Thursday, January 22, 2009

The Herald boleh didakwa’

PUTRAJAYA: Akhbar The Herald - The Catholic Weekly boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana masih berdegil menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya pada edisi minggu ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Katanya, tindakan itu boleh mencetuskan konflik dan kemarahan di kalangan kaum lain di negara ini.

Katanya, Kabinet sudah memutuskan untuk tidak membenarkan akhbar itu menggunakan perkataan Allah, malah sebelum ini wujud persefahaman supaya perkataan digunakan agama Islam tidak digunakan pihak lain.


“Kita tertakluk kepada undang-undang. Jika dia tidak mahu ikut, seharusnya dia tunggu keputusan mahkamah, dia nak bangkitkan pertembungan dan konflik. Seharusnya kita kena mengelak konflik dan jangan ingat kita saja yang berhak, orang lain tidak ada hak.

“Saya akan rujuk kepada bahagian undang-undang kementerian. The Herald sepanjang masa ini terlalu agresif dalam cara mereka memberi reaksi kepada kita dan bertindak balas terhadap arahan, seolah-olah mereka bertindak mengikut cara mereka sendiri.

“Kita cukup menghormati agama lain. Tunggu saja keputusan mahkamah, itu keputusan kerajaan. Jika ada apa-apa terjadi, jangan salahkan kita jika kita haramkan, dia kata kita tak bagi dia kebebasan. Saya harap mereka akan mematuhi undang-undang dan peraturan,” katanya sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini, semalam. Hadir sama, Timbalannya, Datuk Chor Chee Heung; dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Raja Azhar Raja Abdul Manap.

Beliau diminta mengulas laporan agensi berita asing mengenai kenyataan editor The Herald, Lawrence Andrew yang berkata, edisi akhbar berkenaan minggu ini menggunakan perkataan dilarang dan akan terus berbuat demikian sehingga mahkamah membuat keputusan berkaitan isu itu bulan depan.

Awal bulan ini, KDN menyambung permit The Herald selama setahun berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Bagaimanapun, surat kelulusan yang ditandatangani Syed Hamid menetapkan tiga syarat perlu dipenuhi atau permit ditarik balik


Dipetik dari Berita Harian

No comments: