Wednesday, August 27, 2008

Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008


Sekarang Parlimen sedang membahaskan Rang Undang-Undang Identifikasi Asid Deoksiribonukleik (DNA) 2008 yang dibentangkan oleh Menteri Dalam Negeri untuk bacaan kali ke 2.

Namun begitu, daripada hasil perbahasan para Ahli Yang Berhormat telah menunjukkan bahawa rang undang-undang tersebut mengandungi kecacatan yang banyak. Maka ada YB yang mencadangkan kepada Yang Dipertua Dewan supaya merujuk rang undang-undang tersebut dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan untuk diteliti.

Wednesday, August 20, 2008

SUMPAH SAIFUL TIDAK BERNASKAN HUKUM SYARAK


Menyentuh tentang sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos 2008, bahawa dia diliwat oleh DS Anwar Ibrahim. Saya dengan ini mengutarakan kenyataan dan pandangan berikut, berhubung perkara di atas :-

Bahawa sumpah yang dibuat oleh Saiful adalah tidak bernaskan dan tidak berlandaskan Hukum Syarak.Tiada kaedah sumpah Syarak dalam kes-kes jenayah syariah yang melibatkan hukuman ta’zir. Sumpah syarak dibenarkan dalam kes-kes qisos dan hudud dalam keadaan-keadaan yang tertentu sahaja. Sumpah juga hanya terdapat dalam kes-kes mal, yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta.

Sumpah syarak perlu dilakukan di dalam Mahkamah, setelah diperintahkan oleh Hakim, bukan di tempat awam atau di dalam masjid. Sumpah yang dibuat oleh Saiful secara tidak langsung telah mencemarkan intitusi masjid sebagai tempat beribadat umat Islam. Sumpah dengan memegang atau menjunjung al-Quran bukanlah dari amalan atau ajaran Islam. Sumpah menjunjung atau memegang kitab suci adalah dari amalan Kristian. Sumpah yang dibuat oleh Saiful seolah-olah telah menggangu proses dakwaan dan perbicaraan terhadap DS Anwar Ibrahim, kerana kes sedang berjalan di Mahkamah.

Sepatutnya segala dakwaan atau hujah atau keterangan Saiful perlu dikemukakan di dalam Mahkamah, bukan di tempat awam dan kemudiannya di siarkan dalam media, seolah-olah tidak tidak menghormati dan mencabar kewibawaan institusi Mahkamah. DS Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah menjawab dakwaan Saiful, kerana dalam Islam tidak terdapat kaedah sumpah Syarak dalam kes-kes melibatkan tuduhan liwat.


ULASAN:

Dalam undang-undang jenayah Islam, beban untuk membuktikan fakta tertentu adalah terletak pada orang yang mengemukakan dakwaan, dan mengkehendaki Mahkamah percaya akan kewujudan fakta tersebut. Seksyen 74 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1997 memperuntukkan:

"Beban membuktikan tentang apa-apa fakta tertentu terletak pada orang yang berhendakkan Mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu.”

Cara memberikan keterangan di dalam kes-kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah. Seksyen 87 (3) Enakmen Keterangan memperuntukkan bahawa:

"Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”

Maksudnya terletak di atas bahu pihak yang mengemukakan aduan untuk membuktikan fakta yang didakwanya, dan tertuduh juga perlu membuktikan sebaliknya. Fakta-fakta ini perlu dibuktikan di dalam Mahkamah, bukan di tempat-tempat awam atau dimasjid. Dalam kes-kes qisos (membunuh, memukul dan mencederakan, menggugurkan kandungan), walaupun ada nas-nas mengenai sumpah di atas, namun para fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima oleh Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain, atau bukti tidak cukup. Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat oleh pendakwa ke atas tertuduh.

Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh sahaja. Dalam kes-kes yang melibatkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama’ dalam kes-kes tertentu seperti qazaf dan mencuri sahaja. Dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie, sekiranya pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Walaubagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.

Dalam kes mencuri, menurut Mazhab Shafie, sekiranya kesalahan mencuri tidak dapat dibuktikan maka pihak tertuduh boleh diminta bersumpah. Jika tertuduh enggan, pihak yang kena curi boleh bersumpah al-yamin al-mardudah. Tetapi pandangan ini tidak diterima oleh mazhab-mazhab yang lain. Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat sumpah hanya boleh diterima dalam kes-kes mal atau sivil sahaja. Dalam kes-kes mal atau sivil, yakni yang melibatkan yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta, sumpah perlu dilakukan dalam Mahkamah setelah diperintahkan oleh Hakim untuk berbuat demikian. Seksyen 87 (1) dan (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan :-

"Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.”

"Jika Defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak.””Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”

Dalam Islam, sumpah adalah dengan menyebut nama Allah, dengan menggunakan kalimah sumpah, ’Wallahi al-Azim, wabillahi, watallahi,’ dan tidak disyaratkan memegang atau menjunjung al-Quran. Sumpah memegang kitab suci adalah amalan agama Kristian, yang mana orang yang bersumpah dikehendaki menjunjung atau memegang Bible. Sebagaimana umum sedia maklum, pertuduhan terhadap DS Anwar Ibrahim telah dibuat, dan kesnya akan disebut semula untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Kes tersebut sedang berjalan. Sepatutnya segala dakwaan tentang salah laku Anwar di kemukakan dalam proses perbicaraan di Mahkamah. Perbuatan mengeluarkan kenyataan atau membuat sebarang tindakan sedemikian akan menggangu dan merencatkan perjalanan perbicaraan di Mahkamah, dan ia seolah-olah tidak menghormati Mahkamah sebagai tempat membicarakan dan memutuskan keadilan.

Liwat dalam undang-undang jenayah Syariah :Liwat atau homoseksual adalah perbuatan yang sejak dahulu lagi dipertikaikan oleh para fuqaha samada dia boleh dianggap zina atau tidak. Sesetengahnya berpendapat ia adalah zina berdasarkan hadith Abu Musa al-Asyari bahawa Nabi s.a.w bersabda :- ”Apabila lelaki bersetubuh dengan lelaki maka kedua-duanya telah berzina.”

Akan tetapi kebanyakan fuqaha berpendapat bahawa liwat bukannya zina, kerana adat dan kebiasaan masyarakat tidak menganggap demikian. Tambahan pula bahaya atau kesan perbuatan liwat tidak sama bahaya dengan kesan zina yang melibatkan keturunan dan keluarga. Walaubagaimanapun para ulama sepakat bahawa liwat itu adalah perbuatan terkutuk dan berdosa besar. Liwat dalam undang-undang jenayah syariah adalah dikategorikan sebagai kesalahan ta’zir, yakni kesalahan atau perbuatan maksiat yang tidak ditentukan kadar hukumannya oleh Syarak. Ia tidak termasuk dalam kesalahan hudud atau qisos. Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan bahawa – Seksyen 25 –

"Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”

Manakala Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memberikan tafsiran yang lebih luas, di mana Seksyen 28 Enakmen memperuntukkan bahawa :

"mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”


Sekian, untuk siaran. Terima kasih.


MUSA BIN AWANG
019-3870105
Setiausaha Agong
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
sumber PGSM

Tuesday, August 19, 2008

Mubahalah



Orang yang mendakwa dirinya diliwat tanpa bukti empat orang saksi lelaki yang cukup syarat boleh mengemukakan sebarang bukti yang boleh diterima di mahkamah bagi menyokong dakwaannya itu.

Klinik Hukum Syarak dan Guaman Syarie, Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengeluarkan resolusi itu semalam menyebut, jika seseorang itu tidak dapat mengemukakan bukti diliwat dia dianggap melakukan tuduhan qazaf.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, orang yang melakukan qazaf apabila tidak dapat mengemukakan empat saksi lelaki, boleh meminta mahkamah supaya orang yang dituduh meliwat bersumpah bahawa dia tidak meliwat.

Jika yang dituduh meliwat bersumpah, penuduh dikenakan hukuman qazaf. Jika yang dituduh meliwat enggan sedangkan yang menuduh bersumpah dia benar dalam tuduhannya, tuduhan qazaf terhadapnya gugur. Namun, pertuduhan liwat tertuduh tidak sabit walaupun yang menuduh bersumpah.

Menurut kenyataan itu, sumpah dalam kes qazaf hanya ada dalam mazhab Shafie dan boleh dilakukan selepas ada pendakwaan di mahkamah.

“Sumpah yang dimak-sudkan tidak boleh ada unsur laknat. Sumpah laknat hanya dibenarkan dalam kes li’an antara suami isteri. Bersumpah meletakkan tangan atas al-Quran tidak disyariatkan,” kata kenyataan itu.

Katanya kenyataan itu, pembuktian qazaf dapat dilakukan dengan cara mengikut tertib iaitu orang yang mendakwa menjadi mangsa tuduhan qazaf perlu mengemukakan dua orang saksi yang mencukupi syarat, membuktikan kesahihan dakwaannya itu.

“Kedua, jika tidak dapat mengemukakan dua saksi lelaki, pengakuan orang yang didakwa membuat tuduhan qazaf boleh diambil kira.

“Ketiga, jika orang yang dituduh meliwat tidak dapat mengemukakan dua saksi atau pengakuan orang yang menuduhnya, tuduhan qazaf boleh disabitkan dengan sumpah,” kata kenyataan itu.


Dalam kitab Bulughul Maram ada menyebut satu hadis Rasulullah yang bermaksud;
" Beban pembuktian keatas yang mendakwa dan sumpah keatas orang yang didakwa."

Namun yang pelik dalam kes Saiful, sebaliknya yang berlaku. Saiful sepatutnya mengemukakan bukti yang dia telah diliwat dan bukannya dengan mengambil jalan untuk bersumpah.



Thursday, August 14, 2008

Cadangan Pindaan Undang-Undang Syariah

Saya menyambut baik saranan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz sebagaimana yang dilapurkan hari ini dalam Berita Harian Online, yang antara lain menyebut bahawa Undang-Undang Syariah negara termasuk di negeri-negeri perlu dipinda semula berikutan kadar hukuman serta penaltinya yang dianggap sudah lapuk serta tidak dapat mencegah berlaku pelbagai salah laku dan perlu kepada perubahan

Saya menulis ini dengan menyedari hakikat bahawa Undang-Undang Syariah yang ada itu di atas formula '356' adalah bertentangan dengan hukuman sebenar syariah di bawah hukum hudud, qisas dan ta'zir. Tetapi sebagaimana yang dapat difahami dari kaedah "sesuatu yang tidak boleh diperolehi semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya', saya amat-amat bersetuju dengan saranan tersebut.

Kita boleh bayangkan betapa ketinggalannya undang-undang Syariah yang dienakmenkan dalam memenuhi objektif hukuman iaitu untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan juga ingatan kepada masyarakat umum. Bayangkan sebagai contoh, hukuman di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985 bagi kesalahan zina seksyen 11, apabila disabitkan dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5000 atau kedua-duanya dan disebat enam kali

Itu adalah maksimum hukuman yang boleh dikenakan.

Contoh lain adalah pada seksyen 23 bagi kesalahan galakan maksiat iaitu menganjur, memujuk atau menggalakkan mana-mana orang melakukan apa-apa pekerjaan maksiat adalah bersalah dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak lebih empat bulan atau kedua-duanya.

Sahaja!!!

Bagi saya, apalah sangat nilainya hukuman-hukuman tersebut jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, sementelahan pula ianya telah digubal 23 tahun yang lampau, ketika mungkin wang sebanyak RM500 adalah merupakan satu jumlah yang besar.

Tapi tentu sahaja untuk membuat pindaan terhadap undang-undang syariah tersebut beberapa undang-undang lain perlu juga dipinda. Yang paling penting bagi saya adalah kekangan yang terdapat di dalam Muslim Courts (Criminal Jurusdiction) Act, 1965 dengan pindaan terakhir pada tahun 1984. Akta inilah yang mengekang bidangkuasa syariah sebenarnya dengan hanya menetapkan formula 356; penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM5000 dan sebat tidak lebih 6 kali sebatan atau gabungan kesemuanya.

Akta inilah yang perlu di pinda.

Menyedari hakikat kekangan itulah, pernah Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa tahun 2007 meluluskan usul agar Kerajaan Negeri Kelantan meminda Enekman Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985 dengan memperuntukkan hukuman maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang bagi setiap kesalahan yang disenaraikan di bawah enakmen tersebut.

Saya tidak pasti apa jadi kepada usul yang diluluskan sebulat suara itu.

Saya berpendapat ini adalah masa yang terbaik untuk membangkitkan isu ini semula di peringkat nasional. Syabas JAKIM.


Nota: Pagi tadi saya dengar Radio IKIM mengulas isu ini. Tapi DJ macam nak potong setiap pendapat yang dikeluarkan. Rileklah Ustaz Zamri, bila lagi nak bagi peluang.

PTPTN : Caj Hanya 1%


PUTRAJAYA: Pelajar yang memperoleh pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini hanya perlu membayar caj perkhidmatan sebanyak satu peratus berikutan keputusan Kabinet semalam bersetuju menurunkan kadar caj berkenaan, berkuat kuasa 1 Jun lalu. Kadar baru itu meliputi pinjaman di peringkat pengajian ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana serta doktor falsafah (PhD). Sebelum ini, pelajar ijazah sarjana muda dikenakan caj perkhidmatan tiga peratus, manakala peringkat ijazah sarjana dan PhD lima peratus. Ketika ini, 1.04 juta peminjam PTPTN membabitkan pelajar peringkat ijazah sarjana muda dan 2,473 pelajar ijazah sarjana serta PhD.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kadar baru itu membabitkan peminjam sedia ada, yang sudah menamatkan pengajian tetapi belum menyelesaikan pinjaman serta semua bakal peminjam. Beliau berkata, permohonan pelajar baru yang dibuat sebelum sistem baru dilaksanakan, akan diproses dan diluluskan mengikut kaedah sedia ada dengan pelarasan dibuat selepas sistem baru dibangunkan Disember ini. "Bagi peminjam sedia ada dan yang sudah menamatkan pengajian pula, kaedah pengiraannya ialah jumlah terhutang sebelum 1 Jun lalu akan didarabkan dengan satu peratus setahun atas baki tempoh bayaran balik," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.

Mohamed Khaled berkata, penurunan kadar caj itu dipersetujui hasil perbincangan dan rujukan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengesahkan ia tidak bertentangan dengan syariah. Bulan lalu, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan caj yang dikenakan PTPTN hendaklah berkonsepkan upah sejajar matlamat penubuhannya untuk membantu pelajar membiayai pengajian serta mesti bersesuaian dengan perkhidmatan yang diberi dan tidak membebankan peminjam. Berikutan keputusan itu, katanya, dokumen surat tawaran perjanjian baru akan diedarkan kepada peminjam sedia ada dan yang sudah menamatkan pengajian, pada Januari 2009. "Mereka diberi tempoh sebulan untuk melengkapkan dokumen perjanjian baru dan memulangkannya semula kepada PTPTN sebelum kadar baru dilaksanakan. Mereka yang gagal memulangkan kembali surat tawaran itu akan tetap dikenakan kadar caj lama," katanya.

Mengenai peminjam yang tidak pernah membuat pembayaran pinjaman, beliau berkata pengiraan masih digunakan mengikut kadar lama serta dikenakan denda satu peratus dan hanya baki pinjaman selepas 1 Jun lalu layak mendapat kadar caj baru. "Kita yakin penurunan kadar caj ini tidak akan menjejaskan operasi PTPTN kerana ia dapat membantu meningkatkan lagi pembayaran balik pinjaman," katanya. Mohamed Khaled berkata, sejajar dengan penurunan kadar caj itu, kementerian sedang mengkaji kemungkinan menumpukan pembiayaan pendidikan peringkat sarjana, doktor falsafah dan profesional hanya dalam bidang strategik. Mengenai pemotongan bayaran insurans PTPTN sehingga menyebabkan lebih 1,000 pelajar Kolej Universiti Sains Kesihatan Masterskill, Kajang mendapat baki pinjaman antara RM10 hingga RM50, beliau berkata mereka boleh memohon balik bayaran yang dipotong dan jumlah berkenaan akan dijadikan pinjaman tambahan. "PTPTN membuat pelarasan kerana kos insurans meningkat dan ada pelajar yang tidak dikenakan atau dikutip bayaran bulanan, maka apabila dikenakan potongan tahunan jumlahnya menjadi besar menyebabkan pelajar tidak ada baki pinjaman," katanya.


Selamat Bermuktamar


LUHAM mengucapkan selamat bermuktamar kepada semua perwakilan. Semoga muktamar kali ini akan membuahkan hasil yang baik dalam membahaskan banyak isu penting bukan sahaja yang berkaitan dengan parti dan perjuangan, malah turut juga melibatkan negara Malaysia dan Islam khususnya.

Diharapkan dengan muktamar kali ini akan menyemarakkan lagi semangat perjuangan Islamiyyah yang menjiwai setiap pejuang agama Allah ini. Takbir!!!!

Sunday, August 10, 2008

Mahkamah tolak petisyen BN


IPOH: Mahkamah Tinggi semalam menolak petisyen calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau, Kuala Sepetang dan Kuala Kurau. Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Wan Arfah Wan Ibrahim menolak dengan kos petisyen bagi ketiga-tiga kerusi DUN berkenaan.

Dalam penghakimannya bagi DUN Lubuk Merbau, Wan Arfah berkata, kegagalan responden pertama, Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Pas) mengemukakan surat pengesahan atau membuat sumpah rahsia tidak menjejaskan keputusan pilihan raya. "Tindakan itu ‘hanyalah kesalahan' yang boleh dikenakan hukuman menurut undang-undang tetapi tidak berkaitan dengan perjalanan pilihan raya," katanya. Hakim berkata, Datuk Jamal Nasir Rasdi (BN) juga gagal menyenaraikan secara khusus kesalahan yang beliau dakwa. "Adakah poster atau iklan satu perbuatan rasuah? Walaupun kain rentang dikatakan sebagai iklan, bagi saya kain rentang itu mesti mengandungi maklumat dan bukan kosong. "Pempetisyen juga tidak mengenal pasti secara jelas orang yang dituduh melakukan perbuatan rasuah itu.
Akhir sekali, pempetisyen juga gagal membuktikan wujud unsur rasuah dalam pilihan raya berkenaan," katanya. Petisyen itu dikemukakan oleh calon BN, Jamal Nasir yang kalah dengan Mohd Zainuddin dengan majoriti 72 undi pada pilihan raya umum lalu. Bagi kerusi DUN Kuala Kurau, Wan Arfah berkata, tiada bukti yang menunjukkan tiga individu memakai baju-T kuning menjejaskan keputusan pilihan raya itu.

Dalam petisyennya, Mohd Salleh Mat Disa (BN) mendakwa sekurang-kurangnya tiga ejen yang bekerja untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Yunus Jamahri memujuk pemilih supaya tidak mengundi calon BN dalam jarak 50 meter dari Pusat Pengundian di Sekolah Agama Al-Hidayah, Kuala Kurau.
Berhubung petisyen kerusi DUN Kuala Sepetang, Wan Arfah berkata, ada kecacatan ketara yang tidak dapat diperbaiki dalam petisyen See Tean Seng (BN) walaupun See mengemukakan afidavit untuk mengukuhkan petisyen itu. "Dalam kes ini, pempetisyen gagal mengemukakan fakta relevan dan perincian untuk membuktikan satu tuduhan khusus atau butiran yang mengaitkan perbuatan rasuah oleh responden pertama (Tai Sing Ng)," katanya. Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Mohd Zainuddin (Pas), Abdul Yunus (PKR) dan Tai (PKR) memenangi kerusi DUN Lubuk Merbau, Kuala Kurau dan Kuala Sepetang dengan majoriti 72, 467 dan 564 undi. Semua pempetisyen juga menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya di kawasan DUN masing-masing dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sebagai responden kedua dan ketiga.

Thursday, August 7, 2008

AUKU: Mahasiswa Masih Lagi Terkongkong


Sewaktu kerajaan membuat kenyataan bahawa AUKU akan dipinda bertujuan untuk memberikan sedikit ruang kepada mahasiswa untuk bergiat dalam persatuanatau badan-badan yang tidak berkaitan universiti, mungkin mahasiswa dapat sedikit bernafas lega. Seolah-olah kerajaan mendengar rungutan mahasiswa yang dikongkong oleh suatu akta yang menyempitkan ruang fikiran.

Namun begitu, mungkin dada mahasiswa kembali menyesak apabila pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengajian Tinggi bahawa pindaan tersebut hanyalah melibatkan mahasiswa yang sedang mengikuti ijazah sarjana (MA) dan Doktor Falsafah (Ph.D) sahaja. Manakala mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda (BA) masih lagi terikat dan dikongkong. Walaupun begitu, sebarang kesalahan di bawah AUKU tidak lagi akan dibawa ke Mahkamah untuk perbicaraan. Tetapi cukup hanya sekadar perbicaran pada peringkat badan disiplin universiti sahaja.

Memang pindaan tersebut mempunya pro dan kontranya. Namun begitu sekiranya kita lihat secara keseluruhan AUKU masih lagi menyekat kebebasan mahasiswa selaku bakal pemimpin masa hadapan.