Thursday, June 5, 2008

BN BERBOHONG KEPADA RAKYAT

Dengan pengumuman yang dibuat oleh Pak Lah semalam mengenai kenaikan harga minyak pada hari ini telah membuktikan bahawa BN telah membohongi rakyat. Dalam kempen Pilihan Raya Ke 12 (PRU 12) baru-baru ini, BN dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan pihak Pakatan Rakyat bahawa harga minyak akan dinaikkan selepas pilihan raya.Bukan sekadar mengatakan dakwaan tersebut tidak berasas, malah BN juga turut mencemuh Pakatan Rakyat tidak mempunyai modal untuk berkempen bagi memenangi hati rakyat dalam pilihan raya tersebut. Namun, hakikatnya sekarang keris telah menikam tuannya sendiri. Dengan memerintah negara hanya beberapa bulan, BN telah mungkir janjinya sendiri. Kenaikan sebanyak RM0.78 seliter bagi petrol dan RM1 bagi diesel merupakan yang tertinggi dalam sejarah negara sejak 50 tahun merdeka.

Walaupun kerajaan BN ada menyediakan insentif bagi mengurangkan beban rakyat dengan pemberian tunai sebanyak lebih kurang RM600 setahun, namun ia tidak mampu untuk menampung kenaikan harga minyak yang terlalu banyak dan membebankan itu. Minyak merupakan sumber tenaga utama, apabila harga minyak naik maka harga barangan lain juga akan turut naik. Dalam pengumuman kenaikan harga minyak semalam, Pak Lah juga turut mengumumkan kenaikan harga gas dan taarif elektrik.Hari ini atau mungkin esok atau lusa, semua barang keperluan lain juga akan turut naik.

Kerajaan tidak akan mampu untuk mengawal kenaikan harga barang kecuali Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato Shahrir Samad mengarahkan semua kakitangannya bekerja 24 jam sehari semalam selama tujuh hari seminggu disetiap pasar raya, kedai runcit dan sebagainya bagi memantau kenaikan harga.

Kenaikan harga minyak kali ini telah menambahkan lagi beban rakyat di luar bandar yang berpendapatan rendah. Malah para kakitangan awam juga turut merungut dan tidak kurang juga yang menyumpah seranah kerajaan BN yang pembohong. Itulah buah tangan BN sebagai tanda terima kasih kepada para penyokongnya yang terkenal dengan slogan "Tradisi Membela Rakyat." Memang betul hanya tradisi BN yang membela rakyat tetapi bukannya realiti mereka untuk membela rakyat!

Saya rasa, Pakatan Rakyat perlu menasihati remaja yang membuat laporan polis terhadap Kerajaan Selangor yang kononnya gagal memenuhi manifesto pilihan raya supaya turut membuat laporan polis terhadap kerajaan BN yang secara jelas dan nyata. Agak-agak, remaja tersebut hendak buat laporan polis tak?!

No comments: