Menyentuh tentang sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos 2008, bahawa dia diliwat oleh DS Anwar Ibrahim. Saya dengan ini mengutarakan kenyataan dan pandangan berikut, berhubung perkara di atas :-
Bahawa sumpah yang dibuat oleh Saiful adalah tidak bernaskan dan tidak berlandaskan Hukum Syarak.Tiada kaedah sumpah Syarak dalam kes-kes jenayah syariah yang melibatkan hukuman ta’zir. Sumpah syarak dibenarkan dalam kes-kes qisos dan hudud dalam keadaan-keadaan yang tertentu sahaja. Sumpah juga hanya terdapat dalam kes-kes mal, yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta.
Sumpah syarak perlu dilakukan di dalam Mahkamah, setelah diperintahkan oleh Hakim, bukan di tempat awam atau di dalam masjid. Sumpah yang dibuat oleh Saiful secara tidak langsung telah mencemarkan intitusi masjid sebagai tempat beribadat umat Islam. Sumpah dengan memegang atau menjunjung al-Quran bukanlah dari amalan atau ajaran Islam. Sumpah menjunjung atau memegang kitab suci adalah dari amalan Kristian. Sumpah yang dibuat oleh Saiful seolah-olah telah menggangu proses dakwaan dan perbicaraan terhadap DS Anwar Ibrahim, kerana kes sedang berjalan di Mahkamah.
Sepatutnya segala dakwaan atau hujah atau keterangan Saiful perlu dikemukakan di dalam Mahkamah, bukan di tempat awam dan kemudiannya di siarkan dalam media, seolah-olah tidak tidak menghormati dan mencabar kewibawaan institusi Mahkamah. DS Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah menjawab dakwaan Saiful, kerana dalam Islam tidak terdapat kaedah sumpah Syarak dalam kes-kes melibatkan tuduhan liwat.
ULASAN:
Dalam undang-undang jenayah Islam, beban untuk membuktikan fakta tertentu adalah terletak pada orang yang mengemukakan dakwaan, dan mengkehendaki Mahkamah percaya akan kewujudan fakta tersebut. Seksyen 74 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah 1997 memperuntukkan:
"Beban membuktikan tentang apa-apa fakta tertentu terletak pada orang yang berhendakkan Mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu.”
Cara memberikan keterangan di dalam kes-kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah. Seksyen 87 (3) Enakmen Keterangan memperuntukkan bahawa:
"Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”
Maksudnya terletak di atas bahu pihak yang mengemukakan aduan untuk membuktikan fakta yang didakwanya, dan tertuduh juga perlu membuktikan sebaliknya. Fakta-fakta ini perlu dibuktikan di dalam Mahkamah, bukan di tempat-tempat awam atau dimasjid. Dalam kes-kes qisos (membunuh, memukul dan mencederakan, menggugurkan kandungan), walaupun ada nas-nas mengenai sumpah di atas, namun para fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima oleh Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain, atau bukti tidak cukup. Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat oleh pendakwa ke atas tertuduh.
Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh sahaja. Dalam kes-kes yang melibatkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama’ dalam kes-kes tertentu seperti qazaf dan mencuri sahaja. Dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie, sekiranya pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Walaubagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.
Dalam kes mencuri, menurut Mazhab Shafie, sekiranya kesalahan mencuri tidak dapat dibuktikan maka pihak tertuduh boleh diminta bersumpah. Jika tertuduh enggan, pihak yang kena curi boleh bersumpah al-yamin al-mardudah. Tetapi pandangan ini tidak diterima oleh mazhab-mazhab yang lain. Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat sumpah hanya boleh diterima dalam kes-kes mal atau sivil sahaja. Dalam kes-kes mal atau sivil, yakni yang melibatkan yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta, sumpah perlu dilakukan dalam Mahkamah setelah diperintahkan oleh Hakim untuk berbuat demikian. Seksyen 87 (1) dan (2) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan :-
"Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.”
"Jika Defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak.””Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”
Dalam Islam, sumpah adalah dengan menyebut nama Allah, dengan menggunakan kalimah sumpah, ’Wallahi al-Azim, wabillahi, watallahi,’ dan tidak disyaratkan memegang atau menjunjung al-Quran. Sumpah memegang kitab suci adalah amalan agama Kristian, yang mana orang yang bersumpah dikehendaki menjunjung atau memegang Bible. Sebagaimana umum sedia maklum, pertuduhan terhadap DS Anwar Ibrahim telah dibuat, dan kesnya akan disebut semula untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Kes tersebut sedang berjalan. Sepatutnya segala dakwaan tentang salah laku Anwar di kemukakan dalam proses perbicaraan di Mahkamah. Perbuatan mengeluarkan kenyataan atau membuat sebarang tindakan sedemikian akan menggangu dan merencatkan perjalanan perbicaraan di Mahkamah, dan ia seolah-olah tidak menghormati Mahkamah sebagai tempat membicarakan dan memutuskan keadilan.
Liwat dalam undang-undang jenayah Syariah :Liwat atau homoseksual adalah perbuatan yang sejak dahulu lagi dipertikaikan oleh para fuqaha samada dia boleh dianggap zina atau tidak. Sesetengahnya berpendapat ia adalah zina berdasarkan hadith Abu Musa al-Asyari bahawa Nabi s.a.w bersabda :- ”Apabila lelaki bersetubuh dengan lelaki maka kedua-duanya telah berzina.”
Akan tetapi kebanyakan fuqaha berpendapat bahawa liwat bukannya zina, kerana adat dan kebiasaan masyarakat tidak menganggap demikian. Tambahan pula bahaya atau kesan perbuatan liwat tidak sama bahaya dengan kesan zina yang melibatkan keturunan dan keluarga. Walaubagaimanapun para ulama sepakat bahawa liwat itu adalah perbuatan terkutuk dan berdosa besar. Liwat dalam undang-undang jenayah syariah adalah dikategorikan sebagai kesalahan ta’zir, yakni kesalahan atau perbuatan maksiat yang tidak ditentukan kadar hukumannya oleh Syarak. Ia tidak termasuk dalam kesalahan hudud atau qisos. Akta Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan bahawa – Seksyen 25 –
"Mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”
Manakala Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 memberikan tafsiran yang lebih luas, di mana Seksyen 28 Enakmen memperuntukkan bahawa :
"mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”
Sekian, untuk siaran. Terima kasih.
MUSA BIN AWANG
019-3870105
Setiausaha Agong
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)