Wednesday, January 6, 2010

Di mana silap dan betulnya Hakim Lau Bee Lan?

Oleh: Mohamed Hanipa Maidin

 
Sebagai seorang peguam dan pemimpin PAS saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menberikan pandangan saya tentang keputusan Yang Arif Datuk Lau Bee Lan dalam kes penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar Herald yang diterbitkan oleh kristian Katholik. Bagaimanapun ulasan saya di sini hanya dari pesperktif undang-undang semata-mata.

Secara ringkasnya fakta kes tersebut adalah pada 18 Mac 2009 pemohon iaitu Paderi Roman Katholik di Kuala Lumpur iaitu Murphy Pakiam telah memfailkan permohonan semakan kehakiman ( judicial review )  ke atas Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia kerana memutuskan melarang akhbar the Herald dari menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitan edisi bahasa Malaysia akhbar itu.

Sebelum ini Kerajaan telah mengisytiharkan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam sahaja dan pihak Kerajaan telah mengancam akan menutup akhbar itu jika ia tidak mengendahkan larangan tersebut .

Dalam samannya ke atas Menteri Dalam Negeri ( MDN ) Paderi Pakiam yang mewakili pihak Herald telah memohon Mahkamah bagi mendapatkan perintah antara lain perintah perisytiharan bahawa keputusan MDN melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah dan terbatal.

Beliau juga memohon Mahkamah mengisytiharkan bahawa akhbar Herald berhak menggunakan kalimah Allah di dalam penerbitannya dan kalimah Allah tidak hanya ekslusif kepada Agama Islam sahaja. Selain itu Paderi Pakiam juga meminta Mahkamah membatalkan keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald tersebut.

Sepertimana yang dilaporkan di dalam akhbar Hakim Datuk Lau Bee Lan telah pada 30 Disember 2009 yang lalu telah memutuskan membenarkan saman Paderi Pakiam dan memutuskan bahawa keputusan MDN yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald adalah keputusan yang tidak sah , terbatal dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sebelum saya memulakan ulasan saya terhadap keputusan Datuk Lau Bee Lan tersebut saya perlu menyatakan di sini sebagai seorang peguam saya dididik untuk hanya mengulas sesuatu keputusan seorang Hakim itu hanya setelah membaca keputusan penuh seorang hakim itu supaya ulasan saya benar-benar hanya menyentuh keputusan sebenar Hakim tersebut dan bukannya dari tokok tambah dari mana-mana sumber selain keputusan itu sendiri.

Di sini saya ingin menyatakan bahawa seperti para pembaca saya hanya mengetahui intipati keputusan Hakim tersebut dari laporan akhbar sahaja. Dengan anggapan laporan itu adalah benar sepertimana yang dinyatakan oleh Hakim tersebut maka saya berpendapat keputusan itu adalah betul dari satu segi tetapi tersilap dari segi yang lain.

Bagi saya Hakim Lau Bee Lan boleh dipuji kerana keberanian beliau membuat keputusan yang membatalkan keputusan seorang Menteri . Mengapa saya kata beliau adalah seorang yang berani ? Hujah saya bersandarkan kepada alasan bahawa jika kita melihat Akta Penerbitan & Mesin Cetak yang digubal oleh Kerajaan BN, Akta tersebut memberikan satu kuasa dan budibicara yang mutlak kepada MDN untuk memutuskan membatalkan atau mengenakan sebarang syarat terhadap mana-mana akhbar yang ingin diterbitkan di negara ini.

Jika dilihat kepada Akta tersebut ia menyatakan keputusan MDN tidak boleh dicabar di Mahkamah. Di dalam undang-undang peruntukkan yang memberikan kekebalan kepada MDN itu dipanggil ouster clause.

Kes yang diputuskan oleh Hakim Lau Bee Lan melibatkan isu Perlembagaan atau secara spesifiknya isu kebebasan beragama. Pengalaman saya mengendalikan kes kebebasan beragama iatu kes tiga pelajar dibuang sekolah kerana memakai serban menyakinkan saya bahawa kes sebegini memang secara relatifnya adalah kes yang boleh dikategorikan sebagai kes “panas” dan pasti merimaskan mana-mana Hakim yang ditugaskan mendengar dan memutuskan kes tersebut.

Secara mudahnya bagi pihak Herald mereka merasakan bahawa sebagai pengganut Kristian di negara ini mereka berhak mengamalkan dan menyebarkan agama mereka ( to practice and propagate their religion ) seperti yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan.. Oleh itu bagi pihak Herald termasuk hak mengamalkan dan menyebarkan agama itu adalah hak mereka untuk menerbitkan apa sahaja penerbitan yang boleh menjadi alat untuk menyebarkan agama itu. Oleh itu mana-mana tindakan yang boleh mengancam dan menggugat hak tersebut adalah dikira bertentangan dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin oleh Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Bagi pihak Herald meskipun Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam sebagai agama teras di dalam negara ini, Perkara 3 itu sendiri tidak menghalang pengganut agama lain untuk mengamalkan agama mereka dengan aman dan harmoni yang boleh ditafsirkan tanpa sebarang gangguan yang tidak munasabah dari mana-mana pihak  Oleh yang demikian pihak Herald merasakan larangan menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar itu adalah bercanggah dengan Perkara 11 dan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Saya berpendapat keputusan Lau Bee Lan adalah betul di sisi undang-undang dan Perlembagaan apabila beliau memutuskan bahawa kalimah Allah tidak terhad atau hanya ekslusif bagi orang Islam sahaja. Saya berpendapat keputusan itu adalah tidak bercanggah dengan mana-mana ajaran Islam kerana Allah bukan sahaja Tuhan kepada manusia ( Islam dan bukan Islam ) malahan Tuhan kepada seluruh alam . Allah adalah tuhan kepada mahkluk yang halal dimakan dan Allah juga Tuhan kepada mahkluk yang haram dimakan.

Di dalam pengajian Tauhid orang Islam diajar dengan Tauhid Rububiyyah di mana Tauhid ini membawa maksud mana-mana manusia meyakini Allah itu sebagai Rabb iaitu Tuhan yang mencipta dan mentadbir alam ini. Tauhid Rububiyyah, tidak seperti Tauhid Uluhiyah, diyakini bukan sahaja oleh orang Islam tetapi juga orang bukan Islam.

Saya juga berpendapat keputusan Lau Bee Lan yang menyatakan bahawa keputusan MDN yang melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar di Herald adalah bercanggah denga hak untuk menyebarkan agama tersebut sepertimana yang dijamin oleh Perkara 11 ( 1 ) adalah juga keputusan yang betul.

Ini kerana meskipun hak untuk menyebarkan agama adalah terhad kepada orang bukan Islam iaitu mereka tidak boleh menyebarkan ajaran Kristian kepada mana-mana orang Islam tetapi di dalam kes ini tiada bukti bahawa Herald telah disebarkan kepada mana-mana orang Islam. Perkara 11 ( 4 ) hanya melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang –orang Islam sahaja. Ini bermakna jika akhbar the Herald hanya tersebar kepada orang-orang Kristian sahaja ianya tidak bercanggah dengan Perkara 11 ( 4 ) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun saya berpendapat keputusan MDN melarang menggunakan kalimah Allah di dalam akhbar Herald masih boleh dipertahankan jika ianya , meskipun tidak salah di sisi Islam atau di bawah Perkara 11 ( 1 ) dan 11 ( 4 ), masih boleh dikatakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana berpotensi untuk menjejaskan kenteraman awam ( public disorder ) dan keharmonian agama..

Saya berpendapat sepatutnya Hakim Lau Bee Lan sepatutnya memutuskan bahawa tindakan akhbar the Herald menggunakan kalimah Allah di akhbar itu tidak boleh lari dari sekatan dan halangan Perlembagaan yang dinyatakan di bawah Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 ( 5 ) melarang mana-mana amalan agama hatta kepada amalan agama orang Islam sendiri jika amalan tersebut boleh menjejaslan ketenteraman awam ( public disorder ).

Apabila sesuatu amalan beragama berpotensi menjejaskan ketenteraman awam isu sama ada amalan itu selari dengan agama atau tidak tidak lagi timbul. Saya tidak pasti sama ada isu perlanggaran kepada Perkara 11 ( 5 ) dihujahkan oleh pihak peguam Kerajaan atau tidak , namun saya tetap yakin jika Kerajaan ingin menjustifikasikan larangan penggunaan kalimah Allah, satu-satunya hujah yang boleh digunakan adalah Perkara 11 ( 5 ) tersebut.

Mungkin Kerajaan juga boleh berhujah hatta jaminan kebebasan agama lain selain Islam boleh diamalkan di negara ini yang dilindungi di bawah Perkara 3 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan juga tertakluk amalan tersebut dipraktiskan dengan harmoni dan aman tanpa sebarang indikasi ia boleh menjejaskan keharmonian tersebut.

Hakim Lau Bee Lan menyatakan tiada sebarang bukti dikemukakan oleh pihak Kerajaan bahawa penggunaan kalimah Allah adalah menjejaskan keselamatan negara. Memanglah Mahkamah terikat dengan bukti dan keterangan. Nampaknya Hakim Lau Bee Lan cuba mengelak untuk memutuskan atau menafsirkan Perkara 11 ( 5 ) itu dengan berselindung di sebalik alasan keterangan dan bukti.

Dengan hormat saya berpendapat dalam menafsirkan mana-mana peruntukkan Perlembagaan Mahkamah tidak harus dikawal oleh bukti dan keterangan semata-mata. Penafsiran Perlembagaan tidak sama seperti menafsirkan seperti mana-mana Akta atau Enakmen.

Dalam hal ini Hakim Lau Bee Lan seharusnya menafsirkan apa yang dimaksudkan dengan istilah menjejaskan ketenteraman awam di dalam Perkara 11 ( 5 ) Perlembagaan Persekutuan. Bagi menafsirkan frasa tersebut Hakim Lau Bee Lan tidak boleh lari dari memahami ketinggian nilai kalimah Allah dari perspektif orang Islam yang mana ianya hanya bermaksud Tuhan yang esa.

Oleh itu penggunaan kalimah itu di dalam maknaya yang lain sudah pasti berpotensi tinggi mengundang kemarahan orang Islam sekaligius berpotensi mewujudkan satu ancaman kepada ketenteraman awam.

Orang Kristian tidak seharusnya resah jika kalimah Allah itu tidak dibenarkan digunakan atas alasan kepentingan awam. Mungkin pada masa hadapan penggunaan kalimah ini, yang dibenarkan oleh ajaran Islam, tidak menjejaskan ketenteraman awam sekaligus boleh dibenarkan.

Sebelum ini orang Islam juga pernah dikecewakan dengan larangan amalan beragama kepada wanita Islam iaitu amalan pemakaian purdah oleh kakitangan awam ( kes Halimatusadiah ) di atas alasan menjaga kepentingan awam.
Yang peliknya pada masa itu kita tidak dengar pula mana-mana pemimpin UMNO yang berkokok seperti ayam jantan seperti sekarang ini.

No comments: