Wednesday, November 19, 2008

Konflik Sivil, Syariah Diselesai


PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi, memberi jaminan akan mencari jalan penyelesaian bagi mewujudkan persefahaman antara sistem perundangan sivil dan syariah supaya tidak timbul konflik pada masa depan.

Katanya, satu bentuk persefahaman antara kedua-dua undang-undang berkenaan perlu bagi menangani lebih banyak isu perundangan membabitkan umat Islam dan bukan Islam yang dikemukakan dalam mahkamah.
"Kita akan cuba mengelak berlakunya konflik dengan mencari persefahaman yang memberi kebaikan kepada kedua-dua sistem perundangan berkenaan," katanya berucap merasmikan Seminar Antarabangsa Undang-Undang Perbandingan (Iscom) 2008 di sini, semalam.

Zaki memberi contoh kes Sulaiman Takrib, 59, yang didakwa anak murid Ayah Pin yang mencabar kesahihan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu dari segi Perlembagaan Persekutuan sama ada ia boleh digunakan untuk menuduhnya sebagai pengikut ajaran sesat. "Dalam kes terbabit, isu yang ditimbulkan ialah sama ada Enakmen Jenayah Syariah negeri boleh dicabar di mahkamah sivil,'' katanya. (Keputusan panel lima hakim diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad 26 September lalu, mengisytiharkan enakmen itu sah untuk menuduh Sulaiman).

Seminar dua hari itu adalah anjuran Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan (YTWP), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Lembaga Tabung Haji. Hadir sama, Ketua Hakim Syarie dan Ketua Pengarah JKSM, Datuk Ibrahim Lembut; Naib Canselor Usim, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin, Pengarah Iscom 2008 Profesor Dr Abdul Samat Musa dan Pengurus Besar YTWP Ahmad Ayob Ibrahim.

Abdul Hamid dalam syarahan Program Kajian Undang-Undang Islam Abd Al-Razzaq Al-Shanhuri di Fakulti Undang-Undang, Unversiti Harvard, Amerika Syarikat, baru-baru ini menyebut, kemungkinan mahkamah sivil dan syariah boleh bergabung di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Katanya, gabungan dua mahkamah itu akan mengharmonikan prinsip sivil dan syariah untuk mengendalikan isu kompleks yang dipertikaikan dan bidang kuasa kedua-dua mahkamah yang tercetus daripada kes antara fahaman.

Sementara itu, pada sidang media pada majlis itu, Ibrahim berkata, bukan Islam tidak sepatutnya bimbang jika sistem perundangan sivil dan syariah digabungkan kerana agama Islam tidak pernah mendiskriminasi kaum dan agama lain. "Islam akan mempertahankan semua orang dan tanggapan bahawa penggabungan mahkamah sivil dan mahkamah syariah akan menjejaskan hak bukan Islam adalah salah.

"Namun, perjalanannya masih jauh walaupun perbincangan mengenai sebarang kemungkinan untuk mengharmonikan undang-undang syariah dan sivil sudah diadakan sebelum ini," katanya. Abdul Shukor yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, ketika diminta mengulas perkara sama turut menyambut baik cadangan mengharmonikan kedua-dua undang-undang berkenaan. "Usaha ke arah itu sudah lama dimulakan kerana ia dapat membawa perkongsian bagi menyelesaikan isu yang timbul di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam," katanya.


Dipetik dari Berita Harian.

No comments: