Sunday, June 29, 2008

Petisyen 24-4-2008 N.20 Lubok Merbau


Petisyen ini telah difailkan oleh calon BN, Dato' Haji Jamal Nasir Bin Rasdi terhadap calon Pas yang kini merupakan seorang Exco Kerajaan Negeri Perak iaitu Mohd Zainuddin Bin Mohd Yusof. Hari ini kes telah ditetap untuk penghujahan lisan oleh semua pihak bagi bantahan awal pihak Responden Pertama (calon Pas). Kes ini didengar dihadapan YA Hakim Dato' Wan Afrah binti Dato' Paduka Wan Ibrahim di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak. Barisan peguam Pas (Legal Team) diketuai oleh Mohd Hanipa Maidin dan dibantu oleh Aminuddin Zulkipli, Zulqarnain Lukman, Yusnita Yusoff, Fathi Mat Zain, Hisham Fauzi, Ahmad Najib Deris, Nik Hamrizal Nik Yaakub dan Mohd. Abd. Rashid Yah.

Pihak BN telah menarik balik petisyen keatas Pengawai Pengurus Pilihan Raya (Responden Kedua) dan SPR (Responden Ketiga) sebagaimana yang telah dipersetujui dengan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili Responden Kedua dan Ketiga dengan kos.

Bantahan awal ini dibuat oleh calon Pas sebagaimana yang dihujahkan oleh Ketua barisan peguam Pas, Mohd Hanipa Maidin iaitu merujuk kepada Petisyen Pilihan Raya sendiri terlalu umum kerana dalam tuduhan rasuah mestilah dinyatakan secara khusus sebagaimana dinyatakan Seksyen 11(1)(c). Tugas pempetisyen ialah menyatakan secara khusus mengenai kesalahan yang dilakukan oleh Responden Pertama. Beliau juga menyatakan perkataan 'memasang' dan 'kain rentang' tidak pernah dinyatakan dalam seksyen tersebut. Walaupun sekiranya 'kain rentang' termasuk dalam iklan namun tidak dinyatakan kain rentang bertulis apa. Sekiranya kain rentang tersebut putih dan kosong, maka ianya tiada beza dengan kain kapan. Pihak pempetisyen tidak pernah menyatakan kain rentang tersebut bertulis apa?

Semua kesalahan yang dinyatakan dalam seksyen 11(1)(C) mestilah berkaitan pilihan raya. Seksyen 11(1) menyatakan bahawa kesalahan tersebut mestilah ditentukan siapakah pelakunya. Beliau kemudian merujuk kes DR. Shafie Abu Bakar dan kes Pengkalan Pasir sebagai sokongan serta perbandingan. Seksyen tersebut sebenarnya mengandungi 32 kesalahan yang boleh dikategorikan sebagai rasuah. Sekali lagi beliau merujuk kepada kes Dr. Shafie Abu Bakar sebagai autoriti.

Beliau seterusnya menghujahkan bahawa Petisyen tersebut tidak mematuhi Kaedah 4(2) Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya. Tuduhan atau dakwaan pihak BN mengenai perlanggaran Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 oleh calon Pas sama sekali tidak menepati kehendak seksyen tersebut. Seksyen 9 tersebut sekiranya dikaji dengan teliti ia mengandungi 4,536 kesalahan yang berlainan. Tiada pun sebarang perkataan yang disebut dalam seksyen tersebut dinyatakan dalam petisyen. Bagi maksud kesalahan 'undue influence' mestilah menyatakan secara jelas kelakuan kesalahan tersebut. Manakala kesalahan yang didakwa tersebut dengan jelas dinyatakan dalam petisyen telah dilakukan oleh petugas PKR. Sedangkan Responden Pertama dalam kes ini adalah calon Pas.

Beliau juga menghujahkan bahawa dalam petisyen tidak menyatakan fakta dan alasan bagi setiap tuduhan sebagaimana yang dikehendaki oleh Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya.

Seterusnya merujuk Seksyen 4(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya & Seksyen 32(b), Pihak pempetisyen mestilah mematuhi 2 perkara serta ianya hendaklah menyentuh atau memberikan kesan kepada keputusan pilihan raya. Kesalahan yang didakwa tersebut sebenarnya telah dilakukan oleh SPR dan bukannya oleh Responden Pertama. Dengan seorang pengundi yang dihalang mengundi oleh SPR tidak menyentuh keputusan pilihan raya. Oleh itu petisyen ini sepatutnya ditolak dengan kos.

Dalam menjawab hujah tersebut ketua peguam BN, Hafarizam menghujahkan bahawa peguam Hanipa telah melampaui garisan sempadan yang dinyatakan dalam Notis Bantahan Awal. Mereka sepatutnya memfailkan Notis Motion untuk membatalkan petisyen ini kerana tidak mematuhi Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya.

Perenggan 3(ii) Petisyen tersebut telah menyebut fakta penting. Seksyen 11(1)(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya sebenarnya hanya satu kesalahan sahaja dan bukannya mengandungi 32 kesalahan. Beliau merujuk kes Haris Salleh sebagai hujah. Ianya juga mempunyai kaitan dengan Seksyen 32(c) akta tersebut. Tiada mana-mana kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah berkaitan seksyen 32(c). Cuma kes-kes yang berkaitan dengan seksyen 32(a) & (b) yang telah diputuskan oleh Mahkamah. Seksyen tersebut tersebut tidak rigid sebagaimana seksyen 32(a) & (b).

Seterusnya kesalahan tersebut telah dilakukan oleh ejen atau pengkhidmat calon. Merujuk kepada seksyen 9(1), beliau hujahkan bahawa tidak kira berapa banyak kesalahan yang terkandung dalamnya kerana ia perlu juga dirujuk kepada seksyen 32 dengan mengemukakan kes Rohimin Ajim mengatakan bahawa seksyen 32 adalah memberikuasa dan bukannya seksyen prosedural.

Dalam menjawab kegagalan mematuhi Seksyen 4(d) & 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya, pempetisyen tidak seharusnya dijangka mengatahui bagaimana ketidakpatuhan undang-undang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya. Beliau akhirnya menghujahkan bahawa bantahan awal melalui surat dan bukan melalui Motion adalah tidak seharusnya dibenarkan.

Syed Faisal juga peguam pihak BN menambah,petisyen tersebut secara kediri 30/04/2008. Mereka (Pas) tidak menafikan ada menerima petisyen tersebut tetapi mendakwa bahawa notis pengemukaan petisyen yang 'defective'. Oleh itu frasa tersebut mempunyai kesan apabila mereka menerima salinan petisyen dan notis pengemukaan petisyen. Dengan itu pempetisyen telah menyempurnakan servis keatas Responden sebagaimana mode yang dipilih.

Seterusnya beliau menambah Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Petisyen Pilihan Raya 1954 pempetisyen telah mematuhi peraturan tersebut. Cuma pihak Responden terkeliru dengan surat lampiran kepada notis pengemukakan petisyen dan petisyen pilihan raya yang menggunakan alamat pempetisyen sendiri dan bukannya alamat peguam beliau.

Merujuk kepada Perenggan 3(i) & (ii) Petisyen mestilah dibaca secara harmoni dan bersama serta tidak patut dibaca secara berasingan iaitu kain rentang dan poster adalah perkara yang sama. Dalam kes Haris Salleh, walaupun billboard tidak disebut dalam akta namun ia tetap diambil kira dan termasuk dibawah seksyen tersebut.

Dalam menjawab semula penghujahan barisan peguam BN, Hanipa Maidin menghujahkan kes Haris Salleh telah diplid dalam petisyen mengenai 'advertisement' yang turut menyebut ayat-ayat atau perkataan pada billboard tersebut. Sedangkan dalam pliding petisyen tidak pernah menyebut kandungan kain rentang tersebut.

Semua butir-butir kesalahan yang didakwa oleh pihak BN dalam petisyen mereka tidak sama sekali menunjukkan adanya kausa tindakan. Maka petisyen tersebut tidak boleh berdiri dengan sendiri. Beliau mengemukakan kes Dato Ismail Kamus sebagai hujah.

Zulqarnain kemudian menambah, Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Petisyen pempetisyen telah melantik peguam bagi mewakili beliau sedangkan beliau kemudiannya telah menyerahkan notis dan petisyen sendiri.

Mahkamah telah menetapkan 8/07/2008 untuk menetapkan tarikh bagi keputusan.

No comments: