Tuesday, April 28, 2009

Kes saman Zambry-Nizar dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mengenai siapa Menteri Besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.
Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara memutuskan wujud pertikaian fakta dalam dua afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar dan Penasihat Undang-undangan Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid. Prosiding untuk meneliti afidavit Ahmad Kamal akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada Isnin depan.
Ini kali kedua kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi. Kali pertama pada 23 Mac apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan isu membabitkan tafsiran Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi dan hanya boleh dirujuk semula ke Mahkamah Persekutuan melalui rayuan.
Alauddin, Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria dan hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusuf dan Datuk James Foong hari ini dijadual mendengar permohonan Zambry, yang difailkan pada 21 April, untuk memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah. - Bernama

No comments: