Wednesday, February 11, 2009

Chambering Student

Antara tanggungjawab saya sebagai Ahli Jawatankuasa Peguam Negeri Kelantan adalah menerima kunjungan hormat dari peguam pelatih. Bertujuan untuk memperkenal diri serta mendapat beberapa nasihat awal dari peguam senior, kadangkala ianya juga dapat memberi gambaran awal calon-calon yang boleh ditimbang untuk pekerjaan.

Kerana itulah, walaupun kunjungan hormat tersebut adalah dalam keadaan santai dan tidak formal ia harus digunakan sepenuhnya oleh peguam pelatih tersebut untuk menjual dirinya kepada bakal majikan. Janganlah kerana diwajibkan, kunjungan hormat itu seolah-olah menjadi satu beban yang teramat berat. Sekurang-kurang tunjukkan muka yang ikhlas walaupun terpaksa berlakun.

Saya nyatakan hal ini, kerana itulah reliti yang terjadi. Dalam 5 kunjungan yang saya terima, sekurang-kurangnya 2 kunjungan seperti tidak 'ikhlas'. Dan ianya boleh memberi gambaran awal yang tidak elok (kepada saya).

Saya juga selalu memberi gambaran bahawa tempoh sembilan bulan sebagai peguam pelatih adalah ibarat belajar mengeja selepas tempoh 5 tahun mengenal A B C di universiti. Pelatih secara sedar dan tidak; meragui apa yang telah dipelajari sebelum ini, kerana seolah-olah tidak ada matapelajaranpun yang berkaitan dengan kerjaya semasa.

Memang begitulah realitinya. Lantaran kerjaya undang-undang adalah satu seni yang mesti dihayati sepenuhnya oleh pengamalnya. Ia bukan berbentuk hafalan, sains dan rigid seperti bidang kedoktoran. Undang-undang adalah satu bidang yang bergerak seiring perjalanan masa. Dan bagi pengamalnya yang tidak mengambil endah peristiwa semasa tentunya akan ketinggalan.

Bagi saya pembelajaran undang-undang bukan semata untuk menjadi peguam. Tidak pelik bagi saya sekiranya anda menjadi penjual burger di tepi jalan sekalipun atau kontraktor atau apapun bentuk kerjayanya; tetapi anda faham dan mahir dengan prinsip undang-undang. Ia akan menjadi kelebihan bagi anda.

Dalam meniti kerjaya ini, ada ketikanya seorang peguam perlu mengusahakan nasi yang telah bertukar menjadi bubur agar boleh di makan semula. Ibarat menarik benang dalam tepung. Tepung tidak tumpah dan benang tidak putus. Beliau hendaklah menjadi sekreatif mungkin dalam memungkinkan kes yang di amanahkan itu berjaya diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Tidaklah maksud saya dengan penyelesaian itu dengan kemenangan sentiasa. Ada kalanya kekalahan juga adalah kemenangan. Jika anda faham maksud saya!!!

Saya juga sering - dalam kunjungan hormat - menasihatkan peguam pelatih agar terlibat dengan masyarakat. Samada terjun secara formal ke dalam persatuan, parti atau perkumpulan yang ada. Ataupun secara tidak formal dengan bersedia memberi khidmat nasihat apabila keadaan memerlukan.

Dan percayalah kata-kata saya, masyarakat amat memerlukan khidmat kita. Bersedialah juga untuk dikejutkan dari tidur jam 12.45 malam untuk menasihati pasangan suami isteri yang bergaduh. Lakukan khidmat itu dengan ikhlas, nescaya kepuasan yang tidak terhingga akan dirasai.

Sebenarnya banyak lagi kata-kata nasihat yang saya boleh berikan kepada peguam pelatih. Syaratnya? Tunjukan keikhlasan anda dalam kunjungan hormat nanti.

No comments: