Wednesday, July 29, 2009

Hukuman tegas terhadap model bertujuan pengajaran


Oleh Zainul Rijal Abu Bakar


Keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan bukti Islam serius cegah kemungkaran MASIH ramai yang tidak faham mesej yang disampaikan hakim syarie, menjatuhkan hukuman maksimum denda RM5,000 dan enam kali sebatan rotan terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, baru-baru ini.

Kesalahan itu disabitkan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dihukum mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987.

Tindakan Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas wanita terbabit mengaku bersalah meminum arak di Hotel Legend Cherating, tahun lalu, adalah wajar hingga disifatkan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai tindakan berani dan tepat berdasarkan hukum syariah.

Hakikatnya, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu mampu membuka mata banyak pihak bahawa Islam serius dalam kerja mencegah kemungkaran. Kalau dulu pesalah yang disabitkan kesalahan sekadar menerima hukuman ringan bagaikan melepaskan batok di tangga. Kini mereka yang terbabit menimbang dengan mata akhirat dan akur pentingnya walaupun kita tidak syarie sepenuhnya, sekurang-kurangnya segala ruang yang ada diguna semaksimum mungkin agar umat Islam berkejar-kejar mengerjakan amalan baik dan benci serta meninggalkan segala bentuk maksiat dan kemungkaran.

Menurut rekod pada Januari lalu, mahkamah sama menjatuhkan hukuman sama ke atas satu pasangan yang melakukan kesalahan sama tetapi kes model sambilan ini adalah kes bagi kali ketiga. Setiap kali hakim itu menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah yang sama, terdengar suara sumbang membantah akan keputusannya atas alasan yang pelbagai termasuk mencabuli jaminan perlembagaan.

Hakikatnya sebarang bentuk hukuman sama ada denda, sebatan atau penjara, semuanya hendaklah dalam bentuk untuk memberi pengajaran kepada pesalah, bukannya untuk mendera atau menyebabkan kecederaan kepada pesalah. Prinsip hukuman di dalam Islam adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan khalayak supaya menginsafi perbuatan itu. Tanpa kita sedari hari ini masyarakat umum diberikan kefahaman yang salah berkaitan pelaksanaan sebatan ke atas pesalah itu dilakukan dengan menyamakan dengan pesalah jenayah lain di dalam undang-undang jenayah sivil. Masyarakat umum mengetahui bagaimana hukuman sebat dilakukan ke atas pesalah jenayah sivil seperti kes pengedaran dadah, rogol, liwat dan sebagainya.

Bagi pesalah sivil hukuman sebat adalah satu hukuman yang amat menyakitkan. Ini kerana sebatan itu akan mengakibatkan luka luar dan dalam. Ia mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh keseluruhan. Parutnya akan kekal selama-lamanya. Kesakitannya dikatakan amat sakit, berdenyut-denyut ke seluruh tubuh. Pada malam hari pesalah terpaksa tidur dalam keadaan meniarap untuk mengelak kesakitan.

Persoalannya adakah hukuman sebat di mahkamah syariah dilakukan dengan kaedah sama dengan mahkamah sivil? Inilah persoalan yang timbul berkaitan hukuman sebat ini yang dianggap sebagai hukuman mahkamah sivil sehingga memberi tanggapan buruk kepada mahkamah syariah apatah lagi pesalahnya adalah wanita.

Oleh itu, mahkamah syariah dikatakan menindas serta menzalimi wanita dengan membezakan kesalahan pesalah sivil yang mengecualikan hukuman sebatan terhadap orang tua dan wanita. Hakikatnya di mahkamah syariah, sebatan dilakukan dengan kekuatan sederhana dan selepas melakukan satu sebatan, pelaksana hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya (melibas). Kebiasaannya sebatan hanya meninggalkan kesan merah dan tidak memudaratkan sehingga mampu memecahkan kulit.

Sewajarnya kita sebagai umat Islam harus sensitif terhadap perkara berkaitan aktiviti yang membabitkan arak ini, bukannya terhadap isu remeh temeh dengan mencampuri sebarang keputusan dikeluarkan mahkamah syariah. Sebarang keputusan mahkamah syariah bersandarkan kepada peruntukan yang dibenarkan oleh Perlembagaan Malaysia di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984 memberikan bidang kuasa kepada mahkamah syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 atau enam kali sebatan.

Biarpun hukuman ditingkatkan, belum ada kajian atau penulisan yang mengkaji keberkesanan hukuman ini dalam membendung pembabitan masyarakat dalam jenayah syariah. Mengenai hukuman sebat pula, biarpun diperuntukkan terhadap pelbagai kesalahan jenayah syariah, malah kaedah pelaksanaannya juga dinyatakan di dalam Enakmen Prosedur Jenayah Syariah. Sebagai umat Islam sewajarnya kita membendung sebarang bentuk aktiviti membabitkan arak ini yang semakin berleluasa dari semasa ke semasa dengan membiarkan orang Islam terbabit secara langsung dengan aktiviti arak ini sama ada di hotel, di kilang pembuatan arak, kedai serbaneka atau di pasar raya. Harus diingat bahawa bagi kesalahan meminum arak ini, hukuman yang selaras dengan undang-undang harus dijatuhkan bagi menginsafkan pelakunya supaya orang ramai turut sama menjauhi arak.

Selain itu juga hukuman yang diberikan untuk menghindar orang lain daripada meminum arak yang jelas menjadi ibu kepada kesalahan. Apabila minum arak, ia akan menyebabkan seseorang itu hilang akal dan melakukan pelbagai kesalahan. Apa pun kembalilah kita kepada al-Quran dan Hadis. Biarlah Allah dan Rasul yang menjadi ikutan dan penentu kehidupan kita. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Rasulullah SAW melaknat mengenai arak, 10 golongan: yang memerahnya, minta diperahkannya, meminumnya, membawanya, minta dihantarnya, menuangkannya, menjualnya, makan harganya, membelinya, minta dibelikannya." (Hadis riwayat Tarmidzi dan Ibn Majah)


Disediakan oleh Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abd Ralip


dipetik dari berita harian online

Thursday, July 23, 2009

Masyarakat harus faham hukuman sebat


Oleh Hasliza Hassan


Islam ambil pendekatan untuk beri pengajaran, kesedaran bahaya arak KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Isnin lalu menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap model sambilan dari Singapura, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, atas kesalahan meminum arak di sebuah resort di Cherating kira-kira jam 11.40 malam pada 11 Julai 2007, mencetuskan kontroversi. Hukuman itu mengundang maklum balas termasuk daripada Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang terkejut dengan tindakan hakim menjatuhkan hukuman sebat.

Malah, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali juga melahirkan rasa terkejut bahawa hukuman sebat termasuk dalam undang-undang syariah dan menganggap ia sebagai hukuman yang sangat keras. Persoalan yang timbul di sini ialah mengapa perlu disebat. Jika dikenakan sebatan sekalipun, mengapa cuma enam sebatan? Kenapa tidak 40 sebatan iaitu jumlah maksimum yang pernah dilaksanakan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar as-Siddiq kepada peminum arak? Malah, Khalifah Umar menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan kepada pesalah yang meminum arak.

Bagaimanapun, pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata jumlah hukuman sebat dikenakan itu bukan isu utama sebaliknya masyarakat perlu faham falsafah hukuman. Katanya, tiada siapa berani mengatakan arak itu bagus kerana semua tahu kesan tidak baiknya terhadap kesihatan dan minda manusia. Malah, masyarakat Barat juga mengakui hakikat itu dengan melarang ibu yang mengandung meminum arak. Oleh itu kata beliau, cantiknya Islam sebagai agama fitrah ialah mengambil pendekatan untuk menjaga keselamatan umat dan hukuman sebagai pengajaran supaya masyarakat tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan mereka serta orang lain. "Hukuman enam sebatan itu tidak serius tetapi rasional di sebalik falsafah hukuman lebih penting kerana kita mahu orang sedar keburukan minum arak kepada fikiran dan kesihatan. Lagipun, hukuman sebat ini sudah ada sejak 1994 dan hanya sekarang hakim melaksanakannya.

"Keburukan arak sudah jelas termasuk firman Allah yang menyatakan keburukannya lebih banyak berbanding kebaikan. Jika ada yang menjadikannya isu, mereka mungkin terbawa-bawa perjuangan hak asasi yang menganggap ia sebagai isu peribadi," katanya. Beliau berkata, masyarakat perlu objektif kenapa Parlimen meluluskan peruntukan hukuman sebat dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah Syariah) 1965 (Pindaan 1984) kerana undang-undang dibuat bukan untuk suka-suka.

Sebenarnya hukuman sebat sesuatu yang biasa di kebanyakan negara Islam termasuk Bangladesh yang menjatuhkan hukuman 202 sebatan terhadap seorang janda dan 101 sebatan kepada lelaki kerana disyaki terbabit dengan aktiviti anti-sosial di sebuah kampung di utara Bangladesh. Hukuman itu mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh ketua agama.

Dr Zulfakar berkata, tidak timbul soal zalim atau hukuman yang keras kerana peraturan menetapkan orang yang akan merotan menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana serta mengangkat rotan sama paras dengan bahu tidak melebihi kepalanya.

"Hukuman sebat hanya untuk menyedarkan masyarakat dan enam sebatan itu pun tak sakit, hanya untuk pengajaran. Sepatutnya isunya sekarang ialah bukan kenapa ia dilaksanakan tetapi kenapa ia tidak dilaksanakan sedangkan sudah lebih 20 tahun," katanya. Penolong Setiausaha Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, tidak dinafikan hukuman sebat syariah sering kali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat akibat tidak memahami perundangan itu.

"Hukuman itu sering disamakan dengan hukuman sebat dalam undang-undang sivil (jenayah), sama ada dari segi konsep dan pelaksanaannya. Sebab itu walaupun ada peruntukan sebat ia hampir tidak dilaksanakan melainkan di Kelantan," katanya. Beliau berkata, kesalahan jenayah syariah yang membawa hukuman sebat berbeza antara negeri tetapi hukuman dikenakan hanya pada had maksimum enam kali sebatan. Berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan serius, hukuman sebat syarie tidak hanya dijatuhkan kepada kesalahan serius termasuk kesalahan berkaitan dengan akhlak, tatasusila dan beberapa kesalahan lain.

Negeri Selangor mempunyai lapan bentuk kesalahan syariah yang memperuntukkan hukuman rotan kepada pesalah iaitu doktrin palsu, mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan isteri, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah dan persetubuhan bertentangan tabii. Kelantan memperuntukkan kesalahan minum arak selain kesalahan zina, mukadimah zina dan liwat.

Wilayah Persekutuan pula menggunakan istilah Musahaqah, iaitu kesalahan gay dan lesbian, selain kesalahan-kesalahan lain yang hampir sama dengan Selangor. "Semua kesalahan tersebut adalah mengikut budi bicara hakim, sama ada setiap pesalah dijatuhkan hukuman denda, atau rotan atau penjara atau kesemua sekali atau juga mana-mana kombinasi yang dirasakan wajar," katanya.


dipetik dari berita harian online

Thursday, July 16, 2009

INSIDEN BALING BATU DI SUNGAI PERIA-fakta yang cuba disembunyikan

INSIDEN BALING BATU DI SUNGAI PERIA-fakta yang cuba disembunyikan media

Rakyat amat terkejut dengan beberapa kejadian membaling botol dan batu dikatakan berlaku di antara kedua-dua penyokong parti yang bertanding di UPU sungai Peria sehingga melibatkan kecederaan yang agak serius kepada beberapa penyokong parti berkenaan.

Apa yang paling mendukacitakan kita ialah laporan pihak media yang kelihatan berat sebelah dalam melaporkan kejadian tersebut. Pihak Pas sering ditonjolkan sebagai pencetus kepada kejadian malang tersebut tanpa menunggu siasatan pihak Polis. Pihak media juga memberi perhatian dan lebih `highlight’ mereka kepada mangsa-mangsa yang tercedera dari Puteri Umno sahaja sehinggakan menemubual mereka di katil-katil wad hospital. TV3 juga berada di balai polis semasa laporan dibuat orang penyokong PAS yang cedera. Bahkan laporan polis yang dibuat oleh mangsa daripada PAS disalahguna oleh TV3 dengan mengatakannya daripada UMNO. Ini menggambarkan seolah-olah mangsa hanya terdiri daripada penyokong-penyokong Umno sahaja. Tindakan media yang tidak bermaruah ini ingin menggambarkan seolah-olah tiada penyokong Pas yang turut menjadi mangsa kejadian ini.

Sebenarnya terdapat dua orang penyokong Pas dan juga anggota polis yang turut menjadi mangsa kejadian. Menurut laporan polis yang dibuat oleh salah seorang mangsa dari penyokong PAS kejadian bermula akibat daripada provokasi sebuah kenderaan model Nautica berlambang “dacing” yang cuba menceroboh masuk pintu pagar sekolah kebangsaan Peria yang juga tempat pembuangan undi. Setelah dihalang oleh para penyokong PAS dan anggota polis kenderaan tersebut cuba melarikan diri dan hampir-hampir merempuh barisan penyokong PAS. Akibat daripada kejadian itu, para penyokong UMNO mula membaling botol mineral dan kedua-dua pihak kemudian saling baling-membaling objek yang merbahaya. Dalam kejadian itu kedua-dua pihak mengalami kecederaan samada akibat dipijak atau terkena objek keras. Antara mangsa yang mengalami kecederaan yang lebih parah dari Puteri Umno tersebut adalah seperti berikut:

1. Sdr Sahruddin bin Yahya (Pemuda Pas Kawasan Merbok) -Mengalami kecederaan di kepala dan Laporan Polis telah dibuat pada 14/7/2009 (No Report KK 001811/09).

2. Muslimat Perak – Nadia bte Mohd Kamil (No HP: 013-23701xx) – Mengalami kecederaan parah di dagu dan masih dirawat di Hospital Kuala Krai , Wad Kenari Katil No 24. (Laporan Report Polis belum diperolehi).

Amat mendukacitakan pihak media bersikap berat sebelah di dalam melaporkan insiden ini. Daripada awal kempen sememangnya pihak media kerajaan sentiasa dilihat berpihak kepada Umno sehinggalah selesai pilihanraya ini pun mereka masih tidak mampu berlaku adil di dalam laporan dan berita mereka. Inilah media yang kita ada dan inilah yang dikatakan transformasi yang telah dilakukan oleh kerajaan UBN di bawah kepimpinan najib.

PELIK TAPI BENAR:-

1) Setakat hari ni tiada mana-mana individupun pun yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Krai bagi permohonan reman berkenaan tangkapan seorang pemuda yang dipercayai daripada penyokong PAS dan akan didakwa dalam masa terdekat di bawah seksyen 323 penal code sebagaimana dakwaan media;

2)Setakat hari ni juga sebenarnya tiada apa-apa laporan Polis dibuat oleh Puteri UMNO yang dikatakan patah gigi dan cedera di pinggang. Patutnya gambar Puteri UMNO yang patah gigi kalau ada mesti keluar muka depan semua media utama negara dengan darah bercucuran keluar.

3) Seorang Puteri UMNO iaitu Norfarhana dari Changkat Jering memang dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Krai,Wad Kenari, Katil no 24...tetapi katil tersebut pada pukul 6 petang didapati kosong dan digantikan oleh Muslimat PAS iaitu NADIA MOHD KAMIL selama satu malam (sebagaimana gambar.) Norfarhana sebenarnya cedera bukan akibat balingan batu atau kayu tetapi cedera akibat dipijak oleh penyokong UMNO yang berasak-asak cuba melarikan diri dari medan perjuangan

4)Pada pukul 7 malam kejadian ada seorang lagi Puteri UMNO dimasukkan ke wad kecemasan tetapi bukan berkaitan insiden di Sungai Peria tetapi...akibat penyakit asma yang biasa dihidapi oleh wanita dengan berat badan hampir 120kg seperti beliau..Puteri UMNO tersebut yang tidak ditanya namanya dan kelihatan tercungap-cungap itu dibiarkan berkeseorangan kerana waktu itu wartawan telah beredar...jika wartawan masih ada disitu memang akan keluar namanya sebagai seorang lagi mangsa insiden.

5) Gambar yang disiarkan TV3, NTV7 dan astro awani pada malam pengumuman keputusan pilihanraya sebenarnya gambar muslimat PAS yang sedang membuat report Polis dan siaran salinan Report itu adalah salinan report yang ditaip sendiri oleh pihak Peguam PAS tetapi telah disalahgunakan oleh wartawan TV3 dengan menyatakannya daripada Puteri UMNO.

6)Puteri UMNO tidak dapat menyiapkan report sehingga ke hari ini kerana pada waktu report cuba dibuat iaitu pada jam 1.30 petang komputer di Balai Polis Kuala Krai "Offline" dan tidak dapat "online" dengan BUkit Aman. Oleh itu report terpaksa ditulis tangan, sebaliknya report muslimat PAS telah ditaip siap oleh pihak peguam. Report daripada puteri UMNO juga tidak dapat dibuat kerana yang datang buat report ialah pihak ketiga iaitu kawan kepada yang dikatakan cedera. Sebab itulah TV3 salah guna report yang dibuat muslimat kerana bos besar mahukan salinan report untuk disiarkan di media utama.

7) Sehingga ke hari ini, media tidak mendedahkan tentang kenderaan Nautica warna hitam yang cuba menceroboh ke dalam kawasan pusat pengundian yang menjadi punca utama provokasi dan insiden tersebut.

BUKTI KECEDERAAN PENYOKONG PAS DISEBABKAN OLEH SERANGAN UMNO

Muslimat pas mendapat 5 jahitan di dagu dan ditempatkan di katil no 24 wad kenari hospital besar kuala krai tetapi tidak ditemuramah wartawan walaupun berada berdekatan dengan katil puteri umno yang terseliuh kaki

.


Pemuda PAS dari Merbok, Kedah En Sharudin yang pecah kepala dibaling batu selepas membuat report di Balai Polis Kuala Krai (No. Report: 001811/09) tetapi tidak didedahkan wartawan TV3 yang berada berdekatan.

Wednesday, July 15, 2009

Laporan Polis Terhadap Muhyiddin Yassin


Pada 13/07/2009 jam lebih kurang pukul 9.00 malam, anggota Juham yang terdiri dari Hisham Fauzi, Abu Daud Wan Rahim, Ahmad Najib Deris dan Mohd. Abd. Rashid Yah telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Laloh terhadap YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin ekoran satu kenyataan yang telah dibuat beliau semasa memberikan ucapan di Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai Lama.

Dalam ucapan tersebut, TPM telah membuat janji kepada pengundi di Dun Manek Urai sekiranya BN menang satu jambatan baru yang menghubungkan Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru akan dibina dan juga akan menjadikan Manek Urai sebagai sebuah Kota Agropolitan. Tawaran tersebut telah bercanggah dengan seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Oleh yang demikian, Juham mengambil tindakan membuat laporan polis kerana ianya seolah 'gula-gula' yang diberikan oleh BN kepada pengundi Manek Urai supaya mengundi serta menyokong BN dalam PRK N.41 Manek Urai tersebut.


Monday, July 13, 2009

Mana Baik Jual Ikan Dengan Ambil Rasuah



Nasha muncul di Manek Urai: Umno gelabah besar




ImageAkhirnya satu lagi strategi gerak saraf Umno berkecai apabila Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa akhirnya muncul di Manek Urai, iaitu di masjid Sg Peria pagi ini.

Ketidakhadiran Nasharudin yang sebelum ini menjadi topik utama kempen Umno terutama oleh jentera Pemuda melalui ketuanya Khairy Jamaluddin di Manek Urai, mengakhiri tanda tanya tersebut dengan muncul dan menunaikan solat sunat Dhuha berjemaah dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta calon PAS “Abe Uji”.

Nasharudin yang juga ahli Parlimen Bachok, sebelum ini tidak berada di Manek Urai kerana baru sahaja lepas jalani pembedahan di Hospital Serdang dan belum sihat sepenuhnya. Keadaan ini cuba dieksploitasi jentera Umno bagi menyerang kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Aziz dan Datuk Husam Musa. Kononnya berlaku perpecahan dalam PAS.

ImageDifahamkan, ini strategi gerak saraf kedua Umno yang “memakan diri”. Strategi pertama mereka ialah apabila menjaja nama calon PAS iaitu seorang peraih ikan setempat yang dituduh “suka berhutang dengan orang dan orang pun berhutang dengannya”.

Namun setelah menyedari kesilapan propaganda tersebut, Muhyiddin Yassin secara tergesa-gesa beberapa hari lalu memberi penjelasan dalam semua media bahawa: “Kami tidak menghina golongan peraih ikan” setelah merasa tersepit apabila perang saraf itu memakan diri. Atau “back - fire”.

Image Akibatnya mereka terpaksa meminta maaf setelah tuduhan tersebut dianggap menghina penduduk tempatan dan kerjaya seorang peniaga.

Juham Di PRK Manek Urai


Semenjak sebelum penamaan calon PRK N.41 Manek Urai lagi, Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan telah memulakan gerak kerja dengan membuka bilik gerakan di Markas Induk PRK N.41 Manek Urai.

Tugas utama Juham ialah memberikan nasihat berkaitan undang-undang kepada Jentera Operasi Pilihan Raya serta memantau proses pilihan raya agar tidak bercanggah dengan undang-undang pilihan raya terutamanya dan undang-undang lain.

Antara urusan yang dilakukan oleh anggota Juham ialah berurusan dengan pihak Polis mengenai isu permit ceramah sewaktu pihak polis menghalang Dato' Seri Nizar Jamaludin dari memberikan ceramah di upu Manek Urai lama. Anggota Juham yang diketuai Hatman Abdullah serta Hilmi Abdullah, Wan Mohd Nasri Kamarudin, Mohd Farhan Mohd Bakhari dan Mohd. Abd Rashid Yah. Hasilnya ceramah tersebut dapat diteruskan dengan jayanya hingga akhir.

Manakala bilik gerakan Juham dibuka 24 jam untuk bagi membantu jentera operasi pilihan raya N.41 Manek Urai.

Wednesday, July 8, 2009

Hari Penamaan Calon PRK N.41 Manek Urai

Pada 06/07/2009 proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil N. 41 Manek Urai telah diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Yahya Petra 1. Ribuan penyokong Pas dan Pakatan Rakyat hadir memberikan sokongan kepada calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah.

Anggota Juham juga turut sama memasuki tempat penamaan calon bagi memantau proses penamaan calon serta membuat bantahan keatas kertas penamaan sekiranya perlu. Diantara peguam Juham yang memasuki pusat penamaan tersebut ialah Haji Zubir Abu Bakar (Penasihat Undang-Undang PRK Manek Urai), Hisham Fauzi (Pengerusi Juham), Mohd. Abd Rashid Yah, Nik Bahrum Nik Abdullah, Firdaus Mohd Yusoff dan Ahmad Najib Deris.


Proses penamaan calon tersebut lancar tanpa sebarang insiden. Bantahan keatas kertas penamaan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang dibuat oleh Nik Bahrum Nik Abdullah telah ditolak oleh pihak SPR.


Seterusnya Pengurus Pilihan Raya membuat pengumuman mengenai calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil N. 41 Manek Urai ialah Mohd. Fauzi Abdullah (PAS) dan Tuan Aziz Tuan Mat (BN).
Semakan terakhir borang penamaan calon di pusat penamaan oleh YB Dato Takiyudin Hassan

Antara peguam Juham yang turut serta semasa penamaan calon
Orang yang kurang bernasib baik juga turut hadir memberikan sokongan kepada calon Pas



Geng 'Makka Skahti' juga turut mengambil bahagian

Anggota Juham Kemalangan



Pada hari Sabtu 04/07/2009 semasa dalam perjalanan pulang dari Manek Urai, sebuah kereta Myvi yang dipandu oleh Wan Mohd Nasri telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di Batu 4 Jalan Labok- Machang bersama dengan 3 buah kereta yang lain. Turut bersama dalam kereta tersebut ialah Mohd. Jailani, Mohd. Farhan dan Mohd. Abd Rashid.

Kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Waja yang datang dari arah bertentangan iaitu Labok telah memasuki laluan menghala ke Kota Bharu dipercayai pemandunya mengantuk lalu bergesel dengan kereta Myvi tersebut sebelum melanggar 2 buah kereta yang lain.

Namun begitu, kesemua anggota Juham tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan. Hanya kereta Myvi sahaja yang mengalami kerosakan. Kemalangan tersebut mengakibatkan jalan menjadi sesak sejauh hampir 2 kilometer. Wan Mohd Nasri selaku pemandu Myvi tersebut kemudiannya telah membuat laporan polis di IPD Machang.