Thursday, July 23, 2009

Masyarakat harus faham hukuman sebat


Oleh Hasliza Hassan


Islam ambil pendekatan untuk beri pengajaran, kesedaran bahaya arak KEPUTUSAN Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Isnin lalu menjatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 terhadap model sambilan dari Singapura, Kartika Sari Dewi Shukarno, 32, atas kesalahan meminum arak di sebuah resort di Cherating kira-kira jam 11.40 malam pada 11 Julai 2007, mencetuskan kontroversi. Hukuman itu mengundang maklum balas termasuk daripada Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang terkejut dengan tindakan hakim menjatuhkan hukuman sebat.

Malah, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali juga melahirkan rasa terkejut bahawa hukuman sebat termasuk dalam undang-undang syariah dan menganggap ia sebagai hukuman yang sangat keras. Persoalan yang timbul di sini ialah mengapa perlu disebat. Jika dikenakan sebatan sekalipun, mengapa cuma enam sebatan? Kenapa tidak 40 sebatan iaitu jumlah maksimum yang pernah dilaksanakan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar as-Siddiq kepada peminum arak? Malah, Khalifah Umar menetapkan hukuman sebanyak 80 sebatan kepada pesalah yang meminum arak.

Bagaimanapun, pensyarah Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Zulfakar Ramlee, berkata jumlah hukuman sebat dikenakan itu bukan isu utama sebaliknya masyarakat perlu faham falsafah hukuman. Katanya, tiada siapa berani mengatakan arak itu bagus kerana semua tahu kesan tidak baiknya terhadap kesihatan dan minda manusia. Malah, masyarakat Barat juga mengakui hakikat itu dengan melarang ibu yang mengandung meminum arak. Oleh itu kata beliau, cantiknya Islam sebagai agama fitrah ialah mengambil pendekatan untuk menjaga keselamatan umat dan hukuman sebagai pengajaran supaya masyarakat tidak melakukan perkara yang boleh memudaratkan mereka serta orang lain. "Hukuman enam sebatan itu tidak serius tetapi rasional di sebalik falsafah hukuman lebih penting kerana kita mahu orang sedar keburukan minum arak kepada fikiran dan kesihatan. Lagipun, hukuman sebat ini sudah ada sejak 1994 dan hanya sekarang hakim melaksanakannya.

"Keburukan arak sudah jelas termasuk firman Allah yang menyatakan keburukannya lebih banyak berbanding kebaikan. Jika ada yang menjadikannya isu, mereka mungkin terbawa-bawa perjuangan hak asasi yang menganggap ia sebagai isu peribadi," katanya. Beliau berkata, masyarakat perlu objektif kenapa Parlimen meluluskan peruntukan hukuman sebat dalam Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah Syariah) 1965 (Pindaan 1984) kerana undang-undang dibuat bukan untuk suka-suka.

Sebenarnya hukuman sebat sesuatu yang biasa di kebanyakan negara Islam termasuk Bangladesh yang menjatuhkan hukuman 202 sebatan terhadap seorang janda dan 101 sebatan kepada lelaki kerana disyaki terbabit dengan aktiviti anti-sosial di sebuah kampung di utara Bangladesh. Hukuman itu mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh ketua agama.

Dr Zulfakar berkata, tidak timbul soal zalim atau hukuman yang keras kerana peraturan menetapkan orang yang akan merotan menggunakan alat sebatan dengan kekuatan sederhana serta mengangkat rotan sama paras dengan bahu tidak melebihi kepalanya.

"Hukuman sebat hanya untuk menyedarkan masyarakat dan enam sebatan itu pun tak sakit, hanya untuk pengajaran. Sepatutnya isunya sekarang ialah bukan kenapa ia dilaksanakan tetapi kenapa ia tidak dilaksanakan sedangkan sudah lebih 20 tahun," katanya. Penolong Setiausaha Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Zainul Rijal Abu Bakar pula berkata, tidak dinafikan hukuman sebat syariah sering kali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat akibat tidak memahami perundangan itu.

"Hukuman itu sering disamakan dengan hukuman sebat dalam undang-undang sivil (jenayah), sama ada dari segi konsep dan pelaksanaannya. Sebab itu walaupun ada peruntukan sebat ia hampir tidak dilaksanakan melainkan di Kelantan," katanya. Beliau berkata, kesalahan jenayah syariah yang membawa hukuman sebat berbeza antara negeri tetapi hukuman dikenakan hanya pada had maksimum enam kali sebatan. Berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan serius, hukuman sebat syarie tidak hanya dijatuhkan kepada kesalahan serius termasuk kesalahan berkaitan dengan akhlak, tatasusila dan beberapa kesalahan lain.

Negeri Selangor mempunyai lapan bentuk kesalahan syariah yang memperuntukkan hukuman rotan kepada pesalah iaitu doktrin palsu, mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan isteri, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah dan persetubuhan bertentangan tabii. Kelantan memperuntukkan kesalahan minum arak selain kesalahan zina, mukadimah zina dan liwat.

Wilayah Persekutuan pula menggunakan istilah Musahaqah, iaitu kesalahan gay dan lesbian, selain kesalahan-kesalahan lain yang hampir sama dengan Selangor. "Semua kesalahan tersebut adalah mengikut budi bicara hakim, sama ada setiap pesalah dijatuhkan hukuman denda, atau rotan atau penjara atau kesemua sekali atau juga mana-mana kombinasi yang dirasakan wajar," katanya.


dipetik dari berita harian online

1 comment:

loyarberjurus said...

Masyarakat nampaknya tidak faham dan seolah2 tidak sedar bahawa peruntukan sebatan ke atas wanita itu wujud dalam enakmen syariah negeri. Hukuman yang dijatuhkan adalah "perfectly legal" dan pihak2 yang mengkomplen atau menyalak itu harus tujukan ketidakpuasan hati kepada penggubal undang2 dan bukannya kepada pelaksana undang2 itu (hakim). Ini baru hukuman yang digubal manusia, belum lagi hukuman yang benar2 datang dari Allah. Banyak lagi kerja perlu dibuat.