Wednesday, January 21, 2009

Pengecualian topi keledar dikaji

Polis mahu penafsiran undang-undang pelajar pakai serban tunggang motosikal


KUALA LUMPUR: Polis akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Peguam Negara berhubung penafsiran undang-undang menunggang motosikal dengan memakai serban, termasuk menentukan sama ada pelajar sekolah agama yang memakai serban ketika bermotosikal, boleh dikecualikan daripada dikenakan tindakan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata ketika ini pengecualian pemakaian topi keledar hanya diberikan kepada golongan tertentu seperti keturunan Sikh dan alim ulama Islam yang berserban.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini ramai pelajar sekolah agama memakai serban ketika menunggang motosikal.

"Jadi saya fikir perlu kajian semula terhadap tafsiran peruntukan undang-undang agar ia tidak menimbulkan sebarang masalah.

"Menjadi kebiasaan remaja sekolah agama sekarang memakai serban ketika menunggang motosikal, tetapi mengikut tafsiran undang-undang adakah mereka ini juga ulama.

"Jadi inilah yang kita perlu bawa balik kepada pihak atasan untuk dibincang.

"Jika polis tidak ambil tindakan, kita bimbang ada pihak sengaja tidak mahu memakai topi keledar, sebaliknya memakai serban sedangkan mereka bukan guru agama," katanya selepas Jamuan Makan Tengahari Penghargaan Media anjuran Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) di sebuah hotel di sini, semalam.

Pada majlis itu, Pengerusi YPJM, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meraikan dan menyampaikan surat penghargaan kepada media sebagai tanda terima kasih atas kerjasama diberikan dalam usaha membantu yayasan itu dan polis mencegah jenayah.

Musa yang juga Timbalan Pengerusi YPJM diminta mengulas keputusan Mahkamah Majistret Kota Bharu, kelmarin yang memerintahkan pelajar pondok, Ahmad Nasir Darus, 27, dipenjarakan dua hari selepas enggan membayar saman RM90 bagi kesalahan menunggang motosikal dengan memakai serban.

Musa berkata, beliau secara peribadi berpendapat semua penunggang motosikal mesti memakai topi keledar demi keselamatan.

Sementara itu, Musa berkata, beliau akan mengirim surat kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Kiat untuk mencadangkan supaya kawasan tertentu di pusat bandar diwartakan sebagai zon larangan motosikal sebagai usaha membendung jenayah, khususnya kes ragut.

Katanya, polis sudah membuat profil jenayah, termasuk peragut di kawasan dikenal pasti.


Dipetik dari berita harian

No comments: