Saturday, January 2, 2010

Isu kalimah: KDN mahu rayu keputusan mahkamah





Perkasa mohon Majlis Raja-Raja Melayu masuk campur

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), kelmarin yang membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam, berkata pihaknya akan bertemu dengan Pejabat Peguam Negara, minggu depan untuk menghalusi dan meneliti keputusan mahkamah itu.

"Menteri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) sendiri sudah menyatakan KDN akan membuat rayuan terhadap keputusan (mahkamah) itu.

"Jadi, kita akan bertemu dengan Pejabat Peguam Negara secepat mungkin bagi mengkaji dan meneliti keputusan itu, terutama sama ada ia turut merangkumi permit masa depan atau tidak," katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Hakim Lau Bee Lan dalam penghakiman lisannya memutuskan Herald-The Catholic Weekly boleh menggunakan perkataan Allah dalam penerbitannya selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Gereja Katolik terhadap keputusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 yang melarang penggunaan perkataan itu.

Keputusan itu menyebabkan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said, kelmarin dilaporkan sebagai berkata akan merujuk kepada KDN sebelum membuat keputusan sama ada memohon penangguhan perintah itu atau mengemukakan rayuan.

Kamaluddin membangkitkan persoalan sama ada keputusan larangan penggunaan perkataan Allah itu terhad kepada penerbitan majalah Herald-The Catholic Weekly bagi permit 2009 atau turut terpakai untuk permit baru yang dikeluarkan pada masa depan.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan KDN dalam mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah berkenaan.

"Ia sudah menjadi kes mahkamah dan kita perlu mengikut prosedur yang ditetapkan. Jadi, kita akan bekerjasama dan membantu KDN dalam membuat rayuan berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dihubungi menyokong keputusan KDN untuk mengemukakan rayuan.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata pihaknya akan bersama-sama dengan KDN dalam memfailkan rayuan berhubung keputusan yang diputuskan itu.

"PKPIM ingin menegaskan bahawa dalam konteks masyarakat Malaysia dan alam Melayu, kalimah Allah adalah bersifat eksklusif yang hanya merujuk kepada konsep Tuhan yang difahami oleh umat Islam saja," katanya.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, berkata pihaknya akan memohon perkenan Majlis Raja-Raja Melayu membincangkan keputusan mahkamah itu.

"Urusan yang berkaitan dengan Islam adalah di bawah Raja-Raja Melayu dan Islam adalah agama rasmi Persekutuan yang kedudukan istimewanya terjamin dalam Perlembagaan 153.

"Ini adalah masanya Raja-Raja Melayu bertindak melindungi Islam dan umat Melayu Islam menanti tindakan ini dengan penuh harapan," katanya.


No comments: