IPOH: Mahkamah Tinggi semalam menolak petisyen calon Barisan Nasional (BN) bagi membatalkan keputusan pilihan raya umum membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lubuk Merbau, Kuala Sepetang dan Kuala Kurau. Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Wan Arfah Wan Ibrahim menolak dengan kos petisyen bagi ketiga-tiga kerusi DUN berkenaan.
Dalam penghakimannya bagi DUN Lubuk Merbau, Wan Arfah berkata, kegagalan responden pertama, Mohd Zainuddin Mohd Yusof (Pas) mengemukakan surat pengesahan atau membuat sumpah rahsia tidak menjejaskan keputusan pilihan raya. "Tindakan itu ‘hanyalah kesalahan' yang boleh dikenakan hukuman menurut undang-undang tetapi tidak berkaitan dengan perjalanan pilihan raya," katanya. Hakim berkata, Datuk Jamal Nasir Rasdi (BN) juga gagal menyenaraikan secara khusus kesalahan yang beliau dakwa. "Adakah poster atau iklan satu perbuatan rasuah? Walaupun kain rentang dikatakan sebagai iklan, bagi saya kain rentang itu mesti mengandungi maklumat dan bukan kosong. "Pempetisyen juga tidak mengenal pasti secara jelas orang yang dituduh melakukan perbuatan rasuah itu.
Akhir sekali, pempetisyen juga gagal membuktikan wujud unsur rasuah dalam pilihan raya berkenaan," katanya. Petisyen itu dikemukakan oleh calon BN, Jamal Nasir yang kalah dengan Mohd Zainuddin dengan majoriti 72 undi pada pilihan raya umum lalu. Bagi kerusi DUN Kuala Kurau, Wan Arfah berkata, tiada bukti yang menunjukkan tiga individu memakai baju-T kuning menjejaskan keputusan pilihan raya itu.
Dalam petisyennya, Mohd Salleh Mat Disa (BN) mendakwa sekurang-kurangnya tiga ejen yang bekerja untuk calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Abdul Yunus Jamahri memujuk pemilih supaya tidak mengundi calon BN dalam jarak 50 meter dari Pusat Pengundian di Sekolah Agama Al-Hidayah, Kuala Kurau.
Berhubung petisyen kerusi DUN Kuala Sepetang, Wan Arfah berkata, ada kecacatan ketara yang tidak dapat diperbaiki dalam petisyen See Tean Seng (BN) walaupun See mengemukakan afidavit untuk mengukuhkan petisyen itu. "Dalam kes ini, pempetisyen gagal mengemukakan fakta relevan dan perincian untuk membuktikan satu tuduhan khusus atau butiran yang mengaitkan perbuatan rasuah oleh responden pertama (Tai Sing Ng)," katanya. Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Mohd Zainuddin (Pas), Abdul Yunus (PKR) dan Tai (PKR) memenangi kerusi DUN Lubuk Merbau, Kuala Kurau dan Kuala Sepetang dengan majoriti 72, 467 dan 564 undi. Semua pempetisyen juga menamakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya di kawasan DUN masing-masing dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia sebagai responden kedua dan ketiga.
No comments:
Post a Comment