menyakitkan (tidak mendera). Kewajipan kamu pula ialah memberi nafkah dan pakaian kepada mereka dengan baik. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu perkara yang kamu tidak sesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepadanya iaitu kitab Allah.
Seterusnya Ibn Hazm dalam Kitabnya, al-Muhalla menyatakan wajib suami memberi nafkah batin (layanan) kepada isterinya sekurang-kurangnya satu kali suci daripada haid (sebulan sekali). Ayat al-Quran dan hadis serta pandangan ulama menunjukkan pentingnya tanggungjawab suami dari segi memberi nafkah zahir dan batin bagi menjaga kerukunan rumah tangga. Jika tidak perkahwinan akan hancur.
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan suami atau isteri yang tidak menunaikan tanggungjawab nafkah batin kepada pasangannya boleh memohon cerai fasakh. Namun peruntukan ini mensyaratkan pengabaian itu adalah tanpa sebab yang munasabah mengikut hukum syarak lebih setahun.
Seksyen 53(1)(d) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor, 2003 memperuntukkan, "Seorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut hukum syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan yang berikut, iaitu (d) suami atau isteri tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;"
Berdasarkan peruntukan itu, sesuatu perkahwinan boleh difasakhkan atas satu atau lebih alasan yang dinyatakan mengikut Seksyen 53. Jika memohon fasakh atas alasan dinyatakan di atas dan dibuktikan maka mahkamah ada bidang kuasa membubarkan pernikahan. Namun apa yang biasa timbul di Mahkamah Syariah hari ini terlalu jarang suami memohon fasakh atas alasan itu. Kebiasaannya wanita yang menggunakan peruntukan ini jika suami mengabaikan nafkah batin.
Tidak dinafikan, nafkah batin adalah soal peribadi dan rahsia mutlak wanita. Hanya isteri selain Allah mengetahui dia tidak bersama suami. Isteri harus bersumpah untuk membuktikan dakwaannya.
Fasakh atas alasan tidak menunaikan nafkah batin bersandarkan hukum syarak. Wahbah al-Zuhaily dalam kitabnya Al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, juzuk. 7, halaman 535, menyatakan peruntukan fasakh atas alasan suami tidak menunaikan nafkah batin dibuat berdasarkan pandangan Mazhab Maliki. Menurut pendapat ini, tidak menunaikan nafkah batin diterima sebagai alasan memohon fasakh kerana dianggap penderaan terhadap isterinya. Penderaan merangkumi segala apa yang lahir daripada suami sama ada perbuatan, perkataan dan perbuatannya yang memudaratkan isteri dalam setiap keadaan walaupun suami tidak bermaksud menyakitinya.
Islam menegah perbuatan menzalimi kaum wanita. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 231 bermaksud, "Dan janganlah kalian pegang mereka (isteri )dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka."
Daripada zahir ayat Allah memberikan panduan yang wajib diikuti suami supaya dapat bergaul dengan isteri secara baik. Kesimpulannya, jika perkahwinan tidak lagi mendatangkan kebaikan, malah menimbulkan kemudaratan terutama berkaitan nafkah batin, ia wajar dibubarkan. Jika isteri reda ia tidak menjadi suatu masalah, jika sebaliknya wajar dielak supaya isteri tidak terdedah melakukan maksiat. Islam menyediakan penyelesaian ini bagi memastikan kemaslahatan umatnya terjaga dan terjamin. Undang-undang yang digubal turut mengambil kira faktor ini untuk menegakkan keadilan tanpa 'bias' kepada lelaki atau perempuan.