Tuesday, March 3, 2009

Mahkamah: Peguam tiada locus standi wakili Sivakumar


Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini membuat keputusan bahawa pihak peguam yang mewakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) V Sivakumar tidak mempunyai locus standi untuk mewakilinya dalam satu permohonan yang difailkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Kadir dan enam Exco kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim, memutuskan demikian dengan alasan Speaker adalah sebahagian daripada kerajaan negeri, kata Tommy Thomas, peguam yang mewakili Sivakumar.

Tommy berkata oleh yang demikian hanya Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri yang boleh mewakili Speaker DUN dalam prosiding kes berkenaan, lapor Bernama.

Zambry dan enam anggota exco kerajaan negeri itu semalam memfailkan permohonan supaya Mahkamah Tinggi Ipoh mengisytiharkan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang mereka menghadiri persidangan DUN antara 12 bulan dan 18 bulan sebagai terbatal dan tidak sah.

Zambry dan enam Exco berkenaan turut memohon supaya mahkamah mengisytiharkan mereka berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua persidangan DUN dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan.


No comments: