Sunday, January 24, 2010

Najib setuju tubuh Yayasan Bantuan Guaman: Nazri

KUALA KANGSAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersetuju untuk menubuhkan Yayasan Bantuan Guaman, iaitu sayap pertubuhan bukan kerajaan di bawah Majlis Peguam bagi mengendalikan kes jenayah bagi tertuduh yang tidak mampu mengambil khidmat guaman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Nazri Aziz, berkata cadangan Majlis Peguam itu berikutan bilangan kes jenayah kecil yang semakin meningkat setiap tahun dan tertuduh tidak diwakili peguam kerana kurang mampu.

“Perkara berkenaan sudah dipersetujui Perdana Menteri dan beliau memandang serius mengenai jumlah statistik 80 peratus menunjukkan kes tertuduh yang terbabit dalam jenayah kecil tidak diwakili peguam.

“Perdana Menteri juga dimaklumkan Biro Bantuan Guaman di bawah JPM tidak boleh mewakili tertuduh kerana pendakwaan sering dinamakan atas nama kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian anugerah pelajar cemerlang di Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Perak, Padang Rengas, di sini, semalam.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, Majlis Peguam memohon peruntukan RM5 juta daripada JPM bagi menubuhkan Yayasan Bantuan Guaman.

“Dana ini masih dalam peringkat perbincangan bersama Majlis Peguam dan Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan keputusan lebih jelas.

“Ini sesuatu yang kita perlu bincang dengan mereka, mungkin satu cara ialah nisbah satu sama satu ... berapa banyak Yayasan Bantuan Guaman boleh pungut daripada peguam, kerajaan akan beri jumlah yang sama. Itu lebih munasabah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Nazri turut menjelaskan kerajaan bersetuju menukar nama Biro Bantuan Guaman, JPM kepada Jabatan Bantuan Guaman bagi membuktikan kerajaan serius dalam membantu golongan tidak berkemampuan.

“Jika biro, orang ingat ia unit kecil sedangkan biro ini satu jabatan. Apabila dipanggil biro, orang ingat kerajaan ambil mudah dan mengambil ringan mengenai masalah perundangan ini,” katanya.

No comments: