Wednesday, November 5, 2008

Menguatkuasa Undang-Undang Penjualan Minuman Keras Lebih Ketat


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar


Masyarakat Islam perlu diberi kesedaran mengenai kesalahan jenayah syariah SETIAP hari kita akan membaca di akhbar mendapati banyak permohonan mendapatkan permit menjual minuman memabukkan di negara kita. Peraturan yang berkuatkuasa sekarang mengkehendaki orang yang berhasrat menjual minuman memabukkan hendaklah mendapat permit atau lesen terlebih dulu. Pemohon juga perlu mengiklankan hasratnya bagi mengetahui sama ada wujud bantahan oleh orang ramai atau sebaliknya.

Tujuan peraturan itu memang baik bagi mengawal, memantau dan menyelia penjualan minuman memabukkan secara berleluasa sejajar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Namun hakikatnya, masih banyak kedai yang menjual minuman memabukkan secara terbuka. Malah ia mudah diperoleh walaupun oleh orang beragama Islam. Natijahnya, objektif peraturan yang disebut di atas tidak kesampaian.

Penjualan minuman memabukkan yang berleluasa ini mendatangkan keresahan di kalangan orang Islam khususnya apabila premis menjual arak itu terlalu hampir dengan kawasan perumahan yang majoritinya didiami orang Islam atau di premis yang dibuka 24 jam sehari, memungkinkan orang Islam membelinya tatkala tiada ramai pengunjung kedai itu. Malah kegusaran itu ditambah lagi apabila kita mendapati minuman memabukkan itu diletakkan sebaris dengan minuman lain. Seolah-olah sensitiviti umat Islam langsung tidak diambil kira dalam hal ini kerana pekedai hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Penulis banyak menerima rungutan berhubung perkara itu dan ada yang begitu kesal kerana kadang-kadang secara tidak sengaja menyentuh barangan diharamkan agama. Bukan itu saja, sebahagian permit yang diberikan juga menganjurkan perlakuan jenayah di sisi undang-undang.
Umpamanya seksyen 18 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 memperuntukkan: 18(1) Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Seksyen 18 (2) pula memperuntukkan: Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Ini bermakna bukan saja meminum memabukkan seperti arak adalah salah di sisi undang-undang, malah orang yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan juga melakukan jenayah menurut enakmen sama.

Malah, dalam kategori kedua ini hukumannya adalah lebih berat berbanding kategori pertama. Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah berhati-hati dalam meluluskan lesen penjualan minuman memabukkan seperti arak dan sudah sewajarnya memberi syarat khusus bahawa kakitangan yang terbabit dalam membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman memabukkan hendaklah daripada kalangan bukan Islam.

Hormatilah agama Islam seperti mana bukan Islam menagih orang Islam menghormati agama mereka. Penghormatan penting bagi menjamin keharmonian masyarakat khususnya masyarakat pelbagai bangsa, ras dan agama. Adalah tidak adil kepada pekerja beragama Islam yang terpaksa membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan bagi pihak majikannya. Hasilnya, pihak majikan mendapat keuntungan daripada jualan minuman memabukkan itu manakala pekerja yang terpaksa menjual pula menanggung risiko melakukan jenayah di sisi Enakmen Jenayah Syariah. Sudah tentulah ia tidak adil dan memudaratkan umat Islam secara keseluruhannya. Apatah lagi jika majikan itu bukan Islam, mereka menikmati imuniti daripada Enakmen Jenayah Syariah.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyarankan jika lesen penjualan minuman memabukkan diberikan, pihak berwajib perlu mengawal bilangan lesen diberikan di sesuatu tempat, memastikan syarat majikan tidak boleh memaksa, mengarah pekerja Islam mengendalikan penjualan arak sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam. PGSM sedar saranan ini sudah tentu akan menimbulkan pelbagai reaksi sama ada di kalangan orang Islam dan bukan Islam, tetapi inilah hakikat yang perlu diutarakan dan diinsafi setiap rakyat. Sudah tentu ada yang menyatakan syarat disyorkan hanya akan menyebabkan orang Islam menjadi pilihan terakhir sebagai pekerja dan meningkatkan kadar pengangguran di kalangan orang Islam.

Bagi menjawab persoalan ini, sebenarnya kita perlu menimbang neraca manakah yang ingin digunakan bagi mencapai sesuatu kesimpulan. Adakah lebih baik menggadai agama demi mendapat rezeki yang sudah tentu tidak diberkati Allah. Malah sektor pekerjaan di negara ini sebenarnya masih terbuka luas bagi mencari rezeki yang halal dan diberkati. Hanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk merebut peluang. Ini terbukti kerana ada ramai pendatang asing yang datang ke negara kita mencari rezeki melalui saluran dibenarkan undang-undang atau sebaliknya. Jika di negara kita kurang pekerjaan, sudah tentu mereka tidak berpusu-pusu datang ke Malaysia mencari rezeki. Cuma, mungkin orang Islam terlalu memilih sektor pekerjaan yang mementingkan imej dan kesenangan kerja. Ia sebenarnya tidak selaras dengan kehendak hukum syarak yang menganjurkan kita berusaha sedaya upaya mencari rezeki.

Penulis teringat hadis diriwayatkan apabila Rasulullah melihat tangan seorang sahabat yang bengkak. Rasulullah SAW bertanya kepada sahabat itu kenapa tangannya bengkak. Lalu sahabat tadi menjawab: "Wahai Rasulullah, tangan inilah yang memberi makan isteri dan anak-anakku. Lantaran Rasulullah SAW membalas: Tangan itu tidak akan dibakar oleh api neraka." Ini bermakna walaupun sesuatu pekerjaan sukar dan boleh mendatangkan ketidakselesaan, demi mencari rezeki bagi menyara keluarga, pekerjaan itu sebenarnya mulia di sisi agama.

Berbalik kepada penjualan minuman memabukkan, sudah sampai masanya bagi pekerja Islam diberi penghormatan sewajarnya untuk mengamalkan agamanya dengan tidak dipaksa menjual arak, memberi pilihan kepada pekerja Islam memakai pakaian menutup aurat, memberi peluang pekerja Islam menunaikan solat tanpa didenda atau sebagainya dan tidak dipaksa memegang benda diharamkan. Sebenarnya ini kebebasan mengamalkan agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

PGSM juga meminta pihak berkuasa agama di negeri yang menguatkuasakan seksyen 18 itu dengan ketat. Ini bagi memberi kesedaran kepada masyarakat Islam mengenai kesalahan seperti dinyatakan di atas. Mungkin ramai di kalangan umat Islam termasuk pihak penguatkuasa, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan sendiri yang tidak menyedari kewujudan peruntukan itu. Sudah tiba masanya untuk bergerak melaksanakan peruntukan yang sudah lama wujud ini. Masyarakat Islam perlu tahu hak dan tanggungjawab sebagai orang Islam. Bukanlah tujuan kita untuk memporak perandakan masyarakat tetapi hanyalah sekadar menjunjung Perlembagaan Persekutuan yang mengabsahkan kedudukan tinggi undang-undang dan agama Islam.


Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia. Layari lama web www.peguamsyarie.org

No comments: