Institusi agama badan sah di sisi undang-undang malah wujud sebelum zaman penjajah
SEJAK kebelakangan ini pelbagai pihak dengan lantang mempertikaikan fatwa yang dibuat Majlis Fatwa Kebangsaan atau Majlis Fatwa Negeri-Negeri. Malah, hasrat Majlis Fatwa itu untuk membuat fatwa tertentu juga sering dicemuh dan diperlekehkan. Ia terbukti apabila Majlis Fatwa Kebangsaan membuat ketetapan baru-baru ini yang mengharamkan pengkid iaitu wanita yang menyerupai lelaki sama ada dalam bentuk penampilan atau berpakaian. Begitu juga halnya apabila pengumuman dibuat bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa mengenai hukum senaman yoga.
Pelbagai pihak termasuk institusi, orang perseorangan sama ada Islam atau bukan Islam memperkatakan mengenai tindakan Majlis Fatwa ini. Tindakan ini sebenarnya adalah kesinambungan usaha menjatuhkan kredibiliti Majlis Fatwa dan institusi Islam yang lain. Ia berikutan Mahkamah Persekutuan membuat penghakiman bahawa institusi fatwa adalah sah di sisi Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini dalam kes Sulaiman Takrib lawan kerajaan Terengganu dan Kahar Ahmad melawan kerajaan Selangor dan dua lagi. Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan, adalah mahkamah tertinggi dalam negara ini menjelaskan kedudukan fatwa di negara ini dan tidak perlu dipertikaikan lagi selepas itu.
Bagi orang bukan Islam, hormatilah institusi agama Islam kerana ia adalah badan sah di sisi undang-undang. Sebagaimana orang bukan Islam tidak mahu orang Islam mengganggu agama mereka, mereka juga hendaklah tidak mengganggu agama Islam apatah lagi badan itu ditubuhkan atas lunas yang sah dan diiktiraf undang-undang.
Institusi Fatwa bukan ditubuhkan selepas merdeka tetapi sudah lama wujud walaupun sebelum zaman penjajahan lagi dan selama ini fatwa berjaya memberi panduan kepada orang Islam mengamalkan agama mereka. Orang bukan Islam tiada hak mempersoalkan perkara ini. Apatah lagi Islam adalah agama Persekutuan dan diberikan kedudukan istimewa dalam perlembagaan.
Hal ini dapat kita lihat apabila orang bukan Islam pun begitu keras membantah fatwa ini walhal fatwa itu tidak akan mengikat mereka. Apakah motif sebenar mereka melakukan sebegini? Begitu juga halnya dengan orang Islam. Tingkatkan pengetahuan ilmu agama sebelum membuat sesuatu kenyataan. Janganlah mendahului ulama dalam urusan agama. Orang yang tidak berkelayakan dalam bidang agama tidak harus mempertikaikan fatwa yang sah dibuat mengikut lunas agama dan undang-undang negara.
Bagi fatwa berhubung dengan pengkid pula, adalah jelas setiap kebebasan itu ada batasannya. Hujah yang menyatakan pengkid ini berhak dan bebas memilih jalan hidup mereka sebenarnya tidak bertepatan dengan hukum syarak. Undang-undang Islam membataskan pergaulan lelaki dan wanita, cara pemakaian dan perwatakan. Tidak harus timbul isu naluri, syahwat dan sebagainya mengatasi hukum syarak. Lunas agama ini ditentukan dan adalah menjadi tanggungjawab Jawatankuasa Fatwa memperbetulkan keadaan mengikut kuasa yang diberikan kepadanya oleh undang-undang.
Dalam membuat sesuatu fatwa, Jawatankuasa Fatwa membuat kajian terperinci terlebih dulu. Suatu kertas cadangan dibuat dan dikaji oleh tokoh agama dan golongan profesional sering kali dipanggil untuk membantu Jawatankuasa Fatwa mengeluarkan fatwa. Pada masa sama, persoalan yang ditimbulkan itu seolah-olah menggambarkan Majlis Fatwa hanya membuat ketetapan mengenai hal remeh-temeh. Buatlah kajian terlebih dulu sebelum membuat sesuatu kenyataan.
Sebenarnya Majlis Fatwa sudah membuat pelbagai ketetapan merangkumi aspek perubatan, sosial, kesihatan, ekonomi dan pentadbiran. Ia jelas menunjukkan Majlis Fatwa menjalankan amanahnya dengan baik dan membincangkan permasalahan dihadapi orang Islam. Dalam banyak keadaan juga pakar dipanggil untuk membantu Majlis Fatwa memberikan fatwa yang tepat.
Selama ini Majlis Fatwa berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam di negara ini. Memang tidak dinafikan, wujud perubahan fatwa dalam beberapa perkara yang diputuskan tetapi ia bukan menunjukkan kejelekan anggota Majlis Fatwa berkenaan. Ia lebih manifestasi bahawa syariat Islam itu sesuai sepanjang zaman dan boleh disesuaikan mengikut keadaan semasa tanpa menggadaikan perkara asas yang disepakati.
Walaupun Majlis Fatwa berjaya menyelesaikan banyak permasalahan umat Islam, ada juga golongan yang masih tidak sedar kejayaan ini dan mentertawakan sesuatu fatwa. Mereka mengambil contoh fatwa pengharaman rokok dikeluarkan beberapa tahun lalu tetapi masih ramai yang merokok.
Dalam hal yang demikian adakah Majlis Fatwa patut berhenti membuat fatwa? Kita ambil perbandingan jika seorang doktor membedah seorang pesakit dan pesakit itu mati, adakah doktor perlu berhenti membedah pesakit? Begitu juga kisahnya apabila Ahli Parlimen membuat undang-undang dan undang-undang itu gagal dipatuhi oleh rakyat. Adakah Ahli Parlimen perlu berhenti membuat undang-undang? Tentulah jawapannya tidak, begitu juga dengan fatwa. Mufti tidak perlu berhenti mengeluarkan fatwa. Sebenarnya fatwa saja tidak menjamin kesejahteraan umat. Seluruh jentera pentadbiran kerajaan perlu memadu usaha memastikan sesuatu fatwa itu diikuti sama ada melalui pendidikan, pelaksanaan dan penguatkuasaan. Oleh yang demikian PGSM meminta semua orang sama ada Islam atau bukan Islam agar menghormati Majlis Fatwa yang mempunyai kuasa membuat fatwa.
Mufti juga mempunyai tanggungjawab untuk menasihati sultan dalam perkara mengenai agama Islam. Mempertikaikan mufti samalah ertinya mempertikaikan sultan yang berkenan melantik mereka. Jagalah sensitiviti umat Islam, hormatilah orang Islam yang menjadi sendi kepada kekuatan negara. Memperlekehkan institusi agama Islam yang diketuai oleh Raja-Raja Melayu sudah tentu memberi impak kepada Raja-Raja Melayu juga. Institusi Fatwa adalah sebuah institusi yang bebas daripada pengaruh politik dan bertanggungjawab terus kepada Raja-Raja Melayu.
Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sila layari http://peguamsyarie.org/
No comments:
Post a Comment