KANGAR: Mahkamah Pilihan Raya hari ini menolak dengan kos, petisyen pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Empat, yang dikemukakan bekas Ahli Exco Kerajaan Negeri Perlis, Zahari Bakar, berkaitan penggunaan poster dan lambang negeri Perlis semasa kempen pilihan raya.
Hakim Datuk Zainal Adzam Abdul Ghani ketika membacakan keputusan petisyen itu di sini hari ini berkata, pempetisyen yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Simpang Empat gagal membuktikan dengan memuaskan mengenai kesalahan pilihan raya yang berkaitan poster itu.
Pada 28 April lalu, Zahari, 53, memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan pilihan raya 8 Mac itu dengan alasan responden mempamerkan poster yang tidak mempunyai nama dan alamat pencetak serta penerbit, selain penggunaan lambang negeri pada poster itu semasa tempoh kempen.
Pada pilihan raya umum ke-12 itu, Zahari tewas kepada Rus’sele Eizan dengan majoriti 53 undi, apabila beliau memperoleh 2,825 undi dan Rus’sele mendapat 2,878 undi. Zainal Adzam berkata alasan penolakan petisyen itu ialah pempetisyen gagal membuktikan dengan memuaskan, pihak mana yang terbabit dengan pengeluaran poster itu, dan mereka yang terbabit memasangnya. “Tiada bukti jelas siapa yang memasang poster dan tiada rakaman gambar atau video yang menunjukkan pihak yang melakukannnya. Ada keraguan di sini,” katanya. Katanya, sekeping poster yang dijadikan bukti ditandakan dengan ID, sedangkan ia sepatutnya ditandakan sebagai P kerana ia bukti dan keterangan utama bagi kes itu.
Mengenai penggunaan lambang negeri Perlis, Zainal Adzam berkata ia bukan satu kesalahan kerana larangan itu hanya tercatat dalam buku panduan pilihan raya dan tidak termaktub dalam undang-undang. Katanya pempetisyen yang diwakili peguam, Abu Bakar Sidek juga gagal membuktikan dengan memuaskan terhadap penggunaan lambang negeri Perlis. Rus’seli diwakili Aqbal Shiffuddin Adnan Salehuddin, Zulmi Sabri dan Mohamed Hanipa Maidin.
No comments:
Post a Comment