Wednesday, November 19, 2008

Mempertikai Fatwa Usaha Jatuh Kredibiliti Islam


Institusi agama badan sah di sisi undang-undang malah wujud sebelum zaman penjajah

SEJAK kebelakangan ini pelbagai pihak dengan lantang mempertikaikan fatwa yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis Fatwa Negeri-Negeri. Malah, hasrat Majlis Fatwa itu untuk membuat fatwa tertentu juga sering dicemuh dan diperlekehkan. Ia terbukti apabila Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan baru-baru ini yang mengharamkan pengkid iaitu wanita yang menyerupai lelaki sama ada dalam bentuk penampilan atau berpakaian. Begitu juga halnya apabila pengumuman dibuat bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa mengenai hukum senaman yoga.

Pelbagai pihak termasuk institusi, orang perseorangan sama ada Islam atau bukan Islam memperkatakan mengenai tindakan Majlis Fatwa ini. Tindakan ini sebenarnya adalah kesinambungan usaha menjatuhkan kredibiliti Majlis Fatwa dan institusi Islam yang lain. Ia berikutan Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman bahawa institusi fatwa adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini dalam kes Sulaiman Takrib lawan kerajaan Terengganu dan Kahar Ahmad melawan kerajaan Selangor dan dua lagi. Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, adalah mahkamah tertinggi dalam negara ini menjelaskan kedudukan fatwa di negara ini dan tidak perlu dipertikaikan lagi selepas itu.

Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan sah di sisi undang-undang. Sebagaimana orang bukan Islam tidak mahu orang Islam mengganggu agama mereka, mereka juga hendaklah tidak mengganggu agama Islam apatah lagi badan itu ditubuhkan atas lunas yang sah dan diiktiraf undang-undang.

Institusi Fatwa bukan ditubuhkan selepas merdeka tetapi sudah lama wujud walaupun sebelum zaman penjajahan lagi dan selama ini fatwa berjaya memberi panduan kepada orang Islam mengamalkan agama mereka. Orang bukan Islam tiada hak mempersoalkan perkara ini. Apatah lagi Islam adalah agama Persekutuan dan diberikan kedudukan istimewa dalam perlembagaan.

Hal ini dapat kita lihat apabila orang bukan Islam pun begitu keras membantah fatwa ini walhal fatwa itu tidak akan mengikat mereka. Apakah motif sebenar mereka melakukan sebegini? Begitu juga halnya dengan orang Islam. Tingkatkan pengetahuan ilmu agama sebelum membuat sesuatu kenyataan. Janganlah mendahului ulama dalam urusan agama. Orang yang tidak berkelayakan dalam bidang agama tidak harus mempertikaikan fatwa yang sah dibuat mengikut lunas agama dan undang-undang negara.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (GSM) begitu kesal apabila dikatakan Majlis Fatwa perlu menumpukan perhatian kepada perkara lain yang lebih mustahak berbanding hukum senaman yoga yang akan dikeluarkan tidak lama lagi. Mungkin sebagai pengikut yoga mereka mengatakan ia hanyalah suatu senaman dan tidak lebih daripada itu. Tetapi tahukah kita apakah makna mantera yang dibacakan itu. Adakah suatu jaminan mantera itu tidak menyekutukan Allah? Ada pula yang mengatakan mereka tidak membaca mantera tetapi hanya melakukan senaman. Dalam keadaan ini pun kita perlu sedar adakah perbuatan kita itu suatu manifestasi kepada penafian ketauhidan kepada Allah? Inilah yang dikaji oleh Jawatankuasa Fatwa dan biarkanlah fatwa itu dibuat mengikut keilmuan ulama. Apakah perkara lain yang lebih mustahak lagi berbanding perkara yang menyentuh akidah orang Islam. Sekiranya senaman yoga itu adalah haram di sisi Islam kerana mensyirikkan Allah, maka betapa baik pun amalan seseorang itu, ia sudah pasti tidak diterima Allah. Hal yang sedemikian memberi implikasi amat besar kepada orang Islam.
Bagi fatwa berhubung dengan pengkid pula, adalah jelas setiap kebebasan itu ada batasannya. Hujah yang menyatakan pengkid ini berhak dan bebas memilih jalan hidup mereka sebenarnya tidak bertepatan dengan hukum syarak. Undang-undang Islam membataskan pergaulan lelaki dan wanita, cara pemakaian dan perwatakan. Tidak harus timbul isu naluri, syahwat dan sebagainya mengatasi hukum syarak. Lunas agama ini ditentukan dan adalah menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Fatwa memperbetulkan keadaan mengikut kuasa yang diberikan kepadanya oleh undang-undang.

Dalam membuat sesuatu fatwa, Jawatankuasa Fatwa membuat kajian terperinci terlebih dulu. Suatu kertas cadangan dibuat dan dikaji oleh tokoh agama dan golongan profesional sering kali dipanggil untuk membantu Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa. Pada masa sama, persoalan yang ditimbulkan itu seolah-olah menggambarkan Majlis Fatwa hanya membuat ketetapan mengenai hal remeh-temeh. Buatlah kajian terlebih dulu sebelum membuat sesuatu kenyataan.

Sebenarnya Majlis Fatwa sudah membuat pelbagai ketetapan merangkumi aspek perubatan, sosial, kesihatan, ekonomi dan pentadbiran. Ia jelas menunjukkan Majlis Fatwa menjalankan amanahnya dengan baik dan membincangkan permasalahan dihadapi orang Islam. Dalam banyak keadaan juga pakar dipanggil untuk membantu Majlis Fatwa memberikan fatwa yang tepat.

Selama ini Majlis Fatwa berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam di negara ini. Memang tidak dinafikan, wujud perubahan fatwa dalam beberapa perkara yang diputuskan tetapi ia bukan menunjukkan kejelekan anggota Majlis Fatwa berkenaan. Ia lebih manifestasi bahawa syariat Islam itu sesuai sepanjang zaman dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa tanpa menggadaikan perkara asas yang disepakati.

Walaupun Majlis Fatwa berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam, ada juga golongan yang masih tidak sedar kejayaan ini dan mentertawakan sesuatu fatwa. Mereka mengambil contoh fatwa pengharaman rokok dikeluarkan beberapa tahun lalu tetapi masih ramai yang merokok.

Dalam hal yang demikian adakah Majlis Fatwa patut berhenti membuat fatwa? Kita ambil perbandingan jika seorang doktor membedah seorang pesakit dan pesakit itu mati, adakah doktor perlu berhenti membedah pesakit? Begitu juga kisahnya apabila Ahli Parlimen membuat undang-undang dan undang-undang itu gagal dipatuhi oleh rakyat. Adakah Ahli Parlimen perlu berhenti membuat undang-undang? Tentulah jawapannya tidak, begitu juga dengan fatwa. Mufti tidak perlu berhenti mengeluarkan fatwa. Sebenarnya fatwa saja tidak menjamin kesejahteraan umat. Seluruh jentera pentadbiran kerajaan perlu memadu usaha memastikan sesuatu fatwa itu diikuti sama ada melalui pendidikan, pelaksanaan dan penguatkuasaan. Oleh yang demikian PGSM meminta semua orang sama ada Islam atau bukan Islam agar menghormati Majlis Fatwa yang mempunyai kuasa membuat fatwa.

Mufti juga mempunyai tanggungjawab untuk menasihati sultan dalam perkara mengenai agama Islam. Mempertikaikan mufti samalah ertinya mempertikaikan sultan yang berkenan melantik mereka. Jagalah sensitiviti umat Islam, hormatilah orang Islam yang menjadi sendi kepada kekuatan negara. Memperlekehkan institusi agama Islam yang diketuai oleh Raja-Raja Melayu sudah tentu memberi impak kepada Raja-Raja Melayu juga. Institusi Fatwa adalah sebuah institusi yang bebas daripada pengaruh politik dan bertanggungjawab terus kepada Raja-Raja Melayu.


Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org/


Konflik Sivil, Syariah Diselesai


PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi, memberi jaminan akan mencari jalan penyelesaian bagi mewujudkan persefahaman antara sistem perundangan sivil dan syariah supaya tidak timbul konflik pada masa depan.

Katanya, satu bentuk persefahaman antara kedua-dua undang-undang berkenaan perlu bagi menangani lebih banyak isu perundangan membabitkan umat Islam dan bukan Islam yang dikemukakan dalam mahkamah.
"Kita akan cuba mengelak berlakunya konflik dengan mencari persefahaman yang memberi kebaikan kepada kedua-dua sistem perundangan berkenaan," katanya berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Undang-Undang Perbandingan (Iscom) 2008 di sini, semalam.

Zaki memberi contoh kes Sulaiman Takrib, 59, yang didakwa anak murid Ayah Pin yang mencabar kesahihan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu dari segi Perlembagaan Persekutuan sama ada ia boleh digunakan untuk menuduhnya sebagai pengikut ajaran sesat. "Dalam kes terbabit, isu yang ditimbulkan ialah sama ada Enakmen Jenayah Syariah negeri boleh dicabar di mahkamah sivil,'' katanya. (Keputusan panel lima hakim diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad 26 September lalu, mengisytiharkan enakmen itu sah untuk menuduh Sulaiman).

Seminar dua hari itu adalah anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (YTWP), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Lembaga Tabung Haji. Hadir sama, Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah JKSM, Datuk Ibrahim Lembut; Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, Pengarah Iscom 2008 Profesor Dr Abdul Samat Musa dan Pengurus Besar YTWP Ahmad Ayob Ibrahim.

Abdul Hamid dalam syarahan Program Kajian Undang-Undang Islam Abd Al-Razzaq Al-Shanhuri di Fakulti Undang-Undang, Unversiti Harvard, Amerika Syarikat, baru-baru ini menyebut, kemungkinan mahkamah sivil dan syariah boleh bergabung di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Katanya, gabungan dua mahkamah itu akan mengharmonikan prinsip sivil dan syariah untuk mengendalikan isu kompleks yang dipertikaikan dan bidang kuasa kedua-dua mahkamah yang tercetus daripada kes antara fahaman.

Sementara itu, pada sidang media pada majlis itu, Ibrahim berkata, bukan Islam tidak sepatutnya bimbang jika sistem perundangan sivil dan syariah digabungkan kerana agama Islam tidak pernah mendiskriminasi kaum dan agama lain. "Islam akan mempertahankan semua orang dan tanggapan bahawa penggabungan mahkamah sivil dan mahkamah syariah akan menjejaskan hak bukan Islam adalah salah.

"Namun, perjalanannya masih jauh walaupun perbincangan mengenai sebarang kemungkinan untuk mengharmonikan undang-undang syariah dan sivil sudah diadakan sebelum ini," katanya. Abdul Shukor yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, ketika diminta mengulas perkara sama turut menyambut baik cadangan mengharmonikan kedua-dua undang-undang berkenaan. "Usaha ke arah itu sudah lama dimulakan kerana ia dapat membawa perkongsian bagi menyelesaikan isu yang timbul di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam," katanya.


Dipetik dari Berita Harian.

Sunday, November 9, 2008

Diskusi Undang-Undang Jenayah Syariah


LUHAM bercadang akan mengadakan satu program untuk semua ahli sebagaimana berikut:-


Program : Diskusi Undang-Undang Jenayah Syariah

Tarikh : 24/11/2008 (Isnin malam Selasa)

Masa : 8.30 malam - 10.30 malam

Tempat : Bilik Mesyuarat Badan Perhubungan Pas Negeri Kelantan (BPPNK)


Sila kosongkan masa anda pada tarikh tersebut.

Malaysia's Top Blogger Released From Detention


Malaysia's leading blogger, Raja Petra Kamaruddin, was Friday released from detention under controversial internal security laws after a court ruled the government had no right to hold him.
Raja Petra, a vocal government critic who had been held at a notorious detention camp since September, wept and embraced his family after being freed by the Shah Alam High Court.

"I'm really glad it's over. I'm really tired. The judge's decision proves that there was no justification for my detention," he said, calling for an end to the Internal Security Act (ISA) which allows for detention without trial.

"We have to fight all-out and get the ISA abolished," he told reporters.
Looking haggard and dressed in a brown T-shirt and jeans, Raja Petra was garlanded with flowers by dozens of supporters outside the court before stepping into a maroon Rolls Royce provided by a supporter to ferry him home.

"The release of Raja Petra... from ISA detention is a victory for the people of Malaysia," said opposition leader Anwar Ibrahim.

"I commend the courts which have come to the rescue, as they must do, when citizens are rendered helpless before arbitrary authority and its inclination to the abuse of power," he said in a statement.

The Malaysian Bar Council president Ambiga Sreenevasan also applauded the ruling, and said the court had acted with "courage, integrity and independence."

Raja Petra, founder of the popular Malaysia Today website which has outraged top leaders with its stream of critical stories, was detained in September for writing articles that allegedly insulted Islam.

His lawyer Malik Imtiaz Sarwar said the High Court ruled earlier Friday that Home Minister Syed Hamid Albar had acted outside his powers by ordering Raja Petra to serve two years in detention without trial.

"The judge ruled that the circumstances which existed at the time that Raja Petra was detained did not satisfy the threshold conditions under the ISA," he told AFP.

Malik said it was the first time a court has ordered the release of an ISA detainee since 1989, when courts were barred from interfering once a detention order has been signed by the home minister.

Opposition parliamentarian Lim Kit Siang said the ruling "sustains hope that basic judicial decency, independence and integrity have not been completely destroyed, despite two decades of judicial darkness."

He called on the government to "fully respect" the verdict and "slap down any trickery or stratagem to frustrate the judicial decision, such as a re-arrest."

Raja Petra is best known for his articles on politics, and had already been charged with sedition and defamation for linking Deputy Prime Minister Najib Razak and his wife to the sensational murder of a Mongolian woman.

But he was also accused of threatening public security and causing racial tension by inciting hate in his articles on Islam -- a serious offence in predominantly Muslim Malaysia.

There has been a rash of detentions in recent months under the ISA, which allows for renewable two-year periods of detention without trial.

Raja Petra was detained on the same day as opposition lawmaker Teresa Kok and journalist Tan Hoon Cheng, both of whom have since been freed. Tan's arrest in particular caused a furore as she had merely reported on racist comments from a ruling party member who was subsequently suspended by the United Malays National Organisation.


Wednesday, November 5, 2008

Menguatkuasa Undang-Undang Penjualan Minuman Keras Lebih Ketat


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar


Masyarakat Islam perlu diberi kesedaran mengenai kesalahan jenayah syariah SETIAP hari kita akan membaca di akhbar mendapati banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan di negara kita. Peraturan yang berkuatkuasa sekarang mengkehendaki orang yang berhasrat menjual minuman memabukkan hendaklah mendapat permit atau lesen terlebih dulu. Pemohon juga perlu mengiklankan hasratnya bagi mengetahui sama ada wujud bantahan oleh orang ramai atau sebaliknya.

Tujuan peraturan itu memang baik bagi mengawal, memantau dan menyelia penjualan minuman memabukkan secara berleluasa sejajar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Namun hakikatnya, masih banyak kedai yang menjual minuman memabukkan secara terbuka. Malah ia mudah diperoleh walaupun oleh orang beragama Islam. Natijahnya, objektif peraturan yang disebut di atas tidak kesampaian.

Penjualan minuman memabukkan yang berleluasa ini mendatangkan keresahan di kalangan orang Islam khususnya apabila premis menjual arak itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan yang majoritinya didiami orang Islam atau di premis yang dibuka 24 jam sehari, memungkinkan orang Islam membelinya tatkala tiada ramai pengunjung kedai itu. Malah kegusaran itu ditambah lagi apabila kita mendapati minuman memabukkan itu diletakkan sebaris dengan minuman lain. Seolah-olah sensitiviti umat Islam langsung tidak diambil kira dalam hal ini kerana pekedai hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Penulis banyak menerima rungutan berhubung perkara itu dan ada yang begitu kesal kerana kadang-kadang secara tidak sengaja menyentuh barangan diharamkan agama. Bukan itu saja, sebahagian permit yang diberikan juga menganjurkan perlakuan jenayah di sisi undang-undang.
Umpamanya seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan: 18(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2) pula memperuntukkan: Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Ini bermakna bukan saja meminum memabukkan seperti arak adalah salah di sisi undang-undang, malah orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan juga melakukan jenayah menurut enakmen sama.

Malah, dalam kategori kedua ini hukumannya adalah lebih berat berbanding kategori pertama. Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan minuman memabukkan seperti arak dan sudah sewajarnya memberi syarat khusus bahawa kakitangan yang terbabit dalam membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan hendaklah daripada kalangan bukan Islam.

Hormatilah agama Islam seperti mana bukan Islam menagih orang Islam menghormati agama mereka. Penghormatan penting bagi menjamin keharmonian masyarakat khususnya masyarakat pelbagai bangsa, ras dan agama. Adalah tidak adil kepada pekerja beragama Islam yang terpaksa membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan bagi pihak majikannya. Hasilnya, pihak majikan mendapat keuntungan daripada jualan minuman memabukkan itu manakala pekerja yang terpaksa menjual pula menanggung risiko melakukan jenayah di sisi Enakmen Jenayah Syariah. Sudah tentulah ia tidak adil dan memudaratkan umat Islam secara keseluruhannya. Apatah lagi jika majikan itu bukan Islam, mereka menikmati imuniti daripada Enakmen Jenayah Syariah.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyarankan jika lesen penjualan minuman memabukkan diberikan, pihak berwajib perlu mengawal bilangan lesen diberikan di sesuatu tempat, memastikan syarat majikan tidak boleh memaksa, mengarah pekerja Islam mengendalikan penjualan arak sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam. PGSM sedar saranan ini sudah tentu akan menimbulkan pelbagai reaksi sama ada di kalangan orang Islam dan bukan Islam, tetapi inilah hakikat yang perlu diutarakan dan diinsafi setiap rakyat. Sudah tentu ada yang menyatakan syarat disyorkan hanya akan menyebabkan orang Islam menjadi pilihan terakhir sebagai pekerja dan meningkatkan kadar pengangguran di kalangan orang Islam.

Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya kita perlu menimbang neraca manakah yang ingin digunakan bagi mencapai sesuatu kesimpulan. Adakah lebih baik menggadai agama demi mendapat rezeki yang sudah tentu tidak diberkati Allah. Malah sektor pekerjaan di negara ini sebenarnya masih terbuka luas bagi mencari rezeki yang halal dan diberkati. Hanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk merebut peluang. Ini terbukti kerana ada ramai pendatang asing yang datang ke negara kita mencari rezeki melalui saluran dibenarkan undang-undang atau sebaliknya. Jika di negara kita kurang pekerjaan, sudah tentu mereka tidak berpusu-pusu datang ke Malaysia mencari rezeki. Cuma, mungkin orang Islam terlalu memilih sektor pekerjaan yang mementingkan imej dan kesenangan kerja. Ia sebenarnya tidak selaras dengan kehendak hukum syarak yang menganjurkan kita berusaha sedaya upaya mencari rezeki.

Penulis teringat hadis diriwayatkan apabila Rasulullah melihat tangan seorang sahabat yang bengkak. Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat itu kenapa tangannya bengkak. Lalu sahabat tadi menjawab: "Wahai Rasulullah, tangan inilah yang memberi makan isteri dan anak-anakku. Lantaran Rasulullah SAW membalas: Tangan itu tidak akan dibakar oleh api neraka." Ini bermakna walaupun sesuatu pekerjaan sukar dan boleh mendatangkan ketidakselesaan, demi mencari rezeki bagi menyara keluarga, pekerjaan itu sebenarnya mulia di sisi agama.

Berbalik kepada penjualan minuman memabukkan, sudah sampai masanya bagi pekerja Islam diberi penghormatan sewajarnya untuk mengamalkan agamanya dengan tidak dipaksa menjual arak, memberi pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian menutup aurat, memberi peluang pekerja Islam menunaikan solat tanpa didenda atau sebagainya dan tidak dipaksa memegang benda diharamkan. Sebenarnya ini kebebasan mengamalkan agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

PGSM juga meminta pihak berkuasa agama di negeri yang menguatkuasakan seksyen 18 itu dengan ketat. Ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kesalahan seperti dinyatakan di atas. Mungkin ramai di kalangan umat Islam termasuk pihak penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan sendiri yang tidak menyedari kewujudan peruntukan itu. Sudah tiba masanya untuk bergerak melaksanakan peruntukan yang sudah lama wujud ini. Masyarakat Islam perlu tahu hak dan tanggungjawab sebagai orang Islam. Bukanlah tujuan kita untuk memporak perandakan masyarakat tetapi hanyalah sekadar menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang mengabsahkan kedudukan tinggi undang-undang dan agama Islam.


Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari lama web www.peguamsyarie.org

Sunday, November 2, 2008

Abdul Razak Baginda Bebas


Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan penganalisa politik Abdul Razak Baginda daripada tuduhan bersubahat membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Bagaimanapun, dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, yang dituduh membunuh Altantuya, diperintah membela diri.

Azilah dan Sirul Azhar dituduh membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara Lot 12843 dan 16735, Mukim Bukit Raja, di Shah Alam antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.
Abdul Razak, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia, pula dituduh bersubahat dengan mereka di Wilayah Persekutuan antara jam 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 malam 19 Oktober tahun 2006.Mahkamah menetapkan 10 November ini untuk Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah. Mayat Altantuya telah diletupkan dan cebisan daging dan tulangnya ditemui bertaburan di kawasan Puncak Alam. Dalam keputusannya, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Razak, 48.Pihak pendakwa dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah membebaskan Abdul Razak itu.Razak diwakili oleh peguam Wong Kian Kheong. Azilah diwakili peguam Datuk Hazman Ahmad dan J Kuldeep Kumar manakala Sirul diwakili peguam Kamarul Hisham Kamaruddin, Hasnal Redzua Merican dan Ahmad Zaidi Zainal.Pendakwaan pula diwakili Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Noorin Badaruddin, Manoj Kurup dan Hanim Rashid.Peguam Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Ram Karpal Singh pula bertindak peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya.

Pihak mendakwa selesai berhujah pada 23 Jun lalu selepas mahkamah mendengar keterangan daripada 84 saksi selam 151 hari.Abdul Razak yang jelas kelihatan gembira dengan keputusan tersebut, meninggalkan mahkamah dengan ditemani isteri dan anak perempuannya pada kira-kira jam 10.10 pagi.Beliau bagaimanapun enggan menjawab soalan wartawan yang menunggunya, dan hanya berkata: "Saya mahu pulang ke rumah".

Sementara itu, Bernama melaporkan Keluarga Abdul Razak dicengkam emosi selepas Zaki memutuskan yang beliau mendapati tiada kes prima facie terhadap pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia itu."Prima facie" dalam bahasa Latin merujuk kepada kes yang mempunyai bukti yang cukup dan pada kadar minimum yang diperlukan untuk membolehkannya diteruskan dalam proses kehakiman.Zaki berkata seluruh isi kandungan afidavit Abdul Razak mengandungi kenyataan pembuktian tidak bersalah yang patut diterima dan diberi pertimbangan sewajarnya.

Kenyataan pembuktian tidak bersalah ialah kenyataan yang dibuat oleh defendan atau tertuduh yang cenderung membebaskan defendan/tertuduh daripada kesalahan seperti pertuduhan, atau kenyataan yang cenderung memberikan justifikasi atau alasan bagi tindakan atau kehadirannya. Abdul Razak yang mengenakan kemeja berjalur biru muda, pada awalnya kelihatan seperti tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh hakim namun riak wajahnya bertukar kepada lega dan tersenyum lebar.

Isteri Abdul Razak, Mazlinda Makhzan, anaknya Rowena dan anggota keluarganya menitiskan air mata gembira dan kesemua mereka bergegas memeluk Abdul Razak sebaik sahaja keputusan itu diumumkan. Abdul Razak enggan memberikan sebarang komen ketika ditanya oleh media mengenai perasaannya berhubung pembebasannya itu. Beliau beredar dari premis mahkamah di tingkat empat bangunan itu melalui tangga belakang. Sementara Azilah dan Sirul Azhar mempunyai tiga pilihan untuk membela diri iaitu memberi keterangan bersumpah, memberi keterangan dalam kandang tertuduh atau berdiam diri. Kedua-duanya memilih untuk memberi keterangan bersumpah.

Pertimbangan sewajarnya akan diberikan kepada tertuduh yang memilih untuk memberikan keterangan bersumpah, di mana tertuduh boleh diperiksa balas oleh pendakwaan. Keterangan yang diberikan dalam kandang tertuduh pula tidak akan diperiksa balas oleh pendakwaan.Jika tertuduh memilih berdiam diri, tertuduh akan disabitkan dan dihukum mengikut penalti yang ditetapkan dalam seksyen yang tertuduh didakwa. Dalam kes ini, hukumannya ialah mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Zaki menerima kenyataan yang diberikan oleh Azilah dan Sirul Azhar kepada polis sebagai sebahagian keterangan. Azilah memberikan kenyataan yang mendedahkan lokasi tempat Altantuya ditembak dan mayatnya diletupkan manakala Sirul Azhar mendedahkan kepada polis tempat barangan kemas milik Altantuya disembunyikan."Saya berpuas hati bahawa wujud kes prima facie terhadap tertuduh pertama (Azilah) dan tertuduh kedua (Sirul Azhar) untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka. Saya dengan ini memutuskan tertuduh pertama dan kedua untuk membela diri," katanya.

Altantuya, ibu kepada dua anak lelaki masing-masing berusia 4 tahun dan 10 tahun, mendapat latihan sebagai guru dan penterjemah dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Rusia di National University of Mongolia. Pembunuhannya digambarkan sebagai amat kejam kerana mayatnya diletupkan dengan bahan letupan. Pakar forensik menemui cebisan dagingnya bertaburan di kawasan di Puncak Alam di Shah Alam.Kes itu mendapat liputan meluas kerana Altantuya dilaporkan datang ke Malaysia untuk mencari Abdul Razak yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengannya.

Mahkamah telah mengambil masa selama 151 hari bermula 4 Jun tahun lepas untuk mendengar keterangan daripada 84 saksi pendakwaan sebelum menangguhkan keputusan itu sehingga hari ini selepas kes pendakwaan ditutup pada 23 Jun lepas.Hakim Zaki mengambil masa kira-kira 25 minit dari 9.40 pagi untuk menyampaikan penghakimannya. Mahkamah kemudian menangguhkan prosiding kira-kira15 minit bagi memutuskan tarikh bagi Azilah dan Sirul Azhar membela diri. Apabila prosiding disambung semula, Hakim mahu mendengar pembelaan diri oleh tertuduh petang ini tetapi menetapkan 10 November selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili Azilah, Datuk Hazman Ahmad, dan peguam bela Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamaruddin. Hazman memaklumkan kepada mahkamah yang beliau mungkin akan memanggil enam hingga tujuh saksi manakala Kamarul Hisham berkata beliau akan memanggil penulis blog Raja Petra Kamarudin dan memanggil semula penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk memberikan keterangan.

Raja Petra sedang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau telah membuat akuan bersumpah mengaitkan seorang ahli politik kanan dan isterinya dalam pembunuhan itu. Balasubramaniam juga membuat akuan bersumpah serupa tetapi menarik balik akuan itu tiga hari kemudian dalam satu lagi akuan bersumpah. Mahkamah juga membenar peguam bela Abdul Razak, Wong Kian Kheong untuk bertindak sebagai peguam pemerhati pada perbicaraan peringkat pembelaan.


sumber: Malaysiakini