Oleh: Sdr. Zainulfaqar Hj. Yaacob
PENDAHULUAN
Mahasiswa dan AUKU adalah tajuk biasa yang selalu kita wacanakan sebelum ini. Tajuk ini juga telah banyak kita baca dan tulis dalam bentuk akademia sehinggalah catatan eksklusif secara blogging.Maka, apabila kita berbincang tajuk kemahasiswa, tentu terbayang dalam pemikiran kita tentang aksi-aksi mahasiswa lampau. Mahasiswa era 1960an dan 1970an sering kali menjadi sejarah agong dalam generasi mahasiswa kini.Pidato lantang di speakers’ corner, membuat kenyataan akhbar, memorandum terbuka hatta demontrasi aman di kampung dan desa sering kali menjadi tanda aras (KPi) dalam kamus perjuangan mahasiswa hari ini.
Akhirnya, kita secara semulajadi terbuai oleh rasa romastisme. Kita melihat aksi-aksi seperti di atas ini kononnya sebagai tradisi kita – Tradisi Mencabar!Buku ‘Mahasiswa menggugat’ (1972), Di Sebalik Tabir Politik Kampus (1995), Mahasiswa Abad Ke-21 (2005) dan sebagainya membentuk dogma-dogma stereotaip dalam kerangka gerakan kita pada hari ini.
Begitu juga dengan subjek AUKU. Kita acapkali terperangkap dalam beberapa situasi apabila kita berwacana subjek AUKU ini. Pertama, kita terlalu gemar membincangkan AUKU ini sama ada perlu dimansuhkan atau dipinda; khususnya selepas Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, YB Dato’ Khalid Nordin mulai menyatakan hasrat menilai semula AUKU ini.Kedua, kita acapkali membicarakan tentang seksyen-seksyen yang dilihat mencabuli hak asasi manusia secara berperundangan dan terlalu teknikal; padahal rata-rata kita (aktivis mahasiswa) tegas berpendirian bahawa AUKU ini mesti dimansuhkan.
Akhirnya, kita secara semulajadi telah hilang jatidiri kita sebagai kaum mahasiswa. Kita mulai meletakkan hasrat memansuhkan AUKU ini sebagai teras perjuangan kita di kampus dan pentas nasional. Lebih dari itu, kita ghairah membina suatu akta alternatif bagi menggantikan AUKU tanpa melihat sisi politik KPT/Kerajaan dan keperluan politik semasa di Malaysia sekarang ini.AUKU ini sebenarnya adalah suatu halangan (barrier) yang sengaja dicipta oleh kerajaan untuk melumpuhkan pergerakan kita. AUKU ini sebenarnya sengaja diperundangkan demi mengekang dan mengalihtumpuan kita dari nilai-nilai asasi perjuangan kita sebagai kaum mahasiswa.
Justeru, kertas kerja ini akan membicarakan persoalan nilai mahasiswa; dan bagaimana kita patut melihat AUKU dewasa ini? Kita tidak akan berbincang soal sejarah gerakan mahasiswa dan kita tidak akan berbincang persoalan AUKU dalam laras perundangan.Mahasiswa dan politik nilai
Mahasiswa terdiri oleh dua suku kata iaitu maha yang melambangkan besar atau berkuasa; dan siswa iaitu merujuk kepada kelompok penuntut atau pelajar di instiusi pengajian tinggi (IPT). Hasil sistesis kedua-dua suku kata ini memberi makna tersendiri – iaitu suatu ‘bangsa’ yang bukan sahaja mulia disebabkan kesempatan menuntut ilmu di peringkat tinggi (Universiti), tetapi turut mempunyai kuasa mobilisasi massa berteraskan kapasiti intelektual yang dimiliki oleh mereka. (Zainulfaqar b. Yaacob, 2006:20)
Mahasiswa merujuk pada satu kelompok pelajar yang berada di peringkat yang tinggi dalam sistem pendidikan formal sesebuah negara. Pengemblengan tenaga kelompok mahasiswa ini berteraskan daya keintelektualan yang bersifat idealis untuk mencapai matlamat yang digagaskan bersama, selaras dengan kedudukan mereka di puncak menara ilmu. Natijahnya, lahir satu arus gerakan yang sentiasa bersama dengan kebenaran (al-haq) dan sama sekali tidak bersekongkol dengan kebatilan hatta kelompok mereka ini dikenali sebagai independen Group. (Zuhdi b. Marzuki, 2002:th).
Profesor Feaur (Universiti Toronto) dalam bukunya The Conflict of Generation – The Charactor and Significance of Student Movement bahawa aktivisme mahasiswa lebih suatu pemberontakan dan kecenderungan ini lebih dilihat sebagai persoalan konflik antara generasi (generational conflict). Kondisi ini berlaku berpunca oleh kebencian kepada generasi lama yang sudah establish. Maka, mahasiswa dilihat sebagai pressure group yang anti-establisment. (Mohammad Abu Bakar, 1972:13).
Tuntasnya, mahasiswa mempunyai nilai-nilai tersendiri. Pertama, mahasiswa adalah ‘bangsa’ terpelajar. Kedua, mahasiswa ini mempunyai gagasan pemikiran dan tindakan yang tersendiri – disebut sebagai idealisme. Dan ketiga, pergerakan mereka adalah bersifat tersendiri.Dari nilai-nilai di atas ini, lahirlah rupa dan gaya aktivitisme mahasiswa Malaysia seperti berwacana, berdiskusi, berdebat, berpidato, mengeluarkan kenyataan akhbar, menghantar memorandum hatta berdemontrasi di universiti dan dalam lapangan ummat.Dari rupa dan gaya aktivitisme mahasiswa sebagaimana di atas ini, secara implisit dan semulajadinya turut membentuk nilai-nilai asasi kaum mahasiswa.
Rakyat melihat bentuk dan wajah aktivitisme mahasiswa. Begitu juga dengan parti-parti politik, kesatuan buruh/pekerja, badan bukan kerajaan (NGO) hatta pihak Kerajaan sendiri. Masing-masing mempunyai persepsi tersendiri berhubung satu-satu atau majmuk aksi mahasiswa Malaysia.
Bagi kaum rakyat, mahasiswa dahulu dianggap sebagai independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya.Ini kerana mereka telah pun melihat partisipasi mahasiswa dalam isu kemiskinan rakyat di Teluk Gong (1967), Baling (1974) dan sebagainya.Rakyat juga telah melihat betapa lantangnya mahasiswa dalam isu anti-kolonialisme oleh Kerajan (1946-1950an; isu anti Tunku (1966); isu pencerobohan AS ke atas Hanoi-Haiphong (1966); isu bahasa dan kependidikan nasional (1967); isu sosio-ekonomi negara (1969); isu tuntutan Sabah oleh Filipina (1969); isu pencerobohan Rusia ke atas Szekoslovakia (1969); dan banyak lagi.
Aksi-aksi di atas ini turut dicermati oleh kerajaan dan parti-parti komponan kerajaan. Mereka menganggap bahawa mahasiswa cuba bersikap anti-establishment hatta berhasrat untuk mengambil alih kerajaan Malaysia. Bertitik tolak pada sangkaan ini, AUKU mula diperkenalkan pada 27 April 1971 dan kemudiannya dipinda pada tahun 1974, 1995 dan 1999 (peringkat Universiti Malaya sahaja).Adakah patut mahasiswa ditohmah sebagai anti-establishment disebabkan sikap lantang mereka itu kebetulan sama dengan sikap lantang pihak-pihak tertentu (Contoh: Labour Party of Malaya, 1954)?
Menurut Prof. Emeritus Dr. Khoo Kay Kim (2005), kelantangan mahasiswa era 1940an berpunca oleh tempuhan pengalaman mahasiswa dengan suasana Perang Dunia II yang turut ditempuhi oleh Malaya. Kelantangan mahasiswa era 1950an pula berpunca oleh tempuhan pengalaman mereka dalam era kemerdekaan Malaya. Maka, sikap anti-kolonialisme mereka sudah tentu masih menebal dan mereka ini tentu peka dengan tindak-tanduk kerajaan baru pada waktu tersebut (Abdul Razaq Ahmad, 2005:9-11)
Kelantangan mahasiswa era 1960an/1970an pula disebabkan oleh tempuhan pengalaman bekerja sebagai guru pendidik di luar bandar/desa oleh kebanyakkan calon mahasiswa sebelum mereka melanjutkan pengajian di Universiti. Mereka melihat tahap pendidikan anak bangsa mereka. Mereka melihat generasi muda mereka. Natijahnya, lahir/timbul kesedaran nasional dalam diri mahasiswa-mahasiswa pada waktu tersebut. (Muhammad Abu Bakar, 1972:23-24)Apa yang cuba dirumuskan di sini adalah aksi-aksi mahasiswa dalam satu-satu zaman tersebut berpunca oleh kesedaran dan tempuhan pengalaman. Dan partisipasi mereka dalam lapangan ummat adalah suatu perjuangan nilai atau lebih tepat disebut ‘politik nilai’.
Bertitik tolak pada asas ini, kerajaan telah melakukan suatu kesalahan besar ke atas mahasiswa dengan memperkenalkan AUKU. Pengenalan AUKU oleh kerajaan ini kerana kerajaan menjunjung ‘politik kekuasaan’ dan sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan status quo mereka.
Politik nilai dan Politik Kuasa
Apakah makna politik kuasa? Apakah makna politik nilai? Dan apa pula hubung kaitnya antara kedua-dua ufuk politik tersebut dengan pengenalan AUKU?Politik kuasa adalah perjuangan untuk mendapatkan kuasa. Politik kuasa ini telah dianuti oleh parti-parti politik baik parti-parti komponan kerajaan mahupun parti-parti oposisi. Masing-masing mempunyai agenda perjuangan kekuasaan tersendiri dan tentu bersikap partisan serta mahu mendominasi kuasa dalam sesebuah negara bangsa. Jika parti-parti oposisi mendominasi kerajaan, bermakna parti-parti komponan akan mengambil posisi di pihak oposisi pula; begitulah sebaliknya.
Berbeza dengan politik nilai. Politik ini tidak mementingkan kemuncak kekuasaan, sebaliknya mereka lebih mementingkan perjuangan nilai – keadilan hak, kebebasan, hak bersuara, hak berkumpul, hak berpersatuan, hak untuk hidup, hak untuk menikmati pembangunan dll.Inilah yang diperjuangkan oleh mahasiswa selama ini dan politik nilai inilah yang seharusnya terus menjadi nilai-nilai perjuangan mahasiswa sehingga kini.Kita boleh lihat di Malaysia umpamanya. Gerakan anti Tunku cukup kuat pada era pertengahan 1960an dan mahasiswa telah berjaya menurunkan Tunku dari kerusi kekuasaan (Perdana Menteri) pada waktu tersebut. Namun, adakah mahasiswa menjadi perdana menteri selepas waktu tersebut?
Kita lihat pula politik kuasa oleh Kerajaan dan parti-parti komponan kerajaan. Demi memelihara status quo mereka, mereka mengikat hak-hak asasi mahasiswa seperti bersuara, berkumpul, berfikir, berpersatuan, berpolitik, bebas menikmati hidup dan sebagainya melalui pengenalan AUKU 1971 (Pindaan 1974).
Pencabulan hak-hak asasi mahasiswa ini boleh dilihat dalam Syeksen 15A, 15B, 15C, 15D, 16A, 16B, 16C AUKU itu sendiri. Sejak pengenalan AUKU inilah, kita telah lihat fungsi mahasiswa dalam memperjuangkan ‘politik nilai’ ini mulai luntur.Bagi mereka yang mahu terus meninggikan nilai-nilai perjuangan mahasiswa, mereka ini sanggup mengambil risiko politik dan perundangan. Lama-kelamaan, mendorong mereka terjun dalam politik kekuasaan juga dengan menubuhkan parti dan mencabar politik kekuasaan yang zalim (parti-parti tententu) dalam satu-satu PRU.
Mahasiswa tidak mempunyai banyak pilihan pada waktu tersebut. Mereka bukan sahaja dihalang hak berkumpul, berpersatuan, bersuara hatta hak berpartisipasi dalam politik nasional; malah ada dalam kalangan mereka ini telah diancam oleh pentadbiran Universiti, disoal siasat dalam kondisi yang menakutkan oleh Special Brance (SB)/Polis, didenda/dihukum, disingkir keluar Universiti dan sebagainya melalui politik kekuasaan oleh UMNO/BN serta proksi-proksi mereka di kampus/universiti.
Inilah yang fenomena yang digagaskan oleh Parti Mahasiswa Negara (PMN) baru-baru ini. Mahasiswa secara politik kekuasaan telah mencabar bekas Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi atau Pah Lah.Demi memperjuangkan hak dan politik nilai tersebut, mahasiswa telah pun melanggar semua seksyen AUKU ini. KPT juga telahpun menyatakan hasrat untuk mengkaji semula akta draconion AUKU tersebut. Banyak kelompok mahasiswa juga telah pun mencadangkan satu-satu akta alternatif atas pelbagai pertimbangan masing-masing.
Bagi saya, akta zalim seperti AUKU ini akan terus dipertahankan kerana AUKU ini merupakan suatu kelangsungan politik kuasa. AUKU ini hanya akan mansuh apabila satu-satu rejim terlebih dahulu tumbang menyembah bumi. Sebagai contoh, pemansuhan Normalisasi Kehidupan Kampus (NKK) di Indonesia dilakukan selepas rejim Suharto ditumbangkan oleh mahasiswa. Untuk menangani politik kuasa dalam konteks Malaysia, kita juga seharusnya bertindak secara politik (nilai) juga dengan mobilisasi mahasiswa dan rakyat demi menumbangkan rejim zalim UMNO/BN sendiri.
Dari sudut lain, pasca pengenalan AUKU juga telah mengakibatkan rata-rata mahasiswa dikuasai oleh culture of fear dan complacent zone. Akhirnya, graduan Universiti mungkin berjaya dari segi pencapaian CGPA (akademia), namun kurang daya servival, jatidiri, budaya berfikir dan tidak mampu tampil sebagai Universal Man sebagaimana yang dicita-citakan oleh Kerajaan ketika mahu menubuhkan Universiti.
Tuntasnya, pengenalan AUKU ini adalah suatu keputusan salah pihak Kerajaan. AUKU membunuh bakat dan potensi mahasiswa. AUKU mengakibatkan mahasiswa tandus idealisme. AUKU juga menyebabkan mahasiswa hari ini beraktivisme bukan dalam kerangka ‘politik nilai’ mereka.
PENUTUP: SARANAN DAN KESIMPULAN
Berdasarkan pada pandangan di atas, kita boleh membuat beberapa kesimpulan dan saranan.
PERTAMA, mahasiswa wajib beraktivitisme dalam kerangkanya tersendiri berteraskan ‘politik nilai’. Jangan kerana sikap optimisme kita terhadap perubahan yang akan dilakukan oleh Pakatan rakyat tidak lama lagi menyebabkan kita bacul untuk menjadi independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya.Dalam kamus perjuangan kita, tidak ada sikap partisan atau ‘politik kuasa’ sama ada pada Kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Nilai yang betul patut dihargai, nilai yang salah patut disanggah.
KEDUA, AUKU wajib dimansuhkan. Tidak perlu tunggu AUKU ini menzalimi seseorang/sekelompok mahasiswa, baru kita tampil mengatakan AUKU ini sah zalim. Kezaliman AUKU sebenarnya perlu dilihat dalam tiga keadaan – (1)falsafah; (2)praktikal/perlaksanaan: dan (3)implikasi/natijah. GMMA tidak perlulah cuba memansuhkan AUKU secara berperundangan kerana KPT sedang berpolitik (kekuasaan / politik kuasa) dengan kita. Elok, kita juga mengambil kira sisi politik KPT dan YB Dato’ Khalid Nordin ini sebelum merencana satu-satu aktivitisme kita selepas ini.
Jika mahasiswa dituduh jenayah, sila bawa mereka ke pengadilan mahkamah secara bebas. Dakwa mereka dengan undang-undang yang (munasabah) sedia ada. Kita tidak perlu AUKU kerana AUKU sah zalim.
KETIGA, Kerajaan dan parti-parti politik baik BN atau PR perlu melihat Gerakan Mahasiswa di Malaysia ini secara positif. Sekiranya tumbang satu-satu rejim, mahasiswa tetap mahasiswa dan dalam kerangka mahasiswa. Mahasiswa tidak akan mengambil tampuk kuasa, terus kekal dengan ‘politik nilai’ seperti yang sedia ada.
Jika PR memimpin Malaysia, PR juga perlu ingat bahawa kita tetap akan menjadi independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya kepada Kerajaan pada waktu itu. BN yang ada pada hari ini juga perlu sedar, jika berlaku perlanggaran hak-hak asasi mahasiswa, kami tetap tampil sebagai independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya kepada pihak BN juga.
Pokok pangkalnya AUKU perlu dimansuhkan kerana jika akta draconion ini tidak mansuh sekalipun, mahasiswa tetap dengan idealismenya - independent group,pressure group, cataliyst, check and balance dan sebagainya. AUKU telah lama kita langgarkan sebelum ini, mengapa hari ini kita mula menilai semula tindak-tanduk kita?
AUKU sepatutnya tidak patut ada dalam kamus perjuangan kita kerana banyak lagi peninggian nilai lain patut dicetuskan/diperjuangkan oleh kita hari ini demi memastikan generasi baru Malaysia kelak lebih menikmati kesejahteraan hidup di Malaysia.
WE UNITE FOR STUDENT’s AGENDA!
————————-
Rujukan:-
1. Abdul Razaq Ahmad (pngr.). 2005. Mahasiswa Abad 21. Selangor: UKM.
2. Mohd Suhaimi al-Maniri (1995), Di sebalik Tabir Politik Kampus, Selangor: Pustaka Generasi Baru.
3. Muhammad Abu Bakar (1972), Mahasiswa Menggugat. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.
4. Zainulfaqar Yaacob. 2006. Gerakan Mahasiswa Islam Universiti Malaya: Sejarah dan Sumbangan Di Awal Abad Ke-21. Latihan Ilmiah (Nov. 2006). Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kuala Lumpur.
5. Zuhdi Marzuki. 2002. Menyelusuri Kebangkitan Mahasiswa Islam. Kertas kerja Kolokium Halatuju Mahasiswa Islam 2002. Ekspo Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (e-PMIUM). Universiti Malaya, Kuala Lumpur. 20 Julai.
> Kertas kerja ini dibentangkan dalam Forum Mahasiswa Sempena Hari Hak Asasi Mahasiswa 2008; anjuran Gabungan Mahasiswa Mansuh AUKU (GMMA); pada Jumaat 13 Jun 2008 (jam 8.30 malam – 11.00 malam) di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assambly Hall (KLSCAH), Kuala Lumpur.
> Penulis adalah graduan Universiti Malaya (Jul. 2003- Nov. 2006) dalam Sarjana Muda Usuluddin (Sejarah dan Tamadun Islam). Penulis boleh dihubungi melalui mobile [+60194241583/+60193146692]; atau email [zainulfaqar_yaacob@yahoo .com] atau blog [http://zainulfaqar.wordpress.com/profile/]. 11 Jun 2008, 4.40 pagi.