Sunday, October 19, 2008

Kerajaan Tidak Cadang Semak ISA


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kerajaan pada masa ini tidak bercadang menyemak semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana ia masih boleh diguna pakai.

Perdana Menteri berkata, pada masa ini juga tidak ada apa-apa perbincangan sama ada untuk mengetepikan atau melakukan pindaan terhadap akta berkenaan. Beliau berkata, tidak ada unsur salah guna kuasa dalam pelaksanaannya.

“Saya pernah menjadi Menteri Dalam Negeri (yang bertanggungjawab mengenai ISA), yang penting dalam hal ini kita mesti berhati-hati dan tidak ada unsur-unsur salah guna kuasa. “ISA bukan satu undang-undang yang tidak boleh dipakai, undang-undang seperti ini juga digunakan negara lain. (Negara) yang tak ada ISA berasakan wajar pula adakan undang-undang seperti ISA, di Amerika Syarikat dan England juga begitu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-55, di Wisma MCA di sini, semalam.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, sebelum melepaskan jawatan Mac tahun depan, beliau mahu memastikan pembaharuan yang hendak dilaksanakan berkaitan badan kehakiman, pencegahan rasuah dan kepolisan dapat dijalankan.

Beliau berkata, pembaharuan yang hendak dilaksanakan itu tidak bererti bahawa apa yang ada dalam undang-undang atau kesalahan yang dilakukan mesti dianggap sebagai tidak lagi salah. “Pembaharuan adalah pembaharuan, undang-undang adalah undang-undang. Pembaharuan tak bermakna semua apa yang ada dalam undang-undang, kesalahan yang ada mesti semua dianggap tidak salah lagi, tak boleh begitu,” katanya.

Ditanya mengapa tahanan ISA tidak dibebaskan meskipun beberapa pihak membantah penahanan mengikut ISA, beliau berkata, Menteri Dalam Negeri lebih mengetahui situasi yang ada yang mewajarkan sama ada seseorang tahanan itu dibebaskan atau terus ditahan mengikut akta berkenaan. “Ini adalah perkara di bawah bidang kuasa menteri yang berkenaan, Saya tiada komen lain. Dia (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar) lebih tahu lagi situasi yang ada, yang mewajarkan dia lepas atau teruskan dengan tahanan,” katanya.


No comments: